Tuesday, August 27, 2013

Hello, Saya Gopal, Hai, Saya Apek:))

Hai! Saya Gopal. Saya ada saudara kandung, nama dia Apek. Mak saya ni macam rasis kan, yang gelap nama sekian, yang cerah nama Apek. Di rumah ni okaylah.... saya ada abang nama Thambi yang suka rampas makanan saya. Mak kata kena sabar dan beralah dengan Abang Thambi sebab dia senior. Tak apalah.... Saya sedar, saya hidup menumpang. Kalau Bro Thambi hempuk saya pun, saya diam aje:(( Oh, semalam saya sakit perut. Mak bawa saya ke Klinik Mesra di Saujana Impian. Okay, dah kurang sakit perut. Mak kata saya good boy. Makan ubat senang aje.


HELLO! Saya Gopal:))

Ni abang senior saya, Thambi.


Salam! Saya Apek. Mak dah daftar nama saya. Tak apalah kalau nama saya tak glamor macam Abang Jejai atau arwah Abang Fashazuddin. Mula-mula rasa macam mak ni sangat rasis. Tapi mak kata nama Apek, Thambi, Gopal, Jejai... ni semua bukti kami satu Malaysia di rumah mak. Saya ada iras-iras Abang Jejai kan? Tapi Abang Jejai tu kuat tidurlah. Nampak saya aje dia mengaum macam harimau. Tak apa, saya anggap tu semua ragging untuk adik junior. Tak meriahkan hidup kalau tak kena buli! Alah, mak kata masuk universiti pun ada minggu orientasi. Jadi buat masa ni saya sabar dan cool aje.


Saya Apek

Yang oren tu abang sekaler saya, Jejai

My name is Apek.

Wednesday, August 14, 2013

Mari Berkelah Di Imigresen:))

WAKTU anak kecil lagi senang atur! Bila dah besar, penat nak ikutkan jadual masing-masing. Seorang cuti, dua lagi ada kelas. Dua dapat balik, tetiba yang seorang pulak tak boleh. Banyak benda nak buat jadi tertangguh. Ikutkan memang saya dapat agak pejabat imigresen sesak musim cuti. Tapi dah tak ada pilihan redah dan redho ajelah sebab masa ni aje semua ada.


Dannn... Memang seperti diramal:((  Takat nak renew passport, ampun.... hazab saya rasa:((
Mengantuk tahap tujuh petala langit di imigresen. Seorang sudah sejam tidur peluk lutut seorang lagi khusyuk baca mastika, himpunan cerita mekah.











Di satu sudut, tepi dinding, bawah meja tempat isi borang, dua anakanda lena tidur. Haiqal aje yang maintain baca buku. Sesuka hati aje kan yang tidur tu... like nobody's business. 


 Esok ke sini lagi sebab ahkak anis terlupa bawa ic. Harus saya bawak mangkuk tingkat, isi rendang sama ketupat. Baru feeling berkelah kat imigresen ni:))


Memula maintain lagi, lelama saya ikut anak-anak duduk bersila:))... Pada satu tahap tak larat, huwaaaaa rasa nak baring aje kat lantai tu lepas dah berlunjur kaki:)) Boleh gitu ??


Errr untuk pakcik guard di imigresen kajang tu.. 6 bintang saya bagi pakcik ya sebab senyummmmm aje biar setiap 15 saat orang datang tanya soalan yang sama. Walhal nombor giliran nak diambil dah habis. Pakcik ni cool bila boleh ulang jawapan yang sama dengan muka manis. Kagum! Hahaha kalau saya mau aje saya tulis besar-besar kat kadboard dan tampal kat dinding. Atau errr... rekod aje kot jawapan tu. Bila dah penat cakap, pasang aje tape recorder tu:))




Patah Pinggang Sakit Jari:((

Gumbira bila Kak Rohaya kata insyaallah dia dapat lapangkan masa untuk saya buat bekam. Ni dah masuk kali ketujuh saya bekam. Sebelum ni dengan orang lain. Tapi dengan Kak Aya saya suka sebab dia datang ke rumah. Saya dah rasa sakit badan gara gara masak di petang raya.... 80 biji ketupat, sembelih ayam kampung 7 ekor, rendang daging 6 kilo, sama sup ayam.... huwaaaa ni belum bermenantu.... bercucu... nangessss masak sensorang!

Lepas pulang dari Melaka, saya masak lagi. 
Segala kari ayam pencen, segala sup tulang, ketupat, sambal, kek etc.  Bila jamu saudara mara di Melaka dengan sup ayam selasih yang tulang dan dagingnya hitam, hahah jenuh saya nak kena explain. Ayam tu kan pelik, kaler hitam. Kalau orang tak biasa sure hairan awat daging gelap gelita macam kayu hanyut dalam sup tu:)) Kalau ikutkan ayam selasih mahal yang amat.... chinese selalu buat sup herba ayam ni. Saya? Hahaha ayam selasih tu bela belakang rumah jer.









Serius rasa nak patah pinggang. Masa di Melaka sempat saya mintak rahsia resipi dodol sedap dari mak saudara saya. Hahaha ni projek tahun depan. Tetiba rasa gigih nak buat dodol sendiri. Dulu kalau masa di Melaka, dodol memang mak saya kacau sendiri. Nenek saya pun sama. Kalau buat dodol, satu kawah besar. Tapi apa-apa pun nak kena hilangkan rasa sakit terkehel tulang dik banyak sangat masak raya ni. Arwah mak saya mesti kagum agaknya.... saya yg masa anak dara pemalas ke dapur gigih masak sekarang, yang dulunya siang ikan pun selalu hiris jari sendiri, yang tak pernah siang ayam.... sekarang bolehlah kalau nak masak untuk 100 ke 200 orang makan :)))

Sunday, August 11, 2013

Selamat Hari Raya


Salam aidilfitri, doa, kasih sayang dari saya untuk semua yang mengenali saya. Saya memohon maaf sebanyak bintang di langit jikalau ada kekhilafan, kekasaran dan apa jua yang menyinggung perasaan sepanjang kita bersahabat di sini. Pada sesiapa yang pernah meninggalkan komen, saya mohon jutaan maaf kalau ada komen atau catatan tidak sempat saya balas. Jangan serik singgah membaca catatan merapu saya di sini:))
 Selamat hari raya!

Sunday, August 4, 2013

Kalau-Kalau Ada Yang Ternampak, Mohon Hubungi....

SAHABAT SAYA, DR TENGKU INTAN MARLINA atau NAMA DI FB ELYNA HASNULNAWI, MOHON JIKALAU ADA SESIAPA YANG BERADA DI TEMPAT KEJADIAN KEMALANGAN INI, MENGHUBUNGI BELIAU MELALUI MESEJ DI FB.

Rayuan Memohon Saksi yang melihat kejadian Kemalangan Anakanda Allahyarham Muhammad Hasnul Imran bin Mohd Saidi (21 November 1996 – 24 Julai 2013) untuk tampil memberi maklumat kepada saya. Butir-butir kejadian:

Tarikh dan waktu: 24 Julai 2013 (15 Ramadhan 1434) – Jam 12.50 tengah hari
Tempat: Susur kiri untuk keluar dari Bandar Tun Hussin Onn menuju ke lebuh raya (highway) Cheras-Kuala Lumpur.
Kenderaan: Motor dan Lori Treler
Pemilik motor: Muhammad Hasnul Imran (Pelajar Tingkatan 5 SMKBTHO II)
Pemilik Lori Treler: Seorang lelaki berbangsa India (hanya ini maklumat yang saya tahu, butir-butir tentang pemandu ada dalam simpanan pihak polis)

Catatan Ringkas Kemalangan: 
Arwah anakanda saya dalam perjalanan pulang ke rumah dari sekolahnya untuk menukar baju dan akan kembali semula ke sekolah kerana ada “study group” dengan kawan-kawannya.
Dalam perjalanan pulang ke rumah, semasa melalui susur kiri keluar dari Bandar Hussin Onn ke lebuh raya, arwah telah terjatuh kerana bergesel/mengelak kereta. Semasa arwah cuba untuk bangun, arwah dilanggar dan digilis oleh sebuah lori treler dari arah Bandar Mahkota Cheras. Lori tersebut telah ke depan dalam jarak 200 meter, dan telah dikejar oleh seseorang. Orang itu kemudiannya berjaya mendapatkan pemandu lori tersebut dan memberitahu tentang kemalangan yang berlaku. Pemandu telah membuat laporan kepada polis. Polis tersebut sampai 10 minit selepas kejadian hasil maklumat daripada orang ramai.

Masalah:
Pihak polis hanya membuat laporan berdasarkan keterangan yang diambil daripada pemandu lori. Pemandu lori terlepas begitu sahaja. Menurut polis, pihaknya tidak mendapat saksi dalam kejadian ini. Pihak polis mengatakan arwah cuai.

Saya merayu kepada orang ramai dan saksi yang melihat kejadian agar menghubungi saya melalui FB (personal message). Semoga keadilan dapat ditegakkan. Semoga pihak yang sudi membantu dilimpahi rahmat dan kasih sayang Allah. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas budi baik kalian.

Friday, August 2, 2013

Kekadang Kita Terlupa:))

Kekadang kita terlupa. Ilmu di dada sekadar daki celah kuku kaki, tapi gaya kita bagai memiliki gedung ilmu tujuh petala langit. Ada waktu kita terlebih petah bercakap walhal suku daripada 10 perkara yang kita katakan itu belum tentu kita mampu laksanakannya. Ada masa kita terlebih mengajar-ajar orang, sedangkan kita sendiri belum hadam dan cerna segala ilmu yang ada. Ada ketika, diri bagai mahaguru agung, tapi di mata orang yang berpengalaman dan berilmu, kita cuma murai berkicau atau kakak tua yang menghafal skrip. Minta dijauhkan sifat ini. Bimbang dalam 10 orang yang terpesona dengan paluan kompang kita, ada seribu yang menggelakkan kebodohan kita. Dalam kes ini, lebih baikkan kita tanam ubi dan padi daripada menjadi semalu, yang menjalar gagah, penuh berduri, kerjanya asyik melukakan orang.

Salam penghujung ramadan, world peace:))

ShareThis