Thursday, November 7, 2013

Cinta Hilang Kata 2

Cinta Hilang Kata 2(Love You In Silence)


“Nurul.... Nurul Masmin!”

Gadis itu tidak menoleh. Langkahnya semakin pantas.

“Nurul....” Rain memanggil lagi dari belakang.

Guruh semakin bengis. Gadis itu berpaling. Mukanya basah. Bintik-bintik air yang jernih di wajah itu menambah manis Nurul Masmin. Angin yang mengasak hujan menjadikan mereka tidak sempat untuk mencari ruang berteduh.

“Ambil payung ni....” Rain menghulurkan payung yang sudah terkembang tanpa menghiraukan dirinya sendiri basah.

“Abang?” Nurul berkerut memandang.

“Tak apa... Cepat ambil. Lebat ni!”

Gadis itu teragak-agak.

“Nurul, cepat! Hujan lebat ni.”

Nurul teragak-agak. Payung bertukar tangan. Dalam keadaan angin yang menggila dan hujan yang kasar dan mencurah-curah itu, payung tidak memberi sebarang makna. Nurul sudah kuyup basah. Rain sendiri lencun. Dibiarkan gadis itu bergerak di hadapan dan Rain mengekori rapat di belakangnya.

Walaupun dari belakang, keasyikan mata nakalnya memerhati tidak mampu dia berbohong. Dia begitu leka memandang dalam memberi penghayatan. Gadis di hadapannya itu memang manis dan sangat mengasyikkan dalam lenggok pantasnya dia melangkah untuk mengelak hujan.

Hujan yang bertuah dapat merangkul gadis itu atau dia yang bertuah dapat bersama Nurul Masmin di dalam hujan, dia tidak pasti.

“Abang....” Tiba-tiba langkah gadis itu terhenti dan dia menoleh.

Angin kencang dan langit semakin bergemuruh. Rain dapat merasakan kasut kanvasnya semakin berat menampung air. Laluan ke Zaaba deras dilimpahi air. Sejuk menggigit ke tulang belakang.

“Kita berhenti sini dululah.....” Nurul menunjukkan kawasan pejalan kaki yang berbumbung itu. Hati Rain bergetar mendengar perkataan kita. Dari sekilas dia dapat memerhatikan cantiknya raut wajah yang basah dik air hujan itu. Nurul mengangkat sedikit kain baju kurungnya yang sudah tentu boleh diperah kalau mahu disidai. Terlihat betis dan tumitnya yang putih kemerah-merahan. Cantik! Bisik hati Rain nakal.

Kenakalan mata itu juga hampir menyebabkan Rain tersadung di dalam lopak air. Dua buah buku kulit tebal yang dipegang terpelanting dan tercelup di dalam air yang keruh di laluan pejalan kaki.

===================================================

“Rain, kau tak dapat jemputan ke?”

“Jemputan apa?”

“Nurul nikah.”

“Hah? Nurul? Nurul mana?”

“Nurul Masminlah! Nurul mana lagi.”

Saat itu langit terasa terhempap di bahu. Dia menjerit dalam hati mengharapkan khabar itu sekadar cerita di angin lalu. Mudah-mudahan Haiqal tersalah orang, tersilap nama!

“Mana kau tahu?”

“Geng-geng lain fowardkan jemputan Amirul.”

“Amirul? Kenapa Amirul...”

“Nurul nikah dengan Amirul.....”

“Hah? Nurul nikah dengan Mirul?”

“Itulah! Aku pun blur jugak ni. Macam tak percaya jer. Bukan Mirul anti ke budak Nurul tu. Eh, Nurul ni bukan ke awek yang selalu dengan kau masa joging.”

Rain sudah cukup terkelu untuk menerang perkara lalu. Dia berulang tanya demi mendapatkan kepastian.

“Betullah bro! Kalau tak caya kau contact geng kita yang lain. Batch kita mana ada Amirul yang lain. Mirul kitalah tu.... Dia sekarang dengan advertising company kan?”

“Hemm....”

“Okay bro.... chow dulu!”

Dunia terasa gempita. Awan ternampak-nampak bagai gugur berlapis-lapis dan kemudian berkecai di angin lalu. Rain terkaku dan terkedu.

Nurul Masmin-Amirul-Nurul Masmin-Amirul-Nurul Masmin-Amirul!
 —

3 comments:

Nur Madihah said...

hai, akak ditag
http://madihahdaisy.blogspot.com/2013/10/simple-giveaway-by-ain-rahman_29.html

tak sabra nak tunggu novel seterusnya ^_^

zulaiqha said...

Novel cinta hilang kata 2 ada g tak?

zulaiqha said...

Novel cinta hilang kata 2 ada g tak?

ShareThis