Followers

Saturday, February 11, 2012

Kisah Saya dan Uncle Steven.. cerita untuk adik-adik yg minat menulis

Oleh : Lily Haslina Nasir |

 
Saya akan terus kongsi pengalaman saya di sini secara berdikit-dikit. Bagi adik-adik yang sering menghubungi saya untuk menyiapkan tesis, kertas kerja atau ada beberapa orang yang menyebut mendapat grant daripada pihak kementerian pengajian tinggi dan meluahkan rasa bimbang takut tidak lengkap mencatatkan dan mengupas pengalaman awal saya menulis, saya anggap kisah-kisah saya pada posting sebelum ini akan membantu.
Saya panggil dia Uncle Steven. Lelaki segak yang fasih berbahasa Melayu ini kawan abah saya dan seorang jutawan. Paling penting dia penerbit buku yang hebat di Melaka era itu. Apabila dikenang semula... ya saya harus berterima kasih kepada Uncle Steven yang sampai sekarang masih menganggap saya 'daughter' dia. Ini dia yang sebut sendiri dan kalau cerita saya keluar di akhbar dia akan beli dan berbangga sebut, ini anak kawan baik dia.
Sewaktu saya tingkatan lima, sibuk mahu periksa SPM, dia datang ke rumah membawa timbunan fail manuskrip. "Lily, uncle percaya you can do this.... Uncle tahu manuskrip ini sudah disemak, tapi uncle mahu Lily double checked. Tengok ejaan atau mana-mana yang silap." Wah, saya bangga tak ingat dunia. Manuskrip itu adalah manuskrip 4,000 ALAM MUTIARA KATA tulisan ASMAD (penulis tersohor Melaka) setebal 730 halaman. Saya terima kerja itu dengan senang hati tanpa SEBARANG BAYARAN, EMAK PUN TAK MARAH dan sebagai upah saya diberi SEKOTAK BUKU oleh UNCLE STEVEN.
 Saya masih akrab dengan Uncle Steven yang sanggap anggap seorang yang sangat hebat dan percaya pada kemampuan saya sejak masih pakai seragam sekolah. Dan, buku 4,000 ALAM MUTIARA KATA TERBITAN AED SDN BHD itu saya usung ke hulu ke hilir sejak di kampus sampai dunia kerja. Buku tebal berkulit biru nila itu penuh nilai sentimental bagi selain sangat membantu saya 'mencantikkan' tugasan kuliah dan juga rencana saya di Jelita.
Saya tak pernah anggap saya dimanupulasi tanpa bayaran. Bagi saya peluang yang Uncle Steven beri itu bagai segunung emas. Budak sekolah kan... tetiba dapat memegang manuskrip mentah yang kata pengantarnya ditulis oleh Tan Sri Profesor Emeritus Dato' Pendita (Dr) Haji Ismail Hussein, tentu rasa macam seronok sangat! Jadi pada adik-adik yang menulis, rebutlah apa-apa peluang untuk tingkatkan kemahiran diri, terus belajar, tanpa fikirkan sangat soal wang ya...
Inilah buku yang saya konon-konon edit sewaktu tingkatan lima. Banyak saya belajar apabila uncle steven bagi tugasan ini. Saya tak dibayar pun tetapi sangat seronok dan buku ini masih saya simpan dan guna sebagai rujukan hingga hari ini.

Ini sebahagian buku bersiri Permainan Tradisional Malaysia yang saya buat bersendirian untuk projek penerbitan sewaktu tahun tiga di UM.

Fikir semula saya tak tahu mana saya dapat kekuatan dan keberanian buat buku 10 buah dari A-Z sendiri tanpa geng lain yang membantu. Memang kerja gila sampai saya stress dan berjerawat kronik masa ni. Tapi dulu-dulu, saya memang jenis redah dan berani buat apa saja biarpun bagi orang lain mungkin mustahil. 10 buah buku berwarna penuh ini saya siapkan dalam tempoh dua bulan. Urus teks, gambar, layout guna dummy, ISBN segalanya sendiri aje yang buat.

Arwah pak lah (Prof Madya Haji Abdullah Tahir) yang banyak beri sokongan untuk saya berkarya sejak di UM. Ni kata pengantar Pak Lah untuk buku saya tu.
 Sewaktu berada di tahun ketiga UM, kami pelajar media kena siapkan projek menerbitkan buku secara berkumpulan. Oh, saya tak tahu kenapa, mungkin sebab saya sudah berumahtangga dan kawan-kawan pun tahu saya jarang boleh lepas pulang lewat dari kuliah maka saya terkontang-kanting sendirian. Uncle Steven penyelamat saya! Saya bertekad buat proposal, tulis buku, urus A-Z sendiri sehingga terbitnya, 10 buah buku SIRI PERMAINAN TRADISIONAL. 10 buah buku berwarna terbit serentak dan ini one woman show!
 Sangat perit sebenarnya tatkala menyiapkan projek itu sampaikan saya berjerawat kronik dik stress. Tapi Uncle Steven penerbit yang saya kagumi sama-sama bantu saya dari segi layout. Dia penerbit, dialah carikan orang grafik, malah dengan kereta mewahnya sanggup redah ke rumah saya di Selayang untuk pruf waktu itu. Apabila final projek, saya sangat berpuas hati dan berterima kasih. Saya dapat cemerlang untuk markah itu. Pengalaman yang sangat luar biasa untuk pelajar tatkala itu. Sudahlah buat sorang-sorang... orang lain satu kumpulan satu buku, saya 10 buku! Dan di hari tua Uncle Steven, saya masih ziarah dia kalau ada masa bila ke Melaka.
 Untuk projek 10 buah buku itu juga, saya yang memutuskan untuk tidak terima sebarang bayaran. Kalau kira rugi, ya memang rugi sebab dari umur saya 22 tahun sampai umur sekarang, buku itu sudah berulang kali dicetak dan dijual di perpustakaan dengan harga sekitar RM250 kalau tak silap saya. Tak mengapa bagi saya... pengalaman terus saya timba. Dan selepas itu saya terus menulis dengan Uncle Steven untuk siri-siri yang lain. Bayaran? Ya, selepas itu baru saya terima bayaran dan untuk pelajar uni waktu itu, hahahaha.. saya rasa agak mewah!
 
 

0 comments:

Subscribe