Thursday, November 16, 2017

NOVEL BARU - PART 5 - SHARE SIKIT


Esoknya, macam biasa; selepas zohor kami sudah membuka gerai. Biarpun ini cuma kerja sementara, lepaslah untuk aku cari duit buat beli top-up. Selagi Abang Mail belum daftar semester baru, selagi itulah aku membantunya.

“Edan, kau kenal ya budak perempuan tu?”
“Budak yang mana?”
“Alah yang nama dia pelik tu….”
“Yang mana satu ni?” Sungguh aku kabur.
“Yang semalam tu!”
Abang Mail tersengih bila aku menyebut, “Oh si Cahya!”
“Apa nama penuh dia?”
“Cahya Kartika.”
“Klasik betul nama dia. Macam nama lagu siaran radio klasik nasional!”
“Ke dia lahir waktu Deepavali! Pesta Cahaya.”
“Bongeklah kau!” 

“Jangan beranganlah Abang Mail. Dia datang beli putu piring tu pun kebetulan aje kot dia lalu sini.” Dan tiba-tiba aku hujung mata aku tertangkap wajah Abang Mail tersenyum-senyum sendiri sambil menghidup api kuali. Dia bagai berbisik, “Cahya Kartika. Adik Cahya,” tapi aku masih mampu mendengarnya. Aku sedikit meninggi suara. Lain benar bunyi suara Abang Mail.

“Hah! Dah kenapa ni? Seru-seru nama minah tu? Abang Mail jangan nak bukan-bukan ya!”
Abang Mail tertawa terbahak-bahak. Cuping telinga aku rasa macam tersagat dengan kertas pasir mendengar dekah Abang Mail. Malas mahu melayan, aku terus menyusun putu piring yang sudah masak dan masih panas berasap ke dalam bekas. Dibubuh satu bekas lima keping dan disimpan kemas di dalam tarmos besar.

“MasyaAllah! Edan… Muka 50, dada 40, pinggang 50, punggung 40, manis seksi 18! Jumlah besar 198 per 100 bro! 198/100!. Perghh Makhluk ciptaan Tuhan paling seksi ni!”

. Apa Abang Mail merepek ni! Mata aku masih menunduk, tangan pantas susun putu piring. Abang Mail berbisik lagi, “Edan, dia datanglah!”

“Hah?” Tangan Abang Mail mencepuk kepala aku. Halkum aku tersekat.

Aku memandang ke depan. Sungguhlah! Itu kelibat Cahya. Dia keluar dari kereta. Tak fasal-fasal aku tumpang terpegun. Betullah! Semalam tengok cantik. Hari ni nampak lagi cantik!
“Edan, budak ni dia tak makan nasi kot! Dia makan api, dia makan mentol, dia makan lampulah abang rasa! Muka dia tu! Nampak bersinar-sinar!”

Abang Mail terus berbisik. Kami terus terlopong memandang. Semua benda terasa pegun seketika.
Dia menuju ke arah kami. Sumpah aku rasa gelabah. Dia senyum dari jauh. Aduhai, macam ada cahaya pelangi pulak aku rasa menyimbah dari langit ke gerai kami ini. Gerai yang kami bina dengan tenaga jantan dari kayu dan zink terpakai ni tiba-tiba terasa mengerlip-ngerlip. Macam ada lampu lip lap yang selalu orang bubuh dekat lampu krismas tu. Terasa aura budak cantik ni memang penuh kilau cahaya lah! Sesuai nama dia Cahya.

Bahang api dari periuk kukus aku pun tak terasa. Tiba-tiba rasa nyaman aje! Betul! Aku tak tipu! Itu yang aku rasa!

“Hai! Adik nak apa? Nak goreng pisang abang? Nak karipap?”
Ramah sungguh Abang Mail biar aku rasa skrip dia sedikit klisye.
“Putu piring nak lima kotak.”
“Okay, biar abang ambikkan.”

Rajin pulak Abang Mail dan aku tak fasal-fasal rasa macam tunggul mati dekat situ. Mata aku tajam mengamati tangan Abang Mail. Eh, orang nak lima kotak, apa hal dia bubuh enam.

Cahya hulur duit. Pantas tangan Abang Mail menyambut. Sungguh rasa tujal kepala Abang Mail. Selalu membebel kalau aku tercegat. Ini dia gila kuasa pulak!
“Eh, saya nak lima aje, kenapa ada enam ni? Lebih satu kotak ni.”
“Abang dah niat nak bagi adik. Sedekah dari abang tu. Seronok sangat bila pelanggan ulang beli kuih kami.”

Memang terlopong aku mendengar. Cewah bukan main lagi Abang Mail. Sedekah jariah ya! Hello, kuih putu piring tu modalnya dari kocek aku! Apa hal kau pulak bersedekah!
Tapi aku kawal mulut dan ketap bibir rapat-rapat.

“Terima kasih ya abang…”
“Abang Mail! Panggil Abang Mail aje… ni adik siapa nama?” Pirahlah mabuk! Buat-buat tanya pulak! Aku rasa kembang muka aku menahan panas hati.
“Saya Cahya Kartika.”
“Cantik nama! Macam orangnya!”

Aku lihat Cahya menelan senyumnya semula. Hah! Padan muka Abang Mail! Ingat minah ni spesies anak ayam yang main redah patuk dedak apa!

Sebaik sahaja kelibat Cahya hilang di dalam kereta dan berlalu pergi, macam lahar gunung berapi aku bebelkan Abang Mail.

“Amboi, Abang Mail! Kemain ya?” Mamat itu terseringai sambil tunjuk peace dan terus mencelup pisang yang dah siap dipotong ke dalam bancuhan tepung.

“Kalau saya cakap pada pelanggan, keep the change takat lima sen, takat 10 sen, seminggu abang mengungkit. Rugilah! Berniaga jangan lembut hatilah! Nak sedekah biar kat anak yatim. Habis tu tadi satu bekas putu piring bagi kat minah tu apa kes?” 

Memang aku tak puas hati sungguh! Selamba aje Abang Mail pandai-pandai bagi percuma pada minah tu. 

“Abang bayar balik kat saya! Rugi saya hari ni tau empat hinggit!”
“Aku bayarlah! Aku bayar kat kau nanti!” Balas Abang Mail sambil menyeluk kocek dan menghulurkan empat ringgit kepadaku, sebelum merungut kata aku kedekut.

Pantas aku membidas, “Abang yang pesan berniaga bukan amal jariah.”
“Aku bukan buat amal jariah! Ni pelaburan masa depan.”
“Alah, abang buat baik dengan budak Cahya tu dapat apa pun! Student lagi!”

“Dia ni mesti hot cakes dekat kampus kan. Badan bergetah! Macam madu kelulut tahapnya. Mahal! Kau tu lelaki. Takat freshie macam kau, tak laku lagi! Tak ada hasil. Dada pun tak bidang lagi. Lainlah perempuan macam Cahya… kau tengok badan dia, mekar gitu! Perghh!”

Astagfirullah! Aku terasa mahu muntah di dalam kuali minyak panas Abang Mail.

“Eh, kejap.. kau kata dia student. Makna kau tahu dia studi dekat mana? Satu kampus dengan engkau ke, Edan.”
“Taklah! Dia tu anak orang have-have. Dia belajar pun pakai duit sendiri. Bukan pakai PTPTN macam kita. Nun dekat Nottingham tu.” Cerita aku sambil menoleh ke arah Abang Mail dan kemudian terjerit, “Api kuali kuat tu! Hangus goreng pisang.”


“Oh, dia studi pakai duit sendiri.”
“Anak orang kaya, Abang Mail.”
“Kau ni, cuba semangat sikit! Sekarang bukan macam cerita drama tv waktu maghrib tu. Orang kaya kahwin orang kaya, orang biasa kekal merempat. Tak cuba tak tahu! Mamat biasa nama Ismail ni penuh wawasan okay! Mahasiswa perubatan.”


Tambah bernanah telinga aku mendengar ayat Abang Mail. Ringan aje mulut aku nak menjawab. Peduli apa kalau dia sentap.

“Huh! Itu kalau tak sangkut belajar! Kalau tak mengulang tahun… asyik berangan macam ni… pesakit yang jumpa Abang Mail boleh mati kejung dekat katil hospital tau.” 


“Hei, mulut kau jangan cabul ya! Kau tu tak tahu nasib lagi.”
“Yalah! Yalah… abang tu budak pandai. Budak medic. Saya ni budak mass com aje! Saya ni tahu bersilat aje, kenal pakcik masjid aje.”
“Hah, tambah lagi satu… kau tu pun gila breakdance! Terkinja-kinja rekod syok sendiri bubuh kat youtube! Kau ingat aku tak tahu! Jangan nak bajet alim pulak ya!”


“Hish, abang jangan cakap kat mak pasal youtube tu! Mati saya kena cincang dengan mak abah.”
Gilalah! Memang berderau darah aku. Hei, macam mana mamat ni tahu aku ada buat kerja bodoh tu!
“Hah! Boleh! Boleh aku tutup mulut. Tapi kau tolong aku.”


Lain macam benar bunyi suara Abang Mail. Sambil dia membalik-balikkan goreng pisangnya, dia terseringai sendiri. Aku memandang penuh cuak. Terhenti kejap nak kukus putu piring batch kelima.

“Kau tolong aku buat puisi cantik-cantik.”
“Puisi?”
“Kau kan pandai bab-bab jiwang ni.”
“Mana reti.”
“Jangan nak acah-acah merendah diri pulak!”
“Buat apa?”

“Kalau Cahya beli kuih esok, abang nak masukkan puisi dalam beg plastik kuih.”

“Erkkk…” Beli putu piring dapat free gift kad sajak? Tak relevan sungguh! Kunolah cara tu!”
“Nak tak nak? Kalau tak aku tunjuk mak kau, video kau dalam youtube yang kau terkinja-kinja macam anak beruk tu! Sure mak abah kau malu. Depan orang tua, kemain kau tunjuk muka suci, ala-alah bersih jernih air muka berwuduk. Siap jadi tukang azan dekat masjid, dekat surau… haha belakang orang tua, kau berangan nak jadi retiskan!”

“Kejap… kejap! Abang ni dah kenapa?”
“Dah kenapa apa pulak?”

“Bukan dulu abang selalu menganjing saya ke? Kerja-kerja tulis sajak, tulis cerpen ni kerja berangan! Buang masa. Sejak bila sajak ni penting dalam hidup abang? Abang kan budak sains!”
“Kau jangan banyak bunyilah!”
“Saya tanya aje!”

“Kau nak aku tunjukkan tak youtube tu pada mak kau? Kalau dia tengok, mesti kau kena beduk dengan tempat kukus putu piring tu.” 

“Janganlah!”
“Kalau tak mahu aku jumpa Mak Cik Syimah, baik kau buat! Hah, sia-sia kau kena talkin dengan mak kau!”

Hadoii! Terasa mahu terjun dan berenang dalam kuali panas tu! Kejam benar bunyi ugutan Abang Mail!

Ya aku tak ada pilihan.

No comments:

ShareThis