Friday, July 28, 2017

LELAKI LINGKUNGAN CINTA - PART 1 - WATTPAD

https://www.wattpad.com/myworks/117599520/write/447355836


"Adib bangunlah! Dah nak maghrib ni! Tak mahu balik kampus ke?"
Suara Dayana dari dapur sudah memetir.
"Woi! Bangun! Berapa kali nak jerit ni!" Hati Dayana semakin panas.
"Payah jerit-jerit. Simbah aje air segelas." Abang Azmie yang sudah siap berkain pelekat dan berbaju Melayu menyampuk.
"Huh! Lepas tu saya yang serabut nak kena usung tilam, jemur tilam!"
Dayana memang tak cukup gemar melihat suaminya muncul dari dapur dengan membawa botol air dan cawan ke arah Adib yang sedang tidur.
Meloncat terus Adib dari katil apabila disimbah air oleh abang iparnya.
"Payah sangat nak kejut. Tak kuasa aku nak terjerit-jerit. Siram aje terus!"
"Kau ni nak balik ke tak?" Dayana sudah siap berkemas untuk Adib sejak petang tadi.
"Balik."
"Ni dah pukul berapa?"
"Alah, balik sebelum pukul sepuluh."
"Itu... akak dah siapkan barang-barang kau." Mata Dayana menghala ke arah satu sudut rumah. Adib yang tadinya terpisat-pisat terus terbuntang mata memandang barang yang rapi bersusun.
"Apa tu kak?"
"Barang-baranglah. Adib kata duduk rumah sewakan?"
"Aha."
"Dah dapat kunci kan?"
"Dah."
"Hah, ni semua barang untuk rumah sewa tu lah."
"Hah??"
Terlunga Adib memandang. Matanya berkerut dan kemudian menggeleng.
"Apa ni kak? Macam nak pindah satu rumah aje."
"Hahaha, nasib kaulah Adib! Abang dah cakap... Kak Yana kau degil." Azmie sudah tergelak-gelak apabila melihat mata Adib melekat dan terpaku pada satu sudut.
Ada dua biji bantal, ada karpet kecil, ada baldi, ada penyidai baju, ada beg berisi cadar, selimut, pinggan mangkuk sudu dan garfu serba satu termasuk cawan beralas dan gelas.
"Kak Yana!! Apa ni??"
"Apa ni apa?"
"Barang tu! Siapa nak bawa."
"Adib bawalah ke rumah sewa."
"Tak mahulah! Tu macam nak berhijrah terus aje."
"Huh! Suka hati kaulah! Akak dah kemaskan, kau tak mahu bawa, kau punya fasal!" Dayana sudah mula berleter panjang. Malas mahu menahan pedih telinga, Adib terus bingkas mandi dan bersolat. Makannya juga laju. Bak kata Dayana, "Kunyah patah dua aje nasi tu dah ditelan!" Kemudian segera dia bersiap untuk kembali ke sarang.
Pada tubuh yang kurus itu, tergantung satu beg selempang. Tiga helai baju sangkut aje pada hanger. Beres! Tak berkelip Dayana memandang adik lelakinya itu. Ni macam nak tidur dua hari dua malam aje gaya dia balik asrama. Paling sakit mata Dayana memandang seluar yang dipakainya. Sumpah macam terlondeh aje rupanya.
"Boleh tak pakai seluar tu senonoh sikit!" Jeling Dayana.
"Fesyen tu..." Azmie sengaja menyakat isterinya.
"Ni fesyen nak tunjuk pakai spender cap apa ya!" Jerkah Dayana namun Adib tetap selamba.
"Kata duduk rumah sewa, sabun mandi, sabun pencuci, ubat gigi dengan baldi, takkan tak bawak langsung?"
Adib terhenti membelek rambutnya di cermin dan menoleh ke arah Dayana, "Sepanjang kat asrama kita tak pernah bawak pun pencuci baju akak bagi! Buat berat aje! Tinggal jelah ya."
Mata Dayana semakin mencerlung tajam.
Mulut mulai laju membebel. "Hahaha Adib pakai orang punya? Tahu tak halal haram? Nanti belajar macam mana nak pandai! Entah orang halal kan ke, entah tak halal!"
"Budak lelaki sempoilah kak! Barang kat bilik mandi, kat dapur tu semua maknanya barang wakaf!"
"Huh! Kedekut tak kena tempat!"
"Kak Yana mana tahu ni semua. Akak masuk UM duduk kat Kolej Kinabalu tu kejap aje. Tu pun takat minggu orientasi. Lepas tu akak duduk luar. Kemudian jadi bini orang. Abang Mie tanggung semua. Mana akak tahu duduk asrama macam mana!"
Berdekah-dekah Azmie mendengar mulut laser Adib yang memang tak mahu beralah kalau bercakap dengan Dayana.
"Haha! Give me five Abang Mie!" Dua lelaki itu bukan main bertepuk tangan.
"Haish! Adib memang nak kena cili!"
Gerbang keluar masuk kawasan perumahan yang rata-rata diduduki pelajar kampus itu menjadi sesak. Kereta yang memakir menjadi berlapis-lapis barisannya. Semua mengambil masa untuk menurunkan barang.
Ada yang mengangkut baldi, ada yang berusung tempat sidai baju, ada yang memikul gulungan tikar atau permaidani. Adib saja yang berlenggang kangkung.
Sewaktu di lobi Sri Harmonis, matanya terlekat pada kelibat seseorang yang sedang terkial-kial mengheret beg beroda.
"Holaaa... jodoh!" Pantas langkahnya menghampiri Esya yang tidak menyedari dirinya diperhatikan. Adib tersengih-sengih menyapa gadis itu.
"Mehlah, saya tolong." Adib tanpa memberi salam terus mencapai beg dari tangan Esya.
"Eh, awak!"
"Beratnya! Awak bawak batu ke apa ni?" Adib sendiri terhegeh-hegeh mahu tolong menarik beg yang berwarna merah jambu itu. Payah benar mahu diseret.
"Lorr... roda terkucil sebelah! Awak ni ganaslah, Esya." Adib mencangkung sambil membelek beg yang hampir tercabut roda sebelah kanan.
Di dalam lif Esya terasa serba canggung. Pendingin hawa macam tak terasa. Berpeluh-peluh Esya yang berdiri di belakang Adib.
"Awak tingkat berapa?" Tanya Adib yang mahu menekan butang lif.
"Sembilan."
"Hah? Sembilan jugak?"
"Adib unit mana. 9-3-5"
"Oh, saya 9-3-7!"
Damn! Kenapa dia dekat dengan aku! Ya Allah! Bencinya! Terasa berdengung kepala apabila tertahu Adib bakal berjiran dengannya. Terus Esya hilang semangat. Bibir terkunci rapat sampailah lif terbuka. Tidak berminat mahu bersembang.
Tersengih-sengih Adib bersorak girang di dalam hati! Hahaha jodoh wei! Jodoh tu!
"Boleh bawak?" Tanya Adib apabila melihat Esya terkial-kial menjinjing baldi, beg kecil dan besi ampaian baju.
"Boleh." Balas Esya dengan muka yang tidak dapat disorokkan riaknya. Meluat! Sungguh dia jadi meluat tidak semena-mena.
"Esya, nak tanya sikit boleh?"
"Apa dia?"
"Kenapa awak macam nak pindah macam angkut barang satu lori ya?"
"Ikut suka kitalah!"
"Kita tanya jer." Adib dengan muka manis mengekori Esya dari belakang.
"Jangan jaga tepi kain orang. Jaga tepi kain sendiri! Dah letak sini barang saya tu. Lain kali jangan busybody hal saya."
Perlahan-lahan Adib meletakkan beg Esya yang ditariknya itu dekat muka pintu sementara Esya seperti terkorek-korek beg galasnya mencari kunci.
"Esya, saya tak jaga tepi kain orang... saya nak jaga hati awak jer!" Adib sempat berbisik sewaktu menghampiri Esya.
"Hei, jangan loratlah! Pergi cari jalan pulang cepat!" Esya terkejut dan hampir mengundur ke belakang. Haish, mamat ni belum apa-apa cari fasal dengan aku di sini! Rengus Esya di dalam hati.
"Tu.. dekat aje! Hari-hari awak sidai kain, saya jaga tepi kain awak, tepi tudung awak ya!" Adib mengenyit mata nakal sambil jari telunjuknya menghala ke arah nombor pintu rumah yang bertentangan dengan pintu rumah Esya.
Terbeliak mata Esya memandang ke arah nombor itu. Allah! Bencana dan musibah apa pula yang bakal menanti? Kenapalah mamat ni berjiran dengan aku! Bencinya! Sakit hatinya memandang kelibat jejaka yang kurus tinggi itu melangkah masuk ke rumahnya.
"Bye Esya! Chak!" Adib melambai-lambai sebelum menarik jeriji dan menutup pintu.
Selumbar renungan Esya pada Adib. Hatinya semakin bengkak menakung rasa benci yang meluap.

No comments:

ShareThis