Saturday, March 30, 2013

Terima Kasih Nasi Lemak Kopi O



Terima kasih sebanyak bintang di langit untuk dinda Kim dari Nasi Lemak Kopi O, TV9 yang sanggup meredah kesesakan untuk ke rumah saya di hujung tanjung ni semata-mata untuk interview Anis. Terima kasih juga sebab sabar dengan Anis yang tak boleh sorok muka panik dan gabranya di depan kamera. Hahaha mujur saya dah pesan pada Kim, anakanda seorang ni biar boleh menulis payah nak suruh dia luahkan perkataan dengan suara.





Payah nak pujuk anak yang seorang ni bila Kim telefon saya pasal nak interview Anis. Masa novel dia baru terbit, saya tag kan foto cover novel pun dia block saya di fb. Dia suka menulis tapi memang nak menulis dalam gua! Tulis terbit dan diam-diam.






Guru sekolah mau launch novel dia dia sekolah pun macam nak kena tarik tali. Kejap dia kata ok, kejap dia masam muka kata tak mau! Bila saya kata itu majlis internal, saya tak hadir, baru dia ok. Mak dah over exposed! Tak maulah... nanti segan dengan kawan-kawan! Boleh gitu ya! Anak lelaki ala-ala over kalau bercakap, yang anak perempuan, sesenyap senyapnya;))







Tuesday, March 26, 2013

Pokok Wangi Untuk Seru Cik Pontianak






Macam tak ada kerja sangat! Macam rajin sangat. Saya tak kuasa kerja-kerja di luar rumah ni. Tapi sebab ni pokok harum sundal malam kan... maka saya gigihkan diri. 






Bunganya harum semacam. Susah jugak nak cari dan beli pokok ni. Asyik tak ada aje. Lima tahun dulu pernah tanam. Beli di Pasar Melaka.





 Ni saya beli lagi dan tanam di rumah. Anak-anak tanya pokok apa ni? Saya jawab pokok wangi buat panggil cik pontianak singgah main nyorok-nyorok di laman rumah:)))



Monday, March 25, 2013

Belajar Sampai Muntah:((


Hujung dapur satu kelas, tengah rumah satu kelas, ruang tamu satu kelas....  Adib diajar Syafiq, Anis saya panggilkan cikgu



. Bak kata Syafiq pada Adib, "Perghhh mesti cuti kau orang kali ni macam neraka kan??" Syafiq bila diupah ajar Adib, kemain pantas siap-siapkan meja sejak semalam. Kejut pun melompat bangun. Masalahnya skop tugas dia bukan ngajar aje. Kena hambat student yang pemalas tahap gaban. Tapi cikgu ni brutal, diugutnya murid. "Mak dah bayar aku, kau tak bangun, kau tak belajar, aku belasah kau!" Boleh gitu ya... dan emak senang hati menghadap facebook :))

Saturday, March 23, 2013

Kisah MR X - Cerita Orang Berduit Yang Cool....


Pertemuan yang membuat saya banyak berfikir. Sepanjang saya bekerja hinggalah sekarang, amat jarang saya bertemu dengan jutawan yang low profile. Selalu yang saya jumpa, orang yang asyik kira untung sekian, profit sekian, dalam masa sekian nanti berlipat ganda, kita kena buat macam ni.... nanti confirm untung melonjak, kita itu kita ini, untung gini, untung gitu. 

Mr X yang saya jumpa semalam di Gold Coast Sepang memang sangat cool! Hahaha masuk situ dengan kereta lamanya yang ala-ala macam mahu terbarai enjin! Saya usik, mana kereta mahal, dia jawab simpan dalam kelambu. Tu untuk anak bini guna. I pakai yang ni cukup. Senang gerak, jimat minyak! Huhuu termalu saya kejap!

Saya yang tak seberapa duit ni, yang kerja pun tak ada gaji bulan-bulan dah berangan lepas tahun sekian mahu beli Harrier. Kalau tak Harrier, dalam list angan-angan mahu Lexus. Kan angan-angan tu percuma! Tu belum dalam senarai mahu jam Chopard. 






Lexus angan-angan minah jenin saya! Tapi bila banyak bersembang dengan MR X, ohhh saya jadi malu... Okay, rasa masa tu jugak nak balik rumah, simpan kereta yang selalu saya drive dalam pagar dan pakai  Myvi CR ajelah buat ke mana-mana. Mokcik insaf.... 
Mokcik tak berduit sangat kalau banding dengan MR X



Hemm, depan saya semalam memang orangnya duit berkepuk dalam bank tapi pakai handphone cap Nokia yang kamera pun tak ada.  Takat boleh terima call dan buat call selain kirim sms.











Semalam sejak awal pagi berlarutan jam 12.30 tengah hari saya berjumpa dan berbincang beberapa perkara dengan rakan saya ini. Selepas empat projek bersama dia, kami semakin selesa berkerjasama. Orangnya ampun... kekadang nampak selekeh, dengan baju t yang dah kembang leher, kekadang pakai seluar sukan aje dan yang pasti selalu berselipar jepun. Telefonnya pun tak canggih, yang berharga RM50 tu kot! Dia ada kereta Audi Q5, Mercedes hitam yang sangat menggoda... hahaha tapi dia tetap ke hulu ke hilir sama kereta iswara aerobacknya.




Dan bila dia menegur cara saya belanja, saya sengih.  Hahaha ni kes bila dia ternampak beg-beg shopping dalam kereta saya. Banyak borong? Dapat royalti ke? Hahaha saya jawab, "Tak... saya perhabiskan duit!" 

Terus dia balas, "Kena simpan!"

Pesan dia,

"Orang macam I, orang macam Lily, tak makan gaji, kena selalu ingat. Bila Allah swt bagi rezeki, Dia uji tu. Dia nak tengok kita insaf atau tak. Kita kerja sendiri ni, sebenarnya golongan tak berduit, Lily... Bank susah nak percaya kita, siapa pun tak yakin dengan kita. Nak buat pinjaman, nak buat loan dengan saudara-mara, payah. Siapa percaya projek-projek kreatif ni? Orang kreatif ni golongan profesional kelas ketiga.

Kita tak ada slip gaji. Kita tak ada EPF... kita kena ingat tu. Teori aje nampak hebat! Semua duit on paper! Job laju, duit macam semut! Semua orang bayar berdikit-dikit. Ini realiti. Tu sebab, kerja kampung pun I buat. Nak jaga prestij sampai bila... Penat lama-lama nak berlakon... Lagi baik macam ni, orang sentiasa fikir I tak berduit. Senang!"




Hohohoo.... mokcik insaf! Betul kata Mr X... jangan kata bank, kekadang saudara-mara pun belum tentu yakin orang kreatif boleh meneruskan survival cari makan dengan kerja sendiri.:))



Selain berniaga dalam diam, di masa lapang dia buat kerja rencam. Jual durian pada musim durian dan menoreh getah waktu harga getah melambung. Sangat sempoi kan ini orang bisnes!

Atas urusan kerja dan peluang, saya dan rakan yang nampak very the pakcik kampung ni akan kembali bekerjasama, kalau Allah izinkan (mudah-mudahan). Saya terkedu beberapa kali bila dia sangat ikhlas, jujur, bersemangat mengajar saya dan memberikan beberapa panduan. Hahaha... puas saya beritahu dia, 'Mr X, saya ni penulis, saya nak menulis aje... Saya tak minat dan tak pandai nak berniaga.'

Dia jawab, "Tak apa. I trust you, kita usaha, kita buat, kita serahkan pada Allah swt."

Beberapa kali dia sebenarnya asyik mengulang sebut, "Ok, kalau kita rugi sekian, kita kena bersedia sekian. Kalau kita spend begini banyak, kita fikir what if kita dapat separuh saja pulangan modal. Kiraanya begini begini....'

SubhanaAllah... saya terpegun sebab dia hanya sebut sekali aje perihal untung. Itupun dia ulang sebut kalau diizinkan Allah swt. Kalau buat seribu usaha sekalipun, kalau Allah swt tak izinkan, takkan jadi. Kita terimalah seadanya berapa pun kerugian dan berapa pun pulangan modal kita. Usaha kita kalau ada rezeki buat projek ni, paling penting kurangkan risiko. Kira margin rugi dalam segenap peratusan. Margin untung tu kita cukup sekadar tahu. Nanti kalau tak berpijak di bumi nyata, kita berangan lebih, kita jatuh terduduk.


"Semua orang boleh cakap.... Bisnes ni bagus. Bisnes itu bagus. Yang ini tengah in, yang ini memang popular, tapi apa jaminan? Beli iklan, pampang iklan, bayar billboard beratus ribu, beli page di magazine puluh ribu, siapa ada duit boleh aje buat. Tapi itu pun bukan jaminan 100 peratus bisnes akan meletup. Kita sekadar boleh cuba. Tak ada benda dalam dunia ni yang kita boleh kata ini cara paling bagus, ini paling tepat, cara I paling berjaya. Oh, orang tu cara berniaga salah. Kita bukan Tuhan. Kita  berusaha saja kurangkan risiko, buat secara jujur dan selebihnya serahkan pada Allah swt. At the end of the day, kita yang berniaga, yang keluarkan modal tanggung risiko. Bukan orang lain."


Wah! Semalam cuaca sangat panas. Selepas selesai urusan, saya pulang memandu dengan kepala yang berselirat fikir. Mr X sangat berpijak di bumi Allah, sangat realistik. Dik keletihan dan kepala rasa tepu, cari ICE ROOM, order ABC dan makan untuk sejukkan jiwa!

Tahniah Adinda Ainul @ Kakak ;))

Beberapa komen untuk posting saya sebelum ni tak sempat lagi saya balas... Nanti ya! Waktu terluang saya cuba balas setiap satu. Sehari dua ni sedikit sibuk entah apa apa urusan duniawi.




Untuk adinda sepupu yang manis, Ainul Mardiah, dari Sekolah Seri Puteri Cyberjaya....  tahniah tahniah tahniah tahniah ribu ribu kali untuk keputusan SPM yang sangat gilang gemilang tu! Salam utk ayah bonda ya! Oh, Anis mesti tengah senak perut tu sebab mokcik muda dah penuh dengan A tambah tambah kan:)) Untuk anakanda-anakanda puteri Kurshiah.... gigih anak gigih ya! Gigihlah belajar! SPM tak lama lagi! Fighting semua!



Wednesday, March 20, 2013

Writer On Deadline - May Bite:))



Lengit menaip novel waktu cuaca panas ni...
Nak tempek bab demi bab macam panjang sangat pulak! Saya bagi intro bab ajelah ye. Petang kelmarin tadi dari jam lima petang sambil 6.30 sempat saya pulun 30 pantun untuk intro bab. Orang Melaka kan... suka sangat pantun!

Panas siang cahaya terang,
Duduk berteduh di pohon duku;
Aku pandai menabur orang,
Hak orang rezeki aku.


Novel... novel.... mokcik lengit! Jadi bagi intro pantun aje dulu ya...

Bunga melur bunga melati,
Wangi mengharum segar merata,
Cinta di jantung kasih di hati,
Di situ tersimpan ceritera kita.



Semenjak dua menjak ni jadual tidur saya mungkin jam 3.45 pagi atau selewat jam tujuh pagi. Kalau tidur jam 4 pagi pun, saya bangun jam enam pagi. Atau kalau terlena jam tujuh, jam sebelas saya dah bersiap depan pc. Dua bulan yang sangat mendera jiwa sebenarnya. Dan, dah jadi habit, pukul 1.30 pagi atau mungkin jam 12 malam saya mencari kedai mamak. Ni tengah struggle. Manuskrip kalau diikutkan pada kiraan word sudah 130,497. Lama sangat tak buat novel dewasa, saya dah lupa hukum-hakam panjang pendeknya. Tak kiralah terlanggar tarikh sama inche printer atau terlajak pesta buku, asal orang yang hulur dana tak tarik dana penerbitannya sudah :)) Ni antara pantun yang saya jadikan intro pada bab novel tu... daaaa... jumpa lagi:))

Anak todak melanggar perahu,
Hanyut kepuk berisi padi;
Makan tak lalu, tidur tak mahu,
Racun menjalar segenap sendi.

Rosak buah dimakan keluang,
Busuk bau dihurung tungau;
Orang berniaga mendapat wang,
Saya berniaga dihinggap langau.


ps: nanti saya sambung kisah sahabat saya Hizairi. Terima kasih geng UM yang menyahut di sini mengenang Hizairi.

Thambi Yang Trauma

Ditinggalkan kejap meraung macam budak kecik. Pen terjatuh pun dia boleh tersentak-sentak. Dia trauma agaknya. Dah dua kali dia kena serang hendap dengan kucing-kucing liar di luar rumah yang perangai macam haram... macam pengganas Lahad Datu. Semalam depan mata, dua kucing ambushed dia sampai terperosok dalam pokok pandan. Habis badan macam kena kelar-kelar. Sudahnya saya angkut si Thambi ni masa pergi beli lauk sebab dia takut ditinggalkan. Mujur dia sangat behaved dalam kereta. Really good boy dia ni!






Agaknya Thambi kata, macam best jugakkan kalau selalu jenjalan mcm ni!





Okay, Haiqal kena beralah dengan adik kecik. Bantal Haiqal dalam kereta dah jadi tempat alas punggung Thambi ya. Abang kena beralah dengan adik.




Part suka merayap sana sini macam kureng berkenan sikit.Sesuka hati dia nak panjat sana sini, panjat atas dashboard sampai ganggu pandangan. Ni kena ambil kursus lagi si Thambi ni...Etika dan tertib naik kereta.

Wednesday, March 13, 2013

HIZAIRI OTHMAN - CATATAN PERIBADI - mengenang sahabat yang hilang

HIZAIRI OTHMAN- sekadar mengenang seorang sahabat yang hilang. 

Seperti yang saya sebut dalam posting sebelum ni, saya terkejut bila dapat satu mesej seorang sahabat lewat petang semalam. "Lily, hang tau tak... Hizairi memang hilang Mac! Kau ingat tak? Adik dia baca entri kau pun jadi terkejut. Macam kebetulan sangat!" Oh.. saya terdiam bertafakur kejap.

Hizairi hilang 15 Mac. Saya dan pastinya semua ahli keluarga Hizairi dan tentu sahabat yang mengenali akan sentiasa mendoakan yang baik-baik untuk Hizairi.

MASIH tahun 1991, lokasi masih UM dan saya, Gee juga Shekdah masih tiga serangkai. Masa tu di jabatan ada konsep ala ala mentor mentee.

Abang angkat, kakak angkat dapat adik angkat. Dan hahahah.. kami ingat lagi, Hizairi dapat Dila Hamid as adiknya. Tapi kami bertiga yang macam hidup dalam dunia sendiri di jabatan ni (sementelah kami tak duduk di asrama, terpelanting di PJ Old Town) tetap sentiasa menyusahkan Hizairi.

"Hizairi... asal awak dapat tinggal di Kolej Zaaba hah??"
"Hizairi... cakap dengan ayah awak ya... Kami pun nak asrama di Zaaba. Awak aje dapat, mana aci! Kami dapat di Kinabalu... Jauh!!"

Cewahhh boleh ya... memang sesuka hati aje kami masa tu. Tapi selalunya Hizairi yang cool akan senyum aje.

Kami akan terkekeh kekeh gelak bila perhatikan dia. Tentunya dia tahu.... tapi mana pernah dia marah. Dia sangat cool. Susah mahu tahu dia marah atau angin kecuali kena perhatikan betul-betul kulit mukanya berubah merah padam. Itu sebab kami panggil dia robot. Jangan risau, dia maafkan kami agaknya panggil dia robot sebab dia sendiri tahu!

Lama-lama bahasa isyarat atau kod rahsia robot tu ramai pulak tahu. Kami tukar lain. Kami kalau mahu bercerita pasal dia, kami guna nick name Kesuma Dewi. Itu kan nama watak dalam cerpen Hizairi, 'Hati Milik Kesuma'.

Kami semua tahu dia memang memandu ke kampus. Satu tengah hari, kami nampak dia masuk ke kereta sport kaler hitam dan memandu pergi. Dan kami junior yang sengal lagi naif, terkagum! Wah, robot drive kereta sport lah!!!

Bila terserempak kami tanya dan tegur, "Hizairi nanti nak tumpang balik PJ Old Town ya!"
Tetiba dia kata,"Hari ni saya tak drive... "
"Elehhh kedekut ya kereta sport tu..."

Dia cuma senyum panjang dan jawab, "Oh, itu kereta Dr Anwar Nor Arai.... Saya tolong alihkan parking aje!"

Cesss... saya, Gee dan Shekdah menggeleng.
Kesimpulannya, dia sangat cool, sangat sabar dan tenang biarpun saya, Gee dan Shekdah selalu aje menyusahkan dia.

Kami ni pulak terlebih cekap... asal nak mintak tolong dia, kami akan sebut, "Kami dah beritahu pakcik Othman...." Hahahah suka benar dulu buat dia rasa bersalah kalau dia tak dapat tolong kami! Konon-konon kami ni kan murid yang belajar menulis dengan ayahandanya.

Okay sekian dulu... nanti saya sambung.

Tuesday, March 12, 2013

Hizairi Othman- Kebetulan Yang Tidak Disangka - Satu Catatan Peribadi

Ini rencana saya di Jelita tentang Hizairi. Saya ingat lagi... saya paksa dia datang ke studio Jelita untuk  sesi temubual. Hahaha saja menyusahkan dia walhal cerita dia, boleh aje saya tulis tanpa dia susah-susah perlu luangkan masa ke studio. Ini kisah pengalaman dia, bermula dengan bayaran cerpen RM70  akhirnya  meraih hadiah RM50,000 untuk satu pertandingan menulis berprestij negara.

Kebetulan sungguh! Seorang sahabat memberitahu bulan Mac atau lebih tepat 15 Mac adalah tarikh Hizairi Othman hilang tanpa berita. Oh saya sudah lupa bulan bila sebenarnya. 

Yang saya ingat, dua hari sebelum dia hilang, dia ada menelefon saya di pejabat Berita Publishing. Suaranya tegang, serius, lain daripada biasa. Macam orang bad mood. Dia minta tolong saya carikan bahan untuk dia melalui arkib NST yang waktu itu saya akses secara percuma. Kalau tak silap bahan itu untuk proposal dia mendaki tangga Phd.  Lepas letak telefon, saya masih ingat. Saya merungut..."Huhu tak kuasa! Angin tak baik, telefon orang nak moody moody pulak."

Dan dua hari selepas itu sewaktu saya dan arwah emak membeli-belah di JJ, saya dapat panggilan telefon dari arwah Dr Othman Puteh. Memberitahu Hizairi sudah dua hari tidak pulang. Dan selepas itu sehingga ke hari ini, saya terus menanti dan mengharap ada khabar tentang Hizairi!

Saya tergerak hati untuk berkongsi kisah ini sejak sebulan lalu tapi kekangan masa membatasi saya. Juga saya tidak pasti perkongsian kisah ini wajar atau sebaliknya. 

Selepas difikir, saya rasa kisah penulis hebat ini perlu diketahui oleh adik-adik penulis baru. Sikapnya yang ikhlas, jujur, sentiasa merendah diri dan tidak pernah memandang kecil pada karya orang lain wajar dicontohi. Nantilah... saya akan kongsikan lagi bersulam kisah saya, Rodziah Mat Akil, Shasha Shafie ... mungkin juga Dr Ayu Abu Bakar, kanda Is Hassan Idris, yang pernah menjadi sahabat karib @ membuli sahabat kami yang baik hati ini.




Bersambung.....

HIZAIRI OTHMAN - catatan peribadi mengenang seorang sahabat




HIZAIRI OTHMAN- catatan rasa untuk seorang sahabat.
Ini sekadar catatan-catatan pendek untuk mengenang seorang sahabat yang hilang secara tiba-tiba dan tetap dinanti kehadirannya. 

Saya tidak pernah berkongsi kisah tentang sahabat saya yang seorang ini. Banyak catatan, rencana akhbar, kisah di majalah tentang dia. Peringkat awal dia hilang, saya kalau bersembang dengan beberapa rakan rapat seperti rakan UM atau rakan di DBP, rakan editor ... akan menyebabkan pada penghujung sembang, saya jadi lelah. Jadi sebak dan terkilan.  Apa yang boleh saya katakan dunia sastera remaja kehilangan dan kerugian bintang yang sangat besar.
Malah saya berdoa, kalaulah dia muncul, bersamanya ada karya besar yang luar biasa! 

Saya rasa bukan saya sahaja, ramai sahabat yang mengimpikan begitu. Catatan ini santai, sekadar mengenang zaman di kampus dahulu. Saya percaya semua sahabat satu universiti dan yang mengenali beliau akan mengingati Hizairi sebagai sahabat yang sangat putih hatinya!

Al-Fatihah juga buat almarhum Dr Othman Puteh. Juga doa yang sama untuk makcik Timah Baba semoga sentiasa dalam limpah kasih sayang Ilahi.

Tahun 1991- UM, JABATAN PENULISAN ketika itu, saya, Gee (Rodziah Mat Akil), Shekdah (Shasha Shafie) sama-sama mendaftar. Sama-sama blur, sama-sama gila menulis, sama -sama pegang tag produk DBP. Dan, kami sama-sama tercampak di UM ni dengan masalah tak dapat asrama. Kemudiannya nama saya naik, dapatlah tempat di Kolej Kinabalu. Saya muka tak malu, telefon ayahanda arwah DR OTHMAN PUTEH.


"Pakcik, kami tak mau asrama tu... jauh!" Mengada-ngadakan!
Arwah yang sangat penyabar, pujuk kami langsung berpesan, "Di department nanti cari anak pakcik. Cari Hizairi. Nanti minta tolong dia ya tunjuk-tunjuk dan ajar Lily, Gee dan Shekdah apa yang patut!"

Wah, maka bermulalah misi kami, budak blur yang selalu terasa diri macam aliens di kuliah dan digelar three stooges mencari Hizairi Othman. Kalau ke jabatan kami perhatikan, kalau ke plaza siswa pun leher kami panjang. Misi kami mencari Hizairi.


Dan, ya... saya dengan muka garang berani dan kekadang tampak sombong, gee pula dengan tersengih-sengih sesekali tunjuk muka cuak takut-takut, manakala shekdah yang selalu panik dan akan kata "Aku tak campur." akhirnya terserempak Hizairi di Plaza Siswa. Huhuhu... lega! Lega! Bila dapat tegur anak Dr Othman Puteh ni. Tertib dan sangat cool biarpun kami konsepnya main redah aje!


Kami tegur! Beri salam dan kenalkan diri dan yeahhhh misi kami sukses!


"Oh ni lah dia ya... Ni lah lily, gee dan shekdah! Ayah ada bagitau!"
Itu ayat awal Hizairi yang masih saya ingat. Horeyyy.... kami rasa sedikit bangga sebab memang pakcik Othman sungguh-sungguh ambil berat tentang kami yang berkelana di UM tu. 




Hahaha kami kemudian baru rasa semakin ok sikit sebab konon-konon dah kenal satu senior yang akan jadi tempat rujuk tanya kami. Hahah dalam erti kata lain, kami akan sentiasa menyusahkan Hizairi selepas itu.
Alih-alih kami agak terkejut. Dan selepas itu kami sedar sesuatu. 

Oh Hizairi sangat hot rupanya di kampus. Dia adalah jejaka idaman, jejaka paling ngetop di kampus waktu itu. Maka kami yang blur, penuh rasa cuak dengan semua senior dan mahkluk di kampus memutuskan kami perlu berhati-hati. Kami hanyalah budak junior yang bodoh-bodoh alang dengan cara hidup di kampus. Kami perlukan banyak bantuan Hizairi. Maka kami mula menggunakan bahasa isyarat bila bercakap atau menyebut nama sahabat kami itu. Hahaha... kami gelar dia ROBOT.

Bersambung....

Anak-anak, tunggu birthday atuk ya!


Bulan mac cuti lagi... saya harap saya masih ada ruang waktu balik melaka. Jumpa yaya, jumpa aqil. Birthday datuk nasir bebudak ni mac, hahaha abah saya dah menelefon peringatkan.... itu tandanya abah mau kami balik. Dan semua cucu akan buat sepah di rumah atuk! Yaya, cakap mama ponteng tuisyen ya 27 mac.... adib anis, kalau ada class pun mak akan ponteng kan. 27 mac hari atuk nasir sedunia!

MAK ULI., miss yaya.... nanti kita balik melaka ya yaya bulan mac ni utk birthday  atuk nasir!

Achik Azlan taja banyak short holiday masa bulan lalu. Berjimba di karaoke hari tupun pakcik azlan yang belanja semua. TQ AZLAN, TQ ROSIE!!



Aqil, nanti prepare birthday bash atuk nasir ya... nanti mak uli balik sama yaya dengan haiqal.



Yaya yang semakin kurus bila selalu pergi class swimming



Bila dah habis deadline, tinggal sikit sikit kerja, saya asyik teringat budak ni...

Yaya  dengan bathrobe.. tapi kena ambil pix dari belakang. Payah nak ajak bergambar sekarang.

Pakcik safuan sama cr yang tengah bertungkus lumus bersiap sedia mahu memancing

Sunday, March 10, 2013

Mak Selekeh Macam Makcik Dalam Hantu Kak Limah....





"Kenapa mak pakai selendang macam tu? Peliklah... selekeh! Macam makcik dalam cerita Hantu Kak Limah!"

Wah boleh ye Haiqal tegur saya gitu... Saya dalam mood malas, mau jalan-jalan, kepala penat buat skrip, bersambung novel bersiri di majalah, sambung proposal skrip dokumentari program agama bahasa Inggeris, terhutang lagi satu artikel untuk majalah sebelum sambung novel. Penat! Jadi saya capai dan pakai aje mana sempat. Saya mahu santai dan rehat jalan jalan sekejap. Tak kuasa nak melawa!

Bila ditegur, saya sambil jalan korek-korek tas tangan, jumpalah kerongsang sehinggit. Saya sepinkan, rasa kemas. Haiqal tegur lagi.

"Ada kerongsang mahal banyak-banyak mak simpan aje... mak pakai macam ni nampak macam Kak Esah dalam drama apa entah tu...."

Mokcik speechless! Laser ye budak 10 tahun?!

Friday, March 8, 2013

Antara Buku Yang Dalam Simpanan...

Catatan yang ditulis sendiri oleh Pak Samad (Datuk A Samad Said) pada muka hadapan buku AL-AMIN RIWAYAT HIDUP RASULLULLAH SAW DALAM PUISI ni dah lama sebenarnya.
 Tahun 2000. Waktu buku ni terbit, saya pergi pelancarannya dan Pak Samad hadiahkan saya buku ini. Kiranya dalam ribuan judul buku dalam koleksi saya, ini yang paling saya sayang! Tulisan tangan Pak Samad itu yang sangat saya treasure!

COKLAT Terapi Kala Stress





Menulis benda baru, banyak sangat saya kena belajar. Secara praktikal nampak mudah. Tulis novel teksnya banyak, skrip sikit aje. Tapi aspek teknikal tu yang buat saya rasa haishhh.... kena banyak belajar! Hahaha dulu zaman di UM, paper filem antara kuliah yang paling saya tak minat! Komitmen di lokasi waktu praktikal Jonny Bikin Filem selalu bikin saya stress. Zaman tu seingat saya, saya lebih rela jadi budak jaga air jaga makanan untuk krew. 

Dua bulan saya gantung akaun FB personal, tidur selalunya jam 4.30 pagi. Bangun enam pagi. Rekod cemerlang sepanjang buat skrip ni tidur saya jam 6.30 pagi! Paling meriah bila berkali-kali dalam jam satu atau dua pagi merayap cari aiskrim atau coklat. Atau  jam 2.57 pagi saya bersama housemate mencari roti canai kari daging bersama kentang dan teh tarik. Selagi kerja tak siap, huru-hara sungguh hidup saya. Mulalah merepek-repek jadual makan saya.

Saya tak tahu ok ke tak skrip yang ditulis. Berkali-kali dirombak, tapi saya percaya semua kerja harus ada tolak-ansur kan.... Biar proposal saya sekian-sekian cara diterima orang atas. Saya sentiasa peringatkan diri, tentu saja bos besar mahu ada sedikit touch dia, ilham dia, garapan impian dia dalam karya itu. 

Sementelah produksi yang menelan belanja besar itu duit bos yang bertungkus-lumus mencari dana. Dalam berkarya, mesti ada tolak ansur, jangan perasan idea sendiri saja bagus dan jauhi ego. 


SKRIP DAN MIND MAPPING

 Selepas buat segala treatment, segala catatan, segala pembahagian, buat mind mapping pula. Skrip memang kerja yang cerewet bagi saya. Banyak perincian, detailing, pembahagian waktu, jaga setting, jaga konti bagai. Rasa macam hishhh penatnya dan tak mau buat lagi. Tapi proposal saya ada tiga title yang semuanya 13 episod yang masih tunggu masa untuk ditukangkan. Saya buat sekadar mencuba, main-main, tak terfikir akan terjebak begini. Haishhhh... Selesai satu ni saya lega! Sangat lega! Rasa dah berbulan tak rasa tenang. Tapi berkerut jugak bila fikir saya ada lagi 2 judul drama bersiri 13 episod dan satu lagi untuk dokumentari juga 13 episod. Kalaulah mula projek yang itu, harus saya tutup lagi buat sementara akaun fb saya. 

Teori dan amali memang tak sama. Kita boleh berkongsi pengalaman, kita boleh baca buku, kita boleh pergi kursus tapi bila di trek permulaan, pengalaman itu sendiri yang akan ajar kita.

Hemm... ni mode jiwa kacau gara-gara skrip. Bak kata SuzannaZaily Zin, kalau saya mula belajar dengan telemovie mungkin saya bernafas sikit, tapi saya ni terus buat bersiri. Tu yang termengah-mengah. Ada kawan kata, "Kak Lily, nanti kau sharelah macam mana  kau tulis. Macam mana kalau mula dari zero buat skrip tu. Kan best kalau kau kongsikan sekali skrip tu... Sebab kau mula from scratch."

Hahaha... nanti saya fikirkan.


Bila bos sms kata mahu details diri untuk kontrak, saya tersangat lega. Tidur jadi lena, lega dan bila dah habis stress saya akan muhasabah diri untuk jauhi coklat!:)) Yessss... mau sambung kerja lain:))

Menulis.... Menulis....






Skil menulis cerpen saya dah karat. Rasa macam susah tulis cerpen berbanding novel. Kawan-kawan editor bila minta saya tulis cerpen untuk sekian sekian majalah, saya selalu mengelak. 10 halaman mau ada pengenalan, tema, konflik dan selesaikan masalah... rasa payah. Tapi sekarang kalau ada yang mintak,  saya serahkan kerja tulis cerpen pada Anis. Takat bolehlah... cerpen budak 16 tahun

Dan, ini yang jadi bila menulis tu takat suka-suka. Takat nak isi masa lapang. Ada ilham, taip, hantar, bila tersiar, di mana... haram dia tak ambil tahu.
"Mak... kawan kita kat MRSM Pengkalan Chepa kata dia baca cerpen kita."
Mak terover busybody laju tanya,"Kat mana? Majalah apa? Bila?"
Dan jawapan yang si emak terima semuanya, "ENTAH!"
"Tersiar bila? Tahun ni ke tahun lepas?"
"ENTAH! Kita tak tanya pun..."
"Tajuk apa? Anis tak tanya?"
"TAK TANYA PUN..."

Huhuhu payah anak yang seorang ni! Dia memang buat sebab dia suka buat. Lebih daripada itu dia buat titik nokhtah besar-besar, bulat-bulat! Dia jugak buat tembok tinggi-tinggi untuk diam-diam dalam kubu dia. Dan si emaklah gigih menyemak emel anak mahu trace ke penerbitan mana dia send melalui emel cerpen dia tu. Mujur bab ni anak sangat terbuka dengan si emak. Boleh kongsi password emel mahupun facebook:))


Macam biasa, saya selongkar emel dia, semak ke mana dia send cerpennya... dan taraaaaaaa..... saya berjaya jugak hubungi tuan editor merangkap tuan besar majalah ini. Wah!!! Sangat suka bila bos besar majalah ni sanggup hadiahkan saya 5 naskhah setiap majalahnya sejak keluaran tahun lepas. 





MAMAT PANTUN UPGRADE JADI MAMAT PUISI...

Benda yang buat saya rasa rimas dengan Haiqal bila dia tanya makna perkataan. Tengah makan, tengah saya menaip, tengah memandu, dia akan tanya makna perbendaharaan kata yang dia jumpa. Suruh semak kamus atau semak pada tab, dia malas. Mak apa makna halusinasi, mak rintih tu merayu...sedih sesangat kan, mak apa fatamorgana... bla bla bla. Kekadang saya akan kata, "Boleh tak senyap sekejap dalam 15 minit. Mak tengah buat kerja mak." Rupanya ni operasi dia. Mamat pantun dah upgrade jadi mat sajak, mat puisi... ni dia sama Anis punya undercover projek masa cuti disember rasanya. Doa saya, dia carilah kerjaya lain, bukan penulis sepenuh masa macam saya.







Sajak dua beradik terbit serentak dalam majalah. Sebelah menyebelah pulak! Kalau orang tengok macam gila kuasakan... dua beradik buat sajak together gather, si kakak dengan cerpen, dua adik lelaki bersajak.

Saya kalau depa tanya, "Mak sibuk... dah siap baru tunjuk!" Saya dalam diam perhatikan. Bebudak ni tak serius mana pun masa menulis. Yang jelas, sambil tergelak-gelak, ejek mengejek ayat masing-masing, kutuk mengutuk ayat dia best, ayat dia pelik... hahaha siap sudahnya dua sajak. Kata Adib masa tulis sajak ni, dia kata dedikasi khas untuk abah dengan abang yang merokok! Hemmm boleh gitu ya... terinspirasi nak kutuk abang CR yang merokok melalui sajak!


ShareThis