Sunday, November 10, 2013

Cinta Hilang Kata 12

Love You In Silence





SABIRAH, ZAILI & MAHYUN


Malam semakin jauh mendaki hari. Dendam mencakar-cakar hatinya. Zaili tidak mampu menyorokkan gelora jiwa. Angin liar menyisir perbukitan di kawasan rumah. Kalaulah emak belum tidur, mahu saja dipaksa emak bangun buat sesuatu. Memang nak kena ajar betina ni! Bukan main sekarang! Dalam forum dan seminar sudah pandai menceceh itu dan ini. Mulut dah semakin cabul!

Kau jaga Ezra! Siap kau Nurul Masmin! Silap kalau kau nak tunjuk jaguh! Bulan di langit semakin kelam. Dengkur burung hantu tiada siapa yang menemani. Hanya jiwa yang geruh dan mata merah meliar menemani Zaili yang masih tekun di hadapan komputer. Niat hati mahu keluar malam itu tapi hati yang panas dan merusuh membuat dia terus terduduk di hadapan komputer kerja.

“Dah tengok minah tu punya blog?” Dia menjengah ke bilik Sabirah. Kembarnya itu macam biasa masih belum tidur. Juga sama-sama sedang menopang dagu di hadapan komputer riba.

“Siapa?”
“Alah, betina meroyan tu lah!”
“Ezra?”
“Siapa lagi!”
“Ada cerita baru ke?”

“Pergi baca! Macam bagus nak nasihat orang. Sekarang ni bukan main lagi diaorang. Macam nak tunjuk bagus. Macam ala-ala suci konon ayat masing-masing. Dia dengan minah janda tu samalah! Nak kena ajar tu semua. Biar senyap sikit! Dia tu nak kena kunci mulut kot! Biar tiap kali bukak mulut, terus keluar bau bangkai, baru tahu nak senyap agaknya!” Zaili benar-benar mendidih hati.

“Huish… gila abang!”

“Kalau tak diajar macam tu, macam betina miang dia ni! Sana sini heboh nak bercakap. Macamlah champion sangat. Kita ni dah plan macam-macam. Orang macam dia ni yang tak boleh nak kita biarkan. Selagi dia tegak, kita punya rancangan semua hanyut! Menyusahkan orang aje betina ni!”

Sabirah segera membuka blog milik Ezra. Setiap baris ayat dibaca dan dihadam dalam benak kepalanya. Dan serentak dengan itu, kesumat dendam dalam jiwanya mula membuak-buak.

“Eeee…. Benci! Meluat!!”
“Kan??”
“Perasan bagus!!”
“Nantilah. Kita ajar dia nanti. Baru hingus hijau menulis nak tunjuk nada ala syurga! Pirah!”
“Abang ada dengar cerita tak pasal dua orang perempuan ni?”
“Pasal apa?”
“Alah masa dekat DBP, bukan main lagi diaorang pukul canang. Konon bagi tips menulis.”

“Mana tahu?”
“Kak Munalah yang report!”
“Apa kata Kak Muna? Kak Muna datang ke?”
“Kak Muna tak ada tapi spy dengan geng Kak Muna kan ramai…. Itu yang Kak Muna kata, diaorang ni macam bertanduk sekarang!”
“Memang nak kena ajar! Tunggulah!”

Kerudung malam seperti memenjara sebutir dendam yang terbit dari satu desah nafas. Langit menjadi belantara roh-roh yang terapung. Ada teriakan, ada lolongan yang semuanya berbau nafsu-nafsi. Mahyun yang sedang lena tiba-tiba tersentak. Namanya bagai diseru. Dia seperti dapat merasakan getar dan detak jantung anak-anaknya.

Ada suara liar yang berbisik di telinganya. Ada nada yang mendayu-dayu di kupingnya. Ada mata tajam yang merah di balik langsir. Mahyun tahu dia diperlukan anak-anaknya. Cuping telinganya terasa ngilu. Ada angin yang mendesah di situ. Serba tidak kena dia sejak siang tadi. Hampir saja dia terhiris jari sendiri tatkala mengupas bawang.

“Aku tahu… Aku tahu!” Dia berdehem tiga kali sebelum menggumam sendiri.

Bawang yang dikupas tetapi bau darah hanyir yang menyengat di dapur. Hamis dan memualkan. Mahyun tahu benda itu ada di sekelilingnya.
Bulan mengesot pucat tatkala ada jiwa yang dirasuk terpasung dalam resah dan gila isim. Di satu penjuru bumi, terapung mahkluk yang diseru-seru. Dia menumpang di kaki langit yang sama dengan Mahyun.

Hujan termengah mengah merangkak malam. Dingin merayap menjalar. Tatkala itu mahkluk itu dikerah berkerja. Menjilat dan menghisap segala hidangan hamis dan menjijikkan. Istimewa dari Mahyun. Niatnya hanya satu. Biar orang yang menghina suami akan menjilat semula cercaan mereka. Tunggulah! Sabirah dan Zaili memang bakal menjadi bintang.Cahaya itu yang akan memadam kisah banduan, kisah ganja dan kuburan bapa mereka. Musuh dan pesaing anaknya, betina Nurul dengan Ezra, boleh pergi mampus!


Cinta Hilang Kata 11

Love You In Silence





NURUL MASMIN

Ezra menyinggah bertemu Nurul selepas selesai servis laptopnya. Dia memang sudah lebih sebulan menanggung bisa-bisa badan. Setiap kali lewat malam, badannya menggelupur kepanasan. Anehnya apabila berjumpa doktor, semuanya baik-baik belaka.

Ujian darah pun telah dibuat, keputusannya tiada masalah sakit fizikal. Namun melihat wajah Nurul yang sedikit pucat, Ezra sendiri terkejut.

“Aku tak tahulah orang lain. Tapi memang kekadang aku tak larat sangat. Badan rasa kena tikam-tikam. Bisa menjalar segenap sendi. Panadol, ubat tahan sakit semuanya aku telan. Kau kenapa? Kau nampak pucat, sakit ke?” Soal Ezra tidak percaya.

Nurul Masmin mengangguk. “Ha’ah. Macam semalam, aku baru saja nak bukak laptop aku, then, tak pasal-pasal aku rasa kebas satu badan. Jantung aku ni pulak, berdebar-debar je. Nak kata aku sakit, aku rasa sihat. Tapi nak kata sihat betul. Tuhan aje yang tahu. Rasa sesak nafas. Rasa perut keras macam membusung. Azabnya, Tuhan aje yang tau!” Cerita Nurul lagi.

“Aku memang dah berpuluh kali ke doktor. Setakat ni semua okay. Tapi sakit tetap macam tu. Doktor cuba agak aku stress melampau.” Ujar Ezra.
“Entahlah. Susah nak kata. Mungkin aku stress pasal Amirul. Mungkin jugak pasal kerja. Banyak sangat benda yang jadi dalam hidup aku ni...” Lirih Nurul sambil memandang ke luar.

"Beb, Amirul dengan kau kenapa? Tak selesai lagi?”

“To make it short, kami sebenarnya memang dalam proses bercerai. Entahlah...” Kering sahaja muka Nurul Masmin apabila berkata. Sungguh tiada sebarang perasaan yang ditunjukkan.

Ezra kali ini benar-benar terpempan. “Ish, kau ni cakap betul-betullah! Benda ni bukan main-main. Bergegar tiang Arasy bila sebut nak bercerai ni!” Ujar Ezra lagi.

“Habis, kau nak aku cakap apa? Yang kami ni tersangat bahagia, yang boleh hidup sama-sama sampai tua? Kalau nak masuk rumah orang tua-tua pun, boleh isi borang sekali? Nak buat apa, tak kuasa aku nak menipu!” Jawab Nurul Masmin.

Ezra terdiam. Dia benar-benar terkejut dengan kata-kata Nurul Masmin. Sebab memang mereka nampak macam bahagia. Hingga kadang-kadang dia pun cemburu dengan Nurul Masmin!

“Aku tau kau mungkin susah faham .Terima sajalah.”

Mendatar sahaja suara Nurul Masmin. Dia terjeda di situ. Seboleh mungkin tidak mahu menyebutnya dengan sesiapa, tapi hati terlalu pedih untuk menyimpan sendirian.

“Doa mintak Allah lorongkan yang terbaik Nurul.” Ujar Ezra sambil hatinya sendiri berpusar-pusar.

Nurul berasakan bagai tercampak dalam rimba yang kelam. Hati ingin berkata sesuatu namun tidak terucap. Ya, Tuhan memang Maha Agung dan Adil, setiap kejadian penuh tamsil dan tafsiran. Tuhan, aku sujud pada ketentuan-Mu. Ya ALLAH. Langit saujana terhampar biru, mengirim isyarat penuh rahsia. Kenangan silam yang sewangi kesturi melambai-lambai. Dada Nurul Masmin semakin bergelombang. Angin bagai berhenti menderu. Air mata mengalir tanpa henti. Pandangan berkabus, hatinya luluh. Tuhan Maha Agung KetetapanMu.

Cinta Hilang Kata 10


Cinta Hilang Kata 10Love You In Silence




AMIRUL & Jah Gayah


"Dua puluh empat jam menghadap komputer! Sampai laki pun tak dimasaknya nasi. Bukan beranak kecik pun! Dasar betina pemalas! Duduk ajelah mengangkang, besarkan badan depan komputer tu.”

“Dia buat kerja dialah mak! Macam mak tak biasa dengan menantu mak tu!” Amirul terasa tercekik hendak menyuap nasi. Dikunyahnya nasi sejuk perlahan-lahan.

“Alah, orang lain pun ada menantu jugak! Lagi hebat dari si Nurul tu.... tak ada pun macam dia tu! Ni entah ya entah tidak dia menaip! Entah-entah melayan mana-mana jantan lain! Kau tak pernah sergah ke dia sesekali, Mirul?”

Jah Gayah tidak tahu mengapa. Sejak kebelakangan ini hatinya semakin berasa selumbar dengar menantu yang seorang itu.

“Apalah mak ni... Bukan ke bila dia dapat royalti, dia dapat apa-apa duit, dia memang tak pernah lupa hulur kat mak...” Amirul mengingatkan. Biarpun dia tahu itu akan membuat ibunya semakin mendidih hati.

“Huh, bagi muka pada si Nurul tu! Orang lain kerja pejabat, anak berderet pun boleh bagi makan suami! Boleh jaga tempat tidur suami! Yang dia ni aku tengok bukan main lagi ya... lepas tangan! Duduk le 24 jam menghadap komputer tu! Agaknya duduk berangan depan komputer sampai tak ada masa nak fikir beranak!”

Amirul tergamam. Ya, Allah... apa yang patut aku lakukan? Di kiri emak, di kanan Nurul! Aduhai.... Emak, ibu aku dunia akhirat. Nurul... Ya, wanita itu terlalu banyak beralah dan berkorban sebenarnya!

“Dia tu kau simpan ajelah! Simpan aje dalam almari. Sesekali nak pakai baru kau keluarkan!”

“Madukan Nurul?”

“Jantan apa kau ni Mirul? Disuakan perempuan untuk bernikah lagi, kau tak mahu? Kau tunggu bila nak cari bini yang boleh beranak? Nak tunggu benih kau kecut? Nak tunggu kau dah ganyut , dah kepam baru nak cari bini?? Hei, kalau jantan lain dah lama melompat suruh siapkan pelamin, suruh cari tok kadi nak menikah. Esok sebelum subuh pun aku boleh siapkan kalau kata setuju!”

Friday, November 8, 2013

Cinta Hilang Kata 9


Cinta Hilang Kata 9

Love You Silence



“Ada nama penuh dia?” 
“Ada...” Jawab Sabirah.
“Nama mak dia ada?”

“Errr... mana nak cari.” Sabirah menggaru kepala yang tidak gatal.
“Kalau tak ada bagi tarikh lahir dia kalau dapat.”

“Tarikh lahir adalah.....”
"Mana dapat gambar dia?" Tanya wanita yang matanya hitam bercelak.
"Ambik dekat facebook. Berlambak ada."

Mahyun mengangguk-angguk. “Gambar bagi aku yang jelas. Yang nampak mata. Kalau boleh biar gambar penuh! Jangan yang kelabu asap, yang tak nampak mata, aku pandang tak tembus.”

Zaili dan Sabirah mengangguk-angguk. Seketika kemudian, Sabirah menghulurkan lagi sekeping gambar. Mahyun segera mengambil gambar tersebut. “Hah ni siapa pulak....”

“Ni Kak Muna. Dia ni konsultant untuk projek kami.” Jawab Sabirah.
“Dia ni ular! Nampak duit aje! Tak peduli orang. Sana ditikam sini dicincang, dia lapah. Yang penting diri dia aje.” Cerita Zaili pula.

Mahyun mengangguk-angguk sambil terus memandang foto itu. “Muka pun kusut.... Tak ada cahaya langsung muka dia ni! Macam mana lebam muka dia macam tu hati dia!”

Sabirah tersenyum lagi. Rancangannya yang selama ni bakal terlaksana bila saja Mahyun setuju untuk membantu dia! “Ni kalau boleh mak uruskan jugak ya... Jangan sampai dia belit kami. Kalau boleh apa kami mintak dekat dia semua dia ikutkan.”

“Kau kena mandi!” Ujar Mahyun setelah diam seketika.
“Alah... kena mandi lagi. Jenuhlah macam ni!” Sabirah merungut sendiri.
“Ni kau kena mandi masa bulan penuh.” Sambung Mahyun lagi tanpa mempedulikan rungutan Sabirah. Dia meletak gambar Kak Muna di sebelah gambar Ezra.

Sabirah mengeluh kecil. Mukanya dicemik malas. “Alamak, kena tengok kalender hijrah pulaklah.....”

“Tunggu masa bulan penuh. Mandi kat tempat air mengalir dan cahaya bulan tu kena ada bawah kau.” Terang Mahyun lagi. Kali ini matanya merenung tajam ke arah anak perempuannya itu.

“Alaaa....” Sabirah mengeluh untuk kesekian kalinya. Nak dapat hasil memanglah sedap, tapi nak buat kerja-kerja ni yang malas. Haih, lemah lembik lutut terasa bila jadi macam ni!

“Nak ke tak nak?” Mahyun sudah menjegil mata.

“Errr.....” Sabirah masih teragak-agak. Sungguh, beratlah rasa hati nak buat benda-benda macam ni. Bukannya tak biasa buat benda-benda macam ni, tapi bila dah kena mandi-mandi dekat sungai tengah-tengah malam buta, siapalah tak risau?

“Mak nak kena siapkan jugak barangnya...” Mahyun sudah mula malas melayan.

Sabirah menggigit bibir. Dia berpaling melihat Zaili yang masih bersila di tepi.“Macam mana bang...”

“Alah bukan nak kena mandi depan mana-mana tok sami ke, mana-mana tok moh ke.... dengan mak apa masalahnya....” Pujuk Zaili pula.

Sabirah merengus kecil. Bila jawapan itu yang diberi Zaili, itu bermakna yang dia tidak punya pilihan lain. Sabirah berpaling semula melihat Mahyun. “Tu kena mandi dalam hutan ke mak?”

“Terpulanglah. Kau nak mandi kat Sungai Kelang ke, Sungai Gombak ke yang menghadap rumah orang, ke kau nak mandi kat Sungai Rejang yang banyak buaya tu... kalau kau sanggup aku tak kisah....” Mahyun menyindir tajam.

“Mak ni....”
“Dah kau tanya soalan bodoh!”
“Errrr....”

Zaili yang rimas melihat Sabirah yang masih teragak-agak segera menyampuk. “Setuju aje! Nanti besok lusa, kontrak bermasalah, muka mandom, buku sejuk, nak memekak kat abang. Lepas tu bising mengadu kat mak.”

“Errrr... okaylah!” Sabirah akhirnya terpaksa mengalah menurut kehendak ibu dan abangnya.

“Suruh mandi aje... Bukan aku nak benamkan kau sampai lemas!” Jerkah Mahyun. Benar-benar rimas agaknya dengan perangai Sabirah yang mengada.

Dingin dinihari masih terasa di hujung langit. Di kamar yang hapak dan kelam itu Sabirah sudah tujuh kali meracau selepas dia terlena kembali. Suaranya menjulang menujah bumbung rumah. Tujuh kali juga dia tersentak-sentak. Mata membutang memandang lelangit bilik. Sekali angin bertiup, sebu terasa perut. Mual tekak seketika. Hamis darah, tengik najis dan hanyir muntah menghimpit sesama sendiri.

Sabirah tersentak dari tidur.

Fikirnya dia bermimpi. Oh, dari mana pulak bau aneh itu. Bulu roma terasa meremang. Mahu pergi mengetuk pintu bilik emak pun terasa gerun. Dapat dikesani di batin, ada renung liar di balik jendela. Ada lidah menjelir hitam berlendir di belakang langsir.

Sabirah pura-pura diam. Paksa mata untuk pejam. Peduli apa semua itu. Hidup dahulu lagi sengsara. Siapa yang suka anak bekas banduan. Nah, sekarang anak bekas banduan ini akan buat ramai menyembah dan terpesona lagi terpukau!

Cinta Hilang Kata 8


Cinta Hilang Kata 8

Love You In Silence





“Betina sundal tu dah bercerai dengan Amirul!” Dalam senafas Sabirah berbicara. 

Terbeliak mata Zaili bila mendengar berita yang baru sampai ke telinganya itu. “Huh? Eh, biar betul! Mana Birah tau ni?” Riak wajahnya jelas menunjukkan gembira yang amat.

“Tadi Birah sembang-sembang dengan Kak Muna. Dialah yang bagitau! Satu Malaya tengah heboh fasal betina tu! Hahahaha!” Cerita Sabirah pula.
“Really?! Hahaha! Padan muka kau, perempuan! Baru kau tau langit tu tinggi ke rendah!” Ujar Zaili puas.

“Macam tak percayakan?” Balas Sabirah.
“Birah tak silap dengar ke? Kotlah Nurul yang lain…”

“Kalau Nurul Masmin memang betina tu sorang aje kat Malaya ni…”
“Habislah…. Habislah dia menulis! Mesti terlingkup!” Ketawa semakin membusung. Muka angkuh bagai tidak percaya dengan berita itu terbayang di wajah Zaili.

“Huh, tak sia-sia aku berdoa siang malam mintak kau bercerai dengan laki kau! Hahaha! Mampus kau!” Ketawa Sabirah semakin besar. Dan bersatu dengan ketawa Zaili yang semakin galak. Terasa segala usaha yang mereka semai selama ini mula membuahkan hasil!

“Birah, abang rasa kita jangan buang masa lagi. Benda ni kena cepat!” Ujar Zaili setelah ketawa mereka berdua reda.

“Tapi bang… nak ke mak tolong kita? Birah takut dia tak setuju.” Jawab Birah perlahan. Riak wajahnya kelihatan sedikit risau.

“Alah, kita pujuklah mak. Birah jangan risaulah, mesti boleh punya. Yang penting, rancangan kita yang selama ni, jalan! Hahaha!” Balas Zaili sambil ketawa. Birah di sebelah mengangguk. Dalam kepalanya, terbayang rencana yang kian lama terpendam sejak dulu. Mampus kau, Nurul! Baru kau tahu kau tu takat penulis bilis! Kau tu penulis sampah! Nantilah kau rasakan nasib kau lepas ni. Buku yang ada bertapuk tak terjual, idea ke laut, kau meroyanlah sorang-sorang depan komputer. Laki ada pun dah angkat kaki seribu! Memang kau betina suwei! Bergantang-gantang sumpah-seranah Sabirah di dalam hati.

Puas! Terasa bahagia sungguh hari ini! Nurul Masmin… tunggu aku! Ada takdir lain untuk engkau dari aku!

Cinta Hilang Kata 7


Cinta Hilang Kata 7

Love You In Silence


Zaili tidak begitu masuk perut segala maki hamun Nurul Masmin. Perempuan meroyan macam tu mesti tengah datang bulan agaknya! Atau entah-entah lambat datang bulan! Tu sebab kepala jadi ting tong!

Angin menderu dari arah utara. Pohon-pohon tua yang berceracak sekeliling tasik kampus tiba-tiba seperti mengepung kegelapan. Mendung menyerkup alam.

“Birah nak buat apa?” Zaili terhenti langkah dan memandang adiknya. Hilang muka comel dan imej gadis gedik bila Sabirah sudah mula menjeling dengan kening terangkat.

“Alah, buat tak reti aje pada dia orang tu! Kita temberang sikit dengan konon-konon segala macam survey, depa tu apa tahu! Mesti terkunci mulut. Orang sekarang ni, kalau kita pukul canang sikit, tunjukkan diri hebat, ramai yang tutup mulut! Yang penting pandai promote diri sendiri!” Zaili macam biasa cara berfikir sedikit menyimpang dengan Sabirah yang lebih emosi. Zaili lebih membayangkan kehebatan diri. Biarlah ada yang mengutuk dirinya macam tong drum. Peduli apa!

“Nantilah... dia tak kenal kita anak siapa! Memang nak kena ajar jer orang macam tu.... Tunggulah bila novel dia keluar. Kita kasi mandom novel dia! Bila terlingkup terus orang tak nampak iklan dia tak kiralah kat web ke, kat fb ke... kat blog ke. Nantilah tunggu Mahyun Kampung Bukit Bening hantar langau pada dia! Dengan muka-muka tiga ekor betina tu orang tak lalu pandang. Nampak lebam hitam macam orang mati!”

Lancar sungguh sumpah dendam Sabirah. Jantung Zaili berdetak. Biar betul adik aku ni?

“Sungguh ke ni?”
“Apa tak sungguhnya! Nak kena ajar betina perasan bagus tu!”
“Birah nak buat?”

“Alah, Zaili ni slow lah! Takkan nak cakap kuat-kuat kat sini!”
“Kita taruk sama dia abu mayat dari kuil. Mintak mak buat! Biar bertempek muka tu lebam hitam! Hahah biar orang nak beli buku dia pun, tengok nama... tengok judul pada buku pun rasa gelap aje hati! Baru dia tahu langit tinggi rendah!”

Hilang gaya gadis birah, lenyap gaya gedik, Sabirah sudah tenggelam dalam pusaran lumpur busuk lagi hanyir. Yang busuk dan hanyir itulah dendam kesumatnya pada Nurul Masmin, Ezra dan Che Wanie.

Langit bagai terkelar dalam jeritan guruh yang tiba-tiba menyergah. Hati kufur Sabirah semakin tidak boleh dijinakkan. Setiap denyut jantung hanya mengenangkan tiga musuh jiwanya. Jiwa meronta mahu terbang mendapatkan emak. Dia tahu wanita yang bernama Mahyun itu akan sanggup berbuat apa saja untuk membantunya. Arggg... tak sabarnya menunggu cuti!

ShareThis