Friday, November 8, 2013

CINTA HILANG KATA 4


CINTA HILANG KATA 4

LOVE YOU IN SILENCE 



Mahyun, Sabirah & Amirul

Harum sungguh si buah kuini,
Sayang masam tidak tertelan;
Apalah nasib terbuang begini,
Kusangkutkan angan setinggi bulan.


Sabirah dan Zaili terketar-ketar memandang lelaki yang dahulunya dipanggil ayah. Lelaki itu penuh kurap dan kudis di muka. Penuh nanah di tangan. Busuknya setara bangkai. Dan itulah juga kali terakhir Sabirah dan Zaili memandang wajah Taib. Selepas itu dia hanya mendengar khabar. Bapanya, manusia yang bernama Taib itu merengkuk di dalam penjara.

Dan tidak lama kemudian seisi kampung semakin gempar. Kereta polis dan van jenazah muncul di hadapan rumah tua mereka. Tok Wan tergamam. Mahyun pengsan.

Sabirah dan Zaili semakin bingung dan keliru. Mereka ingin bertanya tetapi tidak tahu pada siapa. Mengapa jenazah bapa mereka tidak boleh diuruskan macam biasa? Mengapa orang kampung semakin takut-takut dengan mereka?

“Abang Zaili, betul ke mayat ayah kena mandi dengan kloroks?”
“Siapa cakap?”
“Masa kat sekolah ramai orang sebut.”
“Entah.”
“Betul kot. Cikgu pun tanya kita. Ayah sakit Aids sebab dadah ke?”
“Birah jawab apa?”
“Birah kata tak tau.”
“Apa jadi lepas tu?”

“Kawan-kawan masa kelas petang tadi semua takut nak duduk sebelah Birah. Semua kata Birah punya bapak mati sebab taik dadah. Lepas tu diaorang kata Tok Wan pulak bela hantu.” Tersebak-sebak Sabirah mengadu pada Zaili. Namun Zaili pun tidak mampu memikirkan ayat terbaik untuk memujuk Sabirah. Di saat itu masing-masing harus memujuk hati sendiri.

Hidup adalah sebuah kemahuan. Bertitik tolak hari yang amat getir itu, yang silih berganti umpama halaman dalam kitab yang berjilid. Setiap orang mempunyai halaman berbeza yang menjanjikan cerita yang berbeza. Sayangnya ceritera hidup Mahyun dan anak-anak terpalit lumpur dan sisa najis yang ditinggalkan arwah Taib.

Mahyun bertekad. Mereka harus pindah! Biarlah kalau terpaksa hidup bergelandangan di Kuala Lumpur tidak mengapa. Yang penting kisah silam mahu ditutup buku. Mereka mesti meninggalkan kampung itu untuk satu kelangsungan hidup.

Zaili tersenyum lebar mendengar keputusan emak. Sabirah melonjak suka! Kuala Lumpur bukankah mampu menjanjikan bintang dan bulan? Akan kupanjangkan karya-karya yang tersimpan selama ini pada mana-mana penerbitan! Apa pun caranya aku akan berusaha mengukir nama. Tunggulah!


_______________________


“Bosanlah! Balik-balik betina nama Nurul ni! Asyik dia aje! Siapa dia ni hah? Hebat sangat ke? Anak siapa dia ni? Mak bapak dia ni sasterawan negara ke? Tak habis-habis asyik orang sebut nama dia. Asal sebut penulis muda aje rujuk dia. Suruh baca karya dia. Meluatlah!”

Sabirah merengus sambil membaling surat balasan dari editor Berita Kota. Terasa sia-sia sungguh dia menghabiskan masa menaip cerpen dan puisi. Dalam tempoh seminggu dia mengirim dua cerpen dan dua buah puisi untuk ruangan Karyawan Muda. Namun tidak pernah satu karyanya disiarkan. Alih-alih hari ini dia menerima surat balasan daripada editor ruangan berkenaan. Fikirnya tadi surat editor tentu ada berita baik. Huh, celaka sungguh! Nama Nurul Masmin jugak yang disebut editor dalam surat itu.

“Sabar.... sabar.... Hah! Ni lagi bermakna dari surat editor yang kena maki percuma tu. Hah, kan abang dah kata. Sabar!”
“Hah?? Tawaran UM? Kita sama-sama masuk UM. Makna betullah apa yang kita tengok kat laman web hari tu!”

“Kan... hah, abang cakap Birah tak percaya. Hah, lepas ni belajarlah menulis puas-puas!”

“Huh, siapa nak belajar menulis? Kita dah memang ada bakat menulis. Birah memang tahu menulis. Tapi belum ada peluang aje lagi. Tiap kali nak hantar karya, ada aje nama minah Nurul tu. Potong line betullah minah tu.”

“Tak apa. Lepas ni nanti banyaklah peluang. Buat elok-elok kat universiti nanti. Tunjukkan kat orang kampung kita dulu. Kau orang dua beradik ni boleh jadi orang. Boleh jadi manusia. Lebih baik dari diaorang yang mengata tu!” Mahyun membakar semangat dua anak kembarnya itu.

“Bukan takat jadi orang mak. Birah berazam, lepas ni Birah nak jadi terkenal. Birah nak orang sebut aje nama Birah, orang tahu siapa Birah. Mak jangan risau, tu memang azam Birah. Selama ni kita dah puas susah masa kat kampung. Lepas ni, Birah nak biar orang yang mengata kita, jilat balik ludah diaorang. Biar diaorang terkulat-kulat pandang nama Birah dalam suratkhabar, dalam majalah, pada buku! Nantilah! Birah janji tu mak.”

“Lega hati mak dengar semangat Birah. Betul. Kalau ikutkan mak, memang nak buktikan pada orang yang mengata kita. Kita bukan merempat macam anjing kurap. Birah buktikan, Zaili tunjukkan pada orang yang kenal kita. Satu orang kauorang boleh hidup senang, boleh jadi terkenal. Siapa kata anak bekas banduan yang matinya tak ada siapa sudi nak urus, boleh hidup lebih bagus dari orang lain. Mak doakan kauorang tak patah semangat.”

“Ni bukan takat patah semangat mak! Ni rasanya nak patah-patahkan tengkuk manusia yang mengata kita dulu. Anak diaorang pun belum tentu ada yang masuk universiti. Paling tidak Birah dengan Zaili dah buktikan. Kita boleh sama bagus dengan orang lain.”

Malam itu Sabirah tidak mampu untuk tidur lena. Sesekali dia terjaga dalam keadaan gementar dan dada yang berkocak. Kenangan lama amat menyakitkan. Wajah arwah ayahnya kembali berpusar dalam kenangan. Ejekan dan cemuhan rakan sekolah waktu kecil terngiang-ngiang di telinga. Dadanya terasa bagai terbelah dalam debar resah yang luar biasa.

Sabirah terus memujuk hati. Lenalah! Tidurlah! Saat melangsaikan hutang dan dendam sudah tidak lama. Kau akan jadi seseorang! Kau bakal menjadi bintang. Semua akan mengejar, semua akan melutut. Maharana mimpi yang berkelubung dendam terus menyergah tidurnya

No comments:

ShareThis