Yang warna merah ini catatan Rosie di Intrend yang saya kira agak manis namun berbekas di hati. Kisah cinta, asmara dan syurga dalam ijab kabul. Ya, cinta bukan sekadar asmara. Dalam memakna dan mencari pasangan untuk ke jannah, kita kekadang keliru.
Saya sejak kebelakangan ini sering dirujuk anak-anak. Saya akan mendengar dan kekadang agak terbuka dalam menyaring kisah cinta mereka. Itu lebih bagus bukan... daripada anak-anak ini kabur dalam membuat keputusan dan menyorokkan sesuatu.
Saya cuma pesan, berdoalah yang baik-baik. Ikutlah gerak hati dan jangan biar hati atau perasaan beralah atau terkorban hanya kerana ego atau mahu menjaga hati... Cewaahhhh macam bagus emak cakap macam ni kan dengan anak??!!! Hahahaha... jemput baca rencana Rosie ni.
Ps: saya punya novel tak siap, jadi pinjam artikel rosie untuk kasi nyawa pada blog!
SYURGA CINTA DALAM IJAB DAN KABUL
Sebelas tahun
lalu, kalau tiba saja kad undangan demi kad undangan perkahwinan kawan-kawan
sekolah, saya gementar bercampur trauma. Mengapa semua orang sibuk nak
berkahwin cepat? Jauh di lubuk hati, terdetik rasa terancam. Semua kawan yang
sama-sama; ehem, gila-gila dan kaki joli; selepas ini masih sudikah meneman
saya minum teh tarik di mamak pukul dua pagi?
Fasa traumatik berlalu jua
apabila tiba pula giliran saya (akhirnya!) memilih-merungut-merias kad undangan
kahwin sendiri. Tetapi apabila sudah berkahwin, kawan-kawan yang gigih beranak
dan beranak dan beranak lagi membuat saya trauma kembali.
Apakah semuanya
sudah terlalu lambat untuk saya dan suami? Kami bermula lewat. Jadi keajaiban
apakah yang boleh memecutkan zuriat?
Ya, alam bujangan tidak sepi daripada lirikan tajam dan soalan sinis, “Bila lagi nak kahwin?” dan anehnya apabila kita sudah pun halal diijabkabulkan, soalan seterusnya pasti kamu pun dapat menerka, “Bila nak ada anak?” dan begitulah adanya resam orang Melayu dan soalan-soalan tipikalnya; “Bila nak tambah anak?”
Pesan saya buat kamu yang bakal mengembang sauh perkahwinan, usah gentar – kerana soalan itu sudah diduga. Usah bersedih kerana apabila tiba waktu Tuhan berkehendakkannya, maka jadilah ia.
Namun ingatlah,
pernikahan itu bukan seputar isu memilih warna baju pengantin, atau memilih
perincian pelamin, atau bertengkar-rajuk-pujuk dengan pasangan kerana hati
angankan majlis gah berpuluh ribu sedang pasangan dambakan yang kecil-kecilan.
Selepas si dia menggoncang tangan kadi, drama yang menanti kalian berdua lebih
panjang.
Kamu mungkin bertahan berjanji syurga, kamu mungkin diuji dengan wang ringgit, atau kamu barangkali juga dipilih untuk berpisah nyawa sedang asyik memadu hidup berdua. Lalu kerana itu para isteri, mari kita sama-sama menghargai setiap kenangan bersama pasangan, kerana masa tak bisa kita putar kembali, dan yang silam itu tidak mungkin boleh kita beli.
Andai kamu terperangkap dalam neraka cinta, suami mendua; sampai bila harus memendam rasa? Jika kita diberi peluang untuk melepaskan kerikil yang melukakan tangan, maka itulah yang sewajarnya dilakukan.
Suami yang tidak lagi mencintai isterinya,
tidak mungkin dapat dirawat jika dia sendiri enggan menampal luka
rumahtangganya. Daripada kamu terus berdarah, ada baiknya kamu alirkan tenaga
dan fokusmu pada diri sendiri dan anak-anak.
Mungkin juga
sudah sampai masa kamu dan pasangan berhenti sejenak menyorot hidup ini cara
sekular dan melihat hidup ini secara spiritual. Semoga kamu semua lebih matang
menafsir dan memperhalusi isu-isu rumahtangga; lebih cepat dewasa, berhenti
menjadi anak-anak dan lekas menjadi ayah dan ibu sempurna. Semoga panjang jodoh
kamu dan berkekalan ke anak cucu.
No comments:
Post a Comment