Tuesday, February 26, 2013

SWEET TALKER ;)) Ayat Lemak Berkrim


Cukup duit belanja? Stok makanan sama jajan tu share dengan kawan tak? Nak mak tambah topup? 
Ini soalan standard saya pada anak bujang yang jauh, biar kekadang saya bertempik bila dia di sisi saya.

 Atau kekadang, saya suka perhatikan sama ada dia online atau tengok status WhatsApp 'last seen today at' sekian sekian dinihari... Ada waktu saya nampak dari jam satu pagi sampai ke subuh bukan main anak saya online di whatsapp... 

Hahaha ni gunanya gajet ye untuk intai intip anak. Saya selalu bising. Saya kata pada dia, kalau mak berjaga malam setiap hari macam awak, dah berpuluh buku siap ditaip dalam setahun! Yang ni bergayut dan menaip di whatsapp, tak lain dari mengayat girlfrenz lah tu (ni andaian si emak!)

Selalu kalau sekitar jam 4 pagi atau subuh dia masih online di whatsapp, saya akan sergah. Hoi... tak tidur ya! Esok ponteng kuliah ya!! 

Tahu apa dia akan balas, "Mak rindu saya ya? Mak kalau rindu saya, cakaplah... nanti saya balik. " Atau kalau saya tanya balik ke tidak minggu ni? Dia soal saya semula, "Mak rindu saya tak? Kalau rindu saya, cakaplah...."

Kalau saya balas, "Hish tak kuasa!"
Dia bakar saya lagi, "Alah... mak rindu tu! Tak apa, nanti Ahad kita balik ya! Miss you... love you mak!" Siap dia send kartun flying kiss.


Sungguh... terasa loya. Nak pulak bila dia ala ala separuh formal bersaya saya dengan emaknya. Mengada sungguh anak yang sorang ni.

Haishhh... saya selalu fikir, ikut siapalah anak anak teruna saya ni. Memang suka mengayat orang! Zaman saya dulu, saya cukup geli lelaki yang pandai gula-gulakan perempuan dengan kata-kata lemak berkrim lagi bercoklat. Saya alergik biarpun saya tulis novel chenta.


Itu belum bab, kalau dia ternampak saya online jam dua atau tiga pagi, tetiba dia send foto dia yang berkeping-keping di whatsapp saya. Ayat tak tahan tu, "Mak, kacak tak saya?"

Huhuuh rasa mau muntah masa tu jugak! Anak sekarang lain dengan era saya. Kalau dulu saya buat gitu, beri foto saya pada mak saya, gerenti dah kena seguni amaran dan amarah! Masuk U suruh belajar, bukan berangan!
Waktu rumaja dulu, kalaulah lelaki yang cuba nak berkawan dengan saya, buat ayat-ayat dalam novel, buat ayat melankolik, huhuhuu sumpah saya geli! Terus saya rejek! Bagi saya orang yang sweet talker ni sangat FAKE. SANGAT TAK REAL. Tetiba anak teruna saya pulak jadi sweet talker ni... haishhh.... siapalah dia ikut! Manalah dia belajar? Nak kata suka baca novel chenta, haram tak pernah baca novel anak saya ni....

Kerja... Cepatlah Selesai!


TERIMA kasih Puan Nazmah dari DBP. Selama ni DBP memang tak pernah lupa undang saya. Majlis Hadiah Sastera Negara ke, Majlis Hadiah Satera Perdana ke etc, selalu saja DBP mengirim undangan. Tapi saya ni ada perangai suka duduk dalam gua. Zaman buat Akademi Fantasia dulu pun saya digelar Editor Projek yang anti sosial. Sayalah editor AF yang malas ke konsert. Tapi tak mengapa... untuk yang ini, saya cuba hadirkan diri ya Puan Nazmah biarpun saya dah macam ikan tercampak dari balang berisi air dik skrip drama 13 episod yang tak selesai lagi. Lama sungguh saya tak menulis novel untuk DBP.
Menulislah di mana-mana rumah penerbitan, tapi DBP tetap istimewa di hati saya, biarpun mungkin royaltinya tidak begitu meriah. Saya bermula dengan Minggu Penulis Remaja angkatan kedua -1986, adik saya Rosie juga ex MPR, anak saya Anis turut menyertai MPR tahun lalu. Untuk ini, DBP memang dekat di hati. 


Kejap lagi saya menghadap tuan produser. Hahaha biarpun dah nak masuk warga emas, biarpun dah ada berpuluh-puluh novel dan sudah menulis hampir semua genre penulisan, tapi bila berdepan dengan tuan produser, sumpah saya gemuruh. Macam budak sekolah jumpa cikgu disiplin. Banyak benda saya belajar, banyak benda saya kena tahu dan banyak pesanan harus saya faham serta hadam. Semuanya dalam jangka masa kurang satu setengah bulan. Maklum semua ada deadline. Ikutkan teori, hahaha dulu saya sempat jugak ambil paper filem dengan arwah Dr Anuar Nor Arai di UM. Tapi itulah.... teori takkan sama dengan amali. Menulis skrip drama bersiri ni memang buat saya jadi macam budak darjah satu yang baru kenal A, B dan C. Hahaha tak apa, proses pembelajaran kan hanya berakhir bila kita masuk ke liang lahad. Mode: Pujuk hati bertabah.


KERJA SAYA TAK SIAP, tapi tetiba nak kongsi benda ni.
Teori dan amali memang tak sama. Kita boleh berkongsi pengalaman, kita boleh baca buku, kita boleh pergi kursus tapi bila di trek permulaan, pengalaman itu sendiri yang akan ajar kita.
Hemm... ni mode jiwa kacau gara-gara skrip. Bak kata SuzannaZaily Zin, kalau saya mula belajar dengan telemovie mungkin saya bernafas sikit, tapi ni terus buat bersiri. Tu yang termengah-mengah. Ada kawan kata, "Kak Lily, nanti kau sharelah macam mana kau tulis. Macam mana kalau mula dari zero buat skrip tu. Kan best kalau kau kongsikan sekali skrip tu... Sebab kau mula from scratch."

Hahaha... nanti saya fikirkan.
 

Thursday, February 21, 2013

SYURGA CINTA DALAM IJAB DAN KABUL



Yang warna merah ini catatan Rosie di Intrend yang saya kira agak manis namun berbekas di hati. Kisah cinta, asmara dan syurga dalam ijab kabul. Ya, cinta bukan sekadar asmara. Dalam memakna dan mencari pasangan untuk ke jannah, kita kekadang keliru. 
Saya sejak kebelakangan ini sering dirujuk anak-anak. Saya akan mendengar dan kekadang agak terbuka dalam menyaring kisah cinta mereka. Itu lebih bagus bukan... daripada anak-anak ini kabur dalam membuat keputusan dan menyorokkan sesuatu. 
Saya cuma pesan, berdoalah yang baik-baik. Ikutlah gerak hati dan jangan biar hati atau perasaan beralah atau terkorban hanya kerana ego atau mahu menjaga hati... Cewaahhhh macam bagus emak cakap macam ni kan dengan anak??!!! Hahahaha... jemput baca rencana Rosie ni.

Ps: saya punya novel tak siap, jadi pinjam artikel rosie untuk kasi nyawa pada blog!


SYURGA CINTA DALAM IJAB DAN KABUL

Sebelas tahun lalu, kalau tiba saja kad undangan demi kad undangan perkahwinan kawan-kawan sekolah, saya gementar bercampur trauma. Mengapa semua orang sibuk nak berkahwin cepat? Jauh di lubuk hati, terdetik rasa terancam. Semua kawan yang sama-sama; ehem, gila-gila dan kaki joli; selepas ini masih sudikah meneman saya minum teh tarik di mamak pukul dua pagi? 

Fasa traumatik berlalu jua apabila tiba pula giliran saya (akhirnya!) memilih-merungut-merias kad undangan kahwin sendiri. Tetapi apabila sudah berkahwin, kawan-kawan yang gigih beranak dan beranak dan beranak lagi membuat saya trauma kembali.



Apakah semuanya sudah terlalu lambat untuk saya dan suami? Kami bermula lewat. Jadi keajaiban apakah yang boleh memecutkan zuriat?


Ya, alam bujangan tidak sepi daripada lirikan tajam dan soalan sinis, “Bila lagi nak kahwin?” dan anehnya apabila kita sudah pun halal diijabkabulkan, soalan seterusnya pasti kamu pun dapat menerka, “Bila nak ada anak?” dan begitulah adanya resam orang Melayu dan soalan-soalan tipikalnya; “Bila nak tambah anak?” 

Pesan saya buat kamu yang bakal mengembang sauh perkahwinan, usah gentar – kerana soalan itu sudah diduga. Usah bersedih kerana apabila tiba waktu Tuhan berkehendakkannya, maka jadilah ia.



Namun ingatlah, pernikahan itu bukan seputar isu memilih warna baju pengantin, atau memilih perincian pelamin, atau bertengkar-rajuk-pujuk dengan pasangan kerana hati angankan majlis gah berpuluh ribu sedang pasangan dambakan yang kecil-kecilan. Selepas si dia menggoncang tangan kadi, drama yang menanti kalian berdua lebih panjang. 

Kamu mungkin bertahan berjanji syurga, kamu mungkin diuji dengan wang ringgit, atau kamu barangkali juga dipilih untuk berpisah nyawa sedang asyik memadu hidup berdua. Lalu kerana itu para isteri, mari kita sama-sama menghargai setiap kenangan bersama pasangan, kerana masa tak bisa kita putar kembali, dan yang silam itu tidak mungkin boleh kita beli.
  
Andai kamu terperangkap dalam neraka cinta, suami mendua; sampai bila harus memendam rasa? Jika kita diberi peluang untuk melepaskan kerikil yang melukakan tangan, maka itulah yang sewajarnya dilakukan. 


Suami yang tidak lagi mencintai isterinya, tidak mungkin dapat dirawat jika dia sendiri enggan menampal luka rumahtangganya. Daripada kamu terus berdarah, ada baiknya kamu alirkan tenaga dan fokusmu pada diri sendiri dan anak-anak. 

Mungkin juga sudah sampai masa kamu dan pasangan berhenti sejenak menyorot hidup ini cara sekular dan melihat hidup ini secara spiritual. Semoga kamu semua lebih matang menafsir dan memperhalusi isu-isu rumahtangga; lebih cepat dewasa, berhenti menjadi anak-anak dan lekas menjadi ayah dan ibu sempurna. Semoga panjang jodoh kamu dan berkekalan ke anak cucu.


Tuesday, February 19, 2013

ZOMBIE LEWAT SUBUH....


Muka dah macam zombie, jerawat dah bersepah sana sini, diet ke laut sebab asyik kunyah coklat. Semuanya gara-gara benda alah dalam gambar ni. 

Saya mula misi menulis skrip ni 17 Januari dan  pada 17 Feb, saya dapat taip 320 halaman. Baru 8 episod. Allah!! Rasa nak meraung sebab perlu 200 halaman lagi. Kalaulah taip novel.... harus dah siap!!! Insaf kejap. Tulis skrip rasanya lagi susah daripada tulis novel. Dah lebih dua minggu saya tidur jam tiga pagi dan bangun jam enam.

"Mak dah siap skrip?"
"Belum..."
"Uppps ok! Larikkkkkk...."
"Kenapa Haiqal??"
"Macam biasalah... kalau kerja mak tak siap, mak kan suka marah-marah. Tak mau kacau.... larikkkkk" 

Ni antara dialog sengal Haiqal sama saya. Dia kata saya macam nak makan orang kalau tengah kejar deadline menulis. Hemm budak umur 10 tahun pun pandai cakap :((  

Monday, February 18, 2013

FASYA, THAMBI & JEJAI - CHENTA HATI


Bela kucing penawar jiwa, tapi kalau kucing mati boleh nanar sengsara jugak jiwa! Dalam telefon saya penuh dengan gambar Fasya. Hampir dua bulan Fasya saya dah tak ada, seisi rumah masih lagi tersasul-sasul panggil Jejai atau Thambi dengan nama Fasya! Memang Fasya sweetheart di rumah. 

MANA FASYA KAK LILY? Lama kak lily tak cerita fasal Fasya...
Fasya yang saya bela selama 6 tahun, yang asalnya kucing adik saya Rosie, sakit tiba-tiba.
Meraung tak tentu hala. Saya tengok belek dia tak ada apa-apa. Cukup dua hari, dia mati.
Merangkak dia masuk bilik saya. Alihkan tempat lain tak mahu. Saya tak lena tidur jadinya bila dia dalam sakit nazak, sesekali tegakkan leher pandang saya dan mengiau. Dia mati subuh 14 Disember 2012, hari  Jumaat. Anak-anak tak ada emosi. Semua pakat gelakkan saya bila tengok saya sensitif menangis dalam diam bila Fasya tak ada. Gambar atas tu lima jam sebelum dia pergi.

 Kawan saya, peneman saya bila menaip sampai lewat pagi. Sempat tiga kali leher dia berlubang macam kena thyroid, sakit, baik, sakit baik. Bak kata Syafiq setiap kali dia sakit, "Hah, kucing mak tu dah nak mati! Nyawa dah tinggal dua!"



 Dia memang obes, gemuk, malas, makan tidur aje! Makan ikan goreng pun tak reti. Kata doktor memang gigi pun haram tak rosak petanda tak pernah menggigit atau menangkap cicak. Yang dia tahu makan friskies atau yang lain sikit, ayam goreng KFC. Itu aje. Waktu saya huru-hara kejar deadline buku, anak-anak meluat tengok Fasya bila saya bercakap dengan dia macamlah dia faham!  Bela kucing ni memang boleh hilangkan stress, terapi jiwa tapi kalau kucing mati, mahu berbulan jugak saya berkabung.


Okay, disebabkan kawan menaip dah tak ada, saya bawa balik si oren ni dari kampung. Presenting my Jejai!
Dan tak sampai seminggu saya bela Jejai, tetiba satu pagi muncul budak hitam ni depan pintu rumah. Saya syak Haiqal yang bawak balik dari sekolah. Sebab Haiqal heboh cerita dengan penuh drama, kata dekat sekolah ada adik si hitam ni. Mak si hitam pun ada... tapi makcik cleaner letak kat luar pagar. Bila saya paksa ngaku, Haiqal akan kata, "Haiqal agak aje... si hitam ni dari sekolah!" Emm... Haiqal tu payah sikit kalau bercakap. Tak tahu yang mana cerpen dia karang, yang mana kisah benar!
 Nama Thambi si hitam ni jiran depan rumah saya yang bagi. Hitam kiranya ada dua mummy, ada dua rumah.

 Mak, mana mak kutip dak hitam n? Hish, entah entah anak jin apa dia ni? Hitam sangatlah!

Adib tanya pasal kucing hitam ni. Kucing ni memang brutal, 24 jam menggigit. 24 jam jugak makan! Sampai saya cuak perutnya meletup. Ikan goreng, ayam goreng, friskis, whiskas semua dia makan. Bubuh sepinggan, sepinggan habis.

Adib membebel lagi sebab kucing ni suka kacau dia tidur.
'Kau apasal hah? Arwah Fasya dulu baikkk orangnya!!!" Meleret dia sebut perkataan baik tu.

Sengal! Itu aje yang saya cakap pada Adib! Macamlah si Thambi ni kenal siapa Fasya, tahu Fasya tu arwah atau tak.

Mak, jangan marah-marah Thambi. Dia anak yatim. Cerita dia macam ni, mak abah dia jumpa. Lepas tu mak dia termengandung. Beranakkan Thambi. Lepas tu mak dia mati accident. Bapak Thambi buang Thambi. Tu yang dia tercampak tepi rumah kita. Huhuhu saya terkesan watak bohsia pulak dalam cerita si Haiqal ni!

Nampak kertas dikunyah, nampak cicak dimamah, kepala mengkarung pun dia bawa balik. Anis spray dia dengan perfume Dior saya sebab kata Thambi ni hamis. Memang Thambi ni ganas. Tapi bila saya banyak kerja sampai jam tiga pagi, dia jugaklah yang temankan saya tepi pc, hilangkan ngantuk saya.

INCHE BANGLA dengan TANAMAN SERAI 15 EKAR

 LARI KEJAP DARI CERITA MENULIS ATAU CERITA THAMBI DAN JEJAI SAYA. Ini cerita Malaysia Tanah Tumpah Darahku.
Petang tadi saya tak tau nak rasa apa. Ada rasa geram, marah, kagum, kesal. Saya menemankan partner pergi jumpa tauke besar pengutip hasil serai. Kami dikenalkan dengan tauke cina oleh satu mamat bangla.

Cerita jumpa tauke besar tu biasa aje, taklah menarik sangat. Sekadar deal harga untuk apek tu beli serai yang diusahakan pada tanah 3 ekar.

Tapi cerita Bangla ni buat saya haishhh tak tau nak katalah! Dia ni kerja sama satu tauke cina. Kemudian, cekapnya otak berniaga, dia sewa tanah Melayu di Beranang dengan harga RM300 satu ekar SETAHUN. Dia buat kebun serai.

Setahun boleh tuai hasil serai dua kali. Sekali tuai satu ekar dalam RM5K income kasar memang confirm. Kalau tauke besar ambil mahal, banyaklah dapat. Kalau terpaksa berbahagi dengan pekerja yang tolong jaga dan tuai, mungkin kurang sikit. Bergantung kiraan dan deal macam mana dengan tauke dan pekerja yang bertunggu tangga di ladang serai tu. Setahun boleh dua kali tuai. Mamat bangla ni sewa 15 ekar tanah Melayu dengan sewa seekar RM300 aje setahun. Okay katalah pendapatan bersih 1 ekar serai dia dapat RM7K setahun, 15 ekar .... errrr saya sakit hati mau kira!
Inche Bangla ni pulak jadi tauke pada beberapa pekerja Indon yang dia bayar gaji untuk jaga, kemas, tanam dan tuai serai yang dia usahakan pada tanah orang kampung. Boleh gitu ya? Orang kampung dapat takat RM300 SETAHUN! Inche Bangla dapat hasil serai setahun dalam.... errr malas cakaplah! Alasan Inche Bangla, tanah yang diusahakan tanam serai ni asalnya semak samun dan ada macam hutan. Kekdahnya dia yang terangkan tanah, sebab tu sewa jadi murah.

Kemudian dia seronok cerita pada kami. Dia sewa rumah lot di area kampung Beranang 3 pintu. Cessss... siap dia sewakan pulak pada pekerja kontrak Indon! Mak oiiiii.... memang mewah negara ku Malaysia yang terchenta! Bahagia sungguh abang bangla ni buat duit di bumi Malaya ni ya! Cakap Bahasa Malaysia pun huru-hara, pelat, tapi bab RINGGIT MALAYSIA, pantas sungguh!
Saya puas berfikir dengan rasa sebal terbuku. Hish... agaknya berapa banyak duit terkumpul mamat bangla ni. Teringat pembantu rumah saya mak sunti dulu. Genap tujuh tahun bekerja dengan saya sebelum pulang ke Tanah Jawa, Mak Sunti beriya-ya ucap terima kasih pada saya. Mak Sunti siap mengaku, dapat kumpul wang tunai RM42 ribu sepanjang hayat kerja dengan saya. Dapat buat rumah agam, beli tanah sawah dan beli tanah kebun buah dan sedikit barang kemas. 
Hemmm... saya? Biar ada serai kat kebun ke, kat tanah keliling rumah ke... hahahaah kalau nak masak selalunya saya malas nak pergi ambil di pokok. Sanggup saya suruh Syafiq pergi beli! Alasan? Nanti tangan atau jari atau lengan saya boleh terluka kena miang daun serai tu! Boleh gitu.... Jadi lagi mau bising tak kaya-kaya kan?!

Wednesday, February 13, 2013

AWAK SEMANIS RED VELVET-MENUNGGU CINTA TUHAN- PRINCE CHARMING-

SEBELUM INI ADA yang mengeluh pada saya sukar mahu mencari beberapa judul novel saya. Ok, kalau ada sesiapa yang mahu, boleh aje emelkan pada tokobukuarisa@gmail.com. Boleh lihat judulnya di sini ya:)
AWAK SEMANIS RED VELVET. Adik-adik yang berminat membeli novel ini boleh beli terus dari Kak Lily. Harga novel termasuk Pos Laju untuk Sem Malaysia, RM22. Harga Sabah/Sarawak termasuk pos laju, RM25.

Kalau ada yang mahu, boleh emelkan kepada tokobukuarisa@gmail.com. Pembantu Kak Lily akan melayan setiap pertanyaan. Bayaran boleh dibuat melalui Maybank No akaun: 114105212745. Selepas membuat pembayaran sila emailkan Nama Penuh, Alamat, No Telefon, Emel serta slip pembayaran ke tokobukuarisa@gmail.com



TUHAN MASIH MENCINTAIKU (ini stok terhad). Adik-adik yang berminat membeli novel ini boleh beli terus dari Kak Lily. Harga novel termasuk Pos Laju untuk Sem Malaysia, RM26. Harga Sabah/Sarawak termasuk pos laju, RM30.

Kalau ada yang mahu, boleh emelkan kepada tokobukuarisa@gmail.com. Pembantu Kak Lily akan melayan setiap pertanyaan. Bayaran boleh dibuat melalui Maybank No akaun: 114105212745. Selepas membuat pembayaran sila emailkan Nama Penuh, Alamat, No Telefon, Emel serta slip pembayaran ke tokobukuarisa@gmail.com




MENUNGGU CINTA TUHAN. Adik-adik yang berminat membeli novel ini boleh beli terus dari Kak Lily. Harga novel termasuk Pos Laju untuk Sem Malaysia, RM23. Harga Sabah/Sarawak termasuk pos laju, RM26.

Kalau ada yang mahu, boleh emelkan kepada tokobukuarisa@gmail.com. Pembantu Kak Lily akan melayan setiap pertanyaan. Bayaran boleh dibuat melalui Maybank No akaun: 114105212745. Selepas membuat pembayaran sila emailkan Nama Penuh, Alamat, No Telefon, Emel serta slip pembayaran ke tokobukuarisa@gmail.com




PRINCE CHARMING SIAPA AWAK? Adik-adik yang berminat membeli novel ini boleh beli terus dari Kak Lily. Harga novel termasuk Pos Laju untuk Sem Malaysia, RM23. Harga Sabah/Sarawak termasuk pos laju, RM26.

Kalau ada yang mahu, boleh emelkan kepada tokobukuarisa@gmail.com. Pembantu Kak Lily akan melayan setiap pertanyaan. Bayaran boleh dibuat melalui Maybank No akaun: 114105212745. Selepas membuat pembayaran sila emailkan Nama Penuh, Alamat, No Telefon, Emel serta slip pembayaran ke tokobukuarisa@gmail.com


Thursday, February 7, 2013

Si Kecil Kencana Jiwa



Di bawah ini, yang berwarna merah adalah catatan Rosie di majalahnya. Rosie berkisah panjang tentang Rania, anakandanya, yang memanggil saya dengan panggilan MAK ULI. Rania buah hati Rosie, kemanjaan Rosie dan ada waktu mood swingnya tak menentu, membakar juga darah mamanya ke takat didih. 
Bersama saya Rosie selalu bersembang-sembang, berkisah tentang rencana dan rancangannya untuk Rania. Ya, saya rasa semua ibu begitu kan.... 
Dan, saya sangat memahami Rosie. Kerjaya yang selalu menggila deadline, ada waktu menghambat Rosie berkejar jadual pesawat, bergegas ke sesi temubual eksklusif atau paling tidak waktu huru-hara menapak memanjat tangga syarikat printer, tentu saja membuat Rosie berasa tidak adil pada Rania. 

Saya pernah merasai sebal sebak perasaan itu.
 Rasa lelah dengan kerja. Rasa berdosa pada anak. Pernah sewaktu Haiqal kecil, setiap kali pulang rumah lewat malam, Haiqal hanya mengintai saya dari celah pintu. Tatkala saya menggamit dan mengajak Haiqal ke riba saya, anak kecil saya itu berlari mendapatkan Mak Sunti, ibu pengasuhnya. 
Betapa kami dekat tapi jauh! Dia lebih berasa tenang dan aman dalam dakapan pembantu rumah.
Sejak itu saya selalu didera rasa. Mana yang harus saya pilih. Anak? Gaji? Kerjaya yang dianggap glam? Mungkin atas beberapa faktor, itu yang menyebabkan saya beralah. Buat Rosie... tidak mengapa! 
Rosie masih muda, masih punya energi. Rania tentu aje dilimpahi kasih sayang abah Lannya sama Rosie. Tak cukup dengan itu,  Tok Acil, Mak Uli, Busu Siti, Abang Apit, Kak Anis, Abang Adib, Haiqal, Acik Sapuan, Chik Lan dan Aqil best friendnya memang akan sentiasa anggap Rania itu Princess di hati kami. 
Dan, saya juga percaya Rosie mampu memberi keseimbangan segala-galanya buat Rania. Mudah-mudahan Yaya@ Rania fasih mengaji, tangkas matematik, penuh pesona di gelanggang gimrama, hebat melukis dan cekap di kolam renang. Dengan segala doa dan kasih sayang, semua ini tak mustahil untuk Rania.

SEMBILAN BULAN, SEMBILAN HARI



Di dalam dewan Bukit Jalil Golf & Country Resort, temasya graduasi anak-anak tadika sedang berlangsung. Sewaktu nama Rania diseru ke pentas, fikiran saya terbang mengkhayali yang lain – hari pernikahannya! Sebak, teruja, tidak percaya, bercampur-campur.



Ada bermacam rencana berlegar dalam fikiran saya. Rania harus belajar solat dan mengaji (ya, yang ini sedang berjalan). Rania harus tahu berenang (ya, dia sudah pun mengikuti kelas renang ketujuh).



Rania harus tangkas Matematik (ya, setiap minggu saya menemaninya ke kelas tambahan Mental Arithmetic, dia pun sudah fasih mengendali sempoa, saya sendiri belajar daripadanya). Rania harus membaja minatnya berdansa bergimnastik (ya, saya baru sahaja menghubungi satu akademi Gimnastik Berirama dan kuliah pertamanya bermula esok, yay!). Lalu, sebagai ibu, dapatkah kamu memberitahu saya, apakah lagi yang belum saya lakukan untuk zuriat yang amat saya kasihi?



“Duit boleh dicari, tetapi masa tak dapat kita beli,” tegas jiran sewaktu kami berbincang tentang program persekolahan dan urusan turun-naik van anak-anak pergi-kembali dari sekolah, menjelang tahun baru.


Saya terjeda. Alangkah benar. Namun, jika diberi pilihan; apakah sebenarnya yang kita mahu? Detik masa yang mengalir berlimpahan kerana kita tiada komitmen 9-5? Tetapi soalnya di sini, kebebasan tanpa komitmen 9-5 itu sebenarnya mungkin menjerumuskan kita ke dalam keterikatan hidup yang lain – tangan tergari daripada berbelanja, maka kerana itu juga tidak semua yang dicita kita (dan anak) mampu kita tunaikan.



Atau, apakah wang teras keutamaan kita? Dengannya, kita mampu membeli bulan dan bintang. Tetapi kerana masa terlalu deras berlari, wang beribu yang kita cari tidak dapat mengembalikan langkah anak yang pertama sewaktu dia belajar bertatih.



Wang beribu yang kita cari siang dan malam tidak dapat mengembalikan bau ubun-ubunnya yang lemak wangi, yang lebih bersebati dilekati bau badan pembantu rumah daripada bau kita yang menghamilinya sepenuh sayang, sembilan bulan, sembilan hari.



Lalu, jalur hidup manakah yang harus kita pilih?



Tekad sebagai ibu, mampukah kita bulatkan, walaupun pedih?



“Jue baru mengambil anak angkat,” saya diberitahu, mengenai Jue gadis cantik idaman ramai pemuda Malaya. Ramai sekali terluka dengannya kerana Jue pantas bertukar pacar, selekas halilintar. “Lengkaplah hidup Jue sekarang. Sudah ada pasangan. Beranak segera pula,” ujar teman saya lagi.



Namun yang sangat mengganggu saya adalah keberahian Jue bercinta-cintaan sesama teman sejenis. Berdamping serumah, bergaul sekatil sebantal. Dan bayi yang ‘diangkat’ itu dibela di dalam rumah Jue. Berayahkan teman pengkid separuh ‘kacak’ separuh menyerupai suak Mat Rempit.         



Soalnya di sini, selepas cinta sejenis dan mencabar halal haram; apakah lagi yang cuba Jue dan pasangannya buktikan? Apakah mesej yang ingin disampaikan kepada anak? Mengisyaratkan bahawa cinta sejenis itu murni? Pengamal cinta sejenis itu juga luhur? Kerana di dalam kalbunya dihujani rasa belas kasihan, maka mereka juga layak membesarkan anak kecil dengan air tangan mereka?



Persoalannya, apabila anak kecil nanti memanggil ibu dan bapanya menghadiri majlis graduasi sekolah, atau paling tidak untuk pertemuan mengambil buku laporan sekolah antara guru-penjaga; maka apakah panggilan lebih molek untuk si anak tujukan kepada ‘wanita’ yang datang berpakaian serba kelelakian, berjalan terhenjut-henjut terbongkok-bongkok kerana ‘si bapa’ mahu menyembunyikan gembur dadanya?



Lalu apakah ayat pengenalan si anak kepada guru kelasnya harus berbunyi begini, “Cikgu, inilah bapa saya?”   


Sewaktu masyarakat madani kita sedang sakit dengan kemunculan anak asmara dan kes buang-bunuh anak, saya fikir – anda semua – dan saya sendiri, sebagai ibu yang mengungguli sahsiah serta pemikiran anak-anak dari rumah – seharusnya mengambil langkah lebih proaktif. Anak harus dipantau secara mikro.


Jika harus menjadi sahabat FBnya – baiklah. Ayuh kita daftar (terpulang, pilih identiti jelas atau penyamaran) lalu segera klik Friend request. Jika harus menjadi pengikutnya di Webstagram – pun apalah salah. Kita ibunya boleh sahaja melancarkan akaun sendiri! Ya, jika itu yang diperlukan untuk ‘dekat’ dengannya, mengapa berkata tidak? Yang harus dipantau adalah jalur pemikirannya. 




Dan kepompong sahsiahnya. Kerana kita tidak mahu anak perawan kita bakal menambah populasi pengkid. Kita tidak mahu zuriat kita berhadapan kecelaruan gender. Kita juga tidak mahu zuriat kita menambah populasi anak asmara, dalam apa jua bentuk dan cara. Banyak atau sedikit zuriat kita, kaya atau miskin hidup kita; itu tidak mengurangkan walau sezarah pun berat dosa atau pahala kita sebagai ibunya.

Ibu jawatan tertinggi tidak tertanding dalam mana-mana organisasi di muka bumi. Dan untuk itu, saya tetap berbangga melepaskan apa sahaja yang ada pada saya pada hari ini, seandainya saya ditakdirkan harus berkhidmat buat Rania Adlina; tujuh hari seminggu, 365 hari setahun – untuk sepanjang hidup saya. Insya-Allah.


ShareThis