Tuesday, November 26, 2013


LOVE YOU IN SILENCE - 25




Selasih subur di tepi tubir,
Tanam bidara di hujung titi;
Kasih tuan di luar bibir,
Tidak mesra melekat di hati.

JAH GAYAH


LANGIT malam sudah berada di kemuncaknya. Dendam Jah Gayah kini menjalar sehingga ke tulang sulbi. Bulan secarik sesekali tenggelam timbul dalam lautan langit nan gelita. Bersungguh-sungguh Jah Gayah menyampaikan hasrat hati pada lelaki tua yang diyakini punya ilmu mistik.
“Engkau pasti mahu melakukannya?”

Jah Gayah mengangguk. Dia mengiyakan penuh yakin di hadapan Embah Juro. Tanpa mempedulikan rasa ngeri dan gerun berdepan dengan lelaki tua yang mengakui sudah berusia menghampiri 90 tahun, Jah Gayah hanya mahu impiannya terlaksana.

“Santet ini ganas. Korbannya tidak tertolong selewat 40 hari. Kalau diijinkan, ada yang meninggal dunia gara-gara santet hanya dalam seminggu. Aku ajarin engkau cara menyembuhkan korban santet, seandainya engkau ada belas pada korban.”

Desah nafas yang liar dari Embah Juro membuat Jah Gayah agak bergemuruh. Mujur orang tua yang berasal dari Kabupaten Cianjur itu tidak tinggal sendirian di rumah kecil itu. Kediaman yang kecil dipenuhi bau kemenyan dan taburan bunga melur berserta tirai warna kuning dihuni bersama-sama dua orang cucu perempuannya. Hanya Embah Juro yang masih pekat dengan loghat tanah jawanya. Dua cucunya dilahirkan di tanah Malaysia tidak kedengaran berbahasa Jawa pada pendengaran Jah Gayah. Malah dua wanita itu membantu menerangkan dalam bahasa yang mudah difahami oleh datuknya pada Jah Gayah.

“Belas pada korban?”
“Mana tahu, hati kau bisa berpaling, mahu membantu.”
“Takat ni tak!” Nada itu sangat angkuh.
“Terserah engkau!”

“Aku bikinkan santet dan akan kuseru dan titip pada dua musuh engkau ini. Dia bisa sakit saraf. Santet buhul cacing abin ini aje bisa bikin punggungnya penasaran. Akan kubikin semuanya ikut mahar yang kau bayar padaku. Nanti kukirimkan jua santet susuk konde jawa. Ini ganas. Jiwa sang korban bisa terganggu. Kalau kau sering puja, dia bisa gila. Jarang yang bisa sembuh melainkan dia menyedari kelainan tubuhnya pada awal santet hadir.”

“Buat aje yang paling bagus embah! Saya tak peduli.”

Alang-alang, hati busuk, biar bernanah hijau, berulat busuk, peduli apa aku! Hati aku busuk, siapa yang tahu. Nama pun hati! Siapa yang mampu baca dan singkap apa dalam hati aku! Jah Gayah sudah nekad. Usahanya yang dahulu dirasakan kurang menjadi. Ah, ini pun demi kebaikan Amirul jugak! Peduli apa yang lain. Kalau aku tak tolong Amirul, siapa lagi! Bisik Jah Gayah lagi.

“Kau harus puasa mutih tiga hari tiga malam dimulai selasa keliwon. Bayangkan wajahnya nanti. Kau harus ingat mantera ini. Pusatkan fikiran kau pada orang yang dituju. Ikut aku baca ini. ...” Lelaki tua itu terus membaca mantera dengan suara yang garau sambil dia memegang keris kecilnya. Dicelupkan beberapa kali pada air di dalam mangkuk sebelum ditikamkan pada limau dan kemudian dicarik-carikkan gambar Nurul Masmin.

“Mujur makcik bawak gambar yang penuh. Selalu orang bawak gambar kecik, susah nak buat nanti. Tak tembus kat mata dia.” Nisak cucu Embah Juro menyampuk tiba-tiba dalam suara perlahan.

“Alah, sekarang senang nak dapat gambar. Buka aje di laman facebook betina ni. Blog pun ada, bersepah gambar. Orang sekarang tak jaga-jaga bab ni. Hah, nasiblah kan!” Selamba saja Jah Gayah menjawab.
“Mana makcik tahu kami di sini? Orang tak biasa susah nak cari rumah kami. Jauh ke dalam kan.” Nisak ramah bertanya sambil menghidangkan secangkir kopi yang digoreng dan ditumbuk sendiri.
“Kawan makcik yang kongsi cerita pasal datuk kamu. Kenal Mahyun? Makcik Mahyun?”

Nisak berkerut mungkin kerana ramai yang menemui datuknya.
“Tak perasan pulak.” Nisak kemudian minta izin ke dapur menyudahkan kerjanya. Mahu menyediakan pulut kuning dan ayam panggang untuk datuknya.
“Ingat, ini jarumnya, harus disempurnakan sebelum kesiangan. Dalam ini ada serbuk kaca, ada bambu kuning, ada bisa katak sama serbuk taring ular. Aku sekadar sediakan bahan. Terserah kamu.”

Akal siuman Jah Gayah terbenam ke dasar hati paling hitam dan jijik berlumpur. Dia tidak mampu menahan nafsunya untuk melunaskan dendam. Semua bahan santet itu disambut dengan rasa tidak sabar dan penuh ghairah berahi mahu melihat Nurul tersungkur.

Langit masih gelita, embun masih berkaca dan bercahaya di hujung dedaunan. Rumput masih basah dan wangi dimesrai cuaca subuh. Jah Gayah sudah bangkit dari katilnya. Rambut yang sedikit memutih disanggulkan. Dalam dingin embun pagi yang masih menguasai ruang, dia perlahan-lahan menuju ke luar rumah. Memetik tujuh kuntum melur, bersama cempaka dan mawar berkelopak kecil yang memang ada di halaman. Tujuh helai daun sirih bertemu urat dan tujuh biji limau purut sudah siap-siap dipotong.

Mampus kau kali ni Nurul! Biar kau rasakan! Baru kau tahu kalau terkangkang sakit! Baru kau sedar nasib kau agaknya lepas tu! Jah Gayah tekun mengingati segala pesan Embah Juro. Jah Gayah juga pasti, Mahyun tentu sama-sama mengganyang Nurul dalam diam. Sabirah sendiri tak berkenan Nurul. Mustahil perempuan itu tak bertindak sesuatu.

Ah, Mahyun lagi pantas dari aku! Tentu dia nak jaga periuk nasi Sabirah. Demi Sabirah pastinya Mahyun tak peduli kalau terpaksa menabur racun berbisa, menyumbat bangkai berulat pada periuk nasi Nurul. Hah, gasak kaulah Nurul. Dah sakit besok, baru kau menyesal bercerai dengan Amirul. Masa tu agaknya kalau terpaksa jilat dan hirup muntah sendiri pun kau tergamak agaknya!

Jah Gayah dengan hati yang menjulang api dendam penuh perasaan menyeru dan menyumpah seranah roh Nurul Masmin. Mantera dan jampi terkumat-kamit bermain di bibirnya. Siang semakin cerah. Jah Gayah puas dan yakin bisa yang dikirim untuk Nurul sedang terbang mencari serta menikam tangkai jantung perempuan itu.

Gambar Nurul Masmin sudah dikelar-kelar. Jarum peniti sudah dicucuk-cucuk. Rasalah engkau Nurul! Sengsaralah engkau seumur hidup. Jangan beranganlah lepas ni kau mampu menulis lagi. Entah-entah semakin gila isim otak engkau nanti!

LOVE YOU IN SILENCE 24


Rimbun menghijau pohon ara,
Penglipurlara tumpang berkisah;
Hati luka hilang bicara,
Bila rindu bertingkah resah.

NURUL MASMIN


Pada sela-sela waktu sering ada saat yang tak mudah untuk berbicara, tapi tetap juga tidak tahu bagaimana hendak diluahkan. Kekadang Nurul berasakan dia mampu mencatat sejuta baris ayat nan indah, namun apabila menyentuh hati perasaan sendiri, dialah perempuan paling dungu. Di luar pintu, pada saat seperti itu, di mata Nurul yang ada hanyalah mendung, atau hujan, atau kebisuan, mungkin ketidakacuhan. Semuanya teka-teki.

Abang Rain.... Siapa engkau sebenarnya kini? Siapa aku di mata engkau? Apa tujuan engkau mencari aku? Untuk dendam yang tak sudah?
Nurul selalu memujuk diri. Pandanglah ke bawah. Pasti ada sesuatu yang akan menginsafkan. Tentu ada sesuatu yang menyentuh jiwa. Sebenarnya di luar sana... di hujung yang tidak diketahui orang, pasti ada mereka yang lebih getir mengharungi hidup kalau mahu dibandingkan dengan dirinya. Dan, itulah yang menjadi pengubat keresahan!

“Engkau pasti ke dia dah kahwin?” Tanya Che Wanie yang memang tidak puas hati.

“Habis tu... dia sendiri berpuluh kali ulang iklan pasal anak kembar dia, Princess dengan Darling. Takkan kau nak kata dia bujang lagi?”
“Alah, apa susah? Kacang gorenglah kalau nak confirmkan lelaki tu dah ada bini kat rumah!” Ezra macam biasa, memang sangat cekap kalau mahu membuat andaian.

Nurul dan Che Wanie sudah terlopong memandangnya. Ezra sengih-sengih bangga.

“Cuba kau perhatikan ukur lilit pinggang dia lebih 5 inci tak daripada ukir lilit dada dia... Haa... kalau kau ukur nampak macam tak lurus aje.. hem, confirm dah ada bini dekat rumah!”
“Apa dia? Ukur lilit pinggang dengan ukir lilit dada dia kau nak suruh aku ukur? Kau sengal betullah!” Terbeliak mata Nurul mendengar saranan Ezra. Che Wanie sudah terkekeh-kekeh gelak menahan lucu melihat Nurul sudah membebel geram.

“Hem, kalau teori kau ni berkesan tak akan adalah perempuan bermadu! Ni kenapa banyak kes lelaki boroi mengaku bujang?” Nurul menyambung hujahnya.

“Kau cubalah korek siapa bini dia? Takkan kau pujuk dia tak cair?”

“Huh, tak kuasalah! Banyak kerja lain daripada nak jaga hal rumahtangga dia. Masalah aku dengan Amirul pun tak selesai nak serabutkan kepala tanya pasal bini dia.” Cebik Nurul yang sesekali dalam resah dan debar rindu, penuh rasa curiga pada Rain. Cemburukah aku? Bersediakah aku untuk berdepan dengan segala kemungkinan? Nurul tidak mampu membayangkan lebih jauh. Mengapalah lelaki selalu tidak tahu bersyukur! Tuhan sudah kurniakan anak kembar, masih lagi tidak pernah puas! Dan hati ini, perasaan ini, mengapalah engkau payah dibawa berunding. Nurul, kau patut lupakan nama lelaki itu. Sesekali akal warasnya menjerit di batin. Nurul benar-benar pasrah.

“Kau bersungguh ke dengan Rain? Kalau Rain betul-betul mahukan kau, macam mana?” Ezra cuba memerangkap dengan soalan yang paling dia benci. Nurul terkaku seketika petang hujung minggu itu. Terasa dunia bagai bergelombang dan berpusar di saat seharusnya indah waktu hujung minggu.

“Takut!”
Che Wanie dan Ezra berpandangan sesama sendiri.

“Tipu! Tengok muka kau aku tahu!” Che Wanie sungguh-sungguh tidak percaya. Dari riak wajah dan kilas senyum, dua sahabat itu dapat membaca warna pelangi dan harum mawar di hati Nurul.

“Trauma!”
“Dia baikkan?” Pangkah Ezra.
“Leceh!”
“Apa yang lecehnya?!” Ezra dan Che Wanie rimas.

Nurul Masmin mengeluh kecil. Cawan aiskrim diletak di atas meja. Kali ini, tangan dia mencapai pula Twistee yang sedia terbuka di atas meja.

“Alah, lelaki semua sama. Aku berani bertaruhlah mamat tu laki orang! Bapak orang! Tiap kali jumpa kekadang sorok-sorok jawab telefon! Ah, letihlah perangai lelaki semua sama! Semua patut dihanyutkan ke laut naik tongkang!”

“Pergilah siasat!” Gesa Che Wanie pula. Dia betul-betul tidak dapat menerima kenyataan sahabat baiknya yang seorang itu.

“Malas....”
“Cuba-cubalah tanya orang!”

Nurul Masmin mencebik bibir. “Tak kuasa.... Banyak kerja lain aku nak buat! Dapat apa pun! Tak ada untung apa pun! Menyemakkan kepala aje ada lelaki dalam hidup!”

“Apa salah... Kau kalau takut kahwin, kami yang belum pernah ni lagilah dua kali takut!” Giliran Ezra pula memberi pendapat.

“Lelaki memang tak boleh kita percaya!!”
Tutup. Titik. Dia bosan kalau bercakap hal ini. Nurul Masmin bangun dari sofa. Dia ke dapur sebentar sebelum kembali bersama sebotol besar Coke. Tiga gelas besar kosong yang tersedia di atas meja Nurul Masmin isi dengan Coke.

“Sampai bila?” Tanya Che Wanie tiba-tiba.

“Nurul, kau dah lengkap duit ringgit. Kau tak mau anak ke?” Ezra mencelah. Kali ini, wajah Jared Paladeski tidak lagi dipandangnya.

Nurul Masmin tersenyum sinis. “Mau anak? Ambil aje anak angkat. Apa susah!”

“Kalau ada jodoh?” Che Wanie cuba menguji.
Senyumannya makin lebar. “Jodoh? Kalau ada.... Kalau ya! Ulang semula.... Kalau berjodoh. Terima ajelah. Nak buat macam mana. Dah Allah swt pun janji itu dah tertulis di loh mahfuz. Not a big deal at all!”

“Kalau tiba-tiba kau bernikah balik?” Kali ini, soalan Ezra pula yang makin mencabar.
Nurul terjeda. Ya Allah, aku tak bersedia sebenarnya! Tapi aku juga takut kehilangan dia!

“Hahah... aku belanja kau orang anggur sekilo. Kat masjid pun aku hantar anggur tu. Seedless punya hokey!” Ujar Nurul Masmin sambil ketawa. Menyembunyikan rahsia hati sebenarnya.

Ezra dan Che Wanie menggeleng kecil. Namun, mereka juga tahu bahawa wanita yang berada bersama mereka sekarang ini menanggung sengsara yang bukan sedikit.

“Hmm... Nurul. Kami ni bukannya jahat mulut nak busy body.Tapi kami tanya ni sebab kami caring pasal kau. Caring pasal masalah kau. Kami tak mau kau stress macam ni!” Ezra tahu dan akur masalahnya tidak selesai namun ujian dan penasaran Nurul yang sudah bergelar bekas isteri Amirul pada usia muda lebih hebat dugaannya.
Nurul Masmin menelan air liur. “Nak tahu?”

“Sejak apa yang Amirul buat pada aku, apa yang mak dia belit aku, sampai mati aku simpan rasa syak wasangka pada lelaki yang nak baik dengan aku. Kekadang tu rasa macam nak muntah, rasa macam nak jerit biar semua orang faham. Orang luar tengok aku macam bagus. Wah bestnya jadi Nurul Masmin. Wah, seronoknya jadi penulis, duduk rumah, duit masuk, glamor, hebat, kaya! Gelilah!”

“Nak buat macam mana. Tu dah andaian orang. Kita tak mampu nak kongsi masalah kita pada semua. Bersangka baik, terima semua dengan tenang.”
“Penat nak tunjuk muka manis. Tu semua plastiK! Rasa macam mahu menjerit satu dunia.... Life is so cruel!”

Luah Nurul dengan wajah yang semakin merona menahan sebak. Ezra tergamam. Jarang dia melihat Nurul bersuara keras.

Friday, November 22, 2013


Cinta Hilang Kata 23

Love You In Silence




Sabirah
Bunga melati si gadis jawa,
Sayang kerudung jatuh terlepas;
Hati cabul celaka jiwa,
Rezeki orang hendak dirampas.

Bibir tebal Sabirah terlopong memandang skrin komputer. Matanya terkebil-kebil. Tidak sampai seminit dia menjerit dan menyumpah-seranah. Kalau tidak dia sabarkan hati, mahu saja dia hempaskan komputer di depannya itu. Dia sudah seminggu tersengkang ilham. Semua yang dia taip tidak menjadi.

Hatinya mendidih saja apabila mendapat tahu novel-novel lama Nurul dan Ezra masih lagi menjadi bualan ramai pembaca. Masih ada lagi yang menyebut di laman forum.

“Meluatlah! Kenapa betina ni novel dia dah dekat lapan bulan pun masih ada kat carta ya? Bila nak mampus hah dia ni? Hidup dia ni buat kita pun tak boleh nak cari makan!”

“Alah, coollah Birah. Takat ada kat carta tapi tu belum tentu duit dia pun meriah. Buku popular belum tentu royalti bagus!”

“Tu Birah tahulah! Tapi bencilah. Abang mintaklah mak buat betul-betul. Biar terbenam dia tu! Kalau boleh biar dia tu sampai tak boleh menulis. Biar kebas separuh badan ke. Biar dia kena sakit ala-ala jari bengkak, bahu sakit tak boleh menulis ke. Baru padan sikit muka mak janda ni!” Sabirah cukup mendidih hati apabila terbaca satu laman blog yang memuji-muji novel Nurul Masmin.

“Jangan risau! Aku tahulah apa yang aku nak buat. Kau tu bila nak siap novel baru kau. Asyik sibuk bertenggek depan komputer jaga tepi kain orang, satu kerja pun nanti tak siap.” Tiba-tiba Mahyun menyampuk dengan tangan membawa sepiring kuih talam ubi.

“Mak ni.... Birah cakap yang betul! Sampai bila Birah nak kena sabar. Perempuan janda ni bagusnya kalau mak dapat salai badan dia dalam periuk yang mak letak atas api dapur 24 jam. Baru dia rasa macam mana kena bakar. Lepas tu gerenti dia tak boleh menaip.”

“Kan aku dah kata, aku tahu kerja aku. Kau buat kerja kau.”
“Nak buat macam mana! Nak menaip pun dada rasa nak meletup aje!”

“Buat tak tahu aje. Kau diam-diam siapkan kerja kau. Nanti alih-alih kau dengarlah cerita betina janda tu sakit ke... terbelahak darah ke... tak mampu menulis ke!’

“Bila?”
“Kepala otak kau! Kalau aku tahu bila nak jadi, aku rasa kau pun tak ngaku nak panggil aku mak! Silap-silap jin hantu raya aku pun kau boleh nampak kalau aku boleh buat semuanya sekelip mata. Sabarlah dulu.”

“Birah ni dah tak larat sabar mak. Dulu masa kita kat kampung, nama betina janda ni lah yang selalu potong line cerpen Birah. Penat aje Birah menulis banyak-banyak. Alih-alih yang tersiar semua cerpen minah tu. Masuk universiti pun jumpa minah ni. Bila dah habis belajar pun, minah ni lagi potong jalan. Tak boleh kasi habis ke mak betina macam ni?” Zaili pula memberi cadangan. Galak bercahaya mata Sabirah mendengar sokongan abangnya itu.

“Ambik masa benda ni semua. Kau orang jangan kecoh sangat. Memang aku buat budak ni biar orang pandang benci. Biar siapa yang berurusan dengan dia, yang mula-mula suka dia, alih-alih jer rasa benci tak tentu pasal.” Wajah penuh riak bongkak menguasai raut Mahyun. Sabirah mengunyah sekeping talam ubi dengan penuh gelojoh. Teruja benar dirinya mendengar jaminan ibunya.

“Betul ke mak?”
“Aku ni mak kau kan! Takkan aku nak bohong.”
“Boleh jadi ke mak macam tu?”

“Kalau tu yang kita seru.... itulah yang jadi nanti. Biar muka dia pun nampak lebam, orang pandang menyampah. Macam bangkai orang pandang muka dia. Abu bangkai tikus sama bangkai katak aku dah peram dalam gambar betina tu. Kawan dia tu pun sama aku kerjakan!”
“Hah? Ezra?” Zaili bertanya.

“Hah, biarkan sekali jalan. Kalau jadi apa-apa orang takkan syak. Sebab dia sakit biasa dulu. Badan lesu letih tak boleh menulis. Nanti tangan dia pun kejang tak boleh menaip. Otak lagilah... langsung tak boleh nak fikir. Orang pandang dia nanti jijik. Geli. Meluat. Hahah... masa tu kau patut berterima kasih kat mak kau ni!”

“Sungguh ke?”
“Pernah aku menipu kau ke? Kau tu patut pakai penunduk sekali. Jangan lupa, buat amalan tiap kali bulan penuh, kalau boleh pergi mandi limau dekat tempat air berarus. Biar apa kau cakap orang tak berani bantah. Apa kau sebut orang memang ingat aje. Si Zaili ni pun sama. Jangan kosong. Kalau nak cepat senang, nak cepat bangkit, kenalah berisi dada tu. Ni takat badan berisi, dada kosong, harapkan adik perempuan aje semua, mana boleh jadi!” Sindir Mahyun pada anak terunanya itu. Tersengih-sengih Zaili. Mata Sabirah semakin galak bercahaya. Dia memandang Zaili sambil angkat kening.

“Tunggu apa lagi. Mak dah bagi lampu hijau tu!”
“Iyolah... iyolah....”

“Nanti lepas jam 12 malam aku ajar kau Zaili’
“Ajar apa mak?”
“Ayat ilmu penggerun dengan ilmu penunduk.”
“Huh, jadi bengis ke nanti?”
“Tak jugak.”

“Kalau muka jadi bengis tak mau lah!”

“Kau ni kenapa benak sangat! Benda ni nanti buat kau senang kerja. Apa kau kata orang dengar kemudian ikut macam lembu, macam kerbau kena cucuk hidung. Kalau kau nak apa pun senang nanti. Apa kau cakap, apa kau mintak semua orang tak berani nak kata tidak! Bukan ke senang kerja nanti!” Jerkah Mahyun sambil menggeleng melihat kerenah anaknya yang ada ketika tampak seperti lurus bendul.

“Kenapa mak tak ajar dari dulu je? Kan senang.”
“Payah. Kau orang bebudak lagi.”

“Kenapa mak tak pakai benda ni semua masa abah ada. Masa abah masuk lokap dulu?”

“Kalau mak ada masa tu, abah kau tak masuk lokap! Aku baru ambik benda ni. Tok wan kamu baru turunkan kat aku.”

Terdiam Zaili dan Sabirah mendengar ibunya menyebut Tok Wan. Oh, Tok Wan yang matinya terpaksa dibuka alang dan bumbung rumah. Kemudian semasa nafas terakhir mendengus-dengus nafasnya macam lembu kena sembelih. Bawah rumah pula bunyi macam binatang mencakar.

Oh.... Sabirah terbayang mata Tok Wan yang terperosok.. Namun terbuntang dan sesekali tampak merah menyala. Zaili terbayang Tok Wan yang kekadang menjelir-jelir lidahya seperti kehausan sedangkan tubuhnya sudah kering seperti tengkorak hidup.

“Errr... takutlah bila mak sebut pasal Tok Wan.”
“Alah, apa nak takut! Yang penting apa kau hajatkan lagi mudah sekarang.”
“Tak ada apa-apa ke jadi nanti?” Zaili bertanya dengan nada teragak-agak.
“Apa jadi kemudian tu belakang cerita. Kita kira yang hari ni punya cerita!” Bidas Mahyun dengan mata terbeliak.

“Kalau mati tak jadi benda pelik-pelik ke?” Sabirah pula terfikir yang bukan-bukan.

“Aha mak.... kalau nak mati macam mana?” Zaili menyampuk.
Kali ini darah Mahyun menyirap ke kepala.

“Sorang tanya kalau nak mati, sorang lagi pulak tanya kalau mati jadi apa.... Hei, kau orang mulut cabul sangat kenapa? Dah kemaruk nak mampus ke? Dah teringin sangat nak masuk lubang kubur ke? Semua orang mati! Semua nanti masuk kubur. Apa yang nak dikecohkan sangat. Ni aku nak tanya..... Kalau tak pakai ilmu tu kita boleh menongkat langit ke? Orang yang baik-baik hidup seribu tahun ke? Bodoh kau dua beradik ni! Soalan bebal kau tanya aku!”

Sergah Mahyun dengan muka yang garang mencerlang. Ikutkan hati ringan saja dia mahu menampar mulut dua beradik itu.

“Mak ni janganlah marah.” Tegur Sabirah yang gerun memandang wajah emaknya.

“Dah kau orang ni bodoh sangat. Bila aku tak tolong kau orang merungut. Bila aku nak tolong, banyak pulak kau orang menyoal aku itu ini. Macamlah kau orang ni ahli syurga sangat! Sekarang ni kau kena fikir, untuk hidup senang, kau orang tak boleh kosong. Kena ada isi kat dada tu. Kena memakai, barulah kau orang boleh bersaing dengan orang lain. Kau nak hidup merempat macam bapak kau ke? Kau nak orang ingat kau tu anak banduan? Tak mau kan?? Ikut cakap aku! Yang senang esok lusa, kauorang jugak!”

Sabirah diam tidak terkata. Zaili hilang punca. Dalam diam, dua beradik itu setuju dengan Mahyun. Kisah silam arwah bapa mereka sudah lama dikuburkan. Biarlah semuanya hanya tinggal kenangan pahit di kampung. Mereka perlu bangkit. Mereka perlu mengejar kesenangan itu. Selagi emak merestui, selagi emak bersama, peduli apa caranya! Di luar sana alam semakin sunyi.

Bulan pinang masak perlahan-lahan menurunkan langsir malam. Perasaan Sabirah dijerat dendam dan kemahuan yang tiada tara. Nantilah! Akan berlaku keajaiban. Semua orang akan melutut pada aku! Semua orang akan mengejar aku! Itu tekad Sabirah.

Cinta Hilang Kata 22

Love You In Silence





Nurul & Rain
Dalam gersang gurun, ada embun yang tidak terduga. Berlari kenangan ke pangkal usia. Dalam sengsara merindu dan memendam rasa sekian lama, Rain tidak menyangka ada takdir memberi dia ruang bertemu Nurul.


Rain terus khusyuk memandang. Rindu!

“Kenapa abang pandang macam tu? Kalau takat nak pandang muka Nurul, biar Nurul baliklah!” Ujar Nurul pura-pura mahu bangun, namun kemudian dia berpaling dan memandang kembali kepada Rain.

“Okay, okay… Emm, kerja macam mana? Masih rancak menulis macam dulu kan?”

Nurul Masmin tersenyum sambil mengangguk. “Okay. Alhamdulillah… ”
“Nurul ada buku terbaru ya? Tapi kenapa tak bubuh kat blog. Abang tahu pun sebab terbuka link yang ada nama Nurul dekat satu laman web ulat buku.”

“Oh ya ke? Malaslah nak bubuh kat blog sekarang. Nurul dah anggap kerja menulis macam kerja biasa. Tak kuasa dah nak heboh, nak bikin bising kat blog. Alah, buku Nurul pun biasa-biasa aje. By the way, buku yang abang cakap tu, bukanlah baru sangat. Dah lima enam bulan jugak tu.”

“Abang ketinggalan jugaklah ya pasal Nurul. Ingatkan abang tahu semua! Abang selalu baca blog Nurul.”

“Hah?” Nurul terasa jantung bagai menggelongsor ke kaki.
“Pembaca setia dalam diam.”

“Lain kali jangan bacalah. Nurul banyak merapu dalam tu.”
“No. Abang tak rasa Nurul merapu. Cuma abang tertanya-tanya. Kenapa ada cerita dalam blog tu Nurul kata cerita orang. Tapi bila abang baca, terasa menikam kalbu. Macam ada sesuatu aje.”

“Ya ke? Sesuatu macam mana? Nurul guna blog tu untuk buat catatan apa-apa yang patut, bila Nurul mati ilham tulis novel, Nurul semak di blog.” Lancar saja bibir itu memberi alasan. Jauh di sudut hati terasa ada gempa yang menimpa. Nurul tidak menjangkakan Rain akan bertanya begitu.

Rain mengangguk kecil sebelum diam sebentar. “Amirul apa khabar? Lama abang tak jumpa dia. Yalah... sejak dia bernikah dengan junior kami yang glamor ni. Nurul hilang, dia hilang. Abang hilang dua sahabat.” Suara itu tersekat di situ. Nurul semakin gementar. Inilah saat yang paling dia benci. Bagi Rain inilah detik yang dia nantikan biar seribu tahun masanya. Dia ingin penjelasan dari Nurul sendiri.

“Amirul?”
Kali ini dia terdiam. Tidak tahu mahu menjawab apa. Warna perasaan seakan bertukar merah ke perang, Nurul berasa dirinya tercampak di lembah yang kelam. Hati memetik nostalgia lama.

“Hah, Amirul apa khabar?”
Nurul diam.

“Nurul, kenapa diam? Kenapa tak nak beritahu abang apa hal sebenar. Kalau Nurul bahagia dengan Mirul, abang sejuta kali bahagia. Abang bahagia kalau orang yang abang sayang bahagia. Nurul tahu tak, bertahun-tahun abang tak pernah lena tidur mengenangkan Nurul tiba-tiba aje hilang dari abang. Nurul tahu tak, abang macam orang gila cari Nurul. Tiap-tiap malam abang ketuk pintu rumah sewa lama Nurul. Tanya kawan-kawan alamat baru Nurul. Semua kata tak tahu. Nurul lari dari abang tiba-tiba. Abang faham, jodoh kuasa Allah. Tapi abang perlukan penjelasan. Kalau abang ada buat salah dengan Nurul, abang minta maaf.”

Rain tidak peduli. Kalau selepas ini Nurul memusuhi dirinya, dia terima. Dia puas hati. Doanya termakbul. Dia dapat luahkan segalanya di hadapan Nurul biar dia terlewat bertahun-tahun. Dan kalau ditakdirkan Amirul mahu mencincang dirinya kerana melukakan perasaan Nurul, dia terima. Ya, itulah yang sewajarnya.

Nurul termangu sendiri. Dia sebenarnya memang tidak tahu dari mana harus dia mulakan cerita ini. Kalau boleh dia mahu diam dan mendengar saja suara Rain. Dia sekadar mahu menghilangkan rasa pengap di udara yang melemaskannya. Juzuk-juzuk udara yang dihirup kini umpama racun membunuh jiwanya. Perlahan-lahan dia mengeluh, sukmanya lumpuh, perasaannya merana. Segala-galanya menjadi begitu sulit dan payah.

“Kenapa diam?”
“Tak tahu nak cakap apa.”
“Abang tanya tadi tak jawab pun.”
“Abang tanya apa?”
“Amirul apa khabar?”
“Errr... sihat.”
“Itu aje.”
“Nurul macam mana?”
“Macam ni.”
“Bahagia?”

Nurul diam tanpa suara. Puas menahan air mata. Oh, wajarkah aku bercerita semua? Untuk apa? Memalukan diri sendiri? Kelak aku ditempelak. Rumahtangga musnah mungkin kerana karma. Dulu aku lukakan hati engkau Rain. Sekarang aku pula terpaksa menghirup air mataku sendiri.
“Nak ukur bahagia tu macam mana?”
“Nurul lebih tahu.... “

“Macam yang abang tengok.”
“Bertuah Amirul.”
Kali ini Nurul terasa benar-benar seperti meneguk air matanya yang dikumpul sekian lama.
“Abang nak buat satu permintaan boleh?”
“Apa dia?”

“Boleh bagi abang simpan sekeping gambar nikah Nurul?”
Kali ini Nurul berkerut. Matanya tajam memandang Rain sebelum dia menghela nafas berat.

“Gambar nikah?”
“Ya.”
“Nurul tak pernah simpan gambar nikah.”
“Bohong.”
“Betul!”
“Tipulah.”

“Kalau tak percaya, abang boleh tanya Amirul sendiri.”
Kini giliran Rain terjeda.
“Aniverseri Nurul dengan Amirul bila ya?”
“Entah.”
“Nurul....”

“Memang Nurul tak pernah ingat tarikh kahwin. Kenapa? Tak percaya?”
“Nurul, jangan cakap macam tu. Tak akan ada perempuan yang tak ingat tarikh dia bernikah. Takkan ada perempuan yang tak simpan gambar dia diijabkabulkan.”

“Itu perempuan lain. Ni Nurul.” Suara itu sangat bersahaja. Tanpa sebarang emosi sebenarnya. Mukanya kering memandang Rain.
Kali ini giliran Rain kebingungan dan gementar. Wahai Nurul, apa sebenarnya semua ini? Rain tidak mampu bertanya lagi. Wajah Nurul Masmin bagai hilang jiwa apabila dia menyebut nama Amirul.

“Please.... boleh ya bagi abang sekeping gambar nikah Nurul dengan Amirul.”
“Abang nak gambar Nurul?’
“Ya.....”
“Print aje dari blog Nurul. Banyak ada kan....”
“Abang nak gambar Nurul bernikah dengan Amirul.”
“Nurul memang tak simpan.”

“Nurul, abang rindu sangat pada Nurul. Amirul pun kawan abang. Abang sayang dua-dua. Abang faham. Kita berjumpa ni pun, abang berdosa pada Mirul. Abang tak ada niat nak khianati dia. Boleh ya hadiahkan abang gambar nikah kalian.” Suara itu merayu lagi membuat Nurul hampir menitiskan air mata.

“Susah payah kita jumpa lepas bertahun-tahun ni, semata-mata nak dengar abang merengek nak gambar nikah Nurul ke?” Nurul pantas menyorokkan wajah sebaknya. Dia bertekad. Rain tidak perlu tahu apa sebenarnya yang terjadi. Terlalu awal untuk dia berkongsi kisah. Apatah lagi, dia sendiri tidak tahu siapa Rain kini. Kisah di kampus sudah terlalu jauh ditinggalkan. Rain tentunya bukan seperti Rain yang dikenali dahulu. Dan Nurul tidak bersedia lagi untuk melukakan hati sendiri, juga hati perempuan lain, semata-mata untuk berkongsi kasih Rain.

“Nurul.... Nurul tahu tak, abang sampai terlena di sejadah. Abang berdoa minta pada Allah SWT. Mohon dipadamkan segala ingatan dan kenangan tentang Nurul. Tapi abang tetap tak dapat lupakan Nurul.”
Rain terhenti di situ. Bagai mengumpul kekuatan.
“Abang marah Nurul?”
“Tak. Tak pernah.”
“Abang berdendam?”
“Untuk apa?”

“Nurul lukakan abang. Nurul kecewakan abang...”

“Nurul, kekadang cinta datang tak tepat waktunya. Berani jatuh cinta bermakna kita kena berani terluka dan kecewakan?”

Nurul terkaku. Tidak tahu apa jawapan terbaik untuk kata-kata Rain itu. Mereka kemudian cuba beralih kisah. Cuba mengelakkan hal hati dan perasaan. Biarpun jauh di dasar yang paling dalam, baik Rain mahupun Nurul semakin merintih di dalam diam.

Nurul berkeluh, hatinya semakin merusuh. Aku? Apalah yang boleh aku lakukan selain memujuk hati sendiri agar beristighfar. Tuhan, aku menyeru nama Rain Akhtar. Aku kirimkan doa yang paling jernih dan dingin untuk perasaan kami yang sama-sama luka. Biar cepat sembuh. Antara sebak menahan pilu dan perit menahan sakit yang sesekali datang menjengah di pinggang dan dada, Nurul menghadiahkan senyuman yang paling ikhlas untuk Rain tatkala selepas pertemuan itu.

Monday, November 18, 2013


Cinta Hilang Kata 21

Love You In Silence




Nurul & Rain

Taman rahsia tempatnya redup,
Tumpang berteduh di tanah Palembang;
Menanggung rindu seumur hidup,
Setiap saat hatiku bimbang
.

Abang Rain ajak jumpa?!

Nurul tergamam membaca mesej yang satu itu. Kepala yang sedia berdenyut-denyut dan jantung yang asyik berdebar semenjak dua tiga hari ini bertambah sakit rasanya. Sudah beberapa malam dia asyik tersentak dari tidur.

Baru sepicing hendak lena, tubuhnya terasa ditimpa gempa. Badan menggeletar tanpa sebab. Tulang belikat begitu berat, tengkuk bagai dipalu berulang kali dengan paku. Sakitnya bukan kepalang. Mahu ke bilik air pun jalannya terasa tidak lurus. Semua tampak berbalam-balam.

Berjumpa? Aduhai....bukankah ini membuka cerita luka namanya! Tuhan, aku insafi diri! Aku tahu siapa diri ini. Status aku hanyalah bekas isteri orang. Dan, aku tidak mahu melukakan hati sesiapa. Bukankah dahulu aku sudah melukakan dan melumatkan hati manusia yang bernama Rain Akhtar?

Tangisannya menyatu bersama desir angin di luar sana.
Nafas alam terhenti, nafas dia bergelora.
Hati bagai bisu mendapat perkhabaran dari tersayang. Berulang kali dia memikirkan alasan dan jawapan yang paling sopan lagi santun. Paling penting tidak mengecilkan hati Rain.

+ Abang nak jumpa Nurul boleh?
-Huh?! Tak payahlah.
+Kenapa?
-Errr… sebab tak payah?
+Nurul tak suka dekat abang?
-Eh, tak lah. Mana ada Nurul tak suka.
+Maknanya suka lah? Hoho :))
-PE-RA-SAN 
+Please, Nurul. Kita jumpa ya!
-Belum sampai masanya lagi.
+Nurul expect kita mesej macam ni lagi 5 tahun baru boleh jumpa ke?
-No 
+Then? Nurul takut abang makan orang ke? Tak. Abang makan nasi je.
-Nantilah…
+Okay. Macam nilah. Abang akan tunggu dekat One Station sampai Nurul datang. Dekatkan dengan tempat Nurul?
-Kalau Nurul tak datang?
+Abang tunggu sampai Nurul datang.

Nurul Masmin sudah tidak mampu berkata apa-apa. Jarinya seakan kaku untuk terus membalas mesej tersebut. SMS terakhir yang diterima daripada Rain benar-benar membuat tubuhnya kaku. Sakit kepala semakin menyengat.

Dia duduk di atas sofa. TV yang terpasang di hadapan langsung tidak menarik perhatian. Kepalanya masih buntu memikirkan mesej Rain. Terlalu banyak soalan dan tanda seru yang muncul dalam kepala. Nurul Masmin mengeluh lagi.

Perlukah bertemu? Wajarkah? Untuk apa? Untuk melukakan hati masing-masing. Sekadar mahu mengimbas kenangan manis tatkala di kampus. Jiwa Nurul benar-benar bersimpang-siur.

Kalau aku jumpa bukan bererti aku masih sayang? Mengapa sayang? Nurul mengeluh sendirian. Kerana ya, sayang itu perasaan yang Tuhan pinjamkan di dalam kalbu. Kerana fitrah manusia, diri ini lekas terpesona dan mengalu-alu kedatangan yang baru. Namun hati lekas kerikil melihat yang lama. Sehingga hati berbisik-bisikan, mengapakah hidup ini harus menanggung beban jika diri punya pilihan untuk melepaskan?
.
“Pedulilah Nurul! Dia ajak jumpa pun sebab nak jumpa sahabat lama. Mudahkan?” Nurul Masmin berfikir sendiri mencari alasan. Namun kemudian, senyum di bibirnya mula hilang. Kawanlah sangat diaorang tu kan… kalau kawan, tak adalah nak jadi love line masa dekat kampus dulu. Kalau setakat sahabat lama, tak lah sampai nak jadi bunga-bunga asmara!

Nak pergi ke tak?
Pergi ke tak?
Ke nak pergi?

Nurul Masmin mendengus kasar. Payahnya membuat keputusan!

Rain sudah mengirim mesej baru. Sudah memberikan waktu. Katanya akan tetap menanti di situ biar malam silih berganti.

Ya Allah, bukankah cinta selalu menyaksikan kekhilafan. Bukankah aku sudah menghapuskan semua jejak cinta lalu. Pada pasir, pada langit, pada angin, ada ombak. Cuma dalam hati aku tidak mampu menahan gemuruhnya yang lebih dari rindu, lebih dari satu cinta!

Dia segera bangun dan melangkah ke almari pakaiannya. Satu persatu pakaian yang tergantung kemas di dalam almari dikeluarkan. Baju skirt labuh, jeans, baju kurung, kebaya, abaya? Lama dia termenung.

Sesekali rasa kepala berdenyut menyebabkan Nurul tersandar dalam keadaan berpeluh di dinding. Sakitnya bukan kepalang. Badan sekejap rasa seram sejuk. Sesekali kepala terasa panas yang luar biasa.

Wajahnya disolek tipis. Cukup sekadar maskara, bedak debu dan lip gloss. Spontan saja Nurul mencapai selendang hitam. Entah mengapa sejak berpisah dengan Amirul dia selesa memakai selendang panjang. Tidak tahu mengapa, setiap kali melangkah keluar rumah dia berasakan terlalu ramai orang akan memandang dia dengan penuh cela. Bukankah masyakarat sangat jengkel bila memandang perempuan yang diceraikan suami!

Cinta Hilang Kata 20

Love You In Silence




JAH GAYAH

Jiwa masih terbakar, bahangnya merata perasaan. Merentungkan sekelumit perasaan yang masih luka di mana-mana.

Jah Gayah turun dari kereta dan terus meluru memeluk Nurul Masmin. Dipeluk kemas tubuh yang lampai itu. Dirapatkan kepala Nurul. Dikucup dahi dan kedua-dua pipi. Dia tidak peduli kalau ada pekerja kafe Nurul yang mencuri pandang.

Nurul tergamam dan terkaku. Dia juga tidak mampu menepis dan menolak. Dia tidak tahu reaksi bagaimana yang terbaik untuk dia tunjukkan ketika itu. Hatinya masih beku untuk menerima kasih Jah Gayah. Mungkin memerlukan masa bertahun untuk pulih seperti dahulu. Biarpun dia kenal Jah Gayah sejak usianya masih kecil namun pengalaman pahit terlalu banyak antara dia dengan ibu Amirul itu.

“ Emak minta maaf , bagi pihak Amirul. Sebab dialah, Nurul jadi macam ni. Kalau kamu berdua tak bercerai, mesti keadaan kita sekarang bukan macam ni.” Ujar Jah Gayah lagi.

Nurul Masmin tersenyum. “Mak jangan cakap macam tu. Ni semua takdir. Allah dah tentukan. Mungkin ada yang lebih baik untuk jodoh Amirul.” Nurul Masmin berusaha untuk tenang. Suara itu agak sebak.

“Apapun, mak terkilan Nurul. Mak kenal Nurul bukan baru sekarang. Kalau Nurul bukan menantu mak sekalipun, mak tetap anggap Nurul macam anak sendiri. Mana boleh mak lupakan Nurul. Masa kecik dulu, Nurullah yang jadi teman mak di dapur. Kita dah biasa makan sepinggan. Mak makan nasi kemudian nasi mak tu yang mak suapkan pada Nurul. Tiba-tiba jadi macam ni.... mak rasa tak boleh terima.”

Serak suara Jah Gayah. Nurul semakin terkaku. Bulat matanya merenung wanita di hadapannya itu. Dia tidak pasti apakah dia yang tersalah dengar atau Jah Gayah yang benar-benar berubah.

“Mak sebak ingatkan arwah mak Nurul. Mak rasa berdosa sangat. Papa kamu sibuk di luar tu bukan apa... dia sunyi lepas arwah mak kamu tak ada. Papa dah tahu apa yang jadi ni?”

Nurul menarik nafas lelah. Oh, sebenarnya dia belum bersedia untuk berdepan dengan persoalan begini. Bagi dia biarlah masa dan takdir menentukan kelak bagaimana dia harus menerangkan pada papa. Atau, entah-entah khabar itu papa sudah tahu! Mungkin saja ada kenalan atau saudara terdekat yang menyampaikan cerita. Tidak mustahil kalau semua cerita duka itu disampaikan oleh Kak Melah pada papa. Nurul tahu papa selalu menghubungi Kak Melah pembantu kafenya untuk merisik khabar tentang dirinya.

“Bayangkan Nurul... apa kata papa kamu nanti. Kita kenal bukan baru setahun dua. Kita dah macam keluarga. Mak marah betul dengan Mirul sebab cepat sangat buat keputusan. Kalau papa kamu tahu, hancur hati dia. Mak faham rasa tu macam mana sebab mak pun cuma ada Mirul seorang. Nurul datang dalam keluarga kecil kami ni sebenarnya satu rahmat. Nurul lengkapkan hidup mak. Mirul anak lelaki mak, Nurul anak perempuan mak.”

Sekali lagi Nurul terasa hatinya bagai disagat. Wahai bekas ibu mentua, apa sebenarnya ini? Nurul menjerit di dalam hati. Dia tidak menjangkakan segala kata-kata itu lahir dari Jah Gayah.

“Emak faham. Bukan mak nak suruh kamu lupakan semua cuma minta Nurul baiki keadaan. Sambung benda yang putus, baiki benda yang retak. Itu aje.” Rayu Jah Gayah.

“Entahlah, saya pun tak tahu. Cuma sekarang ni, saya tak mahu terikat dengan sesiapa pun lagi. Saya masih perlukan masa untuk pulihkan semangat dan diri saya. Mungkin juga saya boleh ambil peluang ni untuk perbaiki diri saya. Kekadang bila kita dah sendiri macam ni, saya rasa lebih senang saya muhasabah. Kenal diri sendiri. ” Nurul Masmin berkata sejujur mungkin. Dia sendiri tidak mahu memberi sebarang harapan pada bekas mentuannya itu.

“Tak apa, nanti kalau sampai masa, kamu boleh rujuk balik. Kamu jangan risau ya. Hurmm... Mak pulang dululah ya. Takut di rumah tu tak ada orang nak kemas.” Ujar Jah Gayah.
.
“Terima kasih banyak ya mak atas semua nasihat . Insya Allah, hubungan kita takkan putus. Doakan saya kuat ya mak..... Saya selalu doakan yang terbaik untuk Amirul. Sampaikan salam saya buat Amirul.” Ujar Nurul Masmin tanpa sebarang rasa sebenarnya. Kosong jiwanya tatkala menyebut nama Amirul. Terasa seperti mengunyah serpihan kaca tatkala mengucapkan kata-kata itu. Aduhai hati, letihnya apabila terpaksa menjadi manusia yang berpura-puura!

Jah Gayah bangun dan terus memeluk Nurul Masmin. Nurul Masmin sedikit terkejut kerana belum pernah dia diperlakukan begini oleh Jah Gayah walaupun semasa dia masih menjadi isteri Amirul. Tubuhnya terasa kaku dan kejang. Dia tidak mampu menolak pelukan itu. Tapi dia juga tidak tergamak untuk berpura-pura melimpahkan pelukan itu dengan penuh rasa kasih sayang.

“Emak pergi dahulu ya. Jaga diri baik-baik .” Ujar Jah Gayah sambil mengambil beg tangannya dan berlalu pergi.

Nurul Masmin mengangguk sambil melambai tangannya.


“Terima kasih. ”
Jah Gayah segera berlalu dan menuju ke keretanya. Sebelum bergerak pergi, dia melambai kepada Nurul Masmin.

Padan muka kau Nurul! Mampus kau lepas ni! Menyembah merangkak kau cari duda kau balik! Nurul, kau dah kena dengan aku. Kalau bukan sebab nak calit minyak cenuai dekat kau, tak adanya aku nak peluk kau tadi. Lepas ni tak ingin aku nak jumpa kau! Kalau aku terserempak mahu aku ludahkan kau! Betina tak sedar diri! Dulu arwah mak kau, tahu beranak aje. Lepas tu sibuk kerja. Kau tu aku bela. Sekarang kau pulak! Dasar betina yang hidupnya tahu mengangkang aje depan komputer!

Sesen tak guna!
Itulah, aku pujuk kau cara baik, kau tolak. Sekarang tengoklah, lepas ni, mesti kau akan melutut dekat si Amirul suruh kahwin balik dengan kau. Lepas itu, semua duit dalam akaun kau, aku suruh pindah ke akaun aku dan Amirul pulak! Bisik hati Jah Gayah sambil tersenyum sinis. Dalam dada merayap segala dendam berbaur gentar rasa. Kau tunggu! Kau tunggulah masanya Nurul! Mati merana kau nanti..... Meraung kau nanti mencari lutut Amirul. Kau tunggu Nurul! Kau tunggulah nanti!

Thursday, November 14, 2013

Cinta Hilang Kata 19

Love You In Silence




JAH GAYAH

“Errr... berapa?”
Dukun itu mengulang kembali. Pantas saja Jah Gayah mengangguk setuju.
“Ah, mahal sikit tak apa....Mana ada benda tak bermodal! Esok lusa kalau si Nurul dah ikut cakap, kau hentaklah balik duit dia! Kira pulang modallah nanti!”

Jah Gayah memujuk hati tatkala perasaan terasa ralat terpaksa mengeluarkan duit sebanyak itu.

Nestapa dan jiwa yang terkurung malap tanpa iman begitu menguasai diri Jah Gayah. . Dendam dan hanyir daging hitam dalam tubuhnya bagai tidak mampu dicuci dan disucikan. Dosa silam bagai ternampak-nampak melambai di pintu langit.

Kini dikutipnya lagi sisa noda duniawi menambah dosa sedia ada. Yang pasti langit dan segenap penghuni alam memandang Jah Gayah dengan penuh kejelikan. Cengerik, agas, kelkatu dan semua penghuni hutan yang bertingkah menjerit menghina wanita itu. Busuk membusung jiwa, roh dan hatinya begitu terpengap dan bau itu menyelubungi segenap penjuru desa terpencil itu.

“Untuk diri sendiri pun boleh pakai. Biar orang pandang kita dia tak membantah. Macam kena pukau. Calit di dahi, kedua-dua pipi, dagu dan diurut di hulu hati serta ditiup ke bawah sebelum disimpan dalam baju atau poket. Paling baik dibungkus dalam kain kuning. Terpulanglah pada kau. Mana yang kau ni mahu. Bumi manusia ni luas. Kalau kau nak senang, kita cari tangkal bagi senang. Kalau kau nak kuasa, kita bagi tangkal kuasa. Kalau kau nak orang gila meroyan, gila bayang kat kau, ada. Kalau kau tak mau minyak, kau boleh beli dari aku. Hah, nanti kejap.... ”

Panjang lebar Dukun Ateh bercerita. Debar Jah Gayah tak berkurang. Namun hatinya berbuai bahagia. Kau tunggulah Nurul. Memang aku libas, aku kerjakan kau cukup-cukup.

Dukun Ateh seperti mencari sesuatu di tepi gerobok tempat dia duduk bersila.

“Ni hah... Ni taring harimau jantan. Aku sendiri bunuh harimau ni. Taring rimau ni sama hebat dengan kuku, misai sama telur dia. Siapa pakai taring ni memang gerun orang memandang. Tak berani orang nak bantah. Orang akan ikut jer cakap kau kalau kau pakai benda ni. Memang kau hebatlah.”
Jah Gayah membelek taring yang sudah ditebuk menjadi loket itu.

“Tak apalah. Saya ambik minyak cukuplah. Lagipun saya perempuan. Susah saya nak pakai tangkal.”

“Apa pun barang aku, kalau kau simpan ada syaratnya. Kau jangan bawak sembahyang, kau jangan bawak waktu kau ziarah orang mati. Jangan kau langkah, jangan kau bawak ke jamban. Faham?”

Garau suara itu membuat Jah Gayah pantas mengangguk.

Malam menyembunyikan rahsianya yang tersendiri. Dendam menelan dingin hari. Jiwa Jah Gayah meronta dalam racau kesumat yang luar biasa. Puas! Hati aku puas! Itu bisiknya berkali-kali.

Jah Gayah sampai ke rumahnya jam tiga pagi. Walaupun dia sedikit letih, namun, hatinya puas. Segala rancangannya pasti akan berhasil. Dan, dia akan mendapat hasilnya nanti!

Cinta Hilang Kata 18

Love You In Silence





JAH GAYAH

Warga hutan sedang tidur dalam ketakutan di pangkuan malam. Hujan turun deras dari langit kehitam-hitaman. Airnya jatuh ke lereng-lereng lembah, bergemuruh bersama aliran sungai. Patung kecil yang dipuja berbalut kain kuning, hitam dan merah dilangirkan beberapa kali di atas perasap kemenyan.

Jah Gayah tidak peduli biarpun hatinya sebenar sangat bimbang. Hendak memandang wajah Dukun Ateh Anjang pun dia tidak berani. Mata itu seperti terperesok ke dalam. Tulang muka yang timbul sangat menggerunkan.

“Apa hajat?” Suara garau Dukun Ateh Anjang memecah kesunyian malam.

Jah Gayah agak terkejut namun dikuatkan semangatnya. “Macam ni Ateh... saya ni ada anak lelaki. Bini dia mintak cerai. Saya memang tak bagi... tapi dia ni degil... dia ceraikan jugak bini dia.”

“Habis tu apa hajat kamu sebenar?” Tanya dukun itu lagi.
“Kalau boleh saya nak budak-budak ni rujuk balik.” Jawab Jah Gayah perlahan namun masih kedengaran jelas.

Dukun itu mengangguk dan memandang Jah Gayah. “Ada bawak apa-apa barang bekas menantu tu?”

“Errr ada... ada...ni kain batik yang dia selalu pakai buat basahan. Ini gambar penuh dia.” Tergagap-gagap Jah Gayah sambil menyuakan kain batik dan gambar milik Nurul Masmin.

“Nama dia?”
“Nurul Masmin Razali.”
“Nama mak dia?”
“Azmeena..”

“Panggilan badan dia?” Tanya dukun tua itu lagi.
Ternganga Jah Gayah apabila mendengar kata-kata Dukun Ateh Anjang. “Hah? Panggilan badan macam mana tu?”
“Nama yang selalu kita panggil budak ni!” Jawab dukun tersebut dengan suara yang keras.

“Semua orang panggil Nurul aje...” Jawab Jah Gayah takut-takut.
Dukun Ateh Anjang mengangguk-angguk sambil mengambil kain batik itu dari tangan Jah Gayah. Dia memperasapkan kain batik itu dengan kemenyan yang tersedia di situ. Mulutnya terkumat-kamit dengan mata yang terpejam. Sesekali dilihat dia menghembus ke arah kain batik tersebut. Setelah itu, dia mengambil pula gambar Nurul Masmin dan mengasapkan gambar tersebut. Limau kasturi yang berada di situ dibelah dua dan diperah ke atas gambar tersebut. Selesai semuanya, dia memberikan gambar dan kain batik itu kepada Jah Gayah.

“Kain batik ni rendam dalam air limau ni kemudian sidaikan di luar rumah tengah malam. Bila matahari terbit, angkat... lepas jam 12 malam sidai balik.. kalau kena hujan pun biarkan..” Ujar Dukun Ateh Anjang.
“Untuk apa?” Tanya Jah Gayah pelik.

“Setiap malam bila dia nak tidur dia akan resah terkenangkan bekas suami dia. Selagi dia tak balik jumpa anak kau, dia tak tenang.” Terang Dukun Ateh.


“Cukup tujuh hari tujuh malam... tunggu masa bulan penuh hari jumaat, bakarkan kain ni. Abunya dibuang ke sungai atau tempat yang berarus... selagi dia tak jumpa suami dia hati dia hanyut macam mana abu kain ni hanyut.” Sambung Dukun Ateh lagi. Kemudian, dia menyerahkan pula gambar Nurul Masmin kepada Jah Gayah.

“Gambar ni untuk apa?” Tanya Jah Gayah lagi.
“Gambar ni cucukkan jarum peniti pada tengah dada dia. Biar dia selalu tersentak-sentak tengah malam.” Terang Dukun Ateh Anjang sambil tangannya terus bermain dengan asap kemenyan.

Jah Gayah mengangguk-angguk dan menyimpan barangan tersebut ke dalam plastiknya. “Err... Ateh, rasanya, berapa lama benda ni nak jadi?”
“Tergantung sama keadaan. Jika kau dan anak kau kuat semangat, dan si mangsa ini lemah, tidak lama lagi, semua yang kau mahu akan jadi kenyataan!” Ujar dukun tua itu.

“Baiklah kalau itu kata Ateh. Saya nak mereka tu bersatu semula!” Ujar Jah Gayah sambil tersenyum. Dalam kepalanya sudah membayangkan yang Nurul Masmin akan melutut semula kepada Amirul untuk rujuk kembali. Dan, dia akan dapat semua duit Nurul Masmin lagi!

“Kalau tengok kat sini budak ni degil.” Ateh merenung ke dalam mangkuk yang berisi belahan limau. Dikuis-kuis limau di dalam air itu dengan keris kecilnya. Matanya sesekali terpejam.

“Dia memang kepala batu. Kuat melawan.”

“Kamu kena pakai minyak cenuai ni. Baru boleh ikat dia. Kalau dia melawan, batin dia meronta, dia sakit tersiksa. Sampai dia ikut cakap kau baru dia baik.” Dukun tua itu memancing sesuatu.
“Apa yang Ateh rasa baik, saya ikut.”
“Betul nak?”

Jah Gayah angguk. Perempuan tua itu bagai terlupa dosa yang jelek, neraka yang menggelegak dan hati yang busuk membusung. Baginya yang penting Nurul dalam genggaman.

“Minyak Cenuai Asli ni ilmu rahsia suku kaum pedalaman dekat kawasan ni. Kita buat dengan segala jenis ramuan rahsia. Tujuannya pikat orang yang jadi idaman kita. Senang sangat! Kita sentuh kulit orang yang dihajatkan. Minyak ni nanti penuh dengan sendiri waktu bulan mengambang. Tak perlu bercerita panjang lebar. Kau pakai sendiri baru kau datang balik cerita kat aku. Baru kau tahu hebatnya macam mana.”
Jah Gayah memandang penuh takjub minyak yang di dalam botol kaca kecil itu. Kaca jernih tapi minyak itu tampak seperti berkeladak dik akar kayu yang dimasukkan sekali.

“Orang yang terkena minyak ini jadi rindu gelisah berpanjangan selagi dia tak penuhi apa yang kita hendak dari dia. Calitkan sikit pada kulit dia. Minyak ni guna tumbuhan tak berdaun yang kami panggil cenuai rambut, cenuai emas dan cenuai akar serta minyak kelapa buah sulung. Cara masak dia pun susah! Banyak syaratnya. Tapi cukup kuat. Lagi kuat dari minyak dagu. Mahar dia, RM2700.25. Sanggup?”

Wednesday, November 13, 2013


Cinta Hilang Kata 17

Love You In Silence




Nurul Masmin

“Kau orang memang tahu apa-apa ke lepas aku bernikah dengan Amirul?” Nurul cuba memulangkan pertanyaan.

Sekali lagi dua sahabat itu menggeleng. Dua orang rakannya ini bersifat protective. Nurul Masmin tersenyum kecil.

“Takdir. Semuanya tertulis dan tersurat. Aku reda. Kami kenal sejak sekolah. ” Ujar Nurul Masmin sambil menyisip sedikit air limau laici di tepinya.

“Hei.... kau cerita apa ni?” Ezra terkejut. Che Wanie pula terdiam dan menyampuk.

“Dari kecil?”

“Bukan kau kenal dia masa kita dekat UM ke?” Ezra dan Che Wanie saling berebut bertanya.

“Korang sekolah sekali ke apa?”

Bertalu-talu soalan daripada Ezra dan Che Wanie. Nurul Masmin sedikit rimas. Bukannya geram dengan rakannya, tapi dia lebih rimas bila terpaksa menyingkap balik tabir masa lalu untuk menceritakan segala-galanya. Bukankah itu sama sahaja dengan menoreh kembali luka lama?

“Aku dah kenal dengan Amirul tu lama dah...” Nurul Masmin mula membuka cerita yang sekian lama di simpannya sendiri.

“Astagfirullahallazim.... Kau kenal dia sebelum masuk UM?”
Nurul mengangguk. Wajahnya merah menahan sebak.

“Maknanya masa dia buat kecoh dengan kita waktu first year tu, kau orang memang dah kenal! Amirul memang kenal kau. Kau kenal Amirul.” Che

Wanie cuba mencari logik dalam situasi ini. Kepalanya berputar ligat mencari titik punca yang menyambungkan semua kejadian yang berlaku dahulu.

Nurul Masmin mengangguk. “Kenal sangat! Dia jiran aku dulu. Baik dengan
arwah mak aku. Kalau letakkan aku dengan dia, suruh arwah mak aku pilih antara dua, rasanya dia menang kau! Apa pun cakap dia, arwah mak percaya! Aku ni kan degil.” Ujarnya lagi. Sedikit kecil hati sebenarnya.

Bulat mata Ezra mendengar cerita sahabatnya itu.“Ya Allah! Maknanya kau orang buat-buat tak kenal? Buat-buat tak tahu....”

“Patutlah kau dendam semacam dengan dia sampai tergamak panjat masuk hostel lelaki pergi gunting boxer dia! Kau gilalah!” Tambah Che Wanie pula.

Nurul Masmin tergelak kecil. Terbayang bagaimana dia gigih memanjat pagar semata-mata mahu melunaskan dendamnya terhadap Amirul. Memang padan muka jantan tu. Puas hatinya ketika itu! “Dia yang buat aku jadi gila! Dia yang cari hal dulu. Aku cuba buat janji dengan dia. Kalau aku dapat masuk UM, dia tak perlu menyemak depan aku. Nak buat macam mana.... Dia yang cari hal dulu.”

Ketiga-tiga mereka diam lagi. Satu persatu ingatan mereka tentang peristiwa zaman kampus muncul dalam layar fikiran. Nurul Masmin dalam kesedihannya manakala Ezra dan Che Wanie semakin faham dengan apa yang sudah berlaku terhadap rakan mereka.

“Nurul... Kenapa kau tak cakap awal-awal?” Tanya Ezra.

Satu keluhan kecil di lepaskan. Nurul Masmin membuang pandang ke luar sebelum berpaling semula melihat rakannya itu. “Entah. Tak minat! Tak kuasa! Apa pun pasal dia, aku tak peduli. Dia baik dengan mak aku. Itu hal dia.”

“Tak minat, tak kuasa, tak ambil tahu tapi itu jugak lelaki yang jadi laki kau!” Sampuk Che Wanie.

“Takdir!” mudah jawapan Nurul Masmin.

Ezra menggeleng kecil. “Kalau kita tak mau, kita boleh kata tak nak.... Kenapa kau siksa diri? Kenapa kau tak terus-terang dengan arwah mak kau.”

“Entah, jodoh! Dah aturan Tuhan!”

“Kalau dah tak suka, dah tahu hati tak boleh terima, buat apa bernikah?”

“Payah nak cakap.... Kalau kau jadi aku, kalau kau anak tunggal, kau anak yang sejak lahir diasuh untuk mengikut kata emak. Dididik untuk tidak membantah. Apa kau sanggup tengok emak kau menangis siang malam?

Sanggup kau dengar mak kau merayu dengan alasan restu emak itu doa emak, doa emak bererti syurga kita. Sanggup kau kata tidak?”
Suara itu lirih. Nurul terjeda. Dia benar-benar keliru kalau menyebut segala yang berlaku adalah jodoh dan takdir. Benar kata kawan-kawan. Bukankah dia berhak untuk mengatakan tidak.Tapi mampukan seorang anak menghampakan harapan ibu?

Bukankah ini yang dikatakan cerita cinta yang sulit! Amirul dan aku ditakdirkan saling tidak mencintai dan tidak saling memiliki biar suci ijab kabul mengikat. Aku dan Amirul bukankah dua jiwa yang tak sengaja bertemu dalam simpul mati yang serba kusut. Sekeras mana pun usaha aku dan dia, kami tetap saling menjauhkan diri. Menjauhkan hati. Apatah lagi terlalu banyak kekacauan yang tidak dijangkakan berlaku.
Cinta Hilang Kata 16

Love You In Silence


SABIRAH & MAHYUN
Seluruh alam sedang tidur dalam pangkuan malam. Hujan turun deras dari langit kehitam-hitaman. Airnya jatuh ke lereng-lereng dan lembah, bergemuruh bersama aliran sungai. Dalam sunyi hutan Hulu Langat itu tiba-tiba ada suara yang menggelegar.

Nadanya nyaring dan dahsyat. Marahnya bagai api yang menjulang. Perempuan tua itu tiba-tiba rakus seperti hauskan sesuatu. Matanya bercahaya garang, teriakannya riuh-rendah seperti hilang ingatan bagai guntur malam hari.

“Sini...” Arah Mahyun pada Sabirah.
“Mana?”

Sabirah takut-takut. Bulan penuh mengambang cantik namun menyeramkan di puncak langit. Tiada siapa di kawasan sungai yang mengalir dingin itu.

“Sini!!” Suara Mahyun sangat menggerunkan. Zaili sendiri terkaku. Oh, tu bukan emak! Tentunya benda lain!

“Mandi... biarkan cahaya bulan jatuh terpercik ke badan. Air biar mengalir. Bunga tu biar hanyut. Limau tu diperah gosok seluruh badan! Sambil ramas limau, seru nama sesiapa yang patut.”
“Mandi macam biasakan?”
“Kali ni kain basahan biarkan hanyut.”
Sabirah mengangguk. Dingin dan kebekuan malam bukan halangan untuk dia terus berendam di dalam air.
“Mana gambar yang lain tu?”

“Ni dia mak...” Zaili menghulurkan sesuatu yang bergulung. Gambar Ezra dan Nurul. Semuanya sudah dicucuk-cucuk dengan jarum peniti.
“Mana limau?”
Zaili menghulur.

“Belah limau, gulungkan gambar, kepitkan pada limau kemudian cucukkan jarum. Biar gambar terlekat pada limau. Hanyutkan lepas si Birah mandi.”

“Macam ni?” Zaili mengikut arahan. Gambar yang sudah siap dicetak dalam ukuran kecil digulung halus. Mahyun mengangguk.

“Biar dirasakan, meraung betina-betina tu bisa satu badan. Biar dia semua tercirit, termuntah... Biar dirasakan. Tu belum lagi aku buat batu goreng. Aku goreng, biar sampai dia berasap badan. Ni kita hanyutkan ke air, sejuk beku kepala otak dia orang. Hahaha! Biar dirasakan. Silap hari bulan boleh lumpuh tangan, bisa menjalar, nak menaip pun tak mampu!”
Mahyun menghilai ketawa. Suaranya dengan desiran dahan dan ranting yang berbaur bersama bunyi arus air mencipta satu bunyian yang sangat mengerikan.

“Hei si hantu raya, jembalang angin, pusaran air, engkau rasuk si dia dalam gambar ini. Engkau makan hati perut dia. Kalau engkau tak pergi, rasuk makan hati perut engkau!” Perempuan tua itu terus terkumat-kamit melafazkan mantera. Sesaat itu juga terasa kilasan angin yang sangat tajam kedinginannya. Seluruh anggota tubuh bagai meremang.

Sabirah tergamam mendengar kata-kata emaknya. Tapi Zaili memberi isyarat mata. Jangan tunjuk muka takut depan emak. Nanti sia-sia kena sergah. Mengenangkan saingannya mungkin terlingkup dan tergedang tidak mampu berkarya, Sabirah kembali tenang. Ketepi... ketepi kau orang semua! Tunggu aku! Aku nanti jadi diva di karpet merah! Hahaha! Mampus kauorang!

Langit tiba-tiba meledakkan dentuman yang maha dahsyat. Guruh bagai mengaum di bibir bumi. Angin bergemuruh dan hujan terus menggoncang bumi. Tiga beranak itu segera bersiap meninggalkan kawasan yang serba hitam. Sabirah dapat merasakan ada sesuatu yang merenung, mengintai dan mengekorinya dari jauh. Ah, peduli apa dengan mata yang merah meliar itu!

“Sytttt..... Diam! Jangan bergerak. Ada tu kat hujung sana.”
Sabirah tiba-tiba terasa mahu menjerit dan meraung namun gelora hati untuk tampak hebat dan lagi bagus dari orang lain menahannya. Bodoh! Kau bodoh! Diam ajelah! Mak sendiri tukang ubat pun nak takut! Hatinya mencemuh akal warasnya. Dia menjeling ke arah Zaili.

Lelaki itu juga sudah terkaku. Dia tahu ada sesuatu di antara bayang hitam dahan-dahan pokok yang sangat menggerunkan di waktu malam itu. Dia dapat merasakannya. Angin bertiup bagai melibas tengkuknya. Sejuk dan mengerikan. Dia dapat menghidu bau yang seketika macam kapur barus. Ada waktu hanyir menerpa.

Oh, bila mahu selesai ni!!!

Mata Mahyun meliar dan melekat pada satu dahan besar. Kemudian dia terkumat-kamit sebelum meludah ke kiri dan kanan!
Petir dan guruh terus bergaung di dada langit. Syaitan tiba-tiba meraung namun daging hati Mahyun tetap bersekongkol dengan syaitan yang dilaknat.

Hujan menyambut waktu dengan syahdu mengalun lembut. Gerimis halus itu nadanya seperti nyanyian bidadari yang membawa harum alam menyelinap segenap liang bumi. Semilir mengalir ke sela jendela yang berlangsir putih polos.

Akhir-akhir ini cuaca seakan bertingkah dan bertelagah sesama sendiri. Sekejap hangat membahang. Seketika panas menikam dan memijar. Sebentar kemudian beralih menjadi ribut taufan yang maha dahsyat. Di satu ruang yang sepi, Nurul Masmin sudah beberapa hari memilih untuk berdiam di dalam rumah. Membalut diri dalam gebar, meminjam selesa diteman selimut. Bisa mencengkam segenap tubuh Nurul Masmin.

Tuesday, November 12, 2013

Cinta Hilang Kata 15

Love You In Silence

Nurul Masmin 

Tuhan, terima kasih kerana mengirim sepi yang membenih keinsafan. Menghantar ingatan aku yang kian terlupa pada daerah terpinggir ini. Ya, Allah kalau ini ujian-Mu, aku reda. Mungkin ada daerah jiwa aku yang kontang dengan wirid dan zikir. Nurul sebak memandang wajah sendiri di cermin.

Wajahnya pucat lesi. Dia tak kuasa mahu berbedak apatah lagi bergincu. Lantaklah kalau ada yang kenal terserempak dengan dirinya. Tudung yang tidak perlu digosok disarungkan ke kepala. Baju jaket tebal dipakai. Tangannya menggeletar sewaktu memegang stering kereta. Kepalanya terasa kosong dan mata bagai tidak boleh fokus. Bibir yang kering dipaksa melafazkan tasbih dan zikir. Hanya itu kekuatan yang ada.

Sulur-sulur sepi menjalar ke segenap penjuru. Hidupnya kini hanya seputar kafe dan rumah. Pulang ke rumah jam sudah menunjukkan hampir pukul 12 malam. Lenguh dan letih menyelinap ke tulang belakang. Bisa semakin menangkap di segenap urat nadi. Ari-ari terasa dihiris. Belakang leher terasa tegang dan bagai ada yang menikam. Sesekali lengan kirinya terasa kebas. Ada waktu dia terasa pipinya kejang. Lidahnya bagai sukar untuk menyebut perkataan dengan jelas.

Kali ini dia tidak mampu menahan sakit. Nurul segera menelefon sahabat lama yang seorang doktor pakar untuk membuat temujanji. Dr Rohani yang sejak dahulu sangat akrab dengan Nurul Masmin tenang menjalankan pemeriksaan terhadap pesakitnya itu.
“Nurul, you stress sangat kot?”
“Tak jugak...”
“Dah berapa lama macam ni?”

“Dah dua tiga bulan jugak. Tapi saya buat tak kisah sebab anggap tak serius. Lately ni je makin menjadi-jadi. Kekadang sampai menggigil badan. Tak larat nak buat apa.”

“Entahlah, agaknya I rushed sangat kejar deadline buku kot.”

Nurul menjawab lemah. Dia sendiri keliru masalah dirinya. Stress? Tension? Duka lara sampai semuanya haywire! Nasib badan! Dia masih mengawal diri. Takkan pula mahu menyelak segala cerita dalam kain depan Dr Rohani. Takkan mahu sebut, “Entah-entah sebab saya bercerai kot doktor maka saya jadi macam ni!”

“Oh ya ke? Tak apa kita cuba dulu kali ni. Kalau ada apa-apa tak kena, you terus berhenti makan pil tu. You datang untuk buat rawatan lanjut ya. Jangan takut. You kena doa, tawakal dan usaha. Yakin semuanya terjadi ada sebab. Mungkin Allah nak suruh you rehat dan jangan stress sangat menaip?”

Nurul tersenyum tawar. Dr Rohani memang cekap memujuk hatinya. Angin keras dari balik tabir langit menyerbu ke tubuhnya sewaktu dia meninggalkan Pusat Rawatan Azzahrah. Sejuk membuatkan sendinya terasa bisa. Ya Allah, pinjamkan aku kekuatanMu! Pawana terus berlari keras. Seribu juzuk darah terus mengalir dari tubuhnya. Darah yang turun terasa panas, menggelepar dan berketul-ketul. Dalam badan terasa panas, luar tubuh bagai menggeletar dingin. Telinga bagai berdengung dan ada datar suara yang berbisik ngilu. Nurul Masmin terus berzikir dan bertahmid.

Cinta Hilang Kata 14

Love You In Silence

Sabirah & Kak Muna

Rendah pohon buah kuini,
Tanam kapas di laman raja;
Sudah masyhur saya di sini,
Saya tidak lepas sahaja.


Hari yang sempurna. Senja yang indah, semuanya tampak berhasil! Warna langit yang berserakan rona tembaga begitu ghairah menjamah bumi sekitarnya.Di wajahnya terlayar seraut bahagia. Hatinya membayangkan keceriaan yang tidak mampu dikuis. Sabirah tersenyum lebar. Matanya mengerling penuh makna pada Zaili. Tak sia-sia rasanya menghabis masa mencari waktu lapang Kak Muna. Editor perunding ini memang cekap dan pantas menterjemahkan hasrat hati mereka.

Dalam kepala Zaili sudah sampai ke puncak bulan angan-angannya. Wah, kalau kena gayanya memang boleh makan besar! Kalau pandai mengambil peluang, bijak atur strategi, cari penulis yang bagus, buat kerjasama, memang meletup!

Royalti boleh buat makan anak cucu! Sabirah sendiri sudah terbayang mukanya menghiasi akhbar. Tak mainlah berita penyendal yang tahap panjang sejengkal. Paling koman satu muka surat! Apa barang gambar hitam putih! Mestilah halaman berwarna! Publisti mesti gempak baru nama meletup!

“Alah, jangan risau nanti pandailah akak pujuk Ezra... No hal lah! Bab-bab kerja PR ni bagikan akak...” Tutur Kak Muna. Riak wajahnya tampak yakin. Sesekali dia mengerling ke luar tingkap pejabat melihat pekerja-pekerja yang tekun bekerja. Semua tampak tekun tanpa ada yang curi tulang.

“Saya tak biasa dengan dialah, kak. Macam mana kalau dia tolak.” Ujar Sabirah perlahan. Mukanya sengaja dikeruhkan kononnya dia risau. Zaili di sebelah sudah tersengih-sengih.

Kak Muna tersenyum sinis sambil mendabik dada. “Ni editor perunding nombor satu! Jangan risau... Ada berani dia nak tolak akak punya permintaan? Birah jarang berurusan dengan dia ke?” Tanya Kak Muna. Dia menyisip sedikit kopi yang sudah di siapkan pembantunya.

Sabirah geleng kecil. “Jarang... Birah mana ada campur sangat dengan orang lain.”

Kak Muna mengangguk puas hati.“Hah tu lagi bagus. Leceh kalau berkawan sana sini, lagi banyak benda tak elok jadi. Kalau nak jadi artis ke, penulis ke, orang-orang bintang di langit ni memang bagus kalau kita tak bergaul sangat. Bukan yang muka bersepah-sepah macam barang pasar malam.... Barang baik mana ada jual merata. Susah kita nak jumpa kan! Tu baru kita panggil eksklusif!”

Zaili turut mengangguk menyokong kata-kata wanita itu. “Itulah... Saya memang kontrol Sabirah. Jangan expose sangat. Kalau bergaul pun sesama penulis, masa terserempak atau terjumpa aje. Saya tak izinkan dia nak melepak sana sini.”

“Ya ke?” Terangkat kening Kak Muna.

Makin laju anggukan Zaili, kalah burung belatuk tebuk lubang pokok.

“Sungguh kak... Buat apa nak bercampur sangat. Banyak cerita gosip aje yang keluar. Orang ni mengata orang tu, orang yang sini mengata orang sana....Tu yang saya tak berkenan.” Terjuih-juih bibir Zaili bercerita. Siap terangkat-angkat tangan bagi menambah gaya dan perisa.

Kak Muna tersenyum sinis. Dia membetulkan duduk di kerusi empuk miliknya sebelum bersandar selesa. Wajah Zaili dan Sabirah dipandangnya silih berganti. “Memang betul! Akak ni jadi editor dah lama. Dah masak sangat perangai penulis, maaf cakaplah.... Ada yang takat suam-suam kuku, berlagak bukan main. Demand macam-macam.... Heboh cerita sana sini pasal buku dia. Walhal kalau kita jengah di stor pencetak... hahahahah... menggunung tinggi buku dia tersadai tak laku! Tu tak termasuk buku yang returns.”

“Ada ke kak?”
“Sungguh ke?”

Kedua-dua adik beradik kembar itu kelihatan teruja. Senyuman Kak Muna semakin lebar. “Apa pulak tak betulnya. Akak kalau penulis nak yang takat baru satu dua buku tapi dah perasan macam JK Rowlings, akak memang ajar cukup-cukup. Kalau mana yang heboh kat fb, kat blog konon buku dia nak terbit sekian-sekian waktu, walhal kami tak masuk meeting jadual penerbitan lagi... akak ganyang aje. Terus akak peramkan! Peduli apa akak... Kena ajar budak-budak baru ni!”

“Tak confirm lagi dalam meeting bila nak terbit, ada ke yang berani nak pukul canang?” Tanya Sabirah dengan mata terkelip-kelip. Bulu mata palsunya kelihatan tersidai mengalahkan penyapu makcik cleaner.

“Ada! Apa pulak tak ada.... Bila nak terbit? Kenapa lambat? Bila nak bagi pembetulan teks? Ya Allah rimas akak! Kami editor kami tahulah kerja kami! Lepas tu kalau kami tak sempat nak balas emel atau jawab, wah terus telefon big boss. Tu tak termasuk menyalak kat FB.” Ujar Kak Muna berapi-api.

“Oh ye ke?” Tanya Zaili pula.

“Hemm... tu macam si Randy Naim tu. Dah tua-tua baru nak jadi penulis. Bila kita edit novel dia, jadi meroyan. Siap baling ke dinding bila dapat naskhah percuma. Tu belum kes penulis suruh kami campak teks diaorang dalam tong sampah kalau kami nak potong atau ubah. Penat nak layan penulis yang perasan best seller walhal hangat-hangat tahi ayam pun tak terasa novel dia tu! Sejuk! Bila print, kedai jangankan nak repeat order, bertimbun pulangkan balik mana yang tak laku!” Cerita Kak Muna semakin panas.

“Dengan kami akak jangan bimbang. Kami akan all out buat promosi.” Sabirah berikrar sendiri sambil di sokong Zaili. Konon-konon bersemangat untuk membantu melancarkan projek yang bakal mereka jalani.

“Sabirah akak kenal. Siapa tak tahu rekod Sabirah.” Puji Kak Muna merambu-rambu. Skill kaki bodek nombor satu negara dan propa drama kelas satu! “Tu lah... betul cara Sabirah ni. Tak payah nak bergaul sangat. Kalau jumpa si Nur Kesuma tu, buat tak tahu aje! Jangan layan sangat. Dia tu kepala samseng tu nak ajak penulis lain rebel dengan penerbit!” Sambung Kak Muna lagi.

Zaili dan Sabirah sama-sama puas hati. “Hemm... bab si Ezra dengan Nurul tu macam mana kak?” Tanya Zaili sambil melirik ke arah Kak Muna.

“Kalau rasa cerita tak berapa kuat, kita jual coverlah! Buat cover cun melecun, bagi blurb yang buat orang menyesal kalau tak beli. Biasalah kita, kalau cerita biasa-biasa, kita bagi cover yang luar biasa. Baru orang berebut beli!”

Zaili ketawa besar sambil mengangguk-angguk. “Hahaha... bagus kak! Bagus! Saya faham. Ni berniaga, mesti ada strategi. Kita tabur peluru kita dekat blog, fb atau forum. Kita kempen habis-habis. Kita pasang askar dengan jeneral kita untuk projek ni. Siapa komen buruk aje, kita tembak balik!”

Sabirah turut gembira mendengar cadangan Kak Muna. “Itulah... Saya pun fikir macam Kak Muna. Cuma kena lebih hati-hati sebab penulis dah ramai sekarang ni.” Ujarnya sedikit resah.

“Kita yang buat dia! Kita yang edit. Duit kita. Suka hati kitalah!” Ujar Kak Muna takbur.

"Kalau si Nurul dengan Ezra tu degil, kita belasah cukup-cukup. Kita buat group, benamkan dia terus dalam dunia penulisan ni." Kak Muna mengenyit mata.

Sabirah mengetap bibir. Oh, memang ni aku tunggu bertahun-tahun! Akan aku benam kau Nurul Masmin! Kau dah menjanda! Lepas ni nak cari makan dengan menulis pun kau kena mengemis!

Cinta Hilang Kata 13

Love You In Silence



RAIN

Pohon melur jangan ditebang,
Ditanam bersilang rumpun tebu;
Mana bukti ikhlasnya abang,
Bakarlah air ambillah abu.

Rain sedang menonton Buletin Utama sambil meriba Princess. Si kecil itu memang mudah terlelap jikalau Rain yang meribanya. Darling pula terlentok rebah di sebelah Rain dengan kepala berbantalkan kusyen kecil.

Perlahan-lahan Rain mengusap-usap Princess. Biar lenanya panjang. Jikalau tidak jangan mimpi rumah itu akan tenang. Ke sana ke mari dengan lincah dan nakal! Ada saja barang yang disepahkan.
Lelaki itu sebenarnya sudah resah gelisah mahu menghadap komputernya. Matanya sekejap-sekejap mencuri pandang ke belakang. Bimbang Farah tiba-tiba muncul. Dari dalam bilik kedengaran bunyi Farah sedang mengemas.

Vakum bergema menyedut segala habuk dan sawang. Sudah seminggu Farah tidak sempat berkemas rumah. Tadi Farah memang pulang awal kerana seminarnya selesai jam tiga petang.

**************
Wednesday, February 09, 2012
Que sera sera what will be .. will be
Oleh : Nurul Masmin Razali

Kata dia pada saya, dia tak tahu nak mula dari mana. Dia kata, dia tak pandai nak susun kata. Tapi dia masih mahu bercerita. Beritahu dia pada saya, hatinya sangat luka, jiwanya sangat pedih.

"Aku failkan permohonan cerai."

Oh, saya berpinar-pinar sekejap. Memandang tepat ke matanya mencari-cari... di mana benarnya kata itu. Sangat tidak percaya. Saya sangat tergamam. Bukan ke selama saya kenal dia.. dia nampak melalui hidupnya dengan tenang. Eh, sejak bila dia bertengkar, sejak bila dia tidak sehaluan dan kenapa pula sampai mahu berpisah?

"Aku letih! Aku bosan dan sangat jemu..."

Oh, apa masalah kawan saya yang satu ni? Saya tidak pernah mendengar dia bermasalah. Semuanya baik-baik belaka. Semuanya nampak sangat bahagia.

"Aku? Semuanya plastik... aku boleh ada dua karektor dalam satu masa!! Depan orang aku masih boleh senyum, boleh gelak... demi nak jaga air muka dia! Biarpun lepas tu di rumah aku akan diam, sediam-diamnya"

Saya terkesima.
"Sejak bila semuanya?"
"Perkara sudah terlalu lama.. aku banyak simpan dan simpan.. sampai aku sendiri dah tak daya mahu telan semuanya...."
Atas alasan apa? Saya mendesak.

Dia jawab, "Atas alasan yang kekadang orang rasa tak boleh terima akal."

Tapi kemudian dengan tenang dia menyenaraikan saya seribu perkara.
"Aku sudah terbius dengan semua perlakuan dia dan aku sudah berada di tahap, aku tak berdaya mahu marah dan berpisah cara terbaik."

Saya makin terkelip-kelip.
"Dulu aku mahu jaga hati orang tua. Biar sakit macam mana aku diam. Pernah kau dengar suami menyimpan kad bank isteri? Pernah kau dengar isteri biaya segala-gala tanpa suami perlu memberi apa-apa wang belanja hatta RM100 sekalipun sepanjang 10 tahun perkahwinan?
Pernah kau dengar suami membiarkan isteri memandu pulang selepas keluar dari katil hospital untuk pembedahan? Bertuah sungguh lelaki begitu bukan?! Hatta sewaktu pernikahan.. dia tak perlu menyediakan apa-apa hadiah hantaran atas alasan dia memang calon menantu yang dinanti?"

Saya hilang kata-kata.
"Pernah kau tahu macam mana rasa kalau suami menggunakan kad kredit isteri berkali-kali mengeluarkan tunai sejumlah puluhan ribu tanpa pengetahuan isteri? Meniru tanda tangan isteri? Pernah kau tahu isteri yang harus memberi setiap bulan wang pada suami. Bukan seratus dua tapi ribu ringgit. Bahagia sungguhkan suami begini?"

Oh saya sesak nafas.
Ya.. teman saya ini sangat bijak berahsia. Saya semakin tidak tahu apa yang perlu saya katakan.

"Aku penat jadi isteri mithali. Dia tak boleh dibawa berunding perkara begini. Aku tahu gajinya sekian sekian banyak. Tapi aku tak tahu ke mana duit gajinya yang cecah RM9K itu pergi. Alasan klisye dia, income aku lagi lumayan.. hatta keluarga dia juga aku yang harus hulur setiap kali pulang berziarah. Hati aku pedih dalam diam sebab setiap kali terpaksa begitu, aku sebenarnya tak redha."

Habis tu? Saya tanya dengan penuh keliru sebenarnya.
"Que sera.. sera.. what will be ... will be.. tapi aku tahu laluan ni sangat panjang dan menyakitkan nanti. Tak mengapa.. dan concern aku.. mahu menyakinkan hakim di mahkamah sebab cerita aku ini terlalu luar biasa bukan? Hanya selepas 10 tahun aku mahu membantah semuanya."

Saya terkaku sebab sahabat saya yang ini tak pernah bercerita apa-apa. Riang ria macam bahagia sentiasa.

Saya tiba-tiba teringat.
"Semua ini sebab A ke? Kirim kau bunga di pejabat? Beri itu.. beri ini?"
Ya saya tahu ada kenalan lama yang rajin sungguh mengekori dan menjejaki kawan saya ini sejak lima bulan lalu.

Sahabat saya tergelak.
"Aku bukan minah bunga! Buang duit aje bunga yang dikirim melalui DHL..Aku buang dalam tong sampah. Hadiah-hadiah dia? Aku sedekahkan pada budak di pejabat.. Aku panjangkan pahala untuk dia..."

Oh, selamba sungguh kawan saya ni!
"Dia tak kecil hati?" Saya masih berminat untuk tahu.

"Dia? Dia di Dubai. Aku tak berminat. Dengan sesiapa sekalipun, not interested! Kalau ada yang terluka dan sakit hati sebab aku, itu lebih bagus. Itu sweet revenge bukan?"

Oh, saya tahu kawan saya ini pasti mengotakan kata... bukan tidak kenal perangainya waktu belajar dahulu.. dia tahu dia tidak boleh lari dari kehendak orang tua maka menyakitkan hati lelaki yang mendekatinya sebelum pernikahan satu kepuasan baginya.

Keluarga tahu?
Dia geleng.
Saya berkerut.
"Itu kekuatan perempuan bukan? Bijak berahsia, pandai menyimpan semuanya..."

Oh, saya kian speechless!


************
Titisan air hujan pada kemesraan pertama yang cukup mendinginkan tiba-tiba bagai mampu dirasai Rain. Jernihnya dan kilatannya masih basah dalam ingatan. Keharuman rumput pagi di sekitar kampus tatkala berjoging sentiasa dikenang. Mengingatinya membuatkan hati tiba-tiba menjadi sunyi dan rindu. Terbayang-bayang pucuk hijau yang basah mencari langit Universiti Malaya. Pohon-pohon itulah yang menjadi payung sepanjang jalan. Bayang-bayang itulah tempat mereka tumpang berteduh melepas lelah selepas berjoging. Hati Rain terusik tiba-tiba.

“Abang... Darling nak pergi tandas tu... Farah tengah lipat baju ni!” Jeritan Farah dari dalam bilik membuatkan Rain kelam-kabut memangkah tetingkap blog Nurul. Huh... mujur Farah tidak menjerit di telinganya... di belakangnya! Kalau tidak memang nahas!

“Darling ... jangan main air! Nanti basah badan!” Tegur Rain pada Darling yang sudah menepuk-nepuk air di pancuran. Darling terkekeh-kekeh ketawa. Rain menggeleng.

Biarpun Darling sudah sedikit basah dan perlu dilap, tetapi Rain tetap tersenyum senang. Membaca dan menghadap blog Nurul bukankah satu kebahagiaan buatnya sekarang! Nurul, di mana engkau? Hatinya merintih. Impian yang tidak kesampaian beberapa tahun lalu serasa kembali menyakitkan. Sakit kerana tidak kesampaian. Tetapi bahagia kerana Nurul dapat dijejaki semula.

Aduhai hati.. mengapa engkau sukar dimengerti. Nurul, akukah yang berdosa kerana mengimpikan cinta ini mengalir dalam tubuhmu! Aku rindu masa lalu, ingin kembali memandang keriangan wajah halusmu saat kali pertama kita bertemu, menanti detik biru tatkala bibirmu petah bercerita. Tuhan, ampunkan aku! Akulah lelaki yang berdosa. Ya, cinta ini penuh khilaf!

Malam itu Rain kembali mengulang baca catatan di blog Nurul Masmin. Dia cuba menghadam dan menafsir maksud setiap catatan itu. Nurul.... Dia kenal sangat perempuan itu. Suka berkias ibarat, suka menyimpan rasa dan pandai menyembunyikan segala rahsia dalam lapik kata.

Apa maksud Nurul? Ni cerita sebenar atau sekadar catatan meluahkan rasa hati? Hati Rain kuat mengatakan ada sesuatu yang tidak kena pada Nurul. Ah, penulis.... Hati, perasaannya bukankah pada kata-kata yang dicatat!

ShareThis