Friday, November 8, 2013

CINTA HILANG KATA 3


CINTA HILANG KATA 3

LOVE YOU IN SILENCE 


Amirul & Jah Gayah

Meresah jiwa hilang kata,
Perasaan ini bukan biasa,
Kisah silam penuh ceritera,
Dendam lama menakung bisa.


“Ya Allah! Apasal budak ni? Melalak aje! Nanti aku lempang baru tahu! Hish, diamlah! Memekak aje!”

“Mak, tangan Nurul terpegang cerek panaslah mak!”
“Hah??”

“Ni... mak tengok, kulit dia melepuhlah mak! Dia pegang cerek yang mak letak kat bawah tu.”

“Huh! Budak tak tau duduk diam ni! Nak aku cili-cilikan aje punggung dengan kaki tu! Berjalan aje! Dah melantak nasi, dah minum susu pun tak tau nak tidur.”

“Mak Jah, sakit... tangan sakit.” Anak kecil berkerut-kerut dahi menahan sakit. Dia menghulurkan tangan kanannya dengan harapan ibu pengasuh itu akan memberi kelegaan pada hujung jari-jarinya yang sudah merah dan menggelembung kulitnya.

“Padan muka kau! Degil! Aku kata diam tak reti bahasa. Aku kata tidur tak mau tidur. Hah, rasakan kau!”

“Mirul.... pergi ambik minyak gamat!” Jah Gayah memberi arahan pada Amirul. Anak lelaki yang beza umur hanya tiga tahun dari Nurul Masmin itu pantas menghulurkan sebotol minyak gamat.

“Mirul tadi kenapa tak tolong tengokkan Nurul. Mak tengah sidai baju. Kalau apa-apa jadikan susah.” Jah Gayah terus-terusan membebel.
“Mak Jah, Nurul nak susu....”

“Tadi dah minum sebotol, nak lagi?” Jerkah ibu tunggal itu. Memang kalau ikutkan panas hati, dia mahu lempang kiri kanan mulut kecil yang kuat merengek itu. Apatah lagi apabila memandang wajah kecil itu. Serupa mak dia, Azmeena. Mak Jah memang tak berkenan langsung ibu Nurul Masmin. Dirinya bersetuju menjadi ibu pengasuh anak kecil itu tak lain tak bukan, semata-mata kerana Tuan Razali. Entah mengapa hatinya selalu berdebar-debar setiap kali berselisih dengan Tuan Razali sama ada di kedai runcit atau di kawasan perumahan itu.

“Nurul nak susu..... Mak Jah, nak susu....” Botol susu yang sudah berkeladak dan bersisa susu basi, dihulurkan oleh anak kecil itu di hadapan Mak Jah.

“Hish, budak ni! Aku hempaskan baru tahu! Tak reti bahasa agaknya. Bak sini!” Mak Jah menjerit menyebabkan Nurul terkejut. Anak kecil yang rambutnya bertocang dua itu segera menghulurkan botol susunya.

Kemudian kaki kecil itu terkedek-kedek berlari menyorok di balik pintu bilik.
“Hah, duduk balik pintu! Lepas ni kuku pulak tercabut terkepit dik pintu! Nurul... sini!” Mak Jah bertempik garang.

Susu dua sudu besar dibancuh dengan air sejuk biasa. Tidak dicuci pun botol susu yang kotor itu. Digoncang susu sehingga larut. Kemudian dia membuka kembali penutup botol susu itu. Mak Jah mencapai sesuatu di dalam peti sejuknya. Ubat batuk. Dia memang menyimpan sebotol kecil ubat batuk khas untuk Nurul jikalau anak kecil itu degil tidak mahu tidur. Dituangkan satu sudu besar ubat batuk di dalam botol itu. Ditutup botol itu dan digoncang kuat-kuat. Biar larut. Biar sebati dengan susu.

“Nurul.... pekak ya!”

Anak kecil itu mengintai di balik pintu.
“Cepat! Kata nak susu tadi. Ambik ni! Cepat!” Jerit Mak Jah tanpa mempedulikan anak kecil itu semakin mengerekot badan ketakutan.
“Nak.... minum sampai habis!”

Nurul mencapai botol susunya dan terus berlari pantas ke bilik belakang di rumah teres tiga bilik itu. Di bilik stor itulah dia menyembunyikan diri dari segala ketakutan. Biar dia kecil dia faham benar rutin Mak Jah.

Sebelum waktu dia diambil oleh emak, Mak Jah akan siapkan dia kemas-kemas. Rambut disisir rapi dan ikat kemas, siap dilumur minyak zaitun. Pipinya dibedakkan. Mak Jah memang memastikan dia cukup wangi untuk dicium emak setiap petang.

Dan Nurul selalu berkerut aneh. Mengapa Mak Jah akan berkelakuan aneh apabila emak tak ada. Maksudnya kalau papa yang menjemputnya pulang ke rumah dan emak pula pulang lewat, Mak Jah akan pakai lawa-lawa. Mak Jah akan pakai mekap lebih dari biasa.

Kalau papa beritahu awal yang papa akan jemput, Mak Jah siap masak sedap-sedap. Mak Jah siap bungkuskan gulai untuk papa. Bibir Mak Jah akan bergincu merah, matanya berpantis dan bercelak hitam. Bukan lawa pun tapi menakutkan di mata Nurul. Macam mata burung jampuk dia memandang Mak Jah. Lebih aneh bila memandang Mak Jah bersiap-siap. Kalah hari raya pakaian Mak Jah kalau tahu papa akan muncul di pintu pagar.

“Kenapa bibir Mak Jah merah sangat! Macam berdarah...”
“Kau diamlah! Pergi main kat sana!” Mak Jah menghalau Nurul yang mengintainya di balik pintu bilik. Nurul memerhati dan terus mengamati. Kenapa Mak Jah pakai baju kebaya ketat tu? Ketat sungguh. Sampai rasa macam tak bernafas. Pelik sungguh!

Dan rasa aneh dan pelik itu benar-benar menguji rasa bingung Nurul. Cuma dia tidak tahu bagaimana mahu meluahkan rasa itu. Dia tidak tahu pada siapa dia harus bertanya. Satu petang dia terdengar suara Mak Jah macam merengek. Kemudian terdengar suara papa. Suara Mak Jah kemudian bertingkah dengan suara papa. Waktu itu Amirul sudah lesap ke padang untuk bermain bola.

“Jah, saya suami orang. Saya ada isteri, ada anak. Tak elok kalau Jah nak tersua-sua macam ni. Tak manis. Jah janda, tak elok kalau buat bukan-bukan. Yang buruknya nanti nama Jah jugak. Saya dengan Azmeena memang ikhlas nak Jah jaga Nurul Masmin. Anggaplah dia macam anak sendiri. Kita boleh jadi bersaudara. Kalau takat Jah susah duit, bila-bila saya boleh bagi Jah duit lebih. Tapi bukan macam ni ya.... Tak manis. Betulkan balik butang baju tu. Nampak dik orang lain, apa pulak nanti kata orang. Timbul fitnah.”

Biar masih kecil namun kata-kata papa yang dicuri dengar di balik pintu bilik itu memang membuat Nurul berkerut dahi. Betulkan butang baju? Mak Jah kenapa? Itulah pakai baju ketat sangat sampai butang pun boleh terbuka. Tadi Mak Jah kata kepala pening, tak sihat. Tu sebab papa ambil beg baju dan beg susu Nurul di ruang tamu. Tiba-tiba Mak Jah keluar pakai cantik-cantik. Mak Jah dah siap-siap suruh Nurul duduk dalam bilik. Peliklah Mak Jah. Kata sakit, kata nak demam, tapi pakai baju lawa-lawa. Hah, padan muka. Kan dah kena tegur dengan papa!

Sejak hari itu Nurul rasa semakin takut dengan Mak Jah. Perempuan itu semakin garang dan bengis. Kalau dihulurkan pinggan nasi pun bagai mahu dihempaskan ke meja. Dan susu Nurul semakin tidak sedap rasanya. Selalu benar Nurul mengadu sakit perut selepas minum susu. Sesekali dia termuntah di tandas. Dan tiap kali termuntah, Mak Jah akan menjerkahnya.

“Mengada-ngada! Selama ni tak sakit perut, sekarang ni aje kau lorat ye! Aku bubuh racun tikus baru kau tahu! Mampus kau nanti!” Mak Jah bertempik bengis. Nurul terkaku dan hanya teresak-esak menangis. Amirul yang sibuk dengan permainan kereta polis pemberian papa Nurul langsung tidak peduli.

“Betullah... Nurul ni lecehlah! Sikit-sikit muntah. Sikit-sikit sakit perut. Lepas tu tidur aje. Macam tidur mati! Pemalas!” Amirul mengiyakan Mak Jah. Nurul terkelip-kelip tidak mampu membalas.
Mak Jah menjeling tajam ke arahnya. Dihulurkan lagi sebotol susu.
“Minum! Lepas tu tidur!” Tidak perlu tunggu sejam, sebaik saja selesai satu botol susu itu Nurul terus terlelap.

Mak Jah memandang susuk tubuh kecil itu dengan penuh rasa benci. Patutnya bila aku dah mengasuhkan, aku jadi suri untuk bapak engkau! Huh, benci!

Hati hasad Jah Gayah penuh berkesumat mengenangkan keinginannya mendampingi sekaligus merampas tempat Azmeena sebagai isteri Tuan Razali tidak pernah kesampaian. Betina tak guna tu tak layak dapat suami yang berduit! Kerja aje 24 jam. Anak campak kat aku. Beranak pun takat seketul! Masak pun jarang. Bini apa namanya tu!

Dendam, benci dan cemburu Jah Gayah bagai tidak pernah padam. Apatah lagi sejak saat dia ditegur secara lembut oleh Tuan Razali. Malunya diri bukan kepalang. Terasa bagai perempuan jalang murahan bila kucing parsi seperti Tuan Razali rupa-rupanya tidak sudi menjamah ikan yang disua-suakan.

Jagalah kau Razali! Aku ganyang anak kau cukup-cukup. Tak dapat bini kau! Tak dapat engkau, anak kau ni aku gulaikan nanti!

No comments:

ShareThis