Sunday, November 10, 2013

Cinta Hilang Kata 12

Love You In Silence





SABIRAH, ZAILI & MAHYUN


Malam semakin jauh mendaki hari. Dendam mencakar-cakar hatinya. Zaili tidak mampu menyorokkan gelora jiwa. Angin liar menyisir perbukitan di kawasan rumah. Kalaulah emak belum tidur, mahu saja dipaksa emak bangun buat sesuatu. Memang nak kena ajar betina ni! Bukan main sekarang! Dalam forum dan seminar sudah pandai menceceh itu dan ini. Mulut dah semakin cabul!

Kau jaga Ezra! Siap kau Nurul Masmin! Silap kalau kau nak tunjuk jaguh! Bulan di langit semakin kelam. Dengkur burung hantu tiada siapa yang menemani. Hanya jiwa yang geruh dan mata merah meliar menemani Zaili yang masih tekun di hadapan komputer. Niat hati mahu keluar malam itu tapi hati yang panas dan merusuh membuat dia terus terduduk di hadapan komputer kerja.

“Dah tengok minah tu punya blog?” Dia menjengah ke bilik Sabirah. Kembarnya itu macam biasa masih belum tidur. Juga sama-sama sedang menopang dagu di hadapan komputer riba.

“Siapa?”
“Alah, betina meroyan tu lah!”
“Ezra?”
“Siapa lagi!”
“Ada cerita baru ke?”

“Pergi baca! Macam bagus nak nasihat orang. Sekarang ni bukan main lagi diaorang. Macam nak tunjuk bagus. Macam ala-ala suci konon ayat masing-masing. Dia dengan minah janda tu samalah! Nak kena ajar tu semua. Biar senyap sikit! Dia tu nak kena kunci mulut kot! Biar tiap kali bukak mulut, terus keluar bau bangkai, baru tahu nak senyap agaknya!” Zaili benar-benar mendidih hati.

“Huish… gila abang!”

“Kalau tak diajar macam tu, macam betina miang dia ni! Sana sini heboh nak bercakap. Macamlah champion sangat. Kita ni dah plan macam-macam. Orang macam dia ni yang tak boleh nak kita biarkan. Selagi dia tegak, kita punya rancangan semua hanyut! Menyusahkan orang aje betina ni!”

Sabirah segera membuka blog milik Ezra. Setiap baris ayat dibaca dan dihadam dalam benak kepalanya. Dan serentak dengan itu, kesumat dendam dalam jiwanya mula membuak-buak.

“Eeee…. Benci! Meluat!!”
“Kan??”
“Perasan bagus!!”
“Nantilah. Kita ajar dia nanti. Baru hingus hijau menulis nak tunjuk nada ala syurga! Pirah!”
“Abang ada dengar cerita tak pasal dua orang perempuan ni?”
“Pasal apa?”
“Alah masa dekat DBP, bukan main lagi diaorang pukul canang. Konon bagi tips menulis.”

“Mana tahu?”
“Kak Munalah yang report!”
“Apa kata Kak Muna? Kak Muna datang ke?”
“Kak Muna tak ada tapi spy dengan geng Kak Muna kan ramai…. Itu yang Kak Muna kata, diaorang ni macam bertanduk sekarang!”
“Memang nak kena ajar! Tunggulah!”

Kerudung malam seperti memenjara sebutir dendam yang terbit dari satu desah nafas. Langit menjadi belantara roh-roh yang terapung. Ada teriakan, ada lolongan yang semuanya berbau nafsu-nafsi. Mahyun yang sedang lena tiba-tiba tersentak. Namanya bagai diseru. Dia seperti dapat merasakan getar dan detak jantung anak-anaknya.

Ada suara liar yang berbisik di telinganya. Ada nada yang mendayu-dayu di kupingnya. Ada mata tajam yang merah di balik langsir. Mahyun tahu dia diperlukan anak-anaknya. Cuping telinganya terasa ngilu. Ada angin yang mendesah di situ. Serba tidak kena dia sejak siang tadi. Hampir saja dia terhiris jari sendiri tatkala mengupas bawang.

“Aku tahu… Aku tahu!” Dia berdehem tiga kali sebelum menggumam sendiri.

Bawang yang dikupas tetapi bau darah hanyir yang menyengat di dapur. Hamis dan memualkan. Mahyun tahu benda itu ada di sekelilingnya.
Bulan mengesot pucat tatkala ada jiwa yang dirasuk terpasung dalam resah dan gila isim. Di satu penjuru bumi, terapung mahkluk yang diseru-seru. Dia menumpang di kaki langit yang sama dengan Mahyun.

Hujan termengah mengah merangkak malam. Dingin merayap menjalar. Tatkala itu mahkluk itu dikerah berkerja. Menjilat dan menghisap segala hidangan hamis dan menjijikkan. Istimewa dari Mahyun. Niatnya hanya satu. Biar orang yang menghina suami akan menjilat semula cercaan mereka. Tunggulah! Sabirah dan Zaili memang bakal menjadi bintang.Cahaya itu yang akan memadam kisah banduan, kisah ganja dan kuburan bapa mereka. Musuh dan pesaing anaknya, betina Nurul dengan Ezra, boleh pergi mampus!

No comments:

ShareThis