Sunday, December 30, 2018

Mengkritik Usah Dengan Emosi

MACAM biasa, selesai deadline, saya suka buat pembersihan ruang kerja. Menyusun semula segala bahan bacaan, segala majalah atau apa saja yang menggunung atas meja. Ada yang terselit entah di bawah rak, di dalam laci. Kemas punya kemas, terjumpa keratan akhbar Berita Harian, Ruangan Sastera dan Budaya, 27 Februari tahun 1992. Judul rencana, "Reaksi Terhadap Forum Pena' Itu saya yang tulis sebagai balasan tulisan Almarhum Wak Ismas Saring, "Hasil Sastera Remaja Membimbangkan."

Saya ingat lagi masa tu saya tahun satu di UM. Darah muda kan... cepat aje emosi bila orang mempertikaikan sastera remaja. Cepat aje rasa nak menjawab. Acah-acah rasa diri dalam kelompok penulis remaja yang menulis sastera remaja. Jadi kenalah angkat sepanduk... kibarkan panji-panji!
Saya tak sangka pulak, tulisan saya tu bersahut. Tuan Ashaari Muhammad balas tulisan saya. Maka terpampanglah Ashaari Jawab Lily Haslina.

Huwaaaa... masa tu kan... rasa macam haishhh... nak berjuanglah sangat! Pantang orang mengata sastera remaja ni kosong, sastera remaja ni hampas, sastera remaja ni macam anak seluang mabuk di lautan... cepat aje rasa melenting., Hahahaha boleh bikin angin satu badan. Boleh terketar jari, nak marah, nak menjawab.

Selepas rentetan diri rasa glamor kejap nama terpampang gitu, saya sebetulnya resah gelisah kalau ke DBP atau ke mana-mana majlis sastera. Seriau rasa kalau terserempak dengan Wak Ismas Saring sama Tuan Ashaari. Macam diduga, dunia penulisan Malaya ni kecil kan... pertemuan tak sengaja tu tak boleh nak dielak.

Saya gemuruh tapi sesungguhnya otai-otai zaman saya ni sangat berhemah. Sangat santun, tertib dan mesra malah lembut bertanya khabar saya dan geng-geng penulis lain yang muda belia. Kami yang terpinga-pinga malu. Garang tegas mereka pada tulisan, tapi masing-masing jelas sangat meraikan kami anak-anak muda waktu itu. Sesekali dalam gelak, gurau pasti ada terselit pesanan mereka, "Tulislah apa saja, karya cinta pop atau sastera berat... pastikan ada mesej, ada isi dan dapat memberi kesan pada masyarakat."

Hari ini, 30 Disember 2018, apabila saya terjumpa semula keratan akhbar ini, saya senyum sinis pada diri sendiri. Huh, dulu kemain lagi menjawab-jawab sampai ke surat khabar kalau ada orang mencuit sebarang isu hal karya remaja. Dan, saya patut bersyukur sebab otai-otai dahulu tak labelkan saya ni kuat menjawab, cabul, biadap atau kurang ajar. Mungkin sebab bila menulis di akhbar, susunan ayat tu jadi tertib kan!

Dahulu, dunia penulisan biar sesekali marak apinya di dada akhbar atau majalah, tetapi kami tetap saling menghormati apabila bertentang mata. Jarang berpuak, jarang nak tunjukkan sikap keakuan, aku lebih bagus, kau budak mentah jadi shut up dan diam... atau kau orang tua, karya dah tak relevan, pi main jauh-jauh.... hahahaha... tak pernah ada rasa begitu. Mungkin sebab itu juga dahulu, hubungan mentor mentee sangat akrab. Arwah Dr Othman Puteh, arwah Dr Mohd Sahlan, arwah Prof Abdullah Tahir, arwah Razak Mamat, arwah Tan Sri A Samad Ismail.... ramai lagi kalau saya nak sebut... sentiasa menjadi pembakar semangat kami.


Orang lama mungkin sesekali berbunyi mengkritik kami. Err tipu kalau kata tak sentap. Sesekali berderau jugak darah, rasa macam aigoooo.... eh, aku tulis dah cukup effort kot. Tapi mungkin sebab waktu tu kami sentiasa pegang, pada adab dan tertib. Kami senyum dan kami menerima dengan senang hati segala komen otai. Dan terpaksa diakui di sini, otai-otai dulu melayan junior dengan penuh kasih sayang. Terserlah jujur dan telus. Tiada langsung sifat angkuh atau rasa diri yang terbaik. Akulah ratu atau akulah maharaja untuk sekian sekian genre. Oh, perlu saya sebut di sini... cara orang lama, amat pantang mengangkat dan memuji karya sendiri. Pujian atau cercaan lahir dari tangan pembaca. Penulis menyerahkan pada pembaca menjadi juri dan hakim. Untuk itu juga kami dengan rasa rendah diri, reda terima kritikan. Dengan semangat mahu baiki karya. Bukan dengan perasaan tersinggung, kemudian menikam belakang.


Senario gini rasanya macam dah semakin pupus saya perhatikan. Yang berasa diri hebat berilmu dengan kononnya aliran pemikiran yang tinggi, kekadang angkuh mengkritik. Sayang tak boleh terima teguran. Rasa pendapatnya saja yang terbaik. Akhirnya mudah saja berbalah di ruangan komen kalau ditegur secara terbuka. Yang muda belia pula, cepat sentap, cepat saja mencarut, mencemuh, menyindir kalau diri terasa ditegur. Itu belum lagi bab angkat senjata, hambat kuda perang, kibar panji dan serang balas melalui kempen-kempen di PM facebook.

Bila dah tersentap, tulisan di fb pun nadanya sangat melahar, berbahasa kesat, kekadang mencarut di media sosial. Tulisan kasar di khalayak sebenarnya bertentangan dengan sifat fitrah seorang penulis., Bukan ke penulis itu seharusnya insan yang kaya budaya, tertib dan penyambung kelangsungan tamadun bangsanya... ni kalau menulis di media sosial, asyik bernada maki hamun, penuh angkuh, di mana budaya diri seorang penulis?

Maaf kalau catatan panjang ini menggores hati sesiapa... sungguh saya spontan terpanggil menulis ini berdasarkan pengalaman sendiri. Saya gelak-gelak tadi berkongsi kisah ini pada Rose Harissa. Saya kata pada Rose, "Wah, aku rasa aku faham sangat adik-adik yang kuat melenting ni, Haha, sebab aku pun dulu macam.. tapi kan rose... hahhaa

Tapi kan.... sebetulnya bila artikel aku tu dibalas Ashaari, waktu tu sumpah aku ada dua rasa.... Pertama, rasa matilah aku!!! Takut weiii,... budak mentah hijau berhingus zaman tu, yang tak ada karya hebat, tetiba nak tunjuk jaguh, menyalak dekat surat khabar.... Kedua, hahahaha sebab terlalu takut, aku tak baca habis, artikel Ashaari Jawab Lily Haslina tu... Tiap kali baca, aku rasa senak perut! Ngilu dan cemas. Baru hari ni, aku baca dengan tenang dan sampai habis."

Kau BONGEK kak lily! Hahaha itu reaksi Rose.

Berbalik pada isu ni, ya.. ya... saya faham kalau dalam dunia penulisan ni ada riak, ada kocak, ada gelombang tsunaminya. Tapi bagaimana kita menangani, macam mana kita berbunyi dan apa ayat yang kita lontarkan untuk menzahirkan pendapat kita atau kritikan kita, itu sebetulnya amat penting.
Bayangkanlah.. kot saya memaki hamun, mencarut-carut zaman pada tahun 1992 ni,... agaknya dah tua dengan sebelah kaki dah di alam akhirat ni, mesti saya menyesal tak sudah... mesti malu dengan anak menantu.... mesti segan esok lusa kalau anak cucu baca... Hish, nenek lily ni teruknya dia tulis... eh, nenek lily ni kaki gaduh ya...

Tak best bukan.....






No comments:

ShareThis