
SEORANG lagi sifu, guru merangkap bapa bagi anak-anak didiknya di Jabatan Pengajian Media, Univeristi Malaya pergi menghadap Ilahi. Tiga hari lepas saya bersembang di laman FB dengan rakan-rakan UM.. dan kami dikejutkan dengan khabar pengkritik dan ahli akademik filem, Dr Anuar Nor Arai sedang berada dalam keadaan kritikal di sebuah pusat perubatan swasta KL. Dan lewat petang tadi Shaidah dari Berita Harian mesej pada saya mengkhabarkan berita pemergiaan Dr Anuar. Ya, dari Allah kita datang, kepada Allah kita akan kembali. Itu janjiNya!
Aduhai... cepatnya masa berlalu... Seorang demi seorang guru saya di UM pergi.. dahulu Allahyarham Prof Madya Abdullah Tahir, Dr Othman Puteh, kemudian Arwah Tan Sri Samad Ismail.. hari ini Dr Anuar Nor Arai... em, entah bila pula giliran saya.
Biarpun saya bukan pelajar yg majoring fikem namun banyak ilmu, pesanan dan nasihat diberi oleh Dr Anuar. Pengalaman bersama-sama menjadi krew untuk filem Johnny Bikin Filem, antara kenangan yg sangat mahal sempat dikutip waktu di kampus. Sungguh.. saya buta filem.. tapi secara teori, filem yang diterjemahkan oleh Dr Anuar sangat indah melalui ilmu dan pengalamannya. Mainan dalaman, emosi, bayang-bayang, lighting... segala-galanya mampu mencantikkan filem. Dan, semua itu sebenarnya saya kutip, saya adun untuk pedoman saya tatkala berkarya.
Sebenarnya pada hari rabu ini kami berpakat-pakat mahu membaca Yaasin selepas Isyak.. sama ada kami berada di Melaka, KL, UM, Kelantan ataupun UK.. mohon Allah permudahkan segala-galanya buat Dr Anuar.. Ya, Allah lebih sayangi dia. Jam lima petang tadi dia kembali. Mudah-mudahan dia tenang di sana!