Sunday, December 30, 2018

Mengkritik Usah Dengan Emosi

MACAM biasa, selesai deadline, saya suka buat pembersihan ruang kerja. Menyusun semula segala bahan bacaan, segala majalah atau apa saja yang menggunung atas meja. Ada yang terselit entah di bawah rak, di dalam laci. Kemas punya kemas, terjumpa keratan akhbar Berita Harian, Ruangan Sastera dan Budaya, 27 Februari tahun 1992. Judul rencana, "Reaksi Terhadap Forum Pena' Itu saya yang tulis sebagai balasan tulisan Almarhum Wak Ismas Saring, "Hasil Sastera Remaja Membimbangkan."

Saya ingat lagi masa tu saya tahun satu di UM. Darah muda kan... cepat aje emosi bila orang mempertikaikan sastera remaja. Cepat aje rasa nak menjawab. Acah-acah rasa diri dalam kelompok penulis remaja yang menulis sastera remaja. Jadi kenalah angkat sepanduk... kibarkan panji-panji!
Saya tak sangka pulak, tulisan saya tu bersahut. Tuan Ashaari Muhammad balas tulisan saya. Maka terpampanglah Ashaari Jawab Lily Haslina.

Huwaaaa... masa tu kan... rasa macam haishhh... nak berjuanglah sangat! Pantang orang mengata sastera remaja ni kosong, sastera remaja ni hampas, sastera remaja ni macam anak seluang mabuk di lautan... cepat aje rasa melenting., Hahahaha boleh bikin angin satu badan. Boleh terketar jari, nak marah, nak menjawab.

Selepas rentetan diri rasa glamor kejap nama terpampang gitu, saya sebetulnya resah gelisah kalau ke DBP atau ke mana-mana majlis sastera. Seriau rasa kalau terserempak dengan Wak Ismas Saring sama Tuan Ashaari. Macam diduga, dunia penulisan Malaya ni kecil kan... pertemuan tak sengaja tu tak boleh nak dielak.

Saya gemuruh tapi sesungguhnya otai-otai zaman saya ni sangat berhemah. Sangat santun, tertib dan mesra malah lembut bertanya khabar saya dan geng-geng penulis lain yang muda belia. Kami yang terpinga-pinga malu. Garang tegas mereka pada tulisan, tapi masing-masing jelas sangat meraikan kami anak-anak muda waktu itu. Sesekali dalam gelak, gurau pasti ada terselit pesanan mereka, "Tulislah apa saja, karya cinta pop atau sastera berat... pastikan ada mesej, ada isi dan dapat memberi kesan pada masyarakat."

Hari ini, 30 Disember 2018, apabila saya terjumpa semula keratan akhbar ini, saya senyum sinis pada diri sendiri. Huh, dulu kemain lagi menjawab-jawab sampai ke surat khabar kalau ada orang mencuit sebarang isu hal karya remaja. Dan, saya patut bersyukur sebab otai-otai dahulu tak labelkan saya ni kuat menjawab, cabul, biadap atau kurang ajar. Mungkin sebab bila menulis di akhbar, susunan ayat tu jadi tertib kan!

Dahulu, dunia penulisan biar sesekali marak apinya di dada akhbar atau majalah, tetapi kami tetap saling menghormati apabila bertentang mata. Jarang berpuak, jarang nak tunjukkan sikap keakuan, aku lebih bagus, kau budak mentah jadi shut up dan diam... atau kau orang tua, karya dah tak relevan, pi main jauh-jauh.... hahahaha... tak pernah ada rasa begitu. Mungkin sebab itu juga dahulu, hubungan mentor mentee sangat akrab. Arwah Dr Othman Puteh, arwah Dr Mohd Sahlan, arwah Prof Abdullah Tahir, arwah Razak Mamat, arwah Tan Sri A Samad Ismail.... ramai lagi kalau saya nak sebut... sentiasa menjadi pembakar semangat kami.


Orang lama mungkin sesekali berbunyi mengkritik kami. Err tipu kalau kata tak sentap. Sesekali berderau jugak darah, rasa macam aigoooo.... eh, aku tulis dah cukup effort kot. Tapi mungkin sebab waktu tu kami sentiasa pegang, pada adab dan tertib. Kami senyum dan kami menerima dengan senang hati segala komen otai. Dan terpaksa diakui di sini, otai-otai dulu melayan junior dengan penuh kasih sayang. Terserlah jujur dan telus. Tiada langsung sifat angkuh atau rasa diri yang terbaik. Akulah ratu atau akulah maharaja untuk sekian sekian genre. Oh, perlu saya sebut di sini... cara orang lama, amat pantang mengangkat dan memuji karya sendiri. Pujian atau cercaan lahir dari tangan pembaca. Penulis menyerahkan pada pembaca menjadi juri dan hakim. Untuk itu juga kami dengan rasa rendah diri, reda terima kritikan. Dengan semangat mahu baiki karya. Bukan dengan perasaan tersinggung, kemudian menikam belakang.


Senario gini rasanya macam dah semakin pupus saya perhatikan. Yang berasa diri hebat berilmu dengan kononnya aliran pemikiran yang tinggi, kekadang angkuh mengkritik. Sayang tak boleh terima teguran. Rasa pendapatnya saja yang terbaik. Akhirnya mudah saja berbalah di ruangan komen kalau ditegur secara terbuka. Yang muda belia pula, cepat sentap, cepat saja mencarut, mencemuh, menyindir kalau diri terasa ditegur. Itu belum lagi bab angkat senjata, hambat kuda perang, kibar panji dan serang balas melalui kempen-kempen di PM facebook.

Bila dah tersentap, tulisan di fb pun nadanya sangat melahar, berbahasa kesat, kekadang mencarut di media sosial. Tulisan kasar di khalayak sebenarnya bertentangan dengan sifat fitrah seorang penulis., Bukan ke penulis itu seharusnya insan yang kaya budaya, tertib dan penyambung kelangsungan tamadun bangsanya... ni kalau menulis di media sosial, asyik bernada maki hamun, penuh angkuh, di mana budaya diri seorang penulis?

Maaf kalau catatan panjang ini menggores hati sesiapa... sungguh saya spontan terpanggil menulis ini berdasarkan pengalaman sendiri. Saya gelak-gelak tadi berkongsi kisah ini pada Rose Harissa. Saya kata pada Rose, "Wah, aku rasa aku faham sangat adik-adik yang kuat melenting ni, Haha, sebab aku pun dulu macam.. tapi kan rose... hahhaa

Tapi kan.... sebetulnya bila artikel aku tu dibalas Ashaari, waktu tu sumpah aku ada dua rasa.... Pertama, rasa matilah aku!!! Takut weiii,... budak mentah hijau berhingus zaman tu, yang tak ada karya hebat, tetiba nak tunjuk jaguh, menyalak dekat surat khabar.... Kedua, hahahaha sebab terlalu takut, aku tak baca habis, artikel Ashaari Jawab Lily Haslina tu... Tiap kali baca, aku rasa senak perut! Ngilu dan cemas. Baru hari ni, aku baca dengan tenang dan sampai habis."

Kau BONGEK kak lily! Hahaha itu reaksi Rose.

Berbalik pada isu ni, ya.. ya... saya faham kalau dalam dunia penulisan ni ada riak, ada kocak, ada gelombang tsunaminya. Tapi bagaimana kita menangani, macam mana kita berbunyi dan apa ayat yang kita lontarkan untuk menzahirkan pendapat kita atau kritikan kita, itu sebetulnya amat penting.
Bayangkanlah.. kot saya memaki hamun, mencarut-carut zaman pada tahun 1992 ni,... agaknya dah tua dengan sebelah kaki dah di alam akhirat ni, mesti saya menyesal tak sudah... mesti malu dengan anak menantu.... mesti segan esok lusa kalau anak cucu baca... Hish, nenek lily ni teruknya dia tulis... eh, nenek lily ni kaki gaduh ya...

Tak best bukan.....






REVIEW MAHARANI

Terima kasih Norasikin untuk review ini. Hahaaa Norasikin cekap mengesan sesuatu pada Maharani. Ya, kak lily agak stress sebetulnya untuk membuat ending Maharani. Terima kasih untuk komen yang membina ini. Saat pembaca sudi beli, sudi luangkan masa membaca kemudian berkongsi isi hati selepas tamat pembacaan, itu satu kepuasan untuk setiap penulis. Dan maaf kalau Maharani terlalu banyak adegan yang agak bold, yang agak jengkel... macam Norasikin kata, kak lily agak berani waktu menulis Maharani. Semoga Norasikin terus sudi memberi sokongan pada karya tempatan.







Wednesday, May 30, 2018

Maharani - Karyaseni


Terima kasih buat semua sahabat yang dah beli Maharani.
Maaf kalau ada kurang pada karya kecil saya tu.
Buat yang dah baca dan share komen dengan saya,
 terima kasih sebanyak bintang di langit 
dari saya.
#maharani

#karyaseni
#novelkaryaseni







Aku tak jangka kelewatan Cahya buat ramai yang ada di situ mula cakap berbisik-bisik. Jurusolek, Rissa sudah merengsa menunggu.
            “Bila ni kak oii... saya dah terpacak dekat sini sejak selepas subuh tadi. Letihlah wei!”
            “Aku dah call tak berjawab.” Muncung Kak Zareeny semakin panjang.
            “Ni kalau hujan, sayanglah... semua orang tadi dapat ambil gambar outdoor. Jenuhlah kitaorang nak edit gambar dia seorang diri.” Ikram jurugambar kesayangan Kak Zareeny sudah mula berbunyi.
              “Dah pukul 12 dah ni... Cuba call balik! Try whatsapp. Lagi berapa lama nak kena tunggu?” Rissa yang sudah hilang sabar, mula berkemas-kemas. Beg mekapnya yang bertingkat-tingkat itu mula disusun rapi. Isyarat kaunter mekap bakal tutup kedai.
              “Baru meletop, dah buat perangai. Aku whatsapp pun tak jawab. Si Ney, pembantu dia ni pun aku rasa dah meninggal agaknya!” Kak Zareeny semakin tajam melaser.
              “Kalau aku bising, aku tulis perangai sebenar, nanti tuduh kita nak bunuh kerjaya dia! Menyusahkan oranglah!” Sambung Kak Zareeny sambil tangannya mendail semula nombor Lisa.
              “Entah-entah dia tak settle lagi kot masalah dengan family Alriz?” Ayat Rissa itu membuat semua yang ada tertoleh.
              “Hah? Kenapa dengan family Alriz?” Sakinah sama sibuk menjadi ‘kak nam’. Aku sempat menjeling Sakinah.
              “Takkan taktau... Dengar cerita, bapa Alriz humban beg Cahya ke luar tingkap!” Ikram menyambung gosip dengan gelak-gelak kecil. Kali ini ramai yang terdiam. Kak Zareeny sama berkerut kening.
              “Makna betullah ya, gosip beg kena baling tu?” Soal Kak Zareeny betul-betul ingin tahu.
              “Hah, tu akak kena tanya empunya badan nanti. Saya takut nak cakap banyak. Hahah nanti tak fasal-fasal see you in court!” Mengekek gelak Rissa sambil menyusun berus-berus mekapnya yang pelbagai saiz.
            “Hahhh? Ni kes belum jadi menantu dah tidur baring rumah bakal mentua ke?” Abang Mail pun sama kepoci



Monday, May 14, 2018

MAHARANI - KARYASENI

 DIDA SANDRA


Menghilangkan rasa sebal dan mendidih hati, aku ke bilik terus capai bathrobe untuk berendam dalam tab mandi. Layan bau jasmine Bvlgari Showe Gel lagi bagus! Tenang sikit fikiran aku. Selesai saja aku mandi dan bersiap, tiba-tiba kedengaran suara Erin menjerit di ruang tamu.
“Oh my! Oh my! Beb, dia buat posting baling ke belakanglah! Gosh! Minah ni drama lah!”
“Hei, Edan punya akaun insta yang rasmi ni haram tak ada update. See... aku bau ikan hamis yang hangit lah!” Mak Uda pula menyampuk. Kelam-kabut aku capai tuala dan bungkus rambut yang masih basah. Bergegas aku keluar bilik. Huh, tak habis gosip lagi diaorang ni!
“Ada apa?” Aku bertanya.
“Kau pergi tengok insta minah tu. Konon lempar ke belakang gitu. Dah berkawan dengan Edan diam-diam.”
Menggagau aku mencapai telefon aku. Pantas aku klik insta dan intai insta Cahya.
“Oh! Pleaselah.... aku rasa nak muntah!” Spontan aku buat muka loya.
“Kembang tekak aku baca caption dia. Eh, kata belajar mengaji, siap ada gambar dari jauh. Siap bervideo gitu. Siapa tukang ambik gambar. Ni mesti si Shuk atau Kay. Buat gaya perempuan suci pakai tudung. Aigoo.... Habis tu yang si Edan ni makna dah selalulah datang rumah dia.” Aku bebel dengan penuh rasa geram.
“Jeng jeng jeng... edisi siasat dan menjoyah kembali. Aku nak tengok ada lapan gambar dia share dekat sini. Banyak yang gambar dia gambar berdua dengan Edan. Euww, tak dosa ke berdua-duaan tu?”Pantas Mak Uda memandang gambar Cahya dengan kanta pembesarnya.
“Minah ni memang bimbo tau! Nak heboh dekat semua orang ke yang dia tu memang selalu duduk berdua dengan Edan. Kot ya pun nak belajar, tak boleh ke pergi kelas ke, pergi masjid ke... panggil ustazah ke? Haish, kalau dah birah tu memang membirah aje perangai tu! Menggelenyar sungguh!” Lisa menggeleng sambil dia sendiri menengok gambar Cahya di insta gadis itu.
“Kalau tengok ni memang insta si Edan, senyap sunyi. Dah ada sosek-sosek ni... tanya kenapa pihak Abang Mail dengan Sakinah yang jaga Edan tak ada nak beri komen.” Ujar Erin pula.
“Tak payah sosek-sosek, dah ada berita depa ni dekat portal tadi. Cuba contact Abang Mail dengan Sakinah, semua dah tutup telefon. Si Edan tengah berjimba, lagilah tak dapat dihubungi.” Balas Taty pula yang kemudian mengambil giliran untuk ke kamar mandi.
“Trying so hard sangatlah si Cahya. Nampak sangat ganti boyfriend macam beli baju bundle. Nak menayang pada Alriz kot... nak buat macam mana kan. Dia mesti tak dapat nak let go cerita lama dia. Lepas tu bila nak raih undi, raih simpati, acah-acah belanja gambar yang sweet-sweet tu. Yang aku tak tahan sangat minah Cahya ni memang teror lah spin cerita. Ikut sesedap rasa aje dia ubah plot kisah benar hidup dia.”
Lisa yang selama ini tampak seperti orang berkecuali, tak aku sangka, memberi komen yang cukup membahagiakan aku. Terasa macam nak peluk si Lisa tadi. Payah selalunya Lisa nak komen macam-macam bab gosip ni.
“Dia spin cerita apa?” Erin beriya ingin tahu.
“Alah, bukan ke heboh cerita, konon dia putus dengan Alriz sebab bapak si Alriz nak tackle dia jugak. Gelilah wei... tinggi imaginasi perempuan ni! Aku takut si Edan ni kena game aje dengan minah yang suka buat muka sesuci embun pagi ni. Entahlah, aku rasa macam tak boleh brain lah dia dengan Edan. Beb, dia dah biasa hidup mewah kot. Edan tu budak baru nak buat nama. Benda macam ni bermusim kot. Masa tengah hot, kencanglah... nanti esok lusa kalau roda hidup tu dah ke bawah, nak ke mana.”
Terlunga aku mendengar kata-kata Lisa. Banyak benda sebetulnya Lisa tahu tapi Lisa tetap Lisa. Jarang-jarang sekali dia mahu masuk campur hal aku berkelahi dengan Cahya.
“Huh, tengok gambar-gambar yang minah ni throwback pun macam kita boleh agaklah. Aku rasa  si Edan ni kena frame. Biasalah kalau mamat ni budak baikkan. Tak pernah jatuh cinta. Itu yang tangkap lentok.  Agaknya Cahya buatlah cerita syahdu lepas kena humban dengan Alriz. Lepas tu bapak dia meninggal. Balik dari kubur bapak, selongkarlah kot segala tudung yang terperuk dalam almari. Cari al-Quran, lepas tu pujuk si Edan ajar mengaji. Aigooo... macam aku boleh baca aje skrip minah ni! Tak classy langsunglah!”
“Just wait and see lah kot. Haha... apa-apapun, jangan lupa lusa beb!  Singapore here we come! Lusa okay. Mari kita kasi gegar sama dia.” Mak Uda mengenyit mata pada aku. Pantas aku meletakkan jari telunjuk di bibr. Jangan heboh-heboh! Jangan bising-bising! Kecoh nanti.
““Hold your head high, and your middle finger higher. Let her know, what she’s missing.”  Berdekah-dekah gelak Erin. Aku pantas mengingatkan.



Tuesday, May 8, 2018

DIRGAHAYU SEMUA EDITOR SAYA

Manuskrip takkan jadi sebuah buku kalau tiada editor yang mengedit dan menyelenggara.
Tak mungkin saya mampu siapkan Maharani dan Pulang, dalam masa singkat kalau tiada editor yang menghambat di belakang saya.
Tak tahu mengapa, sepanjang saya menyertai siri promosi Pulang, saya asyik terimbas kisah sebelum jadinya novel itu.

Saya diraikan, karya diraikan... 
Tapi editor di sebalik karya kekal low profile.
Saya sangat terharu

Teringat-ingat sehari selepas saya serahkan manuskrip penuh Maharani, saya diminta ke pejabat Primeworks untuk menonton Pulang.
“Kak lily, kita ada kurang 30 hari. Kak lily boleh siapkan ke?”
Sumpah sesak nafas saya. Baru nak bergumbira sebab dah selesai Maharani.
“Kak lily hantar tiap hari melalui emel. Saya semak. Jadi kita tak buang masa.”
Saya panik sebab tarikh pelancaran 27 hb April dah ada.
“Kalau lambat memang tak sempat print kak. Tak sempat untuk majlis nanti.”

Maka kepala mula mencongak dan buat matematik sikit. Ada 27 hari, mahu taip 80 ribu patah perkataan. Dibahagikan, sehari saya kena taip 2,962 patah perkataan. Ini makna tak boleh culas sehari, tak boleh ada cuti etc. Allahu… ditakdirkan Tuhan saya tergedang demam seminggu jugak selepas surgeri geraham bongsu. Terhenti tiga hari, itu tak termasuk inche suami sibuk kutip durian di dusun abahnya. Rugi lagi tiga hari. Bak kata Rose Harissa, “Kau jangan kira kak lily words count. Mau meroyan nanti.”
Memang meroyan sebab bila hari makin suntuk, saya kira-kira balik, sehari ada yang saya kena taip sampai 4,000 patah perkataan.
Tapi stress tu terasa lega bila Intan tetap bertabah, tanya khabar, kirim whatsapp hari-hari… jadi tukang sorak beri semangat pada saya.

Selesai 4 April, saya rasa nak nangis. Saya siang malam terfikir, kalau saya gagal siapkan manuskrip, saya rosakkan majlis Primeworks. Masa ni orang yang pertama saya nak dakap tentunya Intan Safirah, editor saya.

Alhamdulillah, Intan masih muda, tapi boleh terima cara kerja saya yang kadangkala slow dan malas. Harus diketuk dan dihambat baru siap.

Dan ya ada waktu Intan kata dia terlalu segan dengan saya. Sewaktu majlis Pulang, Intan kata dia tak minta pun tanda tangan Remy Ishak. Pada saya pun Cuma ada dua naskhah saja yang sempat saya minta Remy sign. Kasihan tengok Remy, penat dia hari tu. Cukuplah dua copies. Saya simpan satu dan satu lagi saya hadiahkan pada Intan.

Itu cerita Intan yang baru jugak saya kenal. 

Saya menulis dah lama. Ramai editor saya kenal dan sesungguhnya ramai antara mereka selesa di balik tabir. Antaranya Anida Daud yang saya anggap ada tangan magis. Saya kenal Anida cukup lama. Anida edit karya saya waktu di CESB. Dan, di tangan Anida, banyak karya besar dan penulis hebat lahir. Kalau ada yang bertanya saya, minta rekomen editor yang bagus, memang saya sebut nama Anida Daud

Seorang lagi editor lama saya, yang baru kini saya temui semula di fb, Soo Ming. Masa itu saya masih pelajar UM. Soo Ming komen karya saya untuk siri novella romantis Berita Publishing. Dia tolak karya saya dengan komen yang tak terfikir dek saya. Saya pulun kemudiannya dan siapkan yang baru. Lahir Hirisan Cinta masa tu. Alhamdulillah, penerimaan Hirisan Cinta masa tu di luar jangkaan saya. Kemudian saya repair manuskrip yang ditolak Soo Ming berdasarkan komen editor Berita Publishing ini. Saya hantar pada CESB. Anida yang edit dan lahir Mencari Diri serta sempat beberapa kali reprint.

Sewaktu kenal Kak Wan Rohana, editor saya di Alaf 21, saya jadi terharu sebab kak wan banyak kali pesan pada saya. Lily kena kekalkan cara lily menulis. Itu trademark lily. Buatlah apa jua cerita tapi pastikan karya lily tetap jaga bahasanya.

Beralih ke PTS, saya kenal editor seperti Asma Fadilah Habib dan Adilah yang masih muda tapi penuh energi. Dengan Asma saya seronok sebab Asma suka explore cover yang cantik-cantik. Matanya tajam dalam pemilihan warna dan design. Dengan Adilah, hahaha saya dan Rose Harissa aah-acah jadi kakak yang cengih sebab Adilah sangat ‘adik’ kepada kami. Seronok pulak kami usik Nor Adilah masa tu.
Adilah selalu aje macam terlalu tertib dan santun dengan kami… sampai katanya kalau mengedit letak manual editor di sebelahnya untuk rujukan. Tapi kami sama-sama seronok sebab kami memang dilabelkan waktu itu sebagai penulis kuih tempah. Kami menulis mengikut request penerbit/editor. Kami jugak jadi guinea pig bila ada projek baru macam menulis karya k-pop. Tapi ya, semua itu tentunya memberi makna kami menulis dan bekerja closely bersama editor.

Nak share sikit pengalaman masa kerja….
Editor/pengarang orang paling besar dan penting dalam penerbitan kami.
Gate keeper apa jua hasil tulisan. Dan cerewetnya cara kerja dahulu, memang luar biasa bagi saya. Baca pruf sampai 15 kali ada waktunya. Bayangkan satu halaman dicetak 15 kali, dibaca 15 kali dan ditanda serta diedit sampai 15 kali. Orang kata sampai muntah darah nak baca benda yang sama berkali-kali.

Bos kami pantang bab-bab typo error. Masak kami kena basuh dalam meeting kalau ada typo yang dianggap silly mistake.

Gerak kerjanya gini… dari penulis, hantar ke editor… lepas editor semak, dapat ke penulis semula. Lepas tu ke lay-out. Print dummy page, dibaca oleh sub-editor, kemudian disemak balik oleh penolong pengarang sebelum ditengok balik oleh editor/pengarang. Kemudian penulis tengok semula. Semua itu makna ada tanda merah. Dari segi gap spacing, dari aspek ejaan, gambar kabur atau tak, corpping senonoh atau tak dan macam-macam lagi. Kalau tak banyak silap proses ni mungkin 7-8 kali aje… kalau tak mungkin sampai 15 kali. Makna teks benar-benar bersih. Hasilnya?

Ya, mungkin sebab itu dulu rencana kami selalu saja menang award kebangsaan. Perit sebetulnya proses itu. Sangat teliti dan cerewet. Tapi itulah… pengalaman begini banyak mengajar saya.

Saya sendiri selalu menolak kalau orang mahu ‘hire’ saya untuk edit karya. Biar saya dah berpuluh tahun dalam dunia penerbitan. Clarins ke… agensi iklan lain ke, mintak edit, saya tolak. Biar saya aje tulis iklannya. Edit bagi orang lain. Kalau mintak tolong… jangan bayar saya. Saya boleh buat semak pantas melalui whatsapp atau pdf yang dikirim. Tapi again… itu tolong aje. Bukan buat kerja editor.

Saya tak yakin. Mata saya selalu silap. Kekadang saya baca laju… perkataan keluar dulu dalam kepala, tapi perkataan itu tak ada dalam teks…. Sudahnya saya jadi terlepas pandang. Kalau sekadar tukang baca, komen suka-suka, beri pendapat, saya okay… untuk diminta mengedit… hahah saya jawab, biarlah saya kekal dengan kerja menulis saja.

Dulu Rose Harissa saya nak upah semak teks tebal saya Cinta Hilang Kata. Dia sendiri angkat bendara putih. Plot saya pulak bersimpang-siur. Saya serahkan pada Anida Daud. Serius saya dan Rose kagum dengan ketelitian Anida. Luar biasa tajam mata Anida. Bersih kemas manuskrip itu di tangan Anida.

Itulah… serba-sikit kisah saya dengan editor-editor saya.
Editor-editor yang sangat saya hormati.
Saya sanjungi.
Tak ada editor, tak adalah karya penulis.
Saya sendiri, kalau menulis, ada waktu ayat laju di kepala, tercicir pulak bila menaipnya.
Qudos, tabik hormat buat semua editor.










Monday, April 23, 2018

PULANG THE MOVIE - NOVEL PULANG - KARYASENI


Kita belanja sikit ya teaser novel PULANG. Boleh bayangkan Remy Ishak jadi Othman dan Puteri Aishah yang jadi Che Thom
🚣 Novel berjudul PULANG, yang diadaptasi daripada filem Pulang yang bakal ditayangkan di pawagam tidak lama lagi.
🚣 Novel dan Filem yang diinspirasikan daripada kisah benar. Filem Lakonan hebat Remy Ishak dan Puteri Aiishah
CC: Dato Muzri Penerbitan Karyaseni Makcik Karyaseni
**********************************
Othman
Limau purut lebat dipangkal,
Sayang selasih bertemu uratnya;
Laut ribut dapat kutangkal,
Hati kasih apa jampinya.

Aku menggelisah sejak seminggu ini. Entah tak tahu kenapa. Serba tak kena dibuatnya. Karim sudah dua tiga kali menegur. Mahu angkat bakul ikan, aku pergi angkat pendayung sampan. Mahu tolak sampan, aku pergi pikul jala ikan! Apa nak jadi aku pun tak tahu.
“Kau ni demam ke sakit buatan orang?” Karim sudah mula mengejek aku.
“Mengarut.”
“Aku tengok kau ni, lain macam sangat. Pandang orang pun mata kau macam boleh tembus ke jantung. Apa yang tak kena ni?”
“Tak ada apalah.”

Aku tak kuasa untuk mengadu pada Karim. Lagi kecoh jadinya nanti. Tapi memang aku jadi tak tenteram. Nak ke laut pun macam malas. Nak menjual ikan pun muka aku macam tak bawa rezeki aje aku rasa.
“Dia ni sakit nak lain, Karim!” Taib pula menyampuk. Aku jenuh menyabarkan diri. Tak terasa mahu bergurau-senda dengan kawan-kawan.
“Sakit apa?”

“Ubat dia ada pada Che Thom!” Laju saja Taib berlawak. Suaranya yang kuat menyebabkan aku pantas menoleh ke kiri dan ke kanan. Segan pulak kalau didengar orang.
“Oh! Ni penyakit yang dicari! Hah, itulah… siapa suruh tiap hari kau sedekah ikan pada Che Thom. Tak fasal-fasal kau dah minta bayar dengan hati!” Giliran Karim pula menyampuk. Aku meneguk liur menahan diri. Tak mampu untuk berkata apa-apa.
“Tapi kan Man…. Kau dah fikir habis-habis? Dah fikir masak-masak?” Karim jujur bertanya. Aku tergamam.
“Fikir apa?”
“Yalah, nak bernikah ni maknanya kau nak jaga anak dara orang. Nak kena bagi makan anak dara orang. Besar tanggungjawab, Man.” Lembut Karim mengingatkan aku.
“Betul tu Man. Kami bukannya apa. Tahulah, kita ni hidup harapkan laut aje jadi sumber rezeki. Si Thom tu aku rasa mesti jadi waris kuat arwah Che Putih. Berapalah hantarannya nanti!” Taib memberi pendapat.
Peraasan aku yang terawang-awang tadi terus jadi berpijak di bumi nyata. Aku tak pernah pula terfikir sampai ke situ.
“Kau fikir dulu, Man. Runding dan tanya Thom molek-molek. Manalah tahu… tiba-tiba dia mintak kau hantaran serba berdiri. Nak kalung, nak cincin, haha…. Manalah kau nak cari duit. Nanti keluarga jugak yang malu kalau kau terus terjah meminang si Che Thom ni.” Aku terangguk-angguk mendengar cadangan Karim. Memang ada betulnya kata-kata sahabat aku ini.

“Nenek Putih dah tak ada, siapa ya waris Thom yang kau nak jumpa nanti? Taib bertanya.
“Kata Salmah, ibu saudaranya ada seorang lagi di Serkam Darat. Saudara-mara lain ada di Temerloh, Pahang.”
“Wah! Kau dah siasat habis ya, Man.”
Aku tersengih mendengar usikan Karim.

“Dari Melaka ke negeri Pahang, Singgah di Johor beli berangan. Kami ucap selamatlah datang, Othman yang kurang dicaci jangan! Cewahh!”
Taib tiba-tiba berpantun menyakat aku. Semua ketawa terbahak-bahak. Aku tergelak tapi dalam hati tetap resah dan berdebar.
Aku tahu segala-galanya terletak pada diri aku sendiri. Boleh ke? Patut ke aku berterus-terang? Aku tahu resah aku ni hanya Che Thom saja yang boleh bagi ubat.
“Kau kalau nak kan Che Thom tu baik terus-terang..” Satu petang sewaktu aku menyirat jala, Karim menebak hati aku. Terhenti kejap aku yang sedang tekun menghadap jala. Aku mendongak memandang Karim.

“Kau tak payah nak buat muka ikan tercungap dekat daratlah, Man! Sekilas ikan di laut tu, aku tahu jantan betina. Tak payah nak buat terkejut bila aku cakap ni.” Sindir Karim.
“Mana ada. Aku tak ada apalah!”
“Kau ingat aku ni budak baru bersunat ke kau nak tipu aku?”
Aku diam buat-buat tak dengar.
“Kau tu dah kenapa asyik lalu-lalang dekat rumah arwah Che Puteh tu sehari sampai tujuh lapan kali. Kau ingat aku tak nampak? Kau ingat orang lain tak perasan?”
Dush! Rasa macam muka ni kena pelempang Bugis tok nenek aku! Berderau darah aku.
“Kau tu anak jantan. Kalau laut pun kau boleh jinakkan, takkan Che Thom yang kau berkenan tu, kau nak pandang aje. Esok lusa menyesal. Nanti kena sambar dengan burung helang, baru kau tahu!” Bersahaja sungguh Karim memberi peringatan. Aku dua kali tersentak mendengarnya. Kering darah di muka, sejuk telapak kaki aku. Kalau selama ini berendam dalam laut sejam dua pun aku tahan. Tapi kata-kata Karim ini buat aku terasa bagai mahu lemas.

“Entahlah. Aku ni siapa pun, Karim,” Aku akhirnya beralah. Itu saja yang mampu aku ungkapkan pada Karim.

“Kita ni ada adat, ada adab. Kalau dah suka, buat cara suka. Sampai bila kau asyik nak curi-curi intai bumbung rumah nenek dia. Esok lusa, mesti dia balik ke rumah mak bapak dia.”

Bulat mata aku merenung Karim. Huh, mulut Karim ni… Kalau sesekali cakap, memang buat aku resah gelisah tujuh hari tujuh malam!

“Kita ni orang tak berduit.” Aku potong kata-kata Karim. Aku harap dia faham.
“Tapi kita ni pelaut. Kita berani berkawan dengan angin dan gelombang lautan. Kalau laut kau boleh jinakkan, inikan pulak perempuan yang kau sayang!” Terkedu aku mendengar kata-kata Karim.
Aku semakin bingun dibuatnya. Kalau cinta itu wang, berapa pula sebenarnya mahar yang harus aku bayar untuk membeli cinta Che Thom? Tapi mendengar kata-kata Karim, aku kembali bersemangat.
Sahabat aku itu kemudiannya berlalu pergi, meninggalkan aku yang masih berfikir-fikir. Aku tekad. Esoknya, selepas selesai segala urusan jualan ikan, aku terus menuju ke rumah arwah Che Puteh. Tuhan saja yang tahu betapa berdebarnya dada ini. Wajah aku mungkin tampak seperti tiada perasaan, tapi aku amat gementar sebetulnya.

Sekejap aku fikir begini, sekejap aku fikir begitu.
Sesaat aku rasa, aku perlu berterus-terang. Tapi tak lama kemudian, aku jadi takut. Aku bimbang diri ini ditolak mentah-mentah oleh Che Thom. Di mana aku mahu letak muka kalau itu yang berlaku. Fikiran aku bersimpang-siur, menyusun ayat yang terbaik untuk Che Thom.

Macam mana kalau dia dah ada yang punya? Entah-entah di Temerloh dia sudah ada buah hati pengarang jantung. 

Huh! Tegang urat tengkuk aku memikirkan semua ini.
Redah saja! Cakap saja apa yang terlintas di hati, Othman! Batin aku menjerit. Aku tekad. Aku mesti tanya sendiri. Pertama, Che Thom ke mana lepas ni? Che Thom balik kampung ke nanti? Kalau boleh janganlah dulu! Che Thom lama lagi ke di sini… Saya… err… saya…." Sedang aku terkumat-kamit di tepi tangga rumah, tiba-tiba aku disergah. 

“Ada apa Othman?”

Allahu akbar! Aku memang terkejut. Aku dongak memandang atas, tampak Che Thom sedang melangkah turun tangga. Huh! Kalau tak kerana hajat menggunung di dada, aku memang malu dan terus angkat kaki.
“Berapa lama lagi Che Thom di sini?” Tergagap-gagap aku bertanya. Tapi aku gagahkan juga. Aku campak rasa malu, jauh-jauh di tengah laut sana. Ketika itu seluruh alam terasa bisu. Angin macam hilang tidak berhembus. Laut yang biru, di mata aku bagaikan kelabu. Aku gementar sebetulnya di hadapan Che Thom!

“Sehari dua. Tak ada sebab saya berlama-lama di sini. Tak ada sesiapa lagi.” Suara itu lunak di telinga aku. Tapi maksudnya menambah resah hati aku. Nafas yang panjang aku hela.

“Sebelum Che Thom pergi….” Suara aku terputus di situ. Gadis yang berambut ikal mayang dan bermata bundar ini, merenung aku. Wajahnya berkerut.

Aku melawan perasaan sendiri. Aku mengumpul segenap kekuatan. Aku harus luahkan segala hasrat hati sekarang juga. Kalau Che Thom menolak, aku terima berlapang dada. Setidak-tidaknya aku sudah mencuba!
“Saya tahu… saya tak ada harta, tak ada keluarga. Saya ni orang biasa aje. Hidup saya pun, kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang. Laut aje tempat saya cari rezeki. Tapi saya tak malu nak bermimpi. Saya nak jadikan Che Thom isteri saya.”

Kalau tadi aku rasa terbenam dan lemas di dasar laut, selepas menzahirkan semua hajat, aku lega! Lega sangat!

Thom tertunduk. Wajahnya merona merah jambu. Dia mengetap bibir rapat-rapat.
“Kalau Che Thom terima saya, saya berjanji. Selagi kudrat di badan ada, selagi itu saya berusaha cari kemewahan.” Itu memang ikrar aku seandainya aku dapat melamar Che Thom. Pasir di pantai ini akan aku tukarkan menjadi emas untuknya! Akan aku jadikan karang di lautan itu permata untuk dirinya.
Aku menunggu jawapan Che Thom. Dari lirik matanya yang mencerlang memandang aku, menjadikan aku faham. Memang aku tak tahu malu dan tak sedar diri! Che Thom menolak aku.
“Memang kau tak tahu malu, Othman!” Desis Che Thom membuat aku rasa mahu rebah ketika itu. Aku tertunduk. Wajah terasa kering dan perit. Tekak kesat dan halkum aku jadi turun naik.

Sepanjang hayat aku bergelar lelaki, saat itu sangat melukakan. Keangkuhan aku bagai menggelongsor ke telapak kaki sewaktu mendengar bibir comel itu berkata-kata. Aku terdiam tanpa dapat mencegah.

“Kenapa kau fikir saya lebihkan harta dari hati? Antara harta dengan peribadi, aku menolak harta, Othman.”
Sungguh! Aku terjeda mendengarnya. Aku mendongak memandang Che Thom. Sepasang mata kami bersatu dalam renungan yang sukar dimengerti. Aku mahu tersenyum. Aku mahu menjerit dan melompat bahagia. Tapi aku kawal kerana malu dipandang Che Thom.
“Kita sama aje. Di Temerloh, saya menumpang rumah saudara arwah ibu. Nek Puteh, satu-satunya saudara arwah abah. Dia wariskan rumah ni pada saya, asalkan tak dijual. Tak ada wang ringgit yang ditinggal.” Suara itu mendatar menahan sebak
Mahu aku peluk, mahu aku rangkul tubuh Che Thom saat itu. Aku sebak mendengarnya.
“Saya pun taka da apa-apa, Othman. Kecuali hati yang mencintai….” Lirih suara itu. Che Thom mengelak memandang aku. Sama seperti aku, tentunya dia juga menahan air mata.
“Saya berjanji akan menjaga hati itu sampai akhir hayat.”
Aku menggapai tangannya, Jari-jemari kami saling bertaut.
“Jangan berjanji Othman. Aku takut kalau kau terlalu berjanji, aku jadi terlalu berharap.” Che Thom memotong kata-kata aku. Wajahnya aku renung dalam-dalam dan aku menggeleng.
“Aku tak akan mungkir janji, Che Thom. Susah macam mana pun hidup ini, aku lelaki yang akan pegang pada kata-kata aku. Kalau kapal dipegang pada sauh, aku kau boleh pegang pada janji.” Aku ucapkan bersungguh-sungguh pada Che Thom. Aku tak mahu dia ragu-ragu dengan aku.

“Kita sama-sama tak punya harta. Aku terima kau seadanya, Othman. Aku harap kau terima hati aku yang serba kekurangan ni. Kita mesti saling belajar menghargai, menerima kekurangan diri kita dari segala sisi. Bukan ke cinta itu adalah saling menerima. Kita menerima segala yang cela, kita saling mencukupkan. Saling melengkapkan. Bukankah cinta itu harus begitu?”

Aku angguk. Aku nampak ada titisan air mata nan bening jatuh di pipi Che Thom.
“Ya, dan kita akan saling setia ya, Che Thom.”
Che Thom angguk. Dan kemudian kami terus menyambung bual. Aku sesekali cuba menduga hati Che Thom. Mahu cincin belah rotan atau cincin intan buah kana yang bertatah zamrud atau delima untuk disarung ke jarinya waktu nikah. Merah padam wajah Che Thom. Dan dia akan memintas usikan aku.
“Aku mahu bernikah dengan engkau! Bukan mahukan cincin yang engkau bagi!”

Aku terasa amat bahagia. Diri terapung-apung ke langit tujuh. Aku tahu, Che Thom ikhlas menerima aku yang tak berharta ini.

“Kalau kita dah bernikah, aku nak anak ramai. Seorang boleh tolong aku ke laut, seorang aku nak ajar buat sampan, seorang pandai uruskan jala. Kalau anak perempuan, aku nak dia pandai menjahit macam kau, Che Thom. Kita nanti ada sepuluh anak ya, Che Thom. Yang perempuan mesti cantik macam kau. Yang lelaki mesti gagah macam aku.”

Terus Che Thom terbeliak mata dan mencebik. “Huh, kau kuat berangan, Othman. Mahu beranak banyak, kau mengandunglah sendiri!”

Aku tergelak besar dan Che Thom pantas mengingkatkan aku untuk pulang. Aku akur… ya… ya…. Aku selalunya tak begini. Aku jaga tertib aku kalau bersama Che Thom. Tak mahu jadi umpatan orang kampung. Tapi entahlah, aku rasa bahagia sungguh hari ini!

Thursday, April 12, 2018

REVIEW 1 - NOVEL - NEREDESIN? DI MANA AWAK?

NOVEL - NEREDESIN? DI MANA AWAK?
PENULIS - Puteri Nor
Penerbit - Penerbitan Karyaseni
cc: Makcik Karyaseni

Dah berbelas tahun rasanya saya tak mengupas novel. Zaman di kampus dulu memang berulang-alik ke DBP, jumpa arwah Pak Ajikik yang bagi peluang pada saya buat resensi novel untuk majalah DBP. Rasanya zaman tu tiga tahun juga saya buat resensi novel. Lepas ke dunia kerja, hobi tu saya tinggalkan. Mudah-mudahan dengan NEREDESIN? DI MANA AWAK? saya diberi Allah swt kelapangan masa utk terus buat review karya-karya sahabat yang saya kenali.

REVIEW 1
Untuk seseorang yang dewasa dalam disiplin ilmu kejuruteraan dan beraliran sains tulen sepanjang pengajiannya, saya memberi tabik hormat buat Puteri Nor. Dua cabang berbeza, namun Puteri Nor berjaya membuktikan, apabila minat dan kecintaan bersatu, tiada yang mustahil. Apatah lagi Puteri Nor sebelum ini juga pernah membuktikan kemampuan diri, apabila menulis untuk genre remaja sebelum beralih kepada karya seperti yang ditangani sekarang.

Neredesin? Awak Di Mana? Bagi saya sebuah karya yang padat, dan dijalin dengan penuh sabar oleh Puteri Nor. Latar waktu dan latar tempat yang dipersembahankan oleh Puteri Nor amat kemas. Menunjukkan penulis tahu apa yang ditulis, rinci dengan setiap tempat yang dinyatakan. Membawa pembaca mengembara dan mengenali ruang daerah yang dilewati watak-wataknya.

Awal pembacaan, kita dapat rasakan Turki amat akrab dengan penulis. Beberapa Bahasa Turki disertakan pada dialog. Tidak mencacatkan kerana turut disertakan sekali makna dalam Bahasa Melayu.
Watak Ruby Haya seorang arkitek bertemu dengan Mejar Syed Hilal Aslan, juruterbang pesawat tempur. Cinta datang tanpa diduga, seharusnya berakhir dengan indah, tetapi rintangan yang terbentang membuat semuanya jadi serba galau dan kacau-bilau. Bermula detik ini pembaca akan merasai turun naik emosi pasangan berkasih ini. Gadis ini punya kisah hidup yang perit dan panjang. Namun penulis menampakkan ketabahan Ruby melalui tindakan dan tutur katanya yang matang.

Hilal dibayangkan penulis sebagai jet fighter bermata hazel dan ada sisi jiwa lembutnya. Jejaka tampan yang memiliki sepasang golden eyes ini amat menyayangi kucing. Namun sentiasa siap siaga dan berawas apabila menjaga Ruby gadis yang sejak awal mencuri hatinya sejak dia ternampak di Kem KD Sri Medini. Elemen military sememangnya DNA bagi karya Puteri Nor ini. Bukan sekadar rona hijau tentera pada kulit buku, isinya juga menjelaskan pengetahuan Puteri Nor tentang dunia ketenteraan amat luar biasa. Terasa macam melawat kem tentera apabila membaca kisah ini. Oppss… saya lupa! Puteri Nor sendiri hebat menembak bukan?

Puteri Nor melukis watak hitam pada karya ini sehitam-hitamnya. Hitam yang sempurna bagi saya. Mungkin ada yang menganggap keterlaluan. Mungkin ada pembaca yang tak boleh terima. Tapi percayalah, di luar sana, ada saja manusia-manusia ini. Dalam dunia realiti, ramai saja yang ada penyakit seperti watak Saadiah, Sara dan Mak Mah. Dan Puteri Nor menjadikan Neredesin ini umpama kanvas yang tiada sempadan warna untuk penulis mencipta wataknya. Dua dekad Ruby tertekan dituduh anak pungut oleh Mak Mah, bukan sesuatu yang mudah untuk dihadapi.

Saadiah, Sara dan Mak Mah sederetan watak hitam ciptaan Puteri Nor yang bagi saya memberi keseimbangan cerita selepas kita menghadam putih dan polosnya watak Ruby. Kemudian muncul Shah dan Ayhan yang menambah lagi jalinan plot Neredesin. Pada beberapa bab, terasa seperti menyaksikan pertarungan tangkas sewaktu jejaka-jejaka dalam novel ini mahu menyelamatkan Ruby.

Neredesin? Awak Di Mana? Boleh saja dianggap gandingan dan gabungan kisah cinta, budaya juga aksi. Biar platformnya adalah pertembungan dua hati yang berbeza darah, berlainan bangsa dan kasta, ada drama air mata, namun Puteri Nor berjaya mengadunkan novelnya ini lari dari kebiasaan. Eleman aksi dan saspen serta ilmu bantu yang dimiliki Puteri Nor sendiri dalam dunia ketenteraan, menyempurnakan lagi naskhah ini.

Sempurna air tangan insan, takkan sama sempurna Yang Maha Mencipta. Itu pasti. Selera manusia pun berbeza, beza. Sedap jiwa saya menghadam karya ini, mungkin tak sama dengan pembaca lain. Yang pasti, karya ini berbaloi dimiliki.

Kudos untuk Puteri Nor.
Satu perkara yang saya terbayang…. Pastinya Puteri Nor menaip kisah ini dengan sebeban rujukan. Homework yang dibuat tentunya bukan sedikit. Tahniah Puteri Nor. Semoga dalam kisah cinta masih ada ilmu dan manfaat yang boleh kita kongsikan.

Wednesday, March 7, 2018

MAHARANI di Wattpad

https://www.wattpad.com/story/141106184-maharani/parts
https://www.wattpad.com/story/141106184-maharani/parts
Tajuk: Maharani
Penulis: Lily Haslina Nasir
Penerbit: Karyaseni
ISBN: 978-967-469-073-1
Muka Surat : 768
Harga: RM30.00 (Semenanjung) // RM33.00 (Sabah & Sarawak)
Terbitan : Mac 2018
JOM BACA 5 BAB TERAWAL DI WATTPAD KARYASENI2U SEMENTARA MENUNGGU PRE-ORDER KOMBO MAC DIBUKA!
https://www.wattpad.com/story/141106184-maharani/parts
*************************


Edan Israq - Dahulu nampak perempuan sudah lari satu kilometer. Masjid dan surau tempat dia lepak. Di sana dialah budak tukang bentang tikar dan sejadah. Kalau sesekali datang gila, dirakam video syok sendiri waktu dia menari breakdance untuk YouTube. Seandai ada gadis mahu berkenalan, cepat saja dia tolak. Perempuan yang tabarruj, jangan berangan nak jalinkan ukhuwah. Tapi siapa sangka, laluan takdir menentukan dia menjadi selebriti. Jejaka pemalu, berubah menjadi kekasih idaman setiap wanita.
Cahya Kartika - Seindah pengertian namanya. Kartika bermaksud bersinar, bulan, keteguhan, kebijaksanaan, pengaruh dan kekuasaan. Demikian hidup seorang selebriti yang mesra dipanggil Cahya. Namun kelebihan yang dimiliki membawa kesengsaraan, apabila hati Dida Sandra sentiasa rentung terbakar gara-gara dendam dan iri hati. Sisi jelik dan hodoh hubungannya bersama Alriz, menjadi punca Cahya hampir hilang arah hidup. Bertemu dengan Edan bagai membawa dirinya ke daerah ketenangan yang tidak pernah dirasai.
Dida Sandra – Kata orang, perangainya liar. Dia tidak peduli. Cerita orang, ibunya Nuren, pemusnah rumah tangga Datuk Hatta, dia tak ambil pusing pun. Dia tidak pernah kesah kalau orang bercakap tentang dirinya. Fitnah dan caras-mencaras, mainannya. Lebih dari itu, dia mahu menjadi maharani dalam dunia selebriti. Cahya Kartika, manusia yang perlu dicarasnya. Edan Israq, mungkin akan dipangkahnya juga.
I akan cuba jadi orang yang paling ikhlas. I tak janji untuk jadi sahabat you yang paling baik. Sebab dalam kebaikan belum tentu ada keikhlasan. Tapi orang yang ikhlas, insya-Allah, pasti ada sekecil hama baiknya. - Edan Israq
Kalau mahu bertahan dalam dunia glamor, jiwa harus kental. Harus kalis fitnah dan tahan dikecam. Semua bersaing dan tidak pernah lelah bermimpi memetik bintang dan bulan. Misi nan satu mahu menjadi maharani dan maharaja. Tersilap langkah, diri mungkin terlupa hakikat; hidup ini sebenarnya untuk sujud pada Allah nan satu. Dan dalam kalut mengejar gelaran maharani, bagai ada yang terlupa mengejar cinta Yang Maha Kuasa...
Edan dengan keikhlasannya, Cahya masih tercari-cari nur yang hilang dan Dida tidak pernah beralah merampas mahkota maharani yang dia idamkan. Milik siapakah mahkota kebanggaan itu akhirnya?

Tuesday, March 6, 2018

MAHARANI - TERBITAN KARYASENI MAC 2018

Engkau gadis pesona jiwa,
lembut berkuasa memberi cahaya...




Edan Israq - Dahulu nampak perempuan sudah lari satu kilometer. Masjid dan surau tempat dia lepak. Di sana dialah budak tukang bentang tikar dan sejadah. Kalau sesekali datang gila, dirakam video syok sendiri waktu dia menari breakdance untuk YouTube. Seandai ada gadis mahu berkenalan, cepat saja dia tolak. Perempuan yang tabarruj, jangan berangan nak jalinkan ukhuwah. Tapi siapa sangka, laluan takdir menentukan dia menjadi selebriti. Jejaka pemalu, berubah menjadi kekasih idaman setiap wanita.

Cahya Kartika
- Seindah pengertian namanya. Kartika bermaksud bersinar, bulan, keteguhan, kebijaksanaan, pengaruh dan kekuasaan. Demikian hidup seorang selebriti yang mesra dipanggil Cahya. Namun kelebihan yang dimiliki membawa kesengsaraan, apabila hati Dida Sandra sentiasa rentung terbakar gara-gara dendam dan iri hati. Sisi jelik dan hodoh hubungannya bersama Alriz, menjadi punca Cahya hampir hilang arah hidup. Bertemu dengan Edan bagai membawa dirinya ke daerah ketenangan yang tidak pernah dirasai.

Dida Sandra – Kata orang, perangainya liar. Dia tidak peduli. Cerita orang, ibunya Nuren, pemusnah rumah tangga Datuk Hatta, dia tak ambil pusing pun. Dia tidak pernah kesah kalau orang bercakap tentang dirinya. Fitnah dan caras-mencaras, mainannya. Lebih dari itu, dia mahu menjadi maharani dalam dunia selebriti. Cahya Kartika, manusia yang perlu dicarasnya. Edan Israq, mungkin akan dipangkahnya juga.

I akan cuba jadi orang yang paling ikhlas. I tak janji untuk jadi sahabat you yang paling baik. Sebab dalam kebaikan belum tentu ada keikhlasan. Tapi orang yang ikhlas, insya-Allah, pasti ada sekecil hama baiknya. - Edan Israq

Kalau mahu bertahan dalam dunia glamor, jiwa harus kental. Harus kalis fitnah dan tahan dikecam. Semua bersaing dan tidak pernah lelah bermimpi memetik bintang dan bulan. Misi nan satu mahu menjadi maharani dan maharaja. Tersilap langkah, diri mungkin terlupa hakikat; hidup ini sebenarnya untuk sujud pada Allah nan satu. Dan dalam kalut mengejar gelaran maharani, bagai ada yang terlupa mengejar cinta Yang Maha Kuasa...
Edan dengan keikhlasannya, Cahya masih tercari-cari nur yang hilang dan Dida tidak pernah beralah merampas mahkota maharani yang dia idamkan. Milik siapakah mahkota kebanggaan itu akhirnya?

ShareThis