Thursday, April 11, 2013

Siri Akhir - Hizairi Othman: Satu Catatan Peribadi



Hizairi Othman: Satu catatan peribadi

Sewaktu dia baru-baru hilang, saya tak berminat untuk memberi komen. Entah, saya bimbang hanya akan membuat arwah Dr Othman Puteh terluka hati, atau mungkin membuat ibunya, Bonda Timah sentiasa perit menanggung rindu pada anakanda mereka yang hilang secara tiba-tiba.

Apa yang boleh saya kata, persahabatan antara keluarga saya dengan Hizairi sendiri memang akrab sebaik saja saya tamat UM. Mungkin sebab saya di Jelita, dia di Majalah Massa. Ada waktu dia mengundang saya untuk memberi kuliah berkaitan kewartawanan majalah di UPM sewaktu dia sudah meninggalkan dunia majalah. Dan, selebihnya saya akan selalu menyusahkan hidup dia mendapatkan bahan dan orang untuk diinterview di Jelita.

Sebagai ganjaran, saya akan sentiasa supply dia bahan library online NSTP yang dia perlukan untuk menyiapkan thesis sarjananya. Kenapa saya menulis catatan tentang sahabat ini? Sebenarnya apabila melihat kelahiran penulis muda yang sangat ramai sekarang, saya amat-amati, hampir tiada yang menyerupai atau menghampiri peribadi Hizairi Othman di zaman kegemilangannya sebagai penulis muda dahulu. Sekarang mungkin ramai yang bagus, tetapi terlalu kental jiwa 'keakuan'.

Ramai penulis generasi baru kalau menyebut, mengupas, memuji atau mengambil contoh karya sewaktu forum atau perbincangan, gemar mengangkat karya sendiri. Itu belum masuk kes yang suka mengeji karya orang. Belum lagi bab membuka group rahsia di fb semata-mata untuk mengeji karya orang lain. Seingat saya dahulu, sahabat saya ini biarpun bakatnya sangat luar biasa, orangnya sangat cool dan merendah diri. Tak pernah kot menyebut cerpen atau novelnya yang sekian-sekian bagus dengan nada mendabik dada. Waktu dia menang hadiah RM70,000 pun dia tetap tenang-tenang saja.

Catatan 1

Karya dia selalunya berfalsafah. Karya saya dan rakan-rakan yang lain mungkin sekadar berfalsampah. Tapi dia tidak pernah memperlekehkan kami. Dia antara yang rajin membaca dan mengkritik karya kami dengan cara yang paling sopan, tertib dan menyenangkan. Takkan ada rasa tersinggung kalau dia menegur.

Saya antara rakan yang nakal dan kekadang celupar selalu mengusik dia, "Hizairi, asyik awak aje menang kalau masuk pertandingan menulis. Tak acilah! Dahlah ayah awak orang kuat sastera. Suruh pakcik Othman pencen ya!" 


Dia akan jawab, "Amboi... kemain ya lily!"
Begitu peribadi sahabat dan penulis hebat yang menjadi idola ramai penulis muda waktu eranya. Tidak ada sekuman pun riak atau bongkak pada dirinya biarpun ramai mengiktiraf tulisannya itu tulisan emas untuk karya remaja.

Catatan 2

Setiap kali raya sahabat saya ini memang tak lupa bagi kad raya. Siap ditulis tiga nama, saya, suami dan Syafiq. Selalu saya bising. Duit raya Syafiq mana? Dia akan kata, "Datang raya rumah OP, nanti OP bagi buku untuk Syafiq." Hahaha sangat benar. Masa beraya di rumah familinya, Syafiq diberi buku-buku kanak-kanak pengganti duit raya oleh arwah Dr Othman Puteh. Tanpa saya sedar, sudahnya bila sudah berusia, saya juga selesa memberi hadiah buku pada orang yang beraya di rumah saya. Al Fatihah untuk arwah Dr Othman Puteh.


Catatan 3



Mungkin kalau intro cerpen ni diubah lagi menarik. Cuba teknik menulis yang begini. Ending dia tu lebih bagus kalau ditukar. Perwatakan tu tak berapa kukuh, kena detail lagi. Hizairi memang pakar membedah karya rakan-rakan. Dia menegur ikhlas dan tanpa nada sarkastik.

Selalunya lepas penat dia bercakap itu ini, kawan-kawan UM akan paw dia. Tak pasal-pasal dah lah kena bagi ilmu menulis, kena belanja kawan kawan pulak tu! Menulislah dengan tanggungjawab. Itu antara pesanannya. Dan selalunya kalau dia kata dia sudi memberi komen itu bermakna dia akan baca dan menghadamkan karya rakan-rakan dengan bersungguh-sungguh. Bukan baca sebab terpaksa atau mahu mengambil hati. Mungkin ini sebahagian peribadi yang memacu dia menjadi penulis hebat di usia muda.


Catatan 4
Ayah saya sesekali bila berkelapangan akan menelefon bertanya khabar Dr Othman Puteh. Persahabatan kami macam persahabatan keluarga sebenarnya. Mungkin sebab itu juga sewaktu Hizairi dikhabarkan hilang, arwah mak saya selalu menggeleng dan mengurut dada sambil mengharapkan yang baik-baik sahaja untuk Hizairi bila terdengar saya menyebut nama rakan yang seorang ini. Syafiq panggil dia dengan gelaran Abang Zack. Hahah bab ni saya terloya sikit! Sewaktu melahirkan Syafiq dan Anis, dia datang ziarah saya dan suami di Hospital Pantai. Saya muka selamba tanya mana hadiah. Dia akan sengih-sengih kata yang penting dia ziarah kawan.

Suami saya dulu pun tahu sangat, saya suka buli Hizairi. Kalau saya susah mendapatkan orang atau tokoh untuk diinterview, dialah jadi mangsa tempat saya minta tolong. Kebaikan dia yang sangat bermakna bagi saya tentunya bila dia memastikan saya kembali boleh memandu selepas 8 tahun tak pegang stereng kereta gara-gara kemalangan.

Saya trauma memandu bila kereta saya terbalik waktu saya berusia 18 tahun. Tak ada lesen pulak masa tu!  
Selepas dapat lesen waktu umur 18 tahun, saya simpan aje lesen sebab trauma kemalangan. Ke hulu ke hilir saya selesa naik teksi selama 8 tahun. Waktu KL heboh kes driver teksi jadi perogol bersiri, saya jadi takut naik teksi. Sebulan genap Hizairi menjadi guru memandu saya. Setiap waktu lunch dia akan datang ke pejabat saya di Jalan Riong NSTP untuk memastikan saya memandu sejam sehari. Sebagai ganjaran dan tanda terima kasih, saya berikan dia dua tiket konsert Shiela Majid dan segala bahan library online NSTP yang dia perlukan masa tu.

Dan bila saya dah boleh memandu semula, hahaha... saya ingat lagi saya dengan bangga dan selambanya memintas-mintas keretanya dengan menciluk-ciluk di selekoh waktu kami ada urusan ke UKM. Cess... Hizairi beli kereta baru. Citreon Xsara merah cili. Hahaha saya dengki sengaja saya test drive kereta saya,
yang masa tu saya baru beli. Sampai di parkir dia menegur, "Ingat... bila kita memandu, orang (kereta) di depan kita tanggungjawab kita. Wah, baru drive semula dah bawak kereta macam ribut ya!" Tersengih-sengih saya bila cikgu memandu saya menegur.


Saya 
dan seluruh ahli keluarga mendoakan mudah-mudahan segala kebaikan dia dibalas dengan kasih sayang Ilahi biar apa jua yang telah berlaku pada dirinya. Amin!

Buat adinda Dr Kamariah, kalau diizinkan Allah swt, ya, kak lily dan rakan-rakan ex Media akan menghubungi Kamariah ya untuk ziarah Bonda Timah Baba, ibunya Hizairi.  Buat rakan-rakan ex Media, Kak Is, Dr Ayu, Gee, Shasha, Liza, kak Rahimah etc... terima kasih sesangat! Saya tak sangka catatan demi catatan saya berkisar Hizairi mendapat komen-komen yang mengembalikan nostalgia.

tag: Kak Iswati @ Hassan IdrisShasha ShafieHaswida Abu BakarRodziah Mat Akil

3 comments:

huhuhu said...

Salam puan. Semasa saya berumur 10 taHun saya amat tepesona dengan novel bertajuk Kai Di Lembah Urda. Cerita itu mencambahkan minta saya dalam bidang penulisan hinggakan saya turut menulis novel.

redbox said...

wahh... sy yg x kenal dgn hizairi pun bila baca yr posting jd kagum dgn dia. Semoga dia masih selamat kt luar sana & kembali ke pangkuan keluarga asap.

Unknown said...

Mungkin saya terlambat memberi Komen. Saya bukan siapa-siapa. Tapi ketika tulisan Hizairi mula saya kenali, saya sgt kagum dgn bakatnya. Saya susur juga karya Lily Haslina Nasir, Mawar Syafie dan dan beberapa penulis muda seangkatan. Saya kutip pengenalan diri mereka dalam setiap karya di DS. ketika itu, utk budak kg mcm saya langsung tiada media sosial, dot membaca DS saya ulang dr kulit ke kulit..hingga saya hafal hingga kini, salah satu tulisan Hizairi dlm sebuah menjadi cerpen.. bukan inti erita yg jadi tumpuan,senyum wWn Zaleha yg mengumpan.. Apabila Hizairi menjadi tutor saya di UPm saya sangat teruja! Hebih bgtau rakan-rakan Hizairi jadi tutor sedangkan rakan-rakan langsung Tak kisah kecuali setelah mengenali sosok kacak penulis tersebut. Saya minat dia dan karyanya tanpa syarat. Cuma sbg anak kg yg miskin, perlu berkira-kira membeli novel. Saya pernah berangan menjadi spt Hizairi dan rakan2 penulisnya tapi hingga kini tidak kesampaian. Kemudian Hizairi cuti sabatikal Dr UPM utk menghabiskan PHDnya.. menang Formula 1Malaysia.. hilang hingga kini.. Jauh di lubuk hati saya sangat sedih dgn kehilangannya. Di mana jua dia berada, semoga rahmat Allah utknya.. pray for Hizairi Othman.

ShareThis