Wednesday, February 18, 2015

Teaser 3 - Izinkan Aku Jadi Sayapmu

TEASER - IZINKAN AKU JADI SAYAPMU
Petikan novel bersiri Harian Metro, Setiap Selasa:))

 cerita suka-suka mak che bunga:))

+++++++++++++++




Dengan lafaz Bismillah berkali-kali, Sofea memandu keluar kereta antik tua abahnya, Fiat G 124 T Special. Kereta putih bentuk kekotak yang tiada pendingin hawa, menambah sengsara bila cara pemanduannya manual.Clutch yang agak tinggi dan berat, cukup untuk memerah tenaga gadis itu di awal pagi.

Ternampak saja papan tanda Menara Rumah Manis, Sofea sedikit lega. Terasa bongkah batu yang terhempap di kepala hilang. Parkir! Parkir! Mahu parking mana kereta kotak mancis ni?

Matanya meliar mencari tanda arah kawasan parkir. Ke bawah. Parking kereta di aras bawah. Sofea tetiba berasa tidak sedap hati. Dia memandu perlahan keretanya. Mak!! Abah!!! Parking spiral! Kaki semakin sejuk, terasa kebas sampai ke betis. Tangan semakin menggigil. Berkali-kali Fiat kecil itu mengaum dan tersengguk-sengguk apabila direndahkan gear.

“Kak oiii!! Lesen beli apa?” Tiba-tiba satu suara garau menyergah dari tingkap cermin sebelah pemandu.

Kereta yang sudah terbatuk-batuk terus termati enjin. Tatkala itu jantung bagai terpelanting ke tumit. Sofea berasa semakin tidak keruan. Mati aku! Mati aku!

“Kak.... tengok tu!” Lelaki itu mengetuk cermin keretanya. Lelaki yang masih memakai helmet yang menutup penuh muka sudah bercekak pinggang.

“Err... ada apa ya?” Dengan seribu kepayahan dan rasa senak perut, Sofea berhenti ke tepi. Namun dalam keadaan perut terasa bagai dikisar mesin cili, kereta kekotak itu tetap tidak senonoh diparkirkan. Tergedang di tengah jalan.

“Cik kak... tak perasan ke, tersagat dinding belakang kereta.”
“Errr... saya .. saya tak langgar sesiapa kan.”

“Memanglah kereta kebal ni tak langgar sesiapa, tapi bangunan ni... tembok ni.. milik unit properti kami. Bukan tembok rumah cik kak. Kalau tembok rumah cik kak, cik kak nak sondol dengan kereta kebal ni kami tak kisah!”

Dengan cermin helmet full face itu dibuka sedikit, kata-kata lelaki itu menangkap juga ke pendengaran Sofea. Pedih. Berdesing cuping. Terasa luka gegendang. Macam dirinya pula disagat lelaki itu. Sofea semakin terketar-ketar.

“Errr... macam mana ya?”
“Awak ni staf unit mana? Tak pernah nampak pun. Kereta kebal ni pun tak ada pelekat untuk staf.” Satu lagi pertanyaan yang membuat Sofea terasa mahu rebah di situ.

“Saya.. saya baru nak daftar hari ni.”

“Staf baru? Unit mana? Mana surat?” Lelaki yang agak tinggi itu bertanya dan meminta sesuatu yang tiada pada Sofea. Mak!! Abah!! Macam mana??? Ada jeritan yang maha kuat dalam hati gadis itu. Peluh dingin sudah kuyup membasahi belakang badannya.
“Surat... surat... errr... saya.. saya tak ada surat.”
“Tak ada surat. Eh, ingat ni main pondok-pondok ke nak masuk kerja sini. Tak ada surat? Bangla datang Malaysia pun pakai dokumen tau!”

bersambung....

No comments:

ShareThis