Saturday, May 16, 2015

IZINKAN AKU JADI SAYAPMU - SIRI 14

IZINKAN AKU JADI SAYAPMU - SIRI 14 -


KLIK UNTUK LINK HARIAN METRO

Resah pilu mengundang rawan,
Bagai hidup tiada berkawan.


Tatkala bunga lalang bercambah di ladang rumah tangga, kasih sayang nan ikhlas bagai terkuis pada sempadan yang terasing. Shaza ada ketika sedar, dia hidup melakar peta penuh tembok penjara yang berceracak kerikil dalam hubungannya dengan keluarga Haris. Namun, rasa benci yang membara pada abang iparnya, Tuan Ramli sekeluarga memang tidak mampu ditepis.

Ah, hidup ini survival! Aku hidup bukan untuk menggembirakan orang lain! Untuk senang di dunia, hati kena kering! Pergi jahanam kalau ada yang kata aku selfish! Peduli apa kalau hati dan perasaan keluarga belah sana terluka. Yang penting duit gaji aku, aku punya suka nak buat apa. Cukup bulan, Haris hulur pada aku berapa yang aku mahu!
“Penat macam mana sekalipun, jangan sesekali makan di kedai. Masak untuk Haris. Yang penting masa cuci beras tu, jangan lupa baca apa yang patut! Seru nama dia. Biar hati dia tu lembut, ikut cakap Shaza.”

Macam biasa, macam selalu, Mak Yat tidak pernah jemu berpesan itu ini pada anak perempuannya. Shaza sendiri setiap kali ada peluang, pasti singgah balik ke rumah Mak Yat. Dapat berbual-bual, berkongsi kisah dengan ibunya, lega rasa jiwa.

“Haris tu kepala batu. Cakap dia saja yang betul. Salah sikit tahunya nak menengking saja!”
“Itu sebab Shaza kena masak sendiri. Biar apa yang jadi darah daging dia, air tangan Shaza saja. Kalau dah tak larat atau tak sempat sangat, goreng nasi ­dengan telur mata pun jadilah!”
“Mujarab ke?”
“Janganlah kosong masa masak tu! Sambil-sambil basuh beras tu, seru sikit nama dia. Tarik semangat dia! Hembus apa yang patut. Kalau dapat masa dia tidur tu, hembus pada ubun-ubun dia.”
“Kosong macam mana?”
“Nanti mak ajar.”
Terangkat kening Shaza mendengar ungkapan ibunya. Misi kena sukses! Haris tak boleh diberi muka berbaik-baik sangat dengan keluarga belahnya. Dosa? Peduli apa aku! Ada aku kisah! Alang-alang nak bersuami, biar pandai mencengkam. Alang-alang dah berkahwin, biar hidup senang lagi selesa dengan duit laki!
“Tak salah ke?”
“Kita nak suami berbaik-baik dengan keluarga kita. Nak senang sesama. Tak mahu dia meliar tempat lain. Yang penting niat kita. Esok lusa, yang senang kau orang juga. Biar mudah sikit Shaza nak berpakat dengan Haris.”
“Dia selalu lagi ziarah rumah abang dengan kakak ipar dia?”
“Dah jarang. Kalau datang pun asyik nak bertegang urat.”
“Hah! Baguslah tu... lama-lama esok, biar Haris sendiri rasa benci nak balik rumah saudara-mara dia.”
“Memang pun! Sebelum ni rimas Shaza. Sikit-sikit nak rujuk abang dia. Sikit-sikit nak minta pendapat saudara-mara. Ni bila dah renggang, baru rasa aman sikit hidup!”
“Jadi ke dia adik-beradik nak jual rumah
pusaka emak abah dia orang tu?”
“Entahlah. Payah tu sebab abang dia tak setuju.”
“Orang tua dah tak ada, nak simpan buat apa.”
“Nantilah... Shaza rasa kalau payah sangat, biar Shaza jumpa dengan abang dia.”
“Kalau menghadap orang macam tu, ingat pesan mak. Biar berisi sikit, jangan jumpa tak bersedia apa-apa. Shaza kahwin dengan Haris pun macam main terjah. Tak kenal hati budi dia, tak tahu saudara-mara dia macam mana. Dah jumpa jodoh ikut Internet. Bila dah macam ni, Shaza sendiri kena bersiap sedia apa yang patut.”
“Boleh, takat ni boleh diurus lagi.”
“Bukan apa, kalau apa-apa jadi, Shaza tu perempuan. Kalau rasa dah boleh ikat dia, baru boleh tarik nafas lega sikit.”
“Err...” Shaza teragak-agak.
“Jangan teragak-agak. Niat kita bukan nak aniaya dia. Ikut pesan mak ni!” Mak Yat bersungguh-sung­guh mengingatkan. Itu sahaja anak harapannya. Yang lain semua sudah bawa diri bila berumahtangga. Shaza saja yang masih taat menghulurkan duit belanja setiap bulan.
“Mak jangan risau. Nanti Shaza tahulah nak buat macam mana! Abang dia tu Shaza ingat, biar Shaza yang jumpa. Cakap terang-terang. Biar faham. Kadang-kadang abang Haris tu senang nak dikira, yang leceh liat ni anak buah Haris.” Lancar sahaja Shaza me­ngadu.
“Anak buah yang mana?” Mak Yat cuba mengingat wajah keluarga Haris.
“Chairil tu! Mulut dia tu, tak padan mulut lelaki. Macam puaka!”
“Tak pedulilah yang lain tu. Yang penting Haris ikut cakap kau!”
Shaza terus mengang­guk-angguk. Dalam fikirannya sudah bercabang-cabang perancangan. Bersimpang-siur akalnya memikirkan langkah seterusnya. Petang itu selepas puas berbual dengan ibunya, Shaza terus pulang ke rumah. Senyumannya kian sumbing. Kaki bukit di hujung jalan sudah kelam ditindih bayang senja. Angin kering yang bertiup tidak terasa garingnya. Angan-angan hitamnya lebih pijar lagi bersilang di dalam hati.
****
Pagi itu Chairil masuk ke pejabat dengan hati yang merusuh. Angin berkisar di luar bagai membawa udara panas. Dari biliknya, dia asyik mengintai ke luar. Tidak tenteram dia hendak menyempurnakan kerja. Mata kerap menghala ke arah meja di sebelah kiri biliknya. Meja itu kosong. Masih tidak kelihatan kelibat yang dinanti. Tidak mampu dia menyaring wajah resah dengan hati yang terpengap.
“Mana Pia Pemuk? Air aku mana?” Suara Chairil agak meninggi. Mereka yang lain di situ sudah mula menoleh.
“Bos, Pia telefon, dia lewat sikit.” Balas Nisa tenang.
“Dekat sini siapa bos ya? Dia tak tahu telefon aku ke?” Suara itu bagai ada
voltan elektrik yang sangat tinggi.
Nisa, pembantu yang setia terpinga-pinga lalu terus mendiamkan diri. Me­nyambung kerja di komputer, pura-pura tidak terasa hati dengan Chairil.
“Baru kerja bukan main lagi! Sebelum subuh boleh datang. Bila dah sebulan kerja, mulalah tanduk keluar! Dah pandai nak mengular!” Jerkah Chairil sebaik sahaja wajah Sofea terjengul di muka pintunya.
“Saya lewat sebab dalam perjalanan kereta mati enjin.”
“Itu bukan masalah aku!”
“Saya minta maaf.” Lirih suara itu.
“Kau tahu pagi ni patut­nya kau dengan aku pergi ke site?”
Sofea diam memandang lantai.
“Pantang aku kalau aku bercakap, orang depan aku macam tunggul!”
“Saya tak sengaja.” Ya Allah! Sabarkan aku! Rasa mahu gugur sebenarnya jantung ke tumit kaki. Suara lelaki itu seperti guruh yang bergema-gema bunyinya pada pendengaran Sofea.
“Apa masalah kau, tak boleh telefon aku?” Tajam mata Chairil merenung Sofea. Bukan niat mahu menelan, tapi itulah peluang dia menjamah raut wajah yang manis itu. Apatah lagi Sofea sudah terkaku dan tertunduk.
“Err... telefon saya habis bateri. Saya pinjam telefon budak bengkel. Saya tak hafal nombor telefon Tuan Chairil. Yang saya ­ingat nombor telefon Nisa saja tadi.” Jujur polos penera­ngan Sofea. Biar suara itu sedikit ketar, gadis itu tetap berkata benar.
Sayangnya, bertambah menyirap dan menggelegak darah Chairil mendengar kata-kata Sofea yang tulus itu.
“Aku bos ke Nisa bos kau? Bapak aku bagi gaji kau ke, Nisa bagi gaji kau?” Suara itu memang cukup membuat Sofea tersentak-sentak.
“Saya minta maaf tuan. Saya tahu saya silap.”
“Kalau dah tahu kereta tu asyik semput, kenapa
pakai juga kereta antik kau tu? Dapat gaji buat apa?
Tak reti nak beli kereta baru?”
Sofea diam tidak berbu­nyi. Hanya dadanya sedikit berombak menahan sabar.
“Rumah jauh, kereta ada masalah, takkan itu pun tak boleh fikir. Bila rasa diri tu dah berat, dah banyak lemak, tak boleh nak bangun keluar rumah sebelum subuh, carilah rumah sewa yang dekat sikit dengan pejabat. Buat apa tinggal berkepit bawah ketiak mak bapak! Rumah dahlah jauh di hujung tanjung!”
Bagai dilibas dengan cemeti, umpama dikisar ­dengan tujuh mata pedang. Pedih terluka hati Sofea tapi tetap ditabahkan hati. Wajahnya tenang dan dia masih menjaga tertib. Ikutkan hati yang dimalukan, mahu saja dia bertempik di situ.
“Dah! Pergi.... aku tak mahu pandang muka kau! Dasar Pia Pemuk! Badan pendek gemuk! Serba serbi lembab!”
Chairil tahu dia agak keras dan keterlaluan pada Sofea. Tapi entah mengapa, puas hatinya tidak terucap dapat menyembur Sofea begitu. Terasa berbayar dendam yang berkesumat di hati. Masih terbayang-bayang wajah Sofea di restoran mewah bersama keluarga­nya dan paling tidak dapat dibuang, wajah lelaki muda yang di sisi Sofea.
Aku benci kau Pia Pemuk! Aku benci kau bila kau dengan lelaki itu! Ada galau di hati Chairil yang tidak berkesudahan.
Dari bilik­nya juga, ­sesekali dia me­ngerling ke arah
Sofea. Gadis itu tampak
tenang-tenang saja. Bagai tiada apa-apa yang
berlaku.
Jiwa Chairil tidak semena-mena digigit rasa bersalah. Wajah itu jernih ­tunduk menghadap komputer. Sesekali tertangkap pada mata Chairil, lengkung ­bibir Sofea macam biasa kekal manis apabila tersenyum di hadapan teman-teman yang lain. Dada Chairil menakung rasa berdosa.
Ah, peduli apa! Sesekali harus dibambu! Biar sedar diri sikit! Perempuan jangan diberi muka! Bisik hatinya sendirian. Dia memandang jam. Dia sudah terlewat setengah jam untuk ke site di Pandan Indah. Ajak Pia Pemuk atau tak payah! Hatinya berkira-kira! Ah, apa hal aku nak beralah pula! Apa kes aku nak kena tegur dia dulu! Tak ada Pia Pemuk, Effa ayam daging tu pun ada! Paling tidak ajak saja Firdaus atau Andrian! Putus Chairil sendirian.
Di satu sudut pejabat, berdekah-dekah gelak Firdaus dengan beberapa rakan lelaki yang lain. Masing-masing sibuk dengan telefon canggih di tangan.
“Tolonglah! Kalau takat masak nasi goreng kosong yang sedih kuat ni, dengan telur mata, tak payahlah nak tayang dekat Insta. Lepas tu pukul canang, hari ni I masak untuk hubs tersayang nasi goreng dengan telur. Banyak kau punya sayang!”
“Tak baiklah ngutuk. Tu usaha dia. Penat wei nak panaskan minyak, nak goreng telur tu! Berpanas tepi dapur, menitik peluh!”
“Patutlah bos kita tu CR, antisosial. Sampai tak selera nak cari bini. Dapat bini jenis macam ni, memang aku pun pitam sama!”
“Woot! Panjang umur bos!”
Sebaik sahaja namanya disebut, bagai diseru-seru, Chairil melintasi di hadapan mereka.
“Apa yang seronok sangat ni?”
“Errr tak ada apa.”
“Isu domestik saja pun! Perangai perempuan-perempuan yang suka menayang lauk dia orang masak dekat Insta.”
“Biasalah perempuan. Masak setakat kari cair, goreng ikan rentung, masak sayur lecur, heboh macam calon isteri mithali sangat!” Suara Chairil terus mening­gi. Entah kenapa cukup pantang dia kalau
menyebut isu obses pada Instagram, Facebook atau Twitter.
“Itu kira okay lagi, bos. Yang takat hari-hari hidang telur mata pada laki, itu lagi syahdu!” Firdaus bagai menyimbah api pada Chairil.
“Ni memang penyakit orang perempuan! Kalau seminggu sampai empat kali tunjuk siaran langsung dari dapur, dengan
telur mata kuyu tu, sedih kuatlah! Lepas tu heboh
beli beg ­tangan cap itu cap ini! Makan ikat perut, tak ada zat. Beg ­tangan heboh sedunia nak yang taste ­designer. Tu belum cerita­ ­tudung, belum bab baju. ­Sebab tak ada zat, layan laki tak larat, esok lusa kalau laki tinggalkan, meraung tak sudah, kata laki
jahat! Pathetic! Sakit perempuan yang perangai macam ni!”
“Huh! Pedih ayat bos!”
“Realiti bukan?”
Andrian mengenyit mata, Firdaus sudah angkat kening. Ganesan senyum ­senget. Bos muda yang se­orang ini macam bawa fahaman male chauvinist. Kalau ada perarakan, rasa­nya Chairil Razlan akan pikul sepanduk yang paling besar!
“Tak payah nak senyum sangat! Andrian, ikut aku ke site!”
“Eh, bukan minggu ni patutnya Pia yang temankan bos?”
“Perempuan lembab macam siput sedut tu, leceh!”
Menggeleng yang lain mendengar. Andrian tanpa membantah pantas ke tempatnya mencapai fail yang perlu sebelum mengekori Chairil.
Biar mereka agak berjarak, namun Sofea dapat menangkap dari kedudukan. Kelompok lelaki itu sedang galak mengumpatnya. Sukalah hati engkau, Chairil! Kau memang lelaki angkuh! Bangga bila dapat mengaibkan aku!
“Minggu ni patutnya giliran Pia ke site, bukan?” Nisa bertanya perlahan sewaktu menghulurkan satu dokumen pada gadis itu.
“Emm... bos kata tadi tak payah. Dia marah saya kot.” Suara Sofea agak bergetar. Dia cuba untuk kuat sebenarnya.
“Tak apalah. Tuan Chairil ni selalu macam tu! Susah nak jangka mood dia. Kejap okay, kejap tak okay. Kalah kita yang kadang-kadang datang bulan.”
“Tak apa, Nisa. Saya tahu dia benci saya.”
“Hish, taklah! Memang Tuan Chairil ni baran. ­Kalau angin ribut dia datang, diam-diam sudah.
Berbahaya untuk bot-bot kecil, orang-orang comel macam kita ni. Kena angin lintang dia, rebah menangis kita semua.”
“Nisa pun pernah kena macam saya ke?” Bulat mata Sofea memandang Nisa. Mereka berbual agak berbisik-bisik di tepi meja. Bimbang kalau Effa yang berjiran tidak jauh dari situ terdengar. Sofea tahu, sewaktu Chairil menengkingnya tadi, Effa sudah tersenyum sampai ke telinga.
“Biasalah! Tuan Chairil.... siapa tak kenal! Sebab tu orang panggil dia Chairil CR aka Cougar. Kalau masa dia nak mengaum macam harimau tu, Tuan Ramli abah dia pun, dia tak peduli.”
“Tuan Ramli?”
“Tuan Ramli, abah Chairil tu alhamdulillah! Tuan Chairil ni kan rajin ­memancing di laut dalam, rasa tersampuk badi ribut laut kot! Itu yang asyik ­bergelora jiwa bos kita ni!” Nisa berlucu. Sofea tergelak kecil. Biar hati masih terluka tapi dia tetap terse­nyum mendengar kata-kata Nisa itu.
Masih terngiang-ngiang jerkahan Chairil mengapung ke segenap jiwa Sofea. Diri rasa terpancung, jantung terhenti berdetak. Tuhan sahaja yang tahu betapa luruhnya perasaan. Diri terasa terlontar keras di daerah asing di pejabat itu. Sabarlah hati! Sabarlah Pia! Kau mentimun. Pia memujuk hati sendiri. Dia tahu Effa mencuri pandang ke arahnya. Ada senyum sinis lagi berbisa yang menjalar di wajah perempuan itu. Sofea terus memujuk hati, kembali tekun menyudahkan kerja.
Suasana sunyi menguasai ruang pejabat. Waktu makan tengah hari, masing-masing membawa haluan sendiri. Nisa masih di tempatnya sebelum dia disapa seorang perempuan yang memang sangat dikenali oleh Firdaus.
“Tuan Ramli ada?”
“Tuan Ramli tak ada. Dia ada meeting di luar.”
“Tuan Chairil?”
“Pun tak ada....”
“Ohh...”
“Cari siapa? Chairil? Eh, you ni adik ipar Tuan Ramli bukan? Adik Tuan Ramli punya isteri. Betulkan?”
Bercahaya wajah Shaza apabila disapa begitu oleh Effa. Huh! Ada juga orang kenal!
“Ada apa nak cari bos kami?”
“Ada hal personal. Hal famili.”
“Oh ya? Ada yang I boleh tolong?”
Pantas Effa masuk jarum. Terasa diri bagai diva yang dibentang permaidani merah. Shaza tidak menolak bila Effa mengajaknya bersembang di lobi. Jaga kau Chairil! Kalau kau rasa kau mulut longkang! Mulut aku lagi hancing dari engkau! Alang-alang kau kata aku menghasut pak saudara kau, mari sini... aku ajar kalian cukup-cukup! Pandai-pandailah kau tutup aib kau bila aku tabur cerita di Menara Rumah Manis ni! Menara Rumah Manis aku lingkupkan jadi Menara Rumah Busuk!
Semakin Effa asyik mendengar cerita dan gosip Shaza, semakin galak perempuan itu mengarang cerita. Sepenuh jiwa raga dia bercerita, tangan sekejap-sekejap terangkat-angkat dengan ekspresi wajah. Effa terbuntang-buntang mata­nya mendengar cerita yang disifatkannya cerita dalam kain, cerita celah kelang­kang keluarga Chairil!
“Eh, itu mak saudara muda Chairil, bukan?” Firdaus berbisik pada Nisa. Dia memerhati dari jauh ­dengan penuh rasa cuak dan ­jengkel.
“Ahaa... cari Tuan Chairil dengan Tuan Ramli.”
“Huh! Habislah! Entah apa betina tu karang cerita. Kuat propa perempuan tu! Sesuailah tu! Jual koyok, jual air liur pada makcik kaki gosip tu!” Menggeleng Firdaus apabila melihat Effa di situ penuh khusyuk melayan.
“Pia, jom makan.”
“Tak apalah.”
“Jomlah Pia.”
“Saya kenyang.”
“Allah... takkan kena marah dengan bos, kenyang satu hari.”
“Tak apa. Saya okay.”
“Jangan ambil hati Pia.”
“Saya tahu, Tuan Chairil bencikan saya.”
“Eh, siapa cakap macam tu.”
“Saya boleh rasa.”
“Pia dah rasa hati Chairil?”
“Eh... bukan macam tu!”
“Habis tu?”
“Saya tahu dia memang tak suka saya.”
“Dia suka. Kalau dia tak suka Pia, dia tak peduli. Ni dia terlebih suka!”
“Pandai-pandai saja, Encik Firdaus!”
“Eh, dia sendiri cakap dengan saya. Ehhh.... alamak! Jangan cakap bos ya!”
Pipi Sofea merona merah. Tidak tahu mana mahu ­disorokkan muka. Nisa pula ada di hadapannya. Segenap ruang bagai tersihir. ­Sulur-sulur resah dan malu terpancar di wajah Sofea. Dia suka aku? Dia beritahu Firdaus? Gemuruh dada Sofea terbias pada beningnya sepasang mata milik gadis itu.
Bersambung
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/45335#sthash.3SiDKmgv.7sBu0my0.dpuf

No comments:

ShareThis