Friday, May 15, 2015

IZINKAN AKU JADI SAYAPMU - SIRI 13 - HARIAN METR0 - PIA PEMUK & CR

IZINKAN AKU JADI SAYAPMU -
Kisah sofeatulaishah pia pemuk dengan cr chairil razlan yang tak sempat saya nak share sejak berminggu-minggu ni:)) Sorry saya share ni ikut mana yang sempat aje ya... tak ambil full untuk tiap bab. Versi buku nanti kita bagi full:)) Daaaaaa....


+++++++++++++++++++
“Err... perangai Chairil yang mak kata sweet talker yang memang kacak ni agaknya menurun perangai siapa ya? Mak ke abah?” Tiba-tiba Chairil sengaja mengusik.
“Hish, ke situ dia! Perasan tak sudah!”
“Suka mengayat perempuan tu, mak abah tak tahu ikut siapa! Tapi panas baran, mulut cakap berbisa pedas tu macam arwah Atuk Daeng Amid.”
“Haha, sekali Bugis, sampai bila-bila Bugis ya, abah. Kalau macam tu, emak tak boleh bising kalau Chairil suka ke laut!”
“Huh, Bugis zaman dulu, meredah laut, berjuang. Lawan orang putih, lawan penjajah. Bukannya takat suka-suka cari ikan pari, cari ikan tenggiri!” Sindir Puan Ramnah yang memang ada ketika tidak tahan dengan perangai Chairil suka ke laut senyap-senyap tanpa pengetahuan keluarga.
“Chairil, kamu muda lagi. Jangan ikut sangat baran tu. Kalau rasa nak marah, cepat berwuduk. Kenakan muka tu dengan air. Selawat dan istigfar banyak-banyak. Kekadang kita bercakap bila marah, kita tak sedar apa yang kita ucapkan. Orang yang terluka, simpan dalam hati bertahun-tahun.”
“Tapi itu tak seburuk perangai terang-terang maki-hamun orang tua, mencarut pada orang yang dah berbudi. Kemudian menceceh macam sengaja singkap dalam kain, tunjuk pekung pada orang luar. Betulkan, abah?”
“Tetap jugak nak menyimpang cerita, nak kenen pada Shaza dengan Haris, ya!”
“Entahlah! Hati ni terbuku abah.”
Kisah Haris, Syaza dan rahsia abah emaknya tentang sakit Haris terus terjilid dalam fikiran Chairil. Hendak memujuk abah dan emak pun tak bermakna. Belum tentu orang tuanya mahu bercerita.
Petang Ahad itu, bersama Firdaus, Chairil dan beberapa sahabat lelaki dari Menara Rumah Manis, mereka memacu deruan adrenalin dengan menonton filem terakhir mendiang Paul Walker. Sebaik sahaja selesai menonton dan melangkah keluar panggung, tiba-tiba lengan Chairil dipaut.
“Chairil!!”
“Eh... Syirah!”
Firdaus sudah berkerut, rakan yang lain Ganesan dan Andrian sudah terpinga-pinga bulat biji mata.
“Eh, perempuan ni ex-Chairil, bukan?” Andrian berbisik.
“Yup!” Firdaus menjawab malas.
Mereka menjauhkan diri dari riuh dan sesak orang ramai di hadapan panggung di Sunway Pyramid itu.
“Kalau tahu Chairil ada sini... boleh janji sekali.” Suara itu merengek manja. Chairil tersenyum namun terserlah wajah tidak ikhlas.
“Datang dengan siapa?”
“Itu....”
“Semua geng lelaki?”
“Habis tu?”
Syirah tersenyum bahagia sebenarnya! Haha... engkau masih tak ada pengganti aku, ya Chairil.
Tiba-tiba sahaja Syirah bagai mendapat kekuatan apabila melihat hanya kelibat Firdaus, Ganesan dan Andrian yang sedang menunggu. Lengan Chairil diraih lagi. Lelaki itu pantas menepis.
“Chairil....”
“Cakap sajalah! Tangan tu jangan berjalan. Tak sopankan!” Matanya tajam menjeling. Dia tidak main-main. Namun Syirah tidak peduli. Ah, bekas kekasih pun status aku. Peduli apa! Kau masih solo!
“Jomlah, kita minum dulu sesama. Suruh your friends tu pergi dulu. Bolehkan...” “Apa hal pulak. I janji dengan diaorang lepas ni nak pergi Low Yatt. Nak cari barang untuk pejabat sekali.”
“Alah, bolehlah!”
“You datang sini dengan siapa? Apa hal tetiba nak ajak I pulak.”
“Itu... dengan adik sepupu I. Tak apa... I boleh suruh dia pergi mana-mana dulu sementara I minum dengan you.”
Chairil mengerling ke arah jejaka yang berjaket di satu sudut. Tinggi lampai orangnya. Tidak pernah pula dia kenal wajah itu sebagai sepupu Syirah sepanjang mereka bersahabat.
“Sepupu? Tak pernah nampak pun dulu? Ke anak ikan baru?”
“Chairil!! Celoparnya! Ke you cemburu ?”
“Cemburu? Hahaha big joke!”
Dalam keadaan wajah Syirah merah menahan malu, Chairil yang masih lagi bersisa gelak sinisnya, tiba-tiba satu suara manja yang biasa sangat didengar di pejabat menyapa.
“Chairil!! Hei! What a pleasant surprise!”
“Effa... you pun ada sini!”
“Habis you ingat you aje tahu tengok wayang!”
“Eh, haiii Firdaus! Helo Ganesan.... hei Andrian!”
Syirah di tengah tengah pertemuan itu semakin mencuka wajah.
“Oh, you all ada date ke?”
“No! No! Kami terserempak!”
“Oh, sorrylah kalau I ganggu!”
“Tak. Mana ada.”
“Makna tak ada yang jejak kasihlah ya! Tak ada cinta bertaut balik?”
Terbeliak mata Syirah dengan sindiran itu. Chairil terpempan tapi pura-pura senyum. Dasar mulut perempuan yang seorang ini! Perempuan jenis ini... dasar menikam sesama perempuan!
“Jumpa di pejabat ya, Chairil!”
Effa melambai penuh gedik. Baju kardigan yang jarang dan sendat itu membuat dadanya sangat membuak.
Skirt sontok merah cili dengan stiletto yang berwarna sedondon membuat Firdaus menelan liur memandang. Chairil memandang dengan jengkel. Pantas saja hatinya mahu mengeji. Huh, macam ayam daging yang kena goreng berempah! Pedas! Tapi sayang banyak lemak tepu!


Dia tak sejuk apa pakai pendek-pendek tu!”
“Hahaha... dia banyak lemak! Kan aku kata, dia ayam daging! Suntik sana sini, seminggu dah gemuk!”
Tiba-tiba Effa bertabah balik. Lenggok perempuan itu membuat Firdaus tergamam. Sangkanya Effa mahu menanggalkan kasut tumit tinggi itu dan disumbatkan ke mulutnya. Tapi perempuan itu menuju ke arah Syirah.
“Good luck, Syirah!”
Syirah tergamam.
“Chairil aku punya! Kau tahukan!” Dia sempat berbisik di cuping Syirah sebelum ketawa berdekah-dekah. Chairil di situ memandang penuh jengkel.
Syirah yang terasa muka bagai disimbah air longkang dengan hati yang bergemuruh menahan amarah, pantas menghayun langkah. Dan di satu sudut, Firdaus, Andrian serta Ganesan terbahak-bahak gelak.
“Kau orang nak cari perempuan, pastikan tak jumpa yang ada DNA macam Syirah dengan Effa, okay!” Ujar Chairil dengan selamba.
“Perempuan kalau dengan perempuan pun nak jadi parasit, macam mana nak jadi ibu?” Ganesan tiba-tiba sengaja mahu menjolok hati bos kecilnya itu.
“Itu namanya nanti jadi ibu alien!” Pantas Firdaus menyampuk.
“Tu belum lagi ada perangai isteri kiriman neraka! Tu lagi azab! Lelaki yang dapat bini macam tu memang terima azab yang pedihlah!”
“Hahaha... sabar bos! Sabar! Tu mesti nak mengata mokcik saudara yang suka gebang dekat twitter tu!” Firdaus tahu maksud hati Chairil.
Mereka kemudian melayan selera di Restoran Marhaba yang membawa bumbu tanah Yaman dalam hidangan. Firdaus tanpa malu-malu meminta Teh Pudina untuk mereka berempat.
Sewaktu mahu menjamah Fatoush, hidangan yang mengandungi roti levantine salad dengan sayur-sayuran campuran segar dan rangup itu, Chairil tiba-tiba berubah air muka.
“Kenapa, bro? Ada tergigit benda keras ke pada roti tu?” Soal Ganesan.
Chairil diam menggeleng.
“Wah! Lepas makan ni boleh bergelek Arab, kita!”
Firdaus cuba berlawak, namun Chairil tetap berwajah ketat. Huh, bos kepala angin! Itu tanda angin kus kus dah datang! Firdaus merungut dalam hati.
Sewaktu Firdaus melangkah ke kamar kecil untuk mencuci tangan, baru dia terperasan sesuatu. Allah! Patutlah muka Chairil macam kena getah nangka! Terperenyuk!
Minah Pia Pemuk dengan siapa ni? Meja di hujung yang serba ungu lavendar itu tampak meriah dengan Sofeatulaishah sekeluarga. Ada lelaki kacak di sisi!
“Bos, Pia ada dekat situlah! Macam ada sambutan hari jadi aje!” Balas Firdaus selamba.
“Pia? Maksud you Sofea?” Ganesan dan Andrian pantas menoleh ke arah meja yang dimaksudkan. Mereka tersengih serentak. Lelaki hebat masih tetap tercalar egonya ya! Bisik mereka di dalam hati.
“Ah, biarlah! Kita hal kita!”
“Itu orang tua Pia ya, bos? Patut Pia cantik! Manis macam mak dia!” Firdaus yang nakal mula meneropong dari jauh.
“Wah! Mak I kata kalau nak cari isteri, cuba tengok bakal mak mentua dulu. Kalau cantik bergetah sampai ke tua, itu petanda baik you ambil anaknya buat isteri!” Andrian lelaki berketurunan peranakan teringat petua orang tuanya.
“Mengarut!” Sanggah Chairil. Hatinya radang entah mengapa.
“Teh pudina ni rasa pahitlah!” Rungut Chairil yang kemudian memesan teh halia pula. Pun tidak sampai separuh diteguknya.
“Hati tengah masam, semua diminum rasa tak sedap!” Sindir Firdaus.
“Jangan banyak cakap! Aku suruh kau bayar bil nanti!”
“Huhu.... jangan bos! Tengah sengkek ni!” Ketar lutut Firdaus tapi masih boleh tergelak nakal.
Firdaus bangun mahu mencuci tangan. Tanpa diduga berselisih dengan Sofeatulaishah. Dia tidak mampu mengelak. Wajah polos Sofea yang macam biasa berlilit dengan selendang panjang tanpa manis dengan warna biru firus. Skirt kembang labuh dari denim yang dipadankan dengan baju t lengan panjang warna putih menyerlahkan lagi raut wajah Sofea. Macam biasa, alis, kening dan mata gadis itu sering memberi pesona pada Chairil biarpun pada bibir dia melafazkan kata benci pada Sofea.
“Eh, Tuan Chairil di sini!”
“Hai!”
“Tuan dengan siapa?” Sofea tercari-cari. Demi ternampak saja kelibat rakan pejabat, melebar senyuman gadis itu dan terus melambai mesra.
“Pia dengan siapa?”
“Oh, dengan keluarga.”
“Ohh... ada abang angkat dalam keluarga. Kata dulu dua beradik aje?”
“Eh, mana ada! Yang muda itu bapa saudara saya!”
“Oh ya?” Chairil mengangkat kening penuh sinikal wajahnya.
“Selamat berhujung minggu tuan!” Sofea terus berlalu tanpa menoleh.
Sakit bagai tertusuk duri hati Chairil!
Perempuan... memang dasar perempuan sekarang pandai main wayang! Entah tunang engkau! Entah sesi orang tua engkau berkenalan dengan bakal suami engkau! Semua nak cover line! Semua tak nak mengaku! Dasar perempuan! Tadi si Syirah usung anak ikan, dikatanya adik sepupu! Engkau pun sama macam perempuan lain Pia! Dasar Pia Pemuk!
Malam itu Chairil pulang ke rumah dengan hati yang terus sebal. Tidak habis-habis dia mengutuk diri sendiri. Mencemuh perempuan yang dikenali selama ini. Oh, aku sering tertipu dengan ilusi mata! Aku sangkakan mawar wangi ada di syurga loka, rupanya engkau, Pia, sama saja macam bunga lalang yang lain!
Depan aku pijak semut tak mati, suara terketar-ketar, muka terpinga-pinga. Bagai suci dan polos, ah... dengan lelaki tu kau sama saja menggedik. Gelak engkau tampak macam perempuan lepas laku!
Matanya terus terbayang wajah girang Sofea. Bagai ternampak gelak ria Sofea petang tadi. Rasa benci menyerkup diri. Bahang sengketa hati terus membakar jiwa. Malam menjadi pengap. Bintang-bintang hilang entah ke mana. Langit terus berjelaga.
Chairil mencari lena barang sepicing. Namun tidak mampu pejam matanya. Menggelisah dalam jaga. Dia bangkit, berwuduk dan solat. Sujudnya panjang merayu cinta Ya Rabb. Zikrullahnya beralun tatkala jiwa mencari ketenangan yang hilang.
Bersambung

No comments:

ShareThis