SEPERTI INIKAH CINTA.... 9
“Mek.. nak ke mana tu? Oh Mek... Hah... tak payah toleh kiri kanan…” Laungan suara itu terhenti di situ.
“Mek… Mek bertigalah!” Lelaki itu terus menjerit.
Tangannya menggamit. Wah, gayanya macam polis trafik pulak! Beberapa
orang senior yang sedang duduk bersidai di koridor bangunan itu
tersenyum-senyum sumbing.
“Masaklah bebudak tu kena
goreng dengan Amirul!” Satu suara bertingkah. Mencecah juga ke
pendengaran tiga gadis yang dipanggil Mek tadi.
Kelompok-kelompok pelajar baru yang lain tentunya sedang sibuk
mengusung borang memohon tanda tangan, sudah saling berbisik-bisik.
Sebenarnya semua tadi sedang sibuk mengejarkan senior dan exco pelajar.
Suara penghulu exco pelajar tadi cukup kuat. Sangat kuat
sebenarnya menyebabkan semua yang ada di situ terkejut. Sangka mereka
ada pengumuman penting. Rupa-rupanya ada pelajar yang sudah buat hal!
Semua mata tiba-tiba menoleh ke arah tiga gadis itu.
“Ooo la laaaa… beb…. kenapa semua orang pandang kita ni? Wei, depa
ingat kita ni artis apa?” Nurul Masmeen tergaru-garu kepala. Huh, tak
pasal-pasal kepala terasa ada kutu, badan pula terasa ada hama! Eh,
kauorang apahal pandang-pandang aku? Rungutnya di dalam hati.
“Ya.. kamu semualah! Nak ke mana tu? Oh, nak lari ye? Dah
dapat tanda tangan semua eksco belum?” Jerit Amirul dari jauh.
“Kurang asamlah mamat ni… Kenapa dia pakai mikrofon???” Kali
ini Nurul Masmeen semakin terpempan di situ. Nik Fauziah dan Rose turut
sama tergamam. Tersengih-sengih mereka menahan malu.
“Kesian bebudak tu Amirul.. Malu diaorang kau jerit pakai mikrofon!” Zen
Akba menegur dengan berbisik pada rakan sekuliahnya itu.
“Alah, mujur pakai mike.. kalau aku pukul gong, pukul gendang…
lagi malu diaorang…” Jawab Amirul tanpa rasa simpati pada juniornya.
Sesiapa yang degil dan ingkar memang mencari nahas dengannya
“Mana benda tu?” Tanya Amirul pada Zen Akba.
“Ada.. aku letak atas meja sana. Benda tu dalam kotak.”
Beritahu Zen sambil menunjuk ke arah meja rehat di taman mini berdepan
dengan bangunan Pusat Pengajian Media itu.
“Kau nak buat apa benda tu?”
“Adalah… sesiapa yang cari masalah.. macam mek-mek tu
memang kenalah!” Nada Amirul memang sangat pendendam bunyinya. Tiga
gadis yang masih tegak berdiri jauh darinya itu direnung dengan
pandangan yang semakin mengecil. Geram sebenarnya! Berani budak-budak
ni!
Biarpun yang sebenar seluruh muka terasa kebas
menahan malu, Nurul Masmeen tetap tidak berganjak. Dia yang memang agak
degil berbanding dua sahabat barunya itu, turut memandang Amirul dengan
hujung mata! Bencinya lelaki ni! Jaga kau… Macam hebat sangat dengan
jawatan penghulu pelajar!
Penghulu Minggu Newbies Pusat
Pengajian Media itu sudah bercekak pinggang. Amirul di aras atas. Tiga
mek yang direnung hanya dengan sebelah mata oleh Amirul berada di aras
bawah. Kawasan Pusat Pengajian Media itu memang sedikit berbukit.
Namun jeritan Amirul dengan mikrofon memboleh semua jagat
raya di seputar kawasan itu mendengar suaranya. Merah padam muka Nurul
Masmeen, Nik Fauziah dan Rose. Masing-masing sudah tegak menjadi tugu
negara.
“Alamak... matilah kita! Macam ni? Aku dah rasa keras!
Macam jadi sang kelembai!” Rose menggeletar ketakutan. Nurul Masmeen
tetap dengan muka sombongnya.
“Alah, peduli apa! Dia nak dera kita?
Silakan... esok aku report dalam Harian Metro!” Nurul Masmeen yang
memang berkepala batu langsung tidak mahu beralah. Biarpun sebenarnya
usus perut sudah rasa terbelit.
Pelajar freshies lain
sudah saling berbisik. Huh, siapalah tiga budak perempuan yang berani
sangat tu... Mana boleh tinggalkan kawasan ni... memang nahas kalau
senior tangkap!
“Hah! Eloklah tu! Berdiri tegak di situ!”
Jerit suara itu. Beberapa pelajar lelaki lain sudah bersiul dan
bersorak. Telinga Nurul Masmeen, Rose dan Nik Fauziah terus terasa bagai
terkena miang buluh!
“Alamak, lecehlah mamat sorang
ni! Dia nak suruh kita buat apa ni? Aku dah lenguh ni!” Nurul Masmeen
mengomel sambil mencuit Rose. Kaki masing-masing macam kena gam gajah.
Mereka sebenarnya baru saja menyimpan cita-cita mahu melarikan diri.
Ruang lingkup Pusat Pengajian Media sepanjang minggu itu
memang mengazabkan! Terasa macam ada perintah berkurung. Sana sini ada
mata-mata gelap yang sibuk lagi kepoh mahu menyiasat adik-adik junior.
Alkisah dari pengumuman yang diberi, setengah jam dari
tempoh itu mereka dikehendaki berkumpul di dewan utama untuk mendengar
ceramah aka bebelan bebelan senior. Huhuuu... bosannya!
“Beb macam mana ni? Nak cabut ke? Nak sengih tunjuk gigi aje ke..
nak lambai macam Miss Universe pada semua senior kat atas tu?” Rose
sudah menggelabah. Tiga ke empat saat berdiri tegak seperti tiang
bendera amat menyiksakan!
“Okay.. tarik nafas, buat muka tapir…Buat muka tak berdosa... buat muka perasan lawa!!” Nurul Masmeen sudah tekad.
Dia tidak peduli kalau didenda. Alah, bukan boleh dibuang
universiti pun setakat langgar undang-undang gila masa minggu orientasi!
Bukan ke kalau diperhalusi... Minggu Newbies = Minggu Neraka!
Sudahlah dia tidak cukup tidur kerana program
Qiamullai, masa senggang diisinya dengan menaip dan menaip. Entah kenapa
banyak sungguh cerita bersimpang-siur dalam fikirannya biarpun minda
sangat letih.
Akibatnya setiap kali menghadiri aktiviti
sebelah siang untuk Minggu Newbies, dia tidak mampu menahan rasa
mengantuk yang bukan kepalang.
“Mek kurus, mek
rendang, mek tinggi... Naik balik.. cepat! Kalau degil...kena lompat
katak sama-sama katak nanti!” Amirul seronok mengugut tiga orang adik
juniornya itu.
Mahu tidak mahu Nurul Masmeen, Nik
Fauziah dan Rose berpatah balik. Langkah mereka sengaja lambat-lambat.
Nurul Masmeen menunjukkan muka malas lagi tak kuasa tatkala mahu
menghadap sang penghulu pelajar.
“Wah, belum apa-apa
kita dah popular kejap!” Bisik Nurul Masmeen pada Rose. Sahabatnya itu
berkerut kemudian mencebik.
“Banyak kau punya
popular! Mati kita lepas ni! Memang senior kata kita degil!” Pangkah
Rose geram. Sebenarnya itu semua ilham Nurul Masmeen untuk melarikan
diri daripada mendengar ceramah.
“Setakat mamat tu...
silap-silap dia dulu mati dari kita! Huh, mamat gila kuasa!” Cemuh Nurul
Masmeen perlahan tanpa peduli semua yang memandang ke arah mereka
bertiga.
“Habislah.. mati kita kena denda!” Nik
Fauziah sudah semakin sesak nafas. Amirul dan kroni-kroninya sudah
menunggu di hadapan sambil bercekak pinggang.
“Siapa
nama mek ni semua? Mari beritahu kami... Nak jugak kenal... kenapa degil
sangat ya?” Amirul dengan lagak raja di atas takhta, duduk tersandar
di kerusi baldu merah di ruang pentas terbuka. Nurul Masmeen menjeling
dengan rasa meluat. Mengada-ngada! Beberapa pelajar senior yang lain
sudah terkekeh gelak.
“Nik Fauziah...” Jawab yang Nik
Fauziahdengan pantas. Matanya sekejap-sekejap memandang ke pentas.
Matilah aku kalau kena lompat katak atas pentas ni!! Sia-sia aje beri
show percuma untuk satu fakulti ni!
“Mek rendang Nik Fauziah.. Mek bonsai siapa nama?”
“Rose Ismail.” Jawab Rose tanpa mengangkat muka. Kecutnya
perut tidak terkata. Terasa bersimpul urat dengan tali perut! Kurang
ajar! Aku yang langsing pinggang secekak ni dipanggil bonsai?? Buta
agaknya mamat ni! Rose sudah berkepuk-kepuk menyumpah di dalam hati,
“Hah mek tinggi... mek muka sombong ni siapa nama?” Sakit
benar hati Nurul Masmeen bila dia dipanggil mek muka sombong. Ikutkan
hati yang kering mahu saja dia tinggalkan kawasan kampus itu.
“Nurul Masmeen.” Dia menjawab pendek. Mukanya semakin mencuka.
Menyampah! Itu ekspresi yang diberi sambil matanya sendiri tepat
memandang ke arah Amirul.
“Nurul Masmeen aje? Nama bapak apa?”
Rose dan Nik Fauziah sudah semakin terketar. Wah, Nurul
Masmeen nak buat apa pulak ni? Jawab ajelah! Ni memang nak cari tali
gantung lepas Minggu Newbies ... Mereka saling menjeling apabila
menyedari Nurul Masmeen sudah menunjukkan kepala batunya.
“Nurul Masmeen Razali. Kenapa? Nak berkenalan ke?” Selamba lagi laju
saja kata-kata yang terkeluar dari mulut Nurul Masmeen. Amirul memang
agak terkejut. Tetapi dia kemudian terdiam dan berbisik sesama rakan
yang lain.
“Nurul Masmeen?” Amirul menyebut perlahan nama itu. Berulang kali.
Ah, sudah!!! Aku dah kata! Minah Nurul Masmeen ni memang
degil! Ni mesti nak kena denda kaw kaw punya! Cemas Rose apabila melihat
Amirul dan beberapa pelajar lain saling bercakap sesuatu. Tetapi amat
perlahan dan tidak dapat didengar. Nurul Masmeen tetap dengan muka
selamba tidak peduli langsung dengan apa yang berlaku.
“Awak Nurul Masmeen Razali, yang menulis novel tu ye?” Seorang
pengapit kanan Amirul bertanya. Soalannya itu sangat mengejutkan Nurul
Masmeen. Di kanannya Rose, di kirinya Nik Fauziah turut sama terlopong.
Hah? Buat novel? Tulis novel? Biar betul? Rose terkejut tetapi sangat
teruja.
Tuesday, March 06, 2012
SEPERTI INIKAH CINTA ... 9
Oleh :
Lily Haslina Nasir
|
Labels:
SEPERTI INIKAH CINTA - 9- NOVEL
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Categories
- Buku Baru LILY HASLINA (2)
- Kehidupan (18)
- Kuiz Syok Sendiri (1)
- Mood Cuti (1)
- Novel (10)
- Pengalaman (4)
- review aku dia dan coklat (1)
- SEPERTI INIKAH CINTA - 1- NOVEL (1)
- SEPERTI INIKAH CINTA - 2- NOVEL (1)
- SEPERTI INIKAH CINTA - 3- NOVEL (1)
- SEPERTI INIKAH CINTA - 4- NOVEL (1)
- SEPERTI INIKAH CINTA - 5- NOVEL (1)
- SEPERTI INIKAH CINTA - 6- NOVEL (1)
- SEPERTI INIKAH CINTA - 7- NOVEL (1)
- SEPERTI INIKAH CINTA - 8- NOVEL (1)
- SEPERTI INIKAH CINTA - 9- NOVEL (1)
- SUPERLICIOUS SOFEA - 1- NOVEL (1)
- yang tercuit di hati (1)
- Yg Tercuit Di Hati (2)






1 comments:
Assalamualaikum Lily,
salam kenal dari Amie, follow sini ye
Post a Comment