Sunday, June 23, 2013

Semoga Mereka Yang Diuji Tabah & Reda

SAYA terima mesej di bawah ini dari anakanda yang sangat saya sayangi Nurul Farhanah yang berada di Jordan. Semoga Allah swt permudahkan segala urusan di sana. Doa dari jauh mereka yang sedang diuji tabah dan reda.

Innalillahiwainnailaihiraji'un. Semoga sahabat-sahabatku diberi kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi dugaan dan ujian ini. Ya ALLAH tabahkanlah hati mereka.

[Laporan kemalangan pelajar malaysia di Jordan.]

Pada 21 Jun 2013 (Jumaat) antara jam 5.00 - 6.00 petang, waktu Jordan, sebuah kenderaan jenis pacuan 4 roda yang dinaiki oleh 5 orang pelajar Malaysia telah terbabas dan terjunam ke dalam gaung di jalan antara Petra dan Aqabah kira-kira 320 KM dari Amman, Jordan.

Pelajar yang terlibat adalah seperti berikut :

1) Sumaiyah Binti Romli (Meninggal Dunia)
Universiti Kolej London.
Tahun 1.
Tajaan : Jabatan Perkhidmatan Awam
Pengkhususan : Astronomi Fizik.
Asal : Kedah.

2) Nur Ili Dayana Binti Mazlan@Masgelan (Cedera)
London School Of Economy.
Tahun 4.
Pengkhususan : Ekonomi.
Tajaan: Bank Negara.
Asal : Perak.

3) Mohamad Shukri Bin Alias. (Cedera Parah) -Pemandu-
Universiti Yarmouk
Tahun 3
Pengkhususan : Pengajian Islam.
Tajaan : Persendirian.
Asal : Kelantan.

4) Muhammad Nazirul Mubin Bin Nasruddin (Cedera)
Universiti Yarmouk
Tahun 3.
Pengkhususan : Ekonomi dan Perbankan Islam.
Tajaan : Jabatan Perkhidmatan Awam
Asal: Kuala Lumpur

5) Humairak Binti Ibrahim (Isteri Muhammad Nazirul) (Cedera dan Keguguran Bayi) Universiti Yarmouk
Tahun 3
Pengkhususan : Ekonomi dan Perbankan Islam.
Tajaan : Persendirian.
Asal: Kelantan.

Kesemua mangsa kemalangan telah dibawa ke Hospital Queen Rania Abdullah, Petra, Jordan.

Mangsa yang meninggal dunia (Sumaiyah Binti Romli) mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala dan belakang tengkok. Jenazah berada dalam keadaan baik.

Wakil MPMMJ, Saudara Arif Amin Bin Rushihi, Presiden MPMMJ. Saudara Abdul Hakim Othman, Setiausaha Agung MPMMJ. Saudari Naimah Akmar, Ketua HEWI PERMAI. Bersama Prof Madya Dr. Mohd Azidan Bin Abdul Jabar, Pengarah EMJ. En. Mohd Harris Bin Ali, Pegawai JPA. Ustaz Saifuddin Bin Hussin, Pegawai Atasan Pendidikan MPMMJ dalam proses menguruskan jenazah dan mangsa yang terlibat.

Friday, June 21, 2013

Mama, Lip Gloss Yaya Hilanglah....:))

Nama pun anak kecil. Anak perempuan pulak tu! Tak kiralah orang lain sibuk apa, mama dan mak uli mahu plan ke mana.... itu tak penting. Nak ke hospital ke, nak ke rumah moyang ke, nak ke pasar ke, nak date dengan atuk nasir ke, Yaya kena mekap dulu. 


Paling tak tahan, dia tanya, "Mama, ada tak eyeshadow yang blue kaler tu. Yaya punya lip gloss rasanya hilang. Pinjam mama punya ya!" Saya mahu pengsan tengok Yaya punya set mekap. Amboiii, you name it, semua ada. Mau Chanel, Burberry, Mac, Dior, Anna Sui, Lancome.... Semua latest product Yaya ada. Cap Mak Uli sama cap mama Yaya aje yang tak ada!




Biar kami pulang sekejap-sekejap. Tidak bermalam.Tapi bagi Rania, set mekap kena bawa. Untuk keyakinan diri katanya:))

 

Hospital Melaka & Memory Lane

Trauma masih bersisa buat saya, Rosie juga Siti. Setiap kali menjejakkan kaki ke Hospital Melaka, setiap kali terpandang dan terdengar ambulans yang laju lagi bersiren, kami pasti terkenang saat akhir arwah mak. Melalui bangunan lama dan gerbang lama Hospital Melaka, buat saya dan Rosie saling berkongsi cerita. Oh, di situ kita tunggu abah. Oh, kat situ mak akan parking kereta. Teringat-ingat kekadang kami mengeluh kena tunggu abah sejam dalam kereta dengan baju sekolah. Abah yang selalu on call bukan boleh bawa berjanji. Kata abah, kekadang dah nak balik, ada kemalangan, ada itu, ada ini. Dan kami akan kata.... Tahu.... kerja hospital memang macam ni:))


Bangunan lama Hospital Melaka. Saya suka bangunan ini. Ada Wad A3. Dulu, zaman rumaja, hospital macam tempat saya istirahat kalau saya demam panas. Paling saya suka kalau masuk hospital, rasanya wad saya paling meriah. Asyik ada tetamu aje. Jangan kata saudara-mara, segala seniors sekolah gigih minta izin cikgu untuk ziarah saya waktu hari persekolahan. Adik saya kata, 'Kengkawan Kak Lily tu ingat kak lily dah nazak sangat ye?" Hahaha ada bawa anggur, nasi lemak, nasi ayam, coklat.... Hahaha paling best saya pernah dapat soalan bocor. Sebab minggu saya masuk wad tu minggu peperiksaan;)) Dan inche Lan lah selalu paling gigih ponteng kuliah, merempit naik motor dari UKM ke Melaka untuk visit saya.






 Memory lane. Saya tak tahu kenapa ni jadi Klinik Dada. Dulu di sinilah saya dan Rosie Haslinda Nasir kena tunggu abah. Zaman tu kawasan ni kawasan Jabatan X-Ray. Kalau ke sini masa kecil dulu, kawan-kawan abah saya, Pakcik Badrin, Pakcik Musa (ayahanda Dr Faisal Tehrani) antara orang yang wajib kami salam cium tangan. Dan hahaha kekadang kalau nasib baik kawan-kawan abah terutama Uncle Badrin belanja kami jajan atau beri kami duit sekolah.


Kanak-kanak ribena, Rania, Aqil dan Haiqal kami upahkan aiskrim sebab tak cukup umur nak melawat mak ngah kami masa ni. Ke sini umpama kenalkan budak-budak kecil ni tempat kami habiskan masa dulu. Tempat Atuk Nasir cari rezeki. 



Saya sempat tunjukkan bangunan rumah mayat yang lama pada mereka. Oh, masih redup, masih gloomy macam dulu. Kekadang kalau tak ada tenpat parking dulu, di situlah kami parking kereta tunggu abah. Abah akan kata, "Apa nak takut! Abah kat X-Ray tu selalu aje kena kerja sebelah mayat yang kemalangan, yang kekadang dah pecah muka. Kekadang 24 jam abah dengan mayat." Haishhh..... Rasanya macam nak kena interview abah saya pengalaman dia kerja dulu:))

Thursday, June 20, 2013

Line Telefon Yang Hanyut Ke Laut;((




Talian telefon dan internet saya tenggelam timbul sejak akhir-akhir ini. Salah satu sebab, saya sekejap ke sana sekejap ke sini. Line Digi memang kekadang sedih betul:(( 


Mungkin gara-gara gua tempat saya bertafakur terlalu tersorok dan tak dapat dikesan pemancar. Saya kerap berpergian sejak beberapa hari ini. Melaka -Bangi - Bagan Datoh - Enstek - Semenyih - kemudian berkelana lagi. Pada yang cuba hubungi saya tapi gagal, boleh aje tinggalkan mesej di sini atau sms.

Kisah Rania Saya....




Ada perkara dalam hidup ini, hadir tanpa kita pinta, tanpa kita rancang dan tanpa kita terlalu meminta-minta. Seperti tulisan Rania yang bulat-bulat dan gemuk-gemuk ini. Melihat tulisan Rania memang mengingatkan saya pada Rosie Haslinda Nasir waktu kecil. Saling tak tumpah tulisan si anak dengan tulisan si ibunya dahulu. Baru darjah satu tapi cara dia menulis dan melukis memang menyalin habis apa yang ada pada mamanya. Saya pasti Rosie tidaklah sampai menitik jari anak untuk pastikan Rania tulis serupa tulisannya. Semuanya secara semula jadi. Dalam diam saya terpaksa akur.

Oh, ada ketika apa yang ada pada si anak, mengalir dan turun macam air hujan dari ibu atau bapanya. Haiqal masih tak habis-habis mengira teko saya sekarang. Tanya asal-usul setiap barang antik saya. Mana satu pemberian moyang, mana satu mak beli di Jakarta, yang mana mak angkut dari Melbourne. Buku yang mana arwah nenek Jamilah punya? Satu demi satu dia tanya. Haiqal takkan bagi abang Apit jual kalau mak tak ada. Sayang. Barang antik mak nanti semua Haiqal simpan. Wah! Terasa macam saya dah nak kena siaps-siap buat wasiat pulak!


Wednesday, June 19, 2013

Batik Raya? BATIK BUTIK DESA MURNI, SHAH ALAM





Lama benar dah saya tinggalkan kerja buat laporan untuk event. 21 Mei lepas, saya penuhi undangan teman karib dan seangkatan kerja saya dulu, Rahana MD, untuk hadiri majlis pelancaran Butik Desa Murni di Shah Alam. Erra Fazira yang comel tu, yang juga duta untuk butik ni muncul sebagai tetamu VVIP dan tukang potong reben. Hahahaha... bila muncul aje Erra Fazira yang cantik berbaju kurung moden batik, lengkap bertudung.... huhuhu saya jadi stress kejap. Kurusnya dia!!! Pinggang dia secekak aje!
 Saya bisik pada teman saya Umi. "Esok jam 5 pagi, Umi kau mai rumah aku... gegar pagar ya kalau aku tak bangun. Jom kita pergi joging. Sebelum raya gerenti kita slim macam Erra!" Dan sahabat saya ni jenuhlah menahan gelak di tengah khalayak semalam. 
Bagi yang suka batik, boleh try batik dari Desa Murni ni. Corak dia memang agak unik dan lain daripada kebiasan corak batik sutera. Tudung, selendang sutera yang boleh dipakai depan belakang. Corak Paisley yang belakangnya plain memang cantik dan praktikal saya tengok. Beli satu boleh pakai dua gaya. Corak pada batik banyak motif bunga. Yang pasti, setiap satu corak memang eksklusif. Satu design untuk satu pelanggan. Kiranya takkan terjadi kes satu orang pakai, terpaksa lari-lari malu bila terserempak dengan orang lain yang pakai corak sama di satu majlis.


Sesiapa yang berminat boleh jengah ke butik ni di NO 7 G, JALAN PLUMBUM R7/R, PUSAT KOMERSIL SEKSYEN 7, SHAH ALAM.









Tuesday, June 18, 2013

Separuh Hati Kami Tertinggal Di Melaka

Diam tak diam dah 10 tahun saya dan adik-adik hilang emak. Bila dapat khabar, mak ngah, adik kedua mak saya uzur, hati saya dan adik-adik jadi tak tenteram. Bergegas kami pulang. Biar kami sibuk, kami jarang balik Melaka, tapi kampung, nenek, mak ngah, ibu saudara dan bapa saudara semuanya sentiasa diam akrab di hati. Seperti kata Rosie, budi baik mak ngah, nenek dan semua keluarga waktu arwah emak sakit, tidak mampu kami balas.

Nama saya sendiri hadiah dari bapa saudara saya Acik Aman  (Uncle Jet) sebelum dia ke England. Nama Rosie Haslinda Nasir pula pemberian mak ngah. Separuh jiwa kami memang di Melaka. Dalam diam, waktu ziarah mak ngah, saya perhatikan satu demi satu. Jarinya, susuk wajahnya, tubuhnya, persis emak saya. Rindu pada emak berbekam di hati. Buat mak ngah, doa kami cepat sembuh ya!

Tiba-tiba saya sangat rindu pada nenek yang sentiasa suapkan saya nasi biar umur saya sudah tujuh tahun sepanjang tempoh saya dibesarkan di kampung. Terkenang mak ngah yang selalu bawa saya jalan-jalan dengan kereta comel mini clubmannya sekitar tahun 70-an. Tiba-tiba teringat arwah datuk yang sesekali mengusik saya dengan lagu bahasa Jepun. Teringat busu, Dr Ab Jabar Ishak, yang selalu jadi teman kelahi saya kerana rebutkan manja nenek. Saya rindu kampung dan rumah nenek tempat saya dibesarkan dulu. Doa saya, nenek, semua ibu saudara dan bapa saudara saya sentiasa dilimpahi kasih sayang Ilahi.




Masa kecil, saya kata ini terowong Jepun. Sebenarnya ini lubang bawah tangga depan rumah. Saya suka main sembunyi-sembunyi di sini.
Dulu masa kecil, di bawah rumah inilah saya suka berlari mengejar anak ayam.

Pokok durian tua di hujung sebelah kiri gambar entah dah berapa usianya. Masa saya lahir sudah ada. Tiang besi depan tu tempat saya suka bergayut dulu setiap petang Jumaat untuk menanti emak. Dulu saya jumpa emak seminggu sekali. Rasanya tiang itu juga sempadan ruang saya bermain yang ditentukan oleh nenek dan datuk. Saya jarang jejak tanah yang ada sekeliling rumah nenek dulu. Pertama, saya selalu diingatkan. Nanti ada ular sawa! Atau, nanti ada orang potong kepala budak, nak buat jambatan:))

 
Ini rumah moyang saya. Rumah yang selalu masuk iklan dulu. Sayang dah dirobohkan. Gambar itu, pix Syafiq sama abahnya. Rumah ini tempat emak saya dilahirkan kalau tak silap. Saya dah semakin tua. Saya menyimpan angan-angan. Kalau ada rezeki saya mahu buat sebuah rumah begini di tanah saya di Sepang. Rumah moyang saya ini ada dua bilik air. Satunya adalah perigi di dalam rumah. Haishh, nampak sangat saya semakin berusia semakin klasik dan old school selera saya.



Monday, June 17, 2013

Luka & Dilukai

Dia antara anak-anak yang dekat di hati saya. Dia boleh saja telefon saya jam dua tiga pagi. Baru ni dia telefon saya dengan nada teresak-esak. Saya tergamam. Dia mengadu hati terluka kerana cinta. 

Tak pandai sebenarnya saya nak beri nasihat. Saya sendiri nakal waktu belajar dulu. Saya katakan pada dia, rugi kalau zaman di kampus tak seindah pelangi! Tak sewangi musim bunga. Gembirakan hati selalu. Never trust a man. Sebab lelaki ni selalunya, jauh di mata, jauh di hati. Muahmuahahhaaaa.....  Lelaki kalau terluka, sekejap aje dah ok.
Malam nanti dah boleh tengok bola di kedai mamak. Perempuan kalau terluka mungkin seumur hidup berbekas di hati.


Saya cuma banyak berkongsi kisah dengan si manis ni. Dan selepas hampir sejam berbual, dia sudah boleh tergelak-gelak manja. Saya lega! Saya cuma kata kalau mahu menangis, menangislah sepuas-puas. Tapi jangan sampai rasa luka tu terbawa-bawa bertahun-tahun lamanya. 

Auntie, mana nak cari lelaki yang baik? Saya cuma kata berdoalah. Minta Allah ketemukan pasangan jiwa yang terbaik. Mungkin kalian harus terluka dan melukakan demi untuk lebih dewasa.

Auntie, saya asyik salahkan diri sendiri. Kenapa ya, bila saya jatuh cinta, akhirnya saya yang menangis. Saya rasa sampai bila-bila saya serik nak berkongsi hati. Kenapa auntie? Agaknya kalau berkahwin pun, saya memang tak ada rezeki untuk bahagia.

Oh, saya benar-benar kelu kejap bila anakanda ini menangis dan berkeluh dengan saya. Perlahan-lahan saya kata, indah waktu bercinta belum tentu syurga menanti apabila diijabkabul. Terluka dan kecewa tatkala bercinta, bukan bererti sengsara seumur hidup perkahwinan. Dan jujurnya saya beritahu dia, pengalaman yang saya lihat, percintaan yang hampir sempurna di awal remaja ada kala menjanjikan kejutan derita yang luar biasa dan tiada siapa pun yang boleh menduga! Kekadang cinta yang tak sempurna itu, menghadiahkan syurga selepas ijabkabul selagi ada keikhlasan.

Anakanda ini tenang selepas itu. Saya cuma pesan, jangan sia-siakan hati, merana jiwa, sengsara diri hanya kerana cinta. Penatl nanti :)) Life is too short kan.... make it sweet:))

Maaf, Ada Ketika Saya Gantung Akaun FB & BLOG


Mohon maaf pada yang bertanya perihal fb dan blog saya yang halimunan dari pandangan mata. Pada yang bertanya, ya, saya rehatkan akaun fb dan blog saya buat sementara sebelum ini. Selalunya kalau sibuk dengan babies saya di rumah, yang kekadang cuti serentak, saya terpaksa cuti dari FB. Hahah, kalau masak sambil berFB, pasti ada yang jeritkan saya, "Mak, sudahlah tu mak! Lapan tahun lagi hokey mak tu separuh abad. Sudah-sudahlah fb tu!"

Sunday, June 9, 2013

I GOT MARRIED AND I SAID YAHOOO....

PRINCE PRINCE... where have you lost
I go to the jungle to catch naughty mouse
Prince prince where have you been
I visit my mom who is the queen
Prince where were you
I got married and I SAID YAHOOOOO

Pantun orang putih Haiqal. Agaknya menyahut cabaran saya. Kata saya pada dia, kalau mahu jadi penulis, syarat utama saya, dia kena kuasai Bahasa Inggeris dengan flawless. Kalau bagus dalam sastera, bagus berbahasa Melayu, adalah lebih-lebih bagus saya kata untuk nak kerja nanti kalau dia kuasai bahasa Inggeris. Hah, tak sangka dia boleh merapu buat pantun orang putih (abaikan grammar budak kecik ni yang ada huru-hara sana-sini).

Rania dan Obsesi Nama-Nama


Saya suka perhatikan Rania, anak saudara saya. Kalau Haiqal suka pantun, suka rhymes, Rania suka beri nama pada semua barang-barang sekeliling dia. Kalau dia berbual sama mama dia, dia gunakan nama-nama yang dia beri untuk merujuk beberapa benda atau barang miliknya. Macam kereta mama dia, Rania sebut sebagai Venus. Beg sekolah agama dia panggil Twinkle. Beg sekolah di Cyberjaya dia namakan Flora. Skuter miliknya dinamakan Jessica. Basikal dia yang warna ungu dipanggil Dandeliah. Ejaan canggih tu pun dia yang tulis sendiri. Bukan mama dia yang beri. Terbaru, saya berikan kereta mainan kecil mini cooper. Mak oii, tergeliat lidah nak sebut nama yang Rania berikan pada kereta tu. Laineeana Menjestal Hainiegana. Rania baru darjah satu. Imaginasi dia tentang nama berangkai dan ejaan nama yang dia reka membuat buat saya menggeleng. Kata Rosie, "Nasiblah Kak Lily.... habis semua benda budak ni bagi nama. Tapi semua nama ala-ala yahudi!"
Barbie doll sama mini cooper Yaya, Mini Cooper tu Rania dah beri nama.  Macam susah betul nak menyebut!
Tu tulisan dia. Gemuk-gemuk
dan bulat-bulat tulisan
budak tujuh tahun ni. Serupa sungguh tulisan Rosie dulu.

Tuesday, June 4, 2013

Seratus Cinta Untuk 'DADDY COOL'

Maaf Rosie, Kak Lily kongsi di sini ya catatan Rosie yang tersiar di kolum BILA ROSIE MENULIS, MAJALAH INTREND. Rosie tak beri pun soft copy, tapi saya gigih taip semula di sini. Pagi tadi ke Tesco untuk beli barang masak, saya singgah di kedai majalah. Selak Intrend. Baca SERATUS CINTA UNTUK 'DADDY COOL', saya tersebak sendiri, larut dalam tulisan Rosie. Puas saya menahan mata merah. Saya cepat-cepat bayar majalah Intrend Jun 2013 ini sebelum masuk kereta dan menangis.  Rosie menulisnya dengan penuh jiwa, saya membacanya dengan penuh air mata. Tiba-tiba saja saya rindu abah! 

Terkenang saat abah kemalangan. Ya, kami anak-anak perempuan abah bergegas pulang malam itu. Dari Kuala Lumpur ke Melaka sebelum ke Muar. Saya masih ingat betapa saya menggeletar melihat kereta hancur di Balai Polis Sagil. Saya terbayang abah yang khabarnya merangkak keluar namun tetap menyakinkan kami, dia tak apa-apa. Abah baik-baik aje, jangan risau. Itu pesannya berkali-kali. 

Selepas melihat sendiri kereta yang remuk, jiwa saya resah beberapa hari. Oh, saya masih belum bersedia untuk hilang abah selepas saya hilang emak 2003 dahulu. Cucu-cucu masih perlukan Atuk Nasir. Dan saya katakan pada Rosie, tanpa kasih sayang Tuhan pada abah, tanpa Allah yang mengasihani kami, mungkin malam 13 November itu agaknya kami anak-anak perempuan abah dan menantu lelaki abah sudah berlinang air mata harus sambut abah dengan kain kafan. Allah Maha Penyayang, Allah beri peluang lagi pada kami untuk terus bersama abah.  Hidup kami dengan abah penuh warna dan cerita. Seperti kata Rosie, kala usia begini, apa pun ceritera lalu, dia tetap abah.

Catatan di sini hanya sebahagian saja yang ditulis Rosie. Untuk bacaan penuh boleh dapatkan Intrend Jun 2013.



Untuk Rosie, mudah-mudahan satu hari dapat luangkan masa menulis cara serius karya kreatif;))

SERATUS CINTA UNTUK 'DADDY COOL'

 MALAM itu saya tidur di kakinya.
Ya, malam itu saya tidur di kakinya hingga pagi. Tidak seperti kelaziman mana-mana malam sekalipun dalam seumur hidup saya. Saya mencium tangannya. Saya mencium jari-jarinya. Air mata saya menitik kerana merasai kesakitannya. Dari ambang pintu wad dengan udara pekat dilarut bau ubat, saya melihat dia terbaring di katil hospital, mukanya bengkak dan sembap, hidungnya basah dialiri darah. Nyawa saya seakan terlucut ke kaki.

Anak-anak memanggilnya abah. Tetapi saya dan kakak selalu mengusiknya Daddy Cool. Mengapa Daddy Cool? Kerana abah adalah satu-satunya manusia paling cool yang pernah saya temui. Tidak pernah sekalipun kami ditarik telinga, dicubit, dirotan jauh sekali dijentik waima dengan hujung jari. Pancinglah dia dengan apa jua perkara yang boleh meledakkan bom jangka amarahnya. Perkara paling dahsyat yang abah boleh lakukan kepada anak-anaknya hanyalah menghyunkan tangannya tinggi-tinggi ke udara. Itu sahaja. Dan tamparan abah itu hanya tinggal dalam angan-angan kami.


Abah bekas kakitangan Hospital Besar Melaka, dari Jabatan Pengimejan & Diagnostik (dulu-dulu dipanggil Jabatan X-Ray saja) Maka satu perkara yang paling saya suka jika pergi ke Hospital Besar Melaka apabila membuat pemeriksaan kesihatan adalah adanya 'karpet merah' dan 'laluan ekspres'. Tidak perlu menunggu. Tidak perlu beratur. Tidak sempat termenung pun, kerana semua kawan-kawannya akan lekas menjeritkan, "Cepat, cepat, ini anak Nasir. Anak Nasir."

Saya mencari abah malam itu 13 November 2011, di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar. Bersama kakak, adik, abang dan adik ipar; kami menderu membelah malam pekat dari Kuala Lumpur, singgah ke Melaka lalu ke Muar. Dan apabila terlihat dia terbaring di situ, kaku dan tidak bergerak, nyawa saya menggelongsor ke kaki.

Sebelum pencen abah jaguhan sukan. Marathon, bola sepak, sepak takraw, hoki, ping pong, oh semua itu makanan rujinya. Mungkin kerana itu Tuhan mengurniakan tubuhnya yang sihat dan kuat, susuk elok sesedap mata memandang. Kuat dan gilanya dia bekerja, mungkin tertumpah sedikit sedikit kepada kami adik beradik. Seperti yang selalu disebut kakak, Hari Merdeka dia bekerja. Hari Pekerja dia bekerja. Hari raya pun abah berkejar menanggalkan kain samping songketnya kerana bergegas mahu ke hospital pada malam raya pertama.

 ABAH ditimpa kemalangan hari itu, 13 November 2011, enam hari sebelum hari ulang tahun anak sulungnya. Keretanya terbalik dan berpusing semula selepas dia menghentam penghadang konkrit jalan raya. Mujur abah tidak tercampak keluar Mujur abah tidak terjerumus menembus cermin hadapan. Mujur abah tidak terperangkap. Mujur kereta abah tidak terbakar. Dan menyaksikan keadaan kereta abah yang remuk dan riuk, semua yang melihatnya berulang kali melafazkan, "Abah kamu dilindungi Tuhan. Abah kamu disambut malaikat. Kerana abah kamu memiliki hati yang sangat baik."

Subhanallah! Tuhan Yang Maha Mengasihani.
Sejarah tidak mungkin menyelewang kebenaran. Maka buruk atau baik bapa yang kita kasihi, serba ada atau serba kurangnya dia semasa muda kerana mungkin tidak memberi secukupnya; serba membimbing atau serba pincang kepimpinannya kerana dia mungkin tidak berupaya menjadi teraju luar biasa buat keluarga kecilnya; itu bukan alasan untuk kita; anaknya, menitikkan dendam hitam, atau mengungkit-ungkit perkara yang lalu yang sudah pun dia terlupakan kerana fikirannya barangkali mulai nyanyuk dan daya ingatannya tidak setangkas 40 tahun dahulu.

Saya sudah melalui kesusahan dalam hidup. Dan saya sentiasa diajar untuk mensyukuri setiap pemberian-Nya, baik dalam bentuk material mahupun bukan. Tetapi saya sentiasa berpegang, bahawasanya selepas emak tiada lagi, maka abah adalah sebaik-baik rumah untuk menyemarakkan kasih sayang.

Malam itu saya tidur di kakinya.
Sepuluh minit selepas itu, sewaktu saya mengusap kepalanya, dia tersedar, terperanjat, lalu bertanyakan, tidak penatkah memandu jauh-jauh dari Kuala Lumpur untuk ke Muar? Dan katanya yang masih saya pegang hingga hari ini, terima kasih kerana pulang melihatnya. Kami berbicara, tetapi dia sudah terlalu penat, lalu saya biarkan dia menyambung rehatnya kembali. Saya tidur di sisinya sambil duduk di atas kerusi plastik yang keras. Udara hospital masih pekat disejati bau ubat. Saya terlena bermimpikan abah mendukung dan mengucup pipi saya semasa kecil.

ShareThis