Cinta Hilang Kata 9
Love You Silence
“Ada nama penuh dia?”
“Ada...” Jawab Sabirah.
“Nama mak dia ada?”
“Errr... mana nak cari.” Sabirah menggaru kepala yang tidak gatal.
“Kalau tak ada bagi tarikh lahir dia kalau dapat.”
“Tarikh lahir adalah.....”
"Mana dapat gambar dia?" Tanya wanita yang matanya hitam bercelak.
"Ambik dekat facebook. Berlambak ada."
Mahyun mengangguk-angguk. “Gambar bagi aku yang jelas. Yang nampak mata. Kalau boleh biar gambar penuh! Jangan yang kelabu asap, yang tak nampak mata, aku pandang tak tembus.”
Zaili dan Sabirah mengangguk-angguk. Seketika kemudian, Sabirah menghulurkan lagi sekeping gambar. Mahyun segera mengambil gambar tersebut. “Hah ni siapa pulak....”
“Ni Kak Muna. Dia ni konsultant untuk projek kami.” Jawab Sabirah.
“Dia ni ular! Nampak duit aje! Tak peduli orang. Sana ditikam sini dicincang, dia lapah. Yang penting diri dia aje.” Cerita Zaili pula.
Mahyun mengangguk-angguk sambil terus memandang foto itu. “Muka pun kusut.... Tak ada cahaya langsung muka dia ni! Macam mana lebam muka dia macam tu hati dia!”
Sabirah tersenyum lagi. Rancangannya yang selama ni bakal terlaksana bila saja Mahyun setuju untuk membantu dia! “Ni kalau boleh mak uruskan jugak ya... Jangan sampai dia belit kami. Kalau boleh apa kami mintak dekat dia semua dia ikutkan.”
“Kau kena mandi!” Ujar Mahyun setelah diam seketika.
“Alah... kena mandi lagi. Jenuhlah macam ni!” Sabirah merungut sendiri.
“Ni kau kena mandi masa bulan penuh.” Sambung Mahyun lagi tanpa mempedulikan rungutan Sabirah. Dia meletak gambar Kak Muna di sebelah gambar Ezra.
Sabirah mengeluh kecil. Mukanya dicemik malas. “Alamak, kena tengok kalender hijrah pulaklah.....”
“Tunggu masa bulan penuh. Mandi kat tempat air mengalir dan cahaya bulan tu kena ada bawah kau.” Terang Mahyun lagi. Kali ini matanya merenung tajam ke arah anak perempuannya itu.
“Alaaa....” Sabirah mengeluh untuk kesekian kalinya. Nak dapat hasil memanglah sedap, tapi nak buat kerja-kerja ni yang malas. Haih, lemah lembik lutut terasa bila jadi macam ni!
“Nak ke tak nak?” Mahyun sudah menjegil mata.
“Errr.....” Sabirah masih teragak-agak. Sungguh, beratlah rasa hati nak buat benda-benda macam ni. Bukannya tak biasa buat benda-benda macam ni, tapi bila dah kena mandi-mandi dekat sungai tengah-tengah malam buta, siapalah tak risau?
“Mak nak kena siapkan jugak barangnya...” Mahyun sudah mula malas melayan.
Sabirah menggigit bibir. Dia berpaling melihat Zaili yang masih bersila di tepi.“Macam mana bang...”
“Alah bukan nak kena mandi depan mana-mana tok sami ke, mana-mana tok moh ke.... dengan mak apa masalahnya....” Pujuk Zaili pula.
Sabirah merengus kecil. Bila jawapan itu yang diberi Zaili, itu bermakna yang dia tidak punya pilihan lain. Sabirah berpaling semula melihat Mahyun. “Tu kena mandi dalam hutan ke mak?”
“Terpulanglah. Kau nak mandi kat Sungai Kelang ke, Sungai Gombak ke yang menghadap rumah orang, ke kau nak mandi kat Sungai Rejang yang banyak buaya tu... kalau kau sanggup aku tak kisah....” Mahyun menyindir tajam.
“Mak ni....”
“Dah kau tanya soalan bodoh!”
“Errrr....”
Zaili yang rimas melihat Sabirah yang masih teragak-agak segera menyampuk. “Setuju aje! Nanti besok lusa, kontrak bermasalah, muka mandom, buku sejuk, nak memekak kat abang. Lepas tu bising mengadu kat mak.”
“Errrr... okaylah!” Sabirah akhirnya terpaksa mengalah menurut kehendak ibu dan abangnya.
“Suruh mandi aje... Bukan aku nak benamkan kau sampai lemas!” Jerkah Mahyun. Benar-benar rimas agaknya dengan perangai Sabirah yang mengada.
Dingin dinihari masih terasa di hujung langit. Di kamar yang hapak dan kelam itu Sabirah sudah tujuh kali meracau selepas dia terlena kembali. Suaranya menjulang menujah bumbung rumah. Tujuh kali juga dia tersentak-sentak. Mata membutang memandang lelangit bilik. Sekali angin bertiup, sebu terasa perut. Mual tekak seketika. Hamis darah, tengik najis dan hanyir muntah menghimpit sesama sendiri.
Sabirah tersentak dari tidur.
Fikirnya dia bermimpi. Oh, dari mana pulak bau aneh itu. Bulu roma terasa meremang. Mahu pergi mengetuk pintu bilik emak pun terasa gerun. Dapat dikesani di batin, ada renung liar di balik jendela. Ada lidah menjelir hitam berlendir di belakang langsir.
Sabirah pura-pura diam. Paksa mata untuk pejam. Peduli apa semua itu. Hidup dahulu lagi sengsara. Siapa yang suka anak bekas banduan. Nah, sekarang anak bekas banduan ini akan buat ramai menyembah dan terpesona lagi terpukau!
No comments:
Post a Comment