Tuesday, November 11, 2014

SIRI CERITA CERITA PASAL BUKU 3







SIRI CERITA CERITA PASAL BUKU 3
(Cewahhh macam tak der kerja mak che bunga. Sesekali... minggu depan dah pulun kerja)

AMPUN ya... tak ada niat nak offended sesiapa. Saya tulis ni kira menjawab pm atau emel yg saya terima yang kekadang tak sempat saya nak balas terutama time tengah sibuk dengan che bunga atau dengan job clarins atau dengan bos di perak:)) Dan ni lebih sekadar berkongsi kisah. Baca santai santai aje. Anggap yg tulis ni makcik beranak kecik yang duduk rumah, cuma hobinya aje menulis sejak umur 13 tahun:))

SAYA dengan Rose Harissa kekadang terasa hidup dalam alam sendiri. Dalam gua yang tahunya cuma pasal anak, sesekali seronok bercakap pasal artis (kami ni kan mokcik duduk rumah) Apalah yang menyeronokkan selain dari isu anak dan retis sesekali.

Tapi bila sesekali terdengar kisah itu ini, pasal ruang lingkup menulis. Haishhh... hahaha saya tak reti nak komen... nak pulak bila orang bertanya. Saya belajar menulis bermula dengan rencana, kemudian bertatih dengan cerpen. Kemudian novel dengan ihsan Khadijah Hashim. Dalam pada itu cerakin karya saya mulai bercambah bila saya di kampus, saya menulis untuk YADIM, saya menulis untuk Jabatan Perdana Menteri Bahagian Hal Ehwal Islam.

Praktikal pula di meja wartawan AL-ISLAM. Time tu kalau bab artis, saya tetap mencelah, ikut Rodziah Mat Akil assignment di URTV. Kemudian kerja di Jelita. Selepas tu saya sdn bhd. Perjalanan yang panjang dan penuh warna ni buat saya sentiasa berawas kalau mahu komen karya orang. Kita rasa kita terror ni... hahaha tapi orang lain hebat yang gini. Macam saya... masa handle projek majalah rasmi AF zaman Mawi... ampun.. saya rasa kecik sangat biar jawatan macam besar. Sebab saya rasa tak pandai... saya rasa tak tahu langsung bab hiburan. Tapi saya redah buat.

Macam jugak buat skrip dokumentari. Sama macam saya buat terjemahan. Job pertama dan besar saya, bila diberi kepercayaan buat terjemahan siaran media mohon maaf isu bebola daging ikea tu... hahahaa blur blur kejap masa tu. Tak pandai. Tapi belajar. Studi. Kaji. Rentak langgam penulisan gitu bagaimana. Dan jangan sesekali besar kepala... saya percaya sangat, kalau eksen sangat rezeki pun ketat.

Apa yang tak pernah saya lalui... beranak kan Airis pun ada kawan jauh, kawan keluarga yang juga penulis hebat tersohor ala ala kuat agama, boleh buat joke.. Orangnya muda jugak. Hahaha kak lily beranak? Kak lily tu kan dah tua? Dan dia jugak dulu sebut saya penulis yang dah level ramlah ram. Hahaha saya sengih aje. Saya tak rugi apa. Saya alhamdulillah. Orang yang suka mengata orang ni kekadang bagi saya jiwa sakit. Hidup tak tentu senang mana pun.

Gitulah.... kalau kita rasa hebat, insyaAllah, ada orang lain lagi hebat. Kalau kita rasa kita ada karya agung, orang lain entah entah lebih awal dah ada.

Saya juga tertahu, ramai penulis buat kenyataan, Oh saya tak baca novel orang, Saya tak baca novel si polan. Oh, pantang saya baca karya orang. Ah, novel dia sampah. Astagfirullah.... saya urut dada. Sebab zaman dulu tak pernah timbul isu begini. Saya buat novel cinta picisan pun tetap dipandang sebagai 'anak murid' oleh Pak Samad. Sering aje dia beri nasihat dan kata semangat. Walhal saya rasa bila Pak Samad pegang karya saya waktu itu... Allah, malunya! Saya sedar diri siapa saya.

Tapi yang terjadi di kalangan orang yg claimed tak membaca karya orang ni, bagi saya dan Rose yang gigih membaca selalu pening pening lalat. Eh, kenapa karya dia ni macam dalam blog si polan yang novel bersirinya tak habis ya? Eh, kenapa watak dia ni macam karya orang tu, yg dah terbit bertahun lalu tapi mungkin tak glamor sebab dia tak ada group? Atau kekadang Rose Harissa sendiri menjerit, "Kak Lily, kenapa macam novel aku??? Kenapa watak ni sebijik watak aku,... nama pun dekat dekat sama!" Banyak sangat persamaan.

Selera orang berbeza. Saya suka kek coklat, anak suka keju. Saya suka novel, Syafiq suka baca Gempakstar. Dan, saya tak pulak mengharamkan gempak star apa lagi nak melebelkan itu picisan. Kalau kita memandang karya dengan niat mencari sisi hitam, sisi hitamlah kita jumpa. Kalau kita baca dengan berlapang dada, paling tidak rasa santai itu kita dapat.

Dan, macam Rose Harissa selalu sebut, "Tak payahlah nak mengangkat karya sendiri. Contoh sikit sikit karya sendiri. Biar readers yang sebut. Bukan kita yang sebut. Kita buat kerja menulis dah. Tak payah nak kira buruk karya orang. Malaikat kat kiri kanan orang tu dah ada cukup nak catat dosa pahala orang tu."
Okkk daaaaa...:))

SIRI CERITA CERITA PASAL BUKU 2





SIRI CERITA CERITA PASAL BUKU 2

Insya-Allah! You name it, you got it:)) Saya pengumpul buku dan majalah. Pembaca buku dan majalah. Semua saya beli. Majalah apa yang tak ada dalam simpanan. Al-Islam saya beli tiap bulan. Glam saya tak miss. Jelita, Intrend, Impiana, W&W semua saya kumpul. Nat Geo, Majesty, Royalty, Instyle semua saya borong biar kekadang nanges, satu majalah boleh jatuh harga RM39.00.

Pantang Rose Harissa beritahu saya. Kak Lily, kau baca ni... cerita dia lain. Kak Lily kau beli ni, novel ni berani gila, Kak Lily kau cari yang gini.. Kak Lily, gi blog ni. Baca cerita dia comel. Aku kagum. Ya, saya cari dan baca. Satu ketika, waktu filem Lagenda Budak Setan hangat, gigih saya dan Rose Harissa mengumpul semula novel Ahadiat. Habis saya rayau KL, Penang demi mengumpul semua siri Ahadiat. Kami baca, seronok, sembang santai dan rasa segar minda.

Tapi itulah.

Kami sembang habis di situ. Amat jarang saya dengan Rose mahu bawa cerita menulis di fb. Letih sebenarnya. Dunia penulisan kita kecil. Dan sebenarnya biar ada macam macam perancangan orang berkuasa dan yang berpengaruh, ia akan tetap begitu. Hahaha tak taulah kot zaman saya dah arwah esok lusa memang betul maju nanti...

Selebihnya kami seronok sembang pasal che ta yang beranak anggun comel. Kisah Rose yang kempunan beranak baby girl macam che tah. Sibuk bercerita fasal Fasha Sandha yang manis, macamlah artis tu jiran saya. Dan kekadang saya meroyan cerita pasal rumah dan dekor yang lawa lawa. Cerita di luar dunia penulisan, cerita di luar batas manuskrip ni kekadang menyegarkan minda. Menulis ni meletihkan. Kami berbincang macam berpuluh cerita dah ready plot. Tapi nak siapkan sebuah novel pun sayup setahun satu. Sebab? Kami ni kalau anak nak periksa, sebulan awal dah menjerit di rumah.

Dalam dunia penulisan ni bak kata Rose Harissa yang pinjam ayat Baim Wong, "Kalau sibuk melihat orang lain, kapan saatnya aku melihat diri sendiri yang masih banyak kekurangannya. Ketika orang membicarakan kita jangan pernah berusaha menjelaskan kerana penjelasan itu, kadang pembelaan diri. Setiap manusia ingin menjadi orang yang selalu benar. Cukup jadi diri sendiri. Biar mereka sendiri yang menilai seperti apa diri kita."

SIRI CERITA CERITA PASAL BUKU - 1

SIRI CERITA CERITA PASAL BUKU - 1


Stok novel makin membukit selepas saya terima hadiah hampir 500 naskah novel pelbagai judul dari pelbagai penerbit. Terima kasih Eynda Iynda yg hadiahkan kak lily koleksi kesayangan. Itupun majalah, novel dan buku ulang kaji sekolah yg sebanyak separuh rak ni dah saya berikan pada sekolah sekolah anak. Saya kumpul dan baca semua. Saya tak pernah diskriminasi karya orang waktu membaca. Saya juga tak suka judge karya orang. Bakat A mungkin hebat dlm tulis karya gedik, bakat b mungkin melankolik, bakat c mungkin penuh sastera dan falsafah ... bakat d mungkin santai sesantainya. Orang z mungkin tak pandai tulis macam orang y. Ilmu menulis ni Allah pinjamkan aje. 

Penulis dipinjamkan sezarah aje. Bagi adik adik yg selalu pm kak lily tanya macam mana kak lily buat terjemahan, buat buku coffee table, buat novel, buat skrip dokumentari, tulis rencana etc.. jawapan cuma. .. baca semua:)) Buang ego, belajar, kaji karya yg hebat (jgn ciplak udahlah), merendah diri, Insyaallah peluang macam macam akan terbuka. Usah baca demi nak kaji dan cari buruk atau khilaf karya orang lepas tu pukul canang. Tak bestkan macam tu....

Friday, November 7, 2014

Review Yang Manis - CINTA HILANG KATA - Catatan MONALITA MANSOR


Terima kasih ya adinda Monalita Mansor yang sudi kongsi dengan kak lily review CINTA HILANG KATA.  Sejujurnya saya cuak dengan Mona. Dalam memilih karya, saya tahu dia cerewet. Saya juga tahu dia amat teliti bab-bab tatabahasa dan ejaan. Alhamdulillah, CINTA HILANG KATA serasi dengan selera Mona:)  


  • Monalita Mansor
    saya dah habis baca CHK - bagi 10 bintang le kat akak - saya kategorikan ia kisah manusia @ kemanusiaan
    Cinta itu kemanusiaan - dalam kisah Rain dgn Nurul - tak ada cinta dalam erti kata cinta hakikat (kasih sayang dalam berumahtangga) tak membawa ke mana - kisah Amirul dgn Nurul.
  • Monalita Mansor
    Monalita Mansor
    Manusia dinamakan manusia bernafsu besar dan timbul isu-isu sekitar - hasad dengki, caras-mencaras, hasut -menghasut - watak Sabirah dan Zaili, masuk juga Kak Muna, Mahyun dan Jah Gayah terutamanya.
    Terus bergulat sekitar manusia ialah apabila sanggup bersekutu dengan bukan sejenisnya untuk merosakkan manusia lain - watak yang lima kat atas tu.
    Tapi yang paling best ialah : segala kerenah penerbit, kerenah editor, penulis malah pembaca sendiri akan kupas habis-habisan dan sangatlah memanaskan punggung mereka-mereka yang terlibat (kalau mereka sedar dan merasa pedasnya cili yang akak bubuh dalam sambal terasi tu)
    Gaya bahasa akak memang tak berubah - masih konsisten malah makin cantik. Dan bahasa-bahasa 'puaka' yang masuk sekali tu, saya tak tahulah tapi watak Deens tu memberi banyak info tentang bangsa lelaki.
    Watak Ustaz Arif yang selamba. Kak Melah dan Firdaus yang menguatkan cerita. Tapinya saya nak tanya asal akak guna nama Sabirah ek? kalau kat tempat saya 'birah' tu maknanya gatal hihi
    kesilapan memang 0.01% la. ejaan alhamdulillah cumanya ada satu part yang saya kesan masa (novel kat umah) masa part Nurul ke Eza cakap kat diri sendiri - dalam bahasa inggeris suruh menulis. tetiba perkataan akhirnya waiting


Ni catatan di blog MONALITA MANSOR


Assalamualaikum.

La, mesti korang dah nampak kan entri pasal CHK ni tempoh hari. Apa yang buat aku nak ulang lagi? Hari tu, aku tulis masa belum habis baca. Sekarang dah habis baca.

(dah tak menulis ke Cik Mon? asyik review novel aje...hihihi)

Hmm...Love You In Silence. Cinta Hilang Kata. Mesti kat jelapang minda (pinjam ayat penulis) ingat ini cerita cinta. Aku pun sama - mula-mula.

Dahlah novelnya besar gedabak. Tebal pulak, memang kelas Kamus Dewan, tinggal lagi dia tak berkulit tebal aje. Tapi bila aku habis baca, aku faham. Penulis dan penerbit cuba menyampaikan sesuatu melalui saiz, ketebalan, kaver dan tentu sahaja isi cerita. Aku panggil 'rebel with a cause' - kwang...kwang...kwang.

Aku suka kata novel ni novel kemanusiaan. Kata kuncinya manusia.

Manusia itu merujuk kepada Nurul Masmin. Watak utama yang memang manusia sifatnya. Berserah, pemurah, akur pada kehendak orang lain, tetapi pada masa yang sama memimpin pemberontakan secara terpimpin di dalam hati (rujuk bab dia panjat pagar asrama lelaki dan p gunting boxer Amirul!)

Manusia juga merujuk kepada Rain Akhtar, seperti adanya lelaki di luar sana. Takut-takut berani. Manusia merujuk kepada Amirul yang memegang mazhab separuh-separuh. Taat mak (perempuan) wajib/menjahanamkan duit bini, tak bertanggungjawab (perempuan juga) wajib. 


Manusia diwarnai hasad dengki, tindas menindas, caras-mencaras, malahan ke tahap yang paling gampang, paling sial (kata kasarnya) bersekongkol dengan syaitan. Syaitan pun pening kepala! Penulis pula macam sengaja membiarkan syaitan-syaitan dalam bentuk manusia ni menang. Sesuatu yang sangat tak disukai oleh pembaca. Rupa-rupanya, di dunia nyata itulah realitinya kerana yang mungkar itu akan selalu kelihatan menang. 

Panjang review nih!

Tapi, dalam banyak perkara, penulis dengan selamba tenuknya menerusi watak Nurul Masmin, Ezra, Che Wanie, Deens, Sabirah (eiii), Zaili, dan Kak Muna telah menelanjangkan sampai nampak nyata kudis, panau, kurap, kayap, kudis buta, lebam, bengkak dunia penulisan. Daripada kepala - ragam penulis sesama penulis, editor, penerbit, pengedar dan akhirnya pembaca. Kesemuanya.

ShareThis