Wednesday, December 14, 2016

Sedikit daripada KALBU PUN BERZIKIR

Sedikit daripada KALBU PUN BERZIKIR
Olahan Semula: LILY HASLINA NASIR
SKRIP & CERITA ASAL: PREM ANNAND PILLAI & MAIZURA Maizura Mohd Ederis
Foto: IG FASHA SANDHA
Lakonan: FASHA SANDHA, PEKIN IBRAHIM DLL
TELEMOVIE ASTROFIRST




Lelaki itu tampak asing pada awalnya. Tapi nan asing itulah yang menggugah jiwa. Norlia sentiasa ingat saat itu. Susuk tubuh lelaki itu memberi isyarat. Ya, dia lelaki pelindung. Tajam matanya memberi janji. Tentu sekali dia lelaki yang cermat mengawasi. Mana mungkin waktu itu Norlia menepis segala resah rasa. Dan, cinta itu memang datang secara tiba-tiba.

Mungkin ini sudah tersusun pada takdir. Bukan Norlia tidak biasa buat kerja. Bukan baru sehari dua dia menoreh. Mengangkat dan memikul baldi yang penuh susu getah memang rutinnya setiap tengah hari. Tapi entah mengapa tengah hari itu, matanya bagai tertutup hijab. Dia tidak ternampak ada parit baru digali di hadapannya.

“Assalamualaikum.” Lelaki itu menegurnya.
Mereka sama-sama melangkah mahu ke bangsal.
“Berat tu. Nak abang tolong?” Lelaki itu seperti mahu mengambil baldi dari tangannya.
“Eh, tak payah. Biasa dah.”
Tak selesa jalan bersaing-saing. Norlia melangkah pantas biarpun beban di tangan cukup mencengkam urat belikatnya.

Ghafar tertinggal di belakang namun renungannya tetap melekat pada tubuh lampai di hadapannya. Lengguk dan langkah gadis di hadapannya diamati dengan penuh asyik. Sebelum Ghafar tiba-tiba memberi amaran.

“Adik! Licin tu! Depan tu ada parit baru! ”
Norlia tak sempat mengatur langkah. Kakinya lebih pantas daripada amaran Ghafar. Dia tersadung dalam parit yang baru digali.
Badan tak mampu seimbang. Ulas bibir berulang kali mengucap, “Allah!”
“Adik!!” Ghafar juga menyambut dengan jeritan.
“Allah!!”

Tangan kanan Norlia tadi menjinjing baldi berisi susu getah. Tangan kiri pula kemas tong kecil berisi getah skrap. Semuanya terpelanting. Susu getah tertumpah dan melimpah membuatkan air mata Norlia bertakung. Sebu perutnya memandang jerihnya sejak seawal subuh punah begitu sahaja. Ya Allah! Bukan rezeki aku hari ini, Ya Tuhan!

“Boleh bangun tak ni?”
Sungguh, macam nak teriak pun ada! Inilah padahnya kalau dok buat kalut sangat. Bak kata orang tua-tua, sakit dapat, malu pun dapat!
Yang hang tak pi tengok jalan betul-betul tu pasal apalah Norlia ooii!! Bukannnya hang tak tau ada parit besar depan ni! Yang hang gatal sangat dok pi buat cerita Hindustan main lari-lari tu pasal apa?! Sekarang dah makanlah ubat dia! Rugi getah satu hari! Apalah malang nasib badan oiii!
Yang lagi bagus tu, boleh pulak aku tertomoih depan mamat ni! Malunya aku! Ni sah kena gelak sampai tujuh keturunan nanti! Malunya aku! Norlia ooii, awatlah hang gatal sangat! Mana aku nak letak muka ni!! Malu! Malu oiiii!
“Adik! Okay tak? Boleh bangun tak??” Ghafar bertanya lagi. Risaunya memuncak. Dah jatuh, senyap pulak? Tergigit lidahkah atau apa?
“Err…boleh. Boleh.” Demi tidak mahu menerima huluran tangan lelaki yang tidak dikenalinya itu Norlia memaksa diri untuk bangkit. Digagahkan juga diri. Kerut wajah menahan sengal dan bisa pinggang akibat terhentak tidak dapat disorok.


“Mari abang tolong.” Lelaki itu pantas tolong mengutip getah skrap yang bersepah.
Norlia mengetap bibir menahan sakit. Nafasnya bergelombang. Dia cuba untuk bangun.
“Aduh!” Kakinya tidak mampu untuk berdiri.
“Adik ni degillah. Abang nak tolong tak mahu.”
Norlia diam. Wajahnya semakin merah menahan sakit. Dengan segala susah-payah, Norlia berpaut pada kayu-kayu yang ada di sekelilingnya. Dia bangun dalam keadaan terdengkut-dengkut. Mereka beriringan menuju ke bangsal.

“Cuci kaki tu. Habis kena selut.” Ghafar menghulurkan getah paip yang ada di situ. Pili air dibuka dan di beri kepada gadis itu.
Norlia tidak membantah. Dia menyambut getah paip dan dicucur perlahan-lahan pada kakinya.
“Bengkak kaki tu. Kalau biarkan nanti masuk angin. Lagi bisa.”
Ghafar mencari sesuatu dari beg galasnya.
“Nak sapu…” Botol kecil dihulurkan pada Norlia. Bulat bundar mata Norlia memandang Ghafar.
Dia ni tukang jual minyakkah? Dah mengalahkan makcik-makcik simpan stok ubat dalam beg! Dah lah aku tak kenal sapa dia. Entah minyak apalah dalam tu. Berseredak saja? Ish, takutlah aku! Satgi kalau aku pakai, entah jadi apa-apa pulak!

“Ya Allah! Jangan pandang abang macam abang nak makan adik.”
“Saya tak kenal siapa abang.” Norlia berat mahu menyambut botol itu. Walaupun malu sebab terjatuh, namun dia masih perlu berhati-hati.
“Lah… agak-agaklah kalau tak kenal pun! Hilang ingatankah? Tapi rasanya tadi kepala tu tak terhantuk. Kot tersembam muka ke tanah tu adalah.”

Grrrrr… dia mula dah! Aku dah agak dah… siaplah hang Norlia, pakat dok kena gelaklah sat lagi!
“Bukan macam tulah! Toksah dok mengata saya boleh tak? Kaki saya dah lah tengah sakit. Tap kalau setakat nak hayun penampar jepun ni rasanya lepas lagi!” Norlia mendengus geram.

Ghafar tertawa kecil. Ada sahaja teletah gadis ini. “Okay, kita mula balik.”
Dia bangun dan berdiri di hadapan Norlia. “Nama abang Ghafar. Abang ni baru aje menoreh dekat kebun Mak Temah. Kebun tu dah Mak Temah pajakkan pada abang.”
“Oh!” Itu saja sepatah yang terucap pada Norlia. Orang Kolumpo ni tahu ke nak menoreh?
“Pakailah minyak tu. Sapu cepat. Nanti lagi melarat sakit kaki tu.”
Norlia mengambil minyak itu. Dibuka penutup botol dan dihidu. Matanya masih memandang Ghafar dengan penuh rasa curiga. Minyak apa ni? Busuk! Kembang bulu hidung bila terbau minyak angin dalam botol kecil itu.
“Minyak ni buat sendiri. Masak sendiri. Jangan takut. Jangan risau. Bukan minyak dagu, bukan minyak cenuai!”
Ada gelak kecil terbit pada bibir Norlia.
“Adik tak beritahu pun nama adik.”
“Norlia.”
“Panggil?”
“Nor.”
“Lembut aje nama macam rupa tuan punya nama .. tapi…”
Norlia membulatkan matanya.
“Tapi apa?”
“Bila buat kerja, macam lelaki. Jalan laju sangat. Macam nak hambat hantu! Semua benda nak diangkat serentak. Hah, kan dah tertomoih!”

Minyak masih di tangan Norlia. Dia teragak-agak untuk pakai.
“Ya Allah, adiknya degil ketegaq ya. Nanti bengkak kaki macam kaki gajah baru tahu!”
Melihatkan Norlia ragu-ragu, segera Ghafar bersuara, “Bawa baliklah minyak tu. Pakai kat rumah. Kalau apa-apa jadi pada Nor sebab minyak tu, cari aje abang dekat sini.”
Norlia tersenyum. Amboi! Bukan main lagi! Desis Norlia di dalam hati.
“Boleh jalan? Nak abang hantar?”
Norlia geleng. Tertawa kecil dia. Oh, lelaki tak payahlah engkau cuba membeli jiwa!

Saturday, December 10, 2016

KALBU PUN BERZIKIR - DI WATTPAD

https://www.wattpad.com/343062300-kalbu-pun-berzikir-bab-1
Yuhuuu:))
Untuk yang tertanya-tanya kisah KALBU PUN BERZIKIR, di wattpad ni Penerbitan Karyaseni dah kongsikan beberapa bab ya.


Salam hujung minggu.
Jemput baca kisah Norlia yang diduga melalui cinta pertama.
Rumahtangga bagai gempa bila anak kesayangan disahkan menghidap leukemia. Di mana kekuatan Norlia, apakah karamah kehebatan jiwa Fatin, anakanda yang sakit, dan apa sudahnya nasib Ghafar, suami Norlia. Semuanya ada dalam Kalbu Pun Berzikir. Skrip telemovie ini hasil karya Prem Anand Pillai dan Maizura Mohd Ederis. Memang meruntun jiwa... nak pulak cik manis bergula Fasha Sandha yang menjadi pelakon utama. Sebelum tengok telemovie, kita baca novel dulu yuk!KALBU PUN BERZIKIR DI WATTPAD

KALBU PUN BERZIKIR

https://www.wattpad.com/story/92412381-kalbu-pun-berzikir/parts



KALBU PUN BERZIKIR - Novel terbitan Karyaseni yang saya jalin, olah dan tenun semula plotnya, bersumberkan skrip asal tulisan Prem Anand Pillai dan Maizura Mohd Ederis. Payah sebenarnya tugasan menulis semula naskhah karyawan lain ni. Apatah lagi mediumnya berbeza. Skrip yang padat - pindah ke novel yang penuh lapis-lapis cerita. Mujur Fasha Sandha yang penuh jiwa dalam menghayati karektor, lagi melimpah emosi, ketika melakonkan telemovie ni mengilhamkan mak che bunga sesuatu tatkala menyusun aksara. Tak dapat tidak, terpaksa mak che bunga mengaku... banyak plot dalam Kalbu Pun Berzikir tu ditaip dengan lebih mudah bila mak che bunga mengintai Fasha di IG nya




Gambar Fasha Sandha dalam foto tu kreditnya pada IG Fasha Sandha.

Kalbu Pun Berzikir - ASTRO & KARYASENI

Terima kasih buat Chua Pei Yong yang beritahu kak lilly khabar ni:)) Alhamdulillah! Akhirnya novel yang ditulis berbumbukan skrip serta idea asal Prem Ananda Pillai dan Maizura Mohd Ederis, selamat diterbitkan. Terima kasih buat Dato, Penerbit Karyaseni, adik-adik manis editor Karyaseni, adinda Azlan yang bertungkus-lumus untuk cover... Semua sekali ya yang sama-sama dalam pembikinan novel Kalbu Pun Berzikir ni. Terima kasih dari hati saya.


Kalau tanya saya sekarang, ya saya lega dan mungkin bimbang jugak. Lega sebab siap jugak novel yang saya tukangkan dalam tempoh lebih kurang lima minggu. Bimbang kalau-kalau saya gagal 'menambah kecantikan' skrip karya Prem dengan Maizura Mohd Ederis ni. Mengolah skrip yang asalnya 147 halaman yang saya terima pada bentuk manuskrip novel setebal kurang lebih 500 halaman.... hahahaha ya saya mengaku, terblur kejap. Mati kutu dibuatnya.


Akal saya sengkak untuk tempoh dua minggu sebelum saya tukangkan. Sampailah che Rose Harissa kata, "Kak Lily, kau tulis cara kau, kau olah ikut rasa kau, yang penting cerita asal tak lari." Hahaha bertambah kalut cemas saya bila saya dapat bersembang dengan Maizura Mohd Ederis. Baru saya tahu, skrip yang saya terima tu cuma draf kedua. Maizura kata ada entah 7 - 8 draf yang dah dia sama produksi kupas. Allah! Bila dengar tu saya jadi cemas. Tapi ayat Maizura Mohd Ederis, ayat adik-adik editor, "Kak Lily, its okay, kak lily tokok tambah demi nak cantikkan cerita."


Maka mulalah misi saya mengintai IG Fasha Sandha sebab masa tu Fasha sedang sibuk shooting Qalbu Pun Berzikir (ni ejaan untuk telemovie ni). Dan ya, saya banyak membaca catatan resah gelisah Kak Wan Shahriza yang banyak memperjuangkan nasib anak-anak dan famili yang ada anak kecil penghidap kanser.




😎 ðŸ˜Ž ðŸ˜Ž YANG DITUNGGU-TUNGGU , TERBITAN EKSKLUSIF #KSP2U KHAS UTK EKSPO BUKU MALAYSIA 2016!!!KALBU PUN BERZIKIR -LILY HASLINA NASIR
Hidup ini sebuah cinta, cinta itu penyerahan pada Yang Satu. Berzikir dan bertasbihlah kalbu kamu, isyarat cinta selalu hidup.

Dan beberapa penambahan terpaksa saya lakukan dalam novel Kalbu Pun Berzikir ni untuk menambahkan rasional serta logik. Maklum time frame untuk novel lebih mudah, tiada sempadan. Dan saya pun faham, dalam skrip, kekangan waktu, bajet, semua ini menyebabkan beberapa watak dalam skrip disebut tidak serinci yang diperlukan diskripsinya untuk novel.


Pada Maizura Mohd Ederis, Prem, team Karyaseni, serta tentunya pembaca, jikalau ada kurang di sana sini waktu kalian membaca naskhah Kalbu Pun Berzikir ni, saya mohon jutaan maaf ya!

ShareThis