Cinta Hilang Kata 15
Love You In Silence
Nurul MasminTuhan, terima kasih kerana mengirim sepi yang membenih keinsafan. Menghantar ingatan aku yang kian terlupa pada daerah terpinggir ini. Ya, Allah kalau ini ujian-Mu, aku reda. Mungkin ada daerah jiwa aku yang kontang dengan wirid dan zikir. Nurul sebak memandang wajah sendiri di cermin.
Wajahnya pucat lesi. Dia tak kuasa mahu berbedak apatah lagi bergincu. Lantaklah kalau ada yang kenal terserempak dengan dirinya. Tudung yang tidak perlu digosok disarungkan ke kepala. Baju jaket tebal dipakai. Tangannya menggeletar sewaktu memegang stering kereta. Kepalanya terasa kosong dan mata bagai tidak boleh fokus. Bibir yang kering dipaksa melafazkan tasbih dan zikir. Hanya itu kekuatan yang ada.
Sulur-sulur sepi menjalar ke segenap penjuru. Hidupnya kini hanya seputar kafe dan rumah. Pulang ke rumah jam sudah menunjukkan hampir pukul 12 malam. Lenguh dan letih menyelinap ke tulang belakang. Bisa semakin menangkap di segenap urat nadi. Ari-ari terasa dihiris. Belakang leher terasa tegang dan bagai ada yang menikam. Sesekali lengan kirinya terasa kebas. Ada waktu dia terasa pipinya kejang. Lidahnya bagai sukar untuk menyebut perkataan dengan jelas.
Kali ini dia tidak mampu menahan sakit. Nurul segera menelefon sahabat lama yang seorang doktor pakar untuk membuat temujanji. Dr Rohani yang sejak dahulu sangat akrab dengan Nurul Masmin tenang menjalankan pemeriksaan terhadap pesakitnya itu.
“Nurul, you stress sangat kot?”
“Tak jugak...”
“Dah berapa lama macam ni?”
“Dah dua tiga bulan jugak. Tapi saya buat tak kisah sebab anggap tak serius. Lately ni je makin menjadi-jadi. Kekadang sampai menggigil badan. Tak larat nak buat apa.”
“Entahlah, agaknya I rushed sangat kejar deadline buku kot.”
Nurul menjawab lemah. Dia sendiri keliru masalah dirinya. Stress? Tension? Duka lara sampai semuanya haywire! Nasib badan! Dia masih mengawal diri. Takkan pula mahu menyelak segala cerita dalam kain depan Dr Rohani. Takkan mahu sebut, “Entah-entah sebab saya bercerai kot doktor maka saya jadi macam ni!”
“Oh ya ke? Tak apa kita cuba dulu kali ni. Kalau ada apa-apa tak kena, you terus berhenti makan pil tu. You datang untuk buat rawatan lanjut ya. Jangan takut. You kena doa, tawakal dan usaha. Yakin semuanya terjadi ada sebab. Mungkin Allah nak suruh you rehat dan jangan stress sangat menaip?”
Nurul tersenyum tawar. Dr Rohani memang cekap memujuk hatinya. Angin keras dari balik tabir langit menyerbu ke tubuhnya sewaktu dia meninggalkan Pusat Rawatan Azzahrah. Sejuk membuatkan sendinya terasa bisa. Ya Allah, pinjamkan aku kekuatanMu! Pawana terus berlari keras. Seribu juzuk darah terus mengalir dari tubuhnya. Darah yang turun terasa panas, menggelepar dan berketul-ketul. Dalam badan terasa panas, luar tubuh bagai menggeletar dingin. Telinga bagai berdengung dan ada datar suara yang berbisik ngilu. Nurul Masmin terus berzikir dan bertahmid.
No comments:
Post a Comment