Wednesday, May 30, 2018

Maharani - Karyaseni


Terima kasih buat semua sahabat yang dah beli Maharani.
Maaf kalau ada kurang pada karya kecil saya tu.
Buat yang dah baca dan share komen dengan saya,
 terima kasih sebanyak bintang di langit 
dari saya.
#maharani

#karyaseni
#novelkaryaseni







Aku tak jangka kelewatan Cahya buat ramai yang ada di situ mula cakap berbisik-bisik. Jurusolek, Rissa sudah merengsa menunggu.
            “Bila ni kak oii... saya dah terpacak dekat sini sejak selepas subuh tadi. Letihlah wei!”
            “Aku dah call tak berjawab.” Muncung Kak Zareeny semakin panjang.
            “Ni kalau hujan, sayanglah... semua orang tadi dapat ambil gambar outdoor. Jenuhlah kitaorang nak edit gambar dia seorang diri.” Ikram jurugambar kesayangan Kak Zareeny sudah mula berbunyi.
              “Dah pukul 12 dah ni... Cuba call balik! Try whatsapp. Lagi berapa lama nak kena tunggu?” Rissa yang sudah hilang sabar, mula berkemas-kemas. Beg mekapnya yang bertingkat-tingkat itu mula disusun rapi. Isyarat kaunter mekap bakal tutup kedai.
              “Baru meletop, dah buat perangai. Aku whatsapp pun tak jawab. Si Ney, pembantu dia ni pun aku rasa dah meninggal agaknya!” Kak Zareeny semakin tajam melaser.
              “Kalau aku bising, aku tulis perangai sebenar, nanti tuduh kita nak bunuh kerjaya dia! Menyusahkan oranglah!” Sambung Kak Zareeny sambil tangannya mendail semula nombor Lisa.
              “Entah-entah dia tak settle lagi kot masalah dengan family Alriz?” Ayat Rissa itu membuat semua yang ada tertoleh.
              “Hah? Kenapa dengan family Alriz?” Sakinah sama sibuk menjadi ‘kak nam’. Aku sempat menjeling Sakinah.
              “Takkan taktau... Dengar cerita, bapa Alriz humban beg Cahya ke luar tingkap!” Ikram menyambung gosip dengan gelak-gelak kecil. Kali ini ramai yang terdiam. Kak Zareeny sama berkerut kening.
              “Makna betullah ya, gosip beg kena baling tu?” Soal Kak Zareeny betul-betul ingin tahu.
              “Hah, tu akak kena tanya empunya badan nanti. Saya takut nak cakap banyak. Hahah nanti tak fasal-fasal see you in court!” Mengekek gelak Rissa sambil menyusun berus-berus mekapnya yang pelbagai saiz.
            “Hahhh? Ni kes belum jadi menantu dah tidur baring rumah bakal mentua ke?” Abang Mail pun sama kepoci



Monday, May 14, 2018

MAHARANI - KARYASENI

 DIDA SANDRA


Menghilangkan rasa sebal dan mendidih hati, aku ke bilik terus capai bathrobe untuk berendam dalam tab mandi. Layan bau jasmine Bvlgari Showe Gel lagi bagus! Tenang sikit fikiran aku. Selesai saja aku mandi dan bersiap, tiba-tiba kedengaran suara Erin menjerit di ruang tamu.
“Oh my! Oh my! Beb, dia buat posting baling ke belakanglah! Gosh! Minah ni drama lah!”
“Hei, Edan punya akaun insta yang rasmi ni haram tak ada update. See... aku bau ikan hamis yang hangit lah!” Mak Uda pula menyampuk. Kelam-kabut aku capai tuala dan bungkus rambut yang masih basah. Bergegas aku keluar bilik. Huh, tak habis gosip lagi diaorang ni!
“Ada apa?” Aku bertanya.
“Kau pergi tengok insta minah tu. Konon lempar ke belakang gitu. Dah berkawan dengan Edan diam-diam.”
Menggagau aku mencapai telefon aku. Pantas aku klik insta dan intai insta Cahya.
“Oh! Pleaselah.... aku rasa nak muntah!” Spontan aku buat muka loya.
“Kembang tekak aku baca caption dia. Eh, kata belajar mengaji, siap ada gambar dari jauh. Siap bervideo gitu. Siapa tukang ambik gambar. Ni mesti si Shuk atau Kay. Buat gaya perempuan suci pakai tudung. Aigoo.... Habis tu yang si Edan ni makna dah selalulah datang rumah dia.” Aku bebel dengan penuh rasa geram.
“Jeng jeng jeng... edisi siasat dan menjoyah kembali. Aku nak tengok ada lapan gambar dia share dekat sini. Banyak yang gambar dia gambar berdua dengan Edan. Euww, tak dosa ke berdua-duaan tu?”Pantas Mak Uda memandang gambar Cahya dengan kanta pembesarnya.
“Minah ni memang bimbo tau! Nak heboh dekat semua orang ke yang dia tu memang selalu duduk berdua dengan Edan. Kot ya pun nak belajar, tak boleh ke pergi kelas ke, pergi masjid ke... panggil ustazah ke? Haish, kalau dah birah tu memang membirah aje perangai tu! Menggelenyar sungguh!” Lisa menggeleng sambil dia sendiri menengok gambar Cahya di insta gadis itu.
“Kalau tengok ni memang insta si Edan, senyap sunyi. Dah ada sosek-sosek ni... tanya kenapa pihak Abang Mail dengan Sakinah yang jaga Edan tak ada nak beri komen.” Ujar Erin pula.
“Tak payah sosek-sosek, dah ada berita depa ni dekat portal tadi. Cuba contact Abang Mail dengan Sakinah, semua dah tutup telefon. Si Edan tengah berjimba, lagilah tak dapat dihubungi.” Balas Taty pula yang kemudian mengambil giliran untuk ke kamar mandi.
“Trying so hard sangatlah si Cahya. Nampak sangat ganti boyfriend macam beli baju bundle. Nak menayang pada Alriz kot... nak buat macam mana kan. Dia mesti tak dapat nak let go cerita lama dia. Lepas tu bila nak raih undi, raih simpati, acah-acah belanja gambar yang sweet-sweet tu. Yang aku tak tahan sangat minah Cahya ni memang teror lah spin cerita. Ikut sesedap rasa aje dia ubah plot kisah benar hidup dia.”
Lisa yang selama ini tampak seperti orang berkecuali, tak aku sangka, memberi komen yang cukup membahagiakan aku. Terasa macam nak peluk si Lisa tadi. Payah selalunya Lisa nak komen macam-macam bab gosip ni.
“Dia spin cerita apa?” Erin beriya ingin tahu.
“Alah, bukan ke heboh cerita, konon dia putus dengan Alriz sebab bapak si Alriz nak tackle dia jugak. Gelilah wei... tinggi imaginasi perempuan ni! Aku takut si Edan ni kena game aje dengan minah yang suka buat muka sesuci embun pagi ni. Entahlah, aku rasa macam tak boleh brain lah dia dengan Edan. Beb, dia dah biasa hidup mewah kot. Edan tu budak baru nak buat nama. Benda macam ni bermusim kot. Masa tengah hot, kencanglah... nanti esok lusa kalau roda hidup tu dah ke bawah, nak ke mana.”
Terlunga aku mendengar kata-kata Lisa. Banyak benda sebetulnya Lisa tahu tapi Lisa tetap Lisa. Jarang-jarang sekali dia mahu masuk campur hal aku berkelahi dengan Cahya.
“Huh, tengok gambar-gambar yang minah ni throwback pun macam kita boleh agaklah. Aku rasa  si Edan ni kena frame. Biasalah kalau mamat ni budak baikkan. Tak pernah jatuh cinta. Itu yang tangkap lentok.  Agaknya Cahya buatlah cerita syahdu lepas kena humban dengan Alriz. Lepas tu bapak dia meninggal. Balik dari kubur bapak, selongkarlah kot segala tudung yang terperuk dalam almari. Cari al-Quran, lepas tu pujuk si Edan ajar mengaji. Aigooo... macam aku boleh baca aje skrip minah ni! Tak classy langsunglah!”
“Just wait and see lah kot. Haha... apa-apapun, jangan lupa lusa beb!  Singapore here we come! Lusa okay. Mari kita kasi gegar sama dia.” Mak Uda mengenyit mata pada aku. Pantas aku meletakkan jari telunjuk di bibr. Jangan heboh-heboh! Jangan bising-bising! Kecoh nanti.
““Hold your head high, and your middle finger higher. Let her know, what she’s missing.”  Berdekah-dekah gelak Erin. Aku pantas mengingatkan.



Tuesday, May 8, 2018

DIRGAHAYU SEMUA EDITOR SAYA

Manuskrip takkan jadi sebuah buku kalau tiada editor yang mengedit dan menyelenggara.
Tak mungkin saya mampu siapkan Maharani dan Pulang, dalam masa singkat kalau tiada editor yang menghambat di belakang saya.
Tak tahu mengapa, sepanjang saya menyertai siri promosi Pulang, saya asyik terimbas kisah sebelum jadinya novel itu.

Saya diraikan, karya diraikan... 
Tapi editor di sebalik karya kekal low profile.
Saya sangat terharu

Teringat-ingat sehari selepas saya serahkan manuskrip penuh Maharani, saya diminta ke pejabat Primeworks untuk menonton Pulang.
“Kak lily, kita ada kurang 30 hari. Kak lily boleh siapkan ke?”
Sumpah sesak nafas saya. Baru nak bergumbira sebab dah selesai Maharani.
“Kak lily hantar tiap hari melalui emel. Saya semak. Jadi kita tak buang masa.”
Saya panik sebab tarikh pelancaran 27 hb April dah ada.
“Kalau lambat memang tak sempat print kak. Tak sempat untuk majlis nanti.”

Maka kepala mula mencongak dan buat matematik sikit. Ada 27 hari, mahu taip 80 ribu patah perkataan. Dibahagikan, sehari saya kena taip 2,962 patah perkataan. Ini makna tak boleh culas sehari, tak boleh ada cuti etc. Allahu… ditakdirkan Tuhan saya tergedang demam seminggu jugak selepas surgeri geraham bongsu. Terhenti tiga hari, itu tak termasuk inche suami sibuk kutip durian di dusun abahnya. Rugi lagi tiga hari. Bak kata Rose Harissa, “Kau jangan kira kak lily words count. Mau meroyan nanti.”
Memang meroyan sebab bila hari makin suntuk, saya kira-kira balik, sehari ada yang saya kena taip sampai 4,000 patah perkataan.
Tapi stress tu terasa lega bila Intan tetap bertabah, tanya khabar, kirim whatsapp hari-hari… jadi tukang sorak beri semangat pada saya.

Selesai 4 April, saya rasa nak nangis. Saya siang malam terfikir, kalau saya gagal siapkan manuskrip, saya rosakkan majlis Primeworks. Masa ni orang yang pertama saya nak dakap tentunya Intan Safirah, editor saya.

Alhamdulillah, Intan masih muda, tapi boleh terima cara kerja saya yang kadangkala slow dan malas. Harus diketuk dan dihambat baru siap.

Dan ya ada waktu Intan kata dia terlalu segan dengan saya. Sewaktu majlis Pulang, Intan kata dia tak minta pun tanda tangan Remy Ishak. Pada saya pun Cuma ada dua naskhah saja yang sempat saya minta Remy sign. Kasihan tengok Remy, penat dia hari tu. Cukuplah dua copies. Saya simpan satu dan satu lagi saya hadiahkan pada Intan.

Itu cerita Intan yang baru jugak saya kenal. 

Saya menulis dah lama. Ramai editor saya kenal dan sesungguhnya ramai antara mereka selesa di balik tabir. Antaranya Anida Daud yang saya anggap ada tangan magis. Saya kenal Anida cukup lama. Anida edit karya saya waktu di CESB. Dan, di tangan Anida, banyak karya besar dan penulis hebat lahir. Kalau ada yang bertanya saya, minta rekomen editor yang bagus, memang saya sebut nama Anida Daud

Seorang lagi editor lama saya, yang baru kini saya temui semula di fb, Soo Ming. Masa itu saya masih pelajar UM. Soo Ming komen karya saya untuk siri novella romantis Berita Publishing. Dia tolak karya saya dengan komen yang tak terfikir dek saya. Saya pulun kemudiannya dan siapkan yang baru. Lahir Hirisan Cinta masa tu. Alhamdulillah, penerimaan Hirisan Cinta masa tu di luar jangkaan saya. Kemudian saya repair manuskrip yang ditolak Soo Ming berdasarkan komen editor Berita Publishing ini. Saya hantar pada CESB. Anida yang edit dan lahir Mencari Diri serta sempat beberapa kali reprint.

Sewaktu kenal Kak Wan Rohana, editor saya di Alaf 21, saya jadi terharu sebab kak wan banyak kali pesan pada saya. Lily kena kekalkan cara lily menulis. Itu trademark lily. Buatlah apa jua cerita tapi pastikan karya lily tetap jaga bahasanya.

Beralih ke PTS, saya kenal editor seperti Asma Fadilah Habib dan Adilah yang masih muda tapi penuh energi. Dengan Asma saya seronok sebab Asma suka explore cover yang cantik-cantik. Matanya tajam dalam pemilihan warna dan design. Dengan Adilah, hahaha saya dan Rose Harissa aah-acah jadi kakak yang cengih sebab Adilah sangat ‘adik’ kepada kami. Seronok pulak kami usik Nor Adilah masa tu.
Adilah selalu aje macam terlalu tertib dan santun dengan kami… sampai katanya kalau mengedit letak manual editor di sebelahnya untuk rujukan. Tapi kami sama-sama seronok sebab kami memang dilabelkan waktu itu sebagai penulis kuih tempah. Kami menulis mengikut request penerbit/editor. Kami jugak jadi guinea pig bila ada projek baru macam menulis karya k-pop. Tapi ya, semua itu tentunya memberi makna kami menulis dan bekerja closely bersama editor.

Nak share sikit pengalaman masa kerja….
Editor/pengarang orang paling besar dan penting dalam penerbitan kami.
Gate keeper apa jua hasil tulisan. Dan cerewetnya cara kerja dahulu, memang luar biasa bagi saya. Baca pruf sampai 15 kali ada waktunya. Bayangkan satu halaman dicetak 15 kali, dibaca 15 kali dan ditanda serta diedit sampai 15 kali. Orang kata sampai muntah darah nak baca benda yang sama berkali-kali.

Bos kami pantang bab-bab typo error. Masak kami kena basuh dalam meeting kalau ada typo yang dianggap silly mistake.

Gerak kerjanya gini… dari penulis, hantar ke editor… lepas editor semak, dapat ke penulis semula. Lepas tu ke lay-out. Print dummy page, dibaca oleh sub-editor, kemudian disemak balik oleh penolong pengarang sebelum ditengok balik oleh editor/pengarang. Kemudian penulis tengok semula. Semua itu makna ada tanda merah. Dari segi gap spacing, dari aspek ejaan, gambar kabur atau tak, corpping senonoh atau tak dan macam-macam lagi. Kalau tak banyak silap proses ni mungkin 7-8 kali aje… kalau tak mungkin sampai 15 kali. Makna teks benar-benar bersih. Hasilnya?

Ya, mungkin sebab itu dulu rencana kami selalu saja menang award kebangsaan. Perit sebetulnya proses itu. Sangat teliti dan cerewet. Tapi itulah… pengalaman begini banyak mengajar saya.

Saya sendiri selalu menolak kalau orang mahu ‘hire’ saya untuk edit karya. Biar saya dah berpuluh tahun dalam dunia penerbitan. Clarins ke… agensi iklan lain ke, mintak edit, saya tolak. Biar saya aje tulis iklannya. Edit bagi orang lain. Kalau mintak tolong… jangan bayar saya. Saya boleh buat semak pantas melalui whatsapp atau pdf yang dikirim. Tapi again… itu tolong aje. Bukan buat kerja editor.

Saya tak yakin. Mata saya selalu silap. Kekadang saya baca laju… perkataan keluar dulu dalam kepala, tapi perkataan itu tak ada dalam teks…. Sudahnya saya jadi terlepas pandang. Kalau sekadar tukang baca, komen suka-suka, beri pendapat, saya okay… untuk diminta mengedit… hahah saya jawab, biarlah saya kekal dengan kerja menulis saja.

Dulu Rose Harissa saya nak upah semak teks tebal saya Cinta Hilang Kata. Dia sendiri angkat bendara putih. Plot saya pulak bersimpang-siur. Saya serahkan pada Anida Daud. Serius saya dan Rose kagum dengan ketelitian Anida. Luar biasa tajam mata Anida. Bersih kemas manuskrip itu di tangan Anida.

Itulah… serba-sikit kisah saya dengan editor-editor saya.
Editor-editor yang sangat saya hormati.
Saya sanjungi.
Tak ada editor, tak adalah karya penulis.
Saya sendiri, kalau menulis, ada waktu ayat laju di kepala, tercicir pulak bila menaipnya.
Qudos, tabik hormat buat semua editor.










ShareThis