Sunday, July 19, 2020

Lily Haslina Nasir







Hahahahaa tq tq tq Adib Imran

Yang tetiba gigih buatkan video ni

Barulah rasa berbaloikan belajar IT



Macam hazab sebetulnya dia nak siapkan video ni

Buat 10 minit, dia berhenti tidur dua jam!

Kemudian sambung lagi entah 15 minit

Tidur lagi empat jam!



Nak marah tak boleh

Sebab dia punya kelas online pun

Dia masuk kelas dalam keadaan berkelubung dalam selimut!

Rasa nak sabotaj aje, send gambar tu ke pensyarah dia!




Wednesday, May 20, 2020

CINTA HILANG KATA - 2

MENULIS CINTA HILANG KATA, memberi cabaran dan keseronokan yang luar biasa pada saya. Mungkin sebab terbit sendiri. Saya tulis ikut sesedap rasa saya aje. Dalam CINTA HILANG KATA, watak putih, bukan seorang. Demikian dengan watak antagonisnya yang lagi mudah disebut watak hitam, tidak hanya seorang dalam CINTA HILANG KATA. Watak Amirul dan Jah Gayah antara watak antagonis yang selalu mencetuskan konflik dalam novel ini. Entah mengapa, saya rasa seronok membakar jiwa pembaca perlakuan Jah Gayah dan Amirul. Dalam hidup ini kekadang ramai aje antagonis yang berwajah suci. Ada juga antagonis yang selalu play victim. Ada ketika dalam alam nyata, kita boleh tengok antagonis yang kekal bertaring, berkuasa dan menguasai. Dalam novel, watak antagonis yang berhati hitam begini, selalunya menjadi asbab kepada takdir hidup watak protagonis. Rasanya macam mudah lagi tulis untuk antagonis berbanding protagonis. Buat adik-adik yang baru belajar menulis, kalau mahu menulis watak antagonis, jangan dicicirkan perkara seperti liuk lentuk tubuh, gerak mata, jelingan, sinis bibir tersenyum, pemilihan dialog, intonasi suara; semuanya boleh menambah perisa pada pembinaan watak antagonis.

#cintahilangkata
#loveyouinsilence
#lilyhaslinanasir





2

AMIRUL & JAH GAYAH

Meresah jiwa hilang kata,
Perasaan ini bukan biasa;
Kisah silam penuh ceritera,
Dendam lama menakung bisa.


NURUL MASIH KECIL KETIKA ITU. Namun kecilnya bukan bererti segala-gala kenangan pahit itu mudah sirna dalam fikiran. Setiap jerkahan masih memberi tanda di hati. Setiap kerlingan masih meninggalkan parut di jiwa. Dia umpama kanak-kanak kecil yang lumpuh deria bahagia. Dia tidak tahu mahu mengadu pada siapa. Dia lebih banyak berdiam, memerhati, menyimpan dan membuat andai-andaian sendiri.
Tatkala itu dia sudah dapat membaca gerak dan tingkah Jah Gayah. Wanita yang mengasuh dirinya itu memang penuh lakonan. Di rumah teres sederhana besar itu dia mengenali wanita itu dan anaknya, Amirul. Memesrai persekitaran rumah dan halamannya hanya mengajar Nurul mengenali manusia-manusia lain. Memang ada insan yang jiwanya penuh lalang, semalu berakar umbi menjalar ke segenap saraf nadi.
“Ya Allah! Apasal budak ni? Melalak aje! Nanti aku lempang baru tahu! Hesy, diamlah! Memekak aje!”
“Mak, tangan Nurul terpegang cerek panaslah mak!”
“Hah???”
“Ni... mak tengok, kulit dia melepuhlah mak! Dia pegang cerek yang mak letak kat bawah tu.”
“Huh! Budak tak tau duduk diam ni! Nak aku cili-cilikan aje punggung dengan kaki tu! Berjalan aje! Dah melantak nasi, dah minum susu pun tak tau nak tidur.”
“Mak Jah, sakit... tangan sakit.” Anak kecil itu berkerut-kerut dahi menahan sakit. Dia menghulurkan tangan kanannya dengan harapan ibu pengasuh itu akan memberi kelegaan pada hujung jari-jarinya yang sudah merah dan menggelembung kulitnya.
“Padan muka kau! Degil! Aku kata diam, tak reti bahasa. Aku kata tidur, tak mau tidur. Hah, rasakan!”
“Mirul... pergi ambik minyak gamat!” Jah Gayah memberi arahan pada Amirul. Anak lelaki yang beza umur hanya tiga tahun daripada Nurul Masmin itu pantas menghulurkan sebotol minyak gamat.
“Mirul, tadi kenapa tak tolong tengokkan Nurul? Mak tengah sidai baju. Kalau apa-apa jadikan, susah.” Jah Gayah terus-terusan membebel.
“Mak Jah, Nurul nak susu....”
“Tadi dah minum sebotol, nak lagi?” jerkah ibu tunggal itu. Memang kalau ikutkan panas hati, dia mahu lempang kiri kanan mulut kecil yang kuat merengek itu. Apatah lagi apabila memandang wajah kecil itu yang seiras emaknya, Azmeena. Mak Jah memang tidak berkenan langsung emak Nurul Masmin. Dirinya bersetuju menjadi ibu pengasuh anak kecil itu tak lain tak bukan, semata-mata kerana Tuan Razali. Entah mengapa hatinya selalu berdebar-debar setiap kali berselisih dengan Tuan Razali sama ada di kedai runcit atau di kawasan perumahan itu.
“Nurul nak susu, Mak Jah... nak susu....” Botol susu yang sudah berkeladak dan bersisa susu basi, dihulurkan oleh anak kecil itu di hadapan Mak Jah.
“Hesy, budak ni! Aku hempaskan baru tahu! Tak reti bahasa agaknya. Bak sini!” Mak Jah menjerit menyebabkan Nurul terkejut. Anak kecil yang rambutnya bertocang dua itu segera menghulurkan botol susunya. Kemudian kaki kecil itu terkedek-kedek berlari menyorok di balik pintu bilik.
“Hah, duduk balik pintu! Lepas ni kuku pulak tercabut terkepit dek pintu! Nurul... sini!” Mak Jah bertempik garang. Susu dua sudu besar dibancuh dengan air sejuk biasa. Tidak dicuci pun botol susu yang kotor itu. Digoncang susu sehingga larut. Kemudian dia membuka kembali penutup botol susu itu. Mak Jah mencapai sesuatu di dalam peti sejuknya. Ubat batuk. Dia memang menyimpan sebotol kecil ubat batuk khas untuk Nurul jikalau anak kecil itu degil tidak mahu tidur. Dituangkan satu sudu besar ubat batuk di dalam botol itu. Ditutup botol itu dan digoncang kuat-kuat. Biar larut. Biar sebati dengan susu.
“Nurul... pekak ya?”
Anak kecil itu mengintai di balik pintu.
“Cepat! Kata nak susu tadi. Ambik ni! Cepat!” jerit Mak Jah tanpa mempedulikan anak kecil itu semakin mengerekot badan ketakutan.
“Nah... minum sampai habis!”
Nurul mencapai botol susunya dan terus berlari pantas ke bilik belakang rumah teres tiga bilik itu. Di bilik stor itulah dia menyembunyikan diri daripada segala ketakutan. Biar dia kecil, dia faham benar rutin Mak Jah.
Mak Jah akan siapkan dia kemas-kemas sebelum emak tiba untuk mengambilnya. Rambut disisir rapi dan diikat kemas, siap dilumur minyak zaitun. Pipinya dibedakkan. Mak Jah memang memastikan dia cukup wangi untuk dicium emak setiap petang.
Namun Nurul sering tertanya-tanya mengapa bila giliran papa menjemputnya apabila emak lewat pulang, Mak Jah berkelakuan aneh? Mak Jah akan pakai lawa-lawa dan mekap lebih daripada biasa. Kalau papa beritahu awal yang papa akan jemput, Mak Jah siap masak sedap-sedap. Mak Jah siap bungkuskan gulai untuk papa. Bibir Mak Jah akan bergincu merah, matanya berpantis dan bercelak hitam. Bukan lawa pun, tetapi menakutkan di mata Nurul. Macam mata burung jampuk dia memandang Mak Jah. Pakaian Mak Jah mengalahkan waktu Hari Raya!
“Kenapa bibir Mak Jah merah sangat! Macam berdarah....”
“Kau diamlah! Pergi main kat sana!” Mak Jah menghalau Nurul yang mengintainya di balik pintu bilik. Nurul memerhati dan terus mengamati. Kenapa Mak Jah pakai baju kebaya ketat tu? Ketat sungguh. Sampai rasa macam tak bernafas. Pelik sungguh!
Dan rasa aneh dan pelik itu benar-benar menguji rasa bingung Nurul. Cuma dia tidak tahu bagaimana mahu meluahkan rasa itu. Dia tidak tahu pada siapa dia harus bertanya.
Suatu petang dia terdengar suara Mak Jah macam merengek. Kemudian terdengar suara papa. Suara Mak Jah kemudian bertingkah dengan suara papa. Waktu itu Amirul sudah lesap ke padang untuk bermain bola.
“Jah, saya suami orang. Saya ada isteri, ada anak. Tak elok kalau Jah nak tersua-sua macam ni. Tak manis. Jah janda, tak elok kalau buat bukan-bukan. Yang buruknya nanti nama Jah jugak. Saya dengan Azmeena memang ikhlas nak Jah jaga Nurul Masmin. Anggaplah dia macam anak sendiri. Kita boleh jadi bersaudara. Kalau takat Jah susah duit, bila-bila saya boleh bagi Jah duit lebih. Tapi bukan macam ni, ya.... Tak manis. Betulkan balik butang baju tu. Nampak dek orang lain, apa pulak nanti kata orang. Timbul fitnah.”

Biar masih kecil, namun kata-kata papa yang dicuri dengar di balik pintu bilik itu memang membuat Nurul berkerut dahi. Betulkan butang baju? Mak Jah kenapa? Itulah... pakai baju ketat sangat sampai butang pun boleh terbuka. Tadi Mak Jah kata pening kepala, tak sihat. Tu sebab papa ambil beg baju dan beg susu Nurul di ruang tamu. Tiba-tiba Mak Jah keluar pakai cantik-cantik. Mak Jah dah siap-siap suruh Nurul duduk dalam bilik. Peliklah Mak Jah. Kata sakit, kata nak demam, tapi pakai baju lawa-lawa. Hah, padan muka. Kan dah kena tegur dengan papa!

CINTA HILANG KATA - 1

NOVEL CINTA HILANG KATA ini, saya gerakkan mengikut POV watak-watak penting. Bab satu ini saya mulakan dari sudut pandangan RAIN AKHTAR, watak hero dalam novel ini. Namun POV ini masih POV tiga sebab saya tidak gunakan AKU untuk menggerakkan cerita. Sedikit tricky juga rasanya masa nak tulis ni. Disebabkan plotnya agak berat, saya selesa tulis begini. Bagi saya, jelas setiap luahan hati watak untuk saya tulis. Dalam situasi ini, peranan editor penting sangat-sangat. Nida berjaya meleraikan beberapa babak yang agak kusut dalam plot saya ini. Kudos untuk Nida yang banyak bantu saya masa nak siapkan CINTA HILANG KATA.


#cintahilangkata
#loveyouinsilence
#lilyhaslinanasir



RAIN AKHTAR

Semai cempaka bersulam melati,
Terselit di sanggul umpama hiasan;
Wahai dewi kencana hati,
Mengapa hilang tiada berpesan.


DIA HANYALAH LELAKI yang menagih kebenaran. Kebenaran yang dipinta malangnya tidak pernah ada daripada kata-kata. Dia cuma lelaki yang memerhati kehidupan yang aneh ini di celah renungan. Bagi gadis yang dicintainya itu, alam ini umpama tinta yang tidak pernah berhenti menitis. Tetapi kehidupan sebenar mana mungkin bernafas hanya di atas kertas dan kata sahaja. Gadis itu memang terlalu banyak berahsia dan berkias.

Mengingati Nurul Masmin hanya membuat dirinya terkurung dalam dunia sendirian. Jiwa terasa terbelah dua. Ada rasa seperti menggigit kaca, luka menikam yang dalam. Ada rasa rindu yang tidak terbelenggu.
Sejak peristiwa pernikahan Nurul, dia mencari-cari sendiri... di mana silap, di mana cela perasaan hati. Kata orang itu takdir yang tersurat, tetapi dia hanyut dengan perasaan sendiri. Dia menagih penjelasan yang tidak mungkin dia dapat daripada Nurul Masmin.
Dialah Nurul Masmin, gadis yang kadang-kadang dingin namun jernih seumpama titis-titis hujan yang turun mengakrab dan menghangatkan sebuah persahabatan.

Rain masih ingat senja itu dia lewat pulang ke kolej. Motosikalnya meragam dan dia harus menapak untuk ke Kolej Zaaba. Hujan turun tidak semena-mena. Terlalu cepat tanpa sempat dia merencanakan perjalanan yang masih separuh itu. Di tangannya ada payung hitam kecil. Dia pantas membuka payung namun angin kencang lebih garang bertiup. Dia basah dalam masa beberapa saat.
Angin menderu, guruh menjerit di langit. Di hadapannya ada gadis yang juga berjalan sendirian. Dari susuknya, Rain sangat pasti itu adik juniornya yang satu jabatan - Nurul Masmin.
Dia memberanikan diri menegur. Suaranya sedikit keras melawan deru angin dan bunyi hujan yang kasar. Tidak sampai beberapa saat, hujan turun selebat-lebatnya.
“Nurul... Nurul Masmin!”
Gadis itu tidak menoleh. Langkahnya semakin pantas.
“Nurul...” Rain memanggil lagi dari belakang.
Guruh semakin bengis. Gadis itu berpaling. Mukanya basah. Bintik-bintik air yang jernih di wajah itu menambah manis Nurul Masmin. Angin yang mengasak hujan menjadikan mereka tidak sempat untuk mencari ruang berteduh.
“Ambil payung ni....” Rain menghulurkan payung yang sudah terkembang tanpa menghiraukan dirinya sendiri basah.
“Abang?” Nurul berkerut memandang.
“Tak apa.... Cepat ambik. Lebat ni!”
Gadis itu teragak-agak.
“Nurul, cepat! Hujan lebat ni!!!”

Dalam teragak-agak, payung bertukar tangan. Dengan keadaan angin menggila berserta hujan yang kasar dan mencurah-curah itu, payung tidak memberi sebarang makna. Nurul sudah basah kuyup. Rain sendiri lencun. Dibiarkan gadis itu bergerak di hadapan dan Rain mengekori rapat di belakangnya.
Walaupun dari belakang, keasyikan mata nakalnya memerhati tidak mampu dia berbohong. Dia begitu leka memandang dalam memberi penghayatan. Gadis di hadapannya itu memang manis dan sangat mengasyikkan dalam lenggok pantasnya melangkah untuk mengelak hujan.
Hujan yang bertuah dapat merangkul gadis itu atau dia yang bertuah dapat bersama Nurul Masmin dalam hujan, dia tidak pasti
“Abang...” Tiba-tiba langkah gadis itu terhenti dan dia menoleh.
Angin kencang dan langit semakin bergemuruh. Rain dapat merasakan kasut kanvasnya semakin berat menampung air. Laluan ke Asrama Zaaba deras dilimpahi air. Sejuk menggigit ke tulang belakang.
“Kita berhenti sini dululah....” Nurul menunjukkan kawasan pejalan kaki yang berbumbung itu. Hati Rain bergetar mendengar perkataan kita. Sekilas, dia dapat memerhatikan cantiknya raut wajah yang basah dek air hujan itu. Nurul mengangkat sedikit kain baju kurungnya yang sudah tentu boleh diperah kalau mahu disidai. Terlihat betis dan tumitnya yang putih kemerah-merahan.

Cantik! Bisik hati Rain nakal.
Kenakalan mata itu juga hampir menyebabkan Rain tersadung di dalam lopak air. Dua buah buku kulit tebal yang dipegang terpelanting dan tercelup di dalam air yang keruh di laluan pejalan kaki.
“Habis buku abang basah!” Nurul menggeleng kesal. Lelaki budiman itu tentu tidak akan mendapat kesusahan kalau tidak memaksa dia mengambil payungnya tadi.
“Nanti abang keringkan.... Boleh jemur.”
“Abang urgent ke nak guna buku ni?”
“Kenapa?’
“Kalau tak urgent, bagi kita bawak balik. Cover buku tu macam nak tercabut kena air lopak tadi. Kita gamkan balik nanti.” Nurul memandang dengan rasa bersalah pada dua buah buku yang sudah basah itu di tangan Rain.
“Tak apa. Sikit aje ni....”
“Bagi kita dululah buku tu....”
“Okey ni. Buku kena hujan tak demam, Nurul kalau kena hujan demam. Nanti tak boleh pergi kuliah.” Rain tidak mahu menyusahkan gadis itu.

“Bagi kita keringkan dululah. Kita gamkan sekali mana yang koyak tu. Nanti kita bagi kat Abang Rain.”
Rain sendiri tidak tahu mengapa dia tidak menolak permintaan itu. Dua buah buku yang baru dipinjam di perpustakaan tadi beralih tangan. Dalam hati dia tahu akan ada pertemuan lain bersama Nurul Masmin selepas ini.

Hujan lebat hari itu membuka cerita untuk mereka. Mereka berkongsi payung kecil. Menanti di tepi jalan sementara langit reda. Nurul bercerita hal yang biasa-biasa sekadar untuk mengelakkan diri kaku dan bisu di sisi Rain. Namun bagi Rain, setiap perbualan itu terasa manis saatnya. Dia bercanda bukan untuk membunuh waktu menanti hujan reda. Dia cuba tenang, berusaha untuk memberi ruang yang lebih buat Nurul sewaktu berkongsi payung kecil itu. Kalau saat itu hujan tidak mahu berhenti, dia manusia paling bahagia. Itu ruang untuk dia berada di sisi Nurul dan melindungi gadis itu.

Rain dapat merasakan selepas pertemuan pada hari hujan yang manis dan dingin itu, hatinya semakin mesra dengan Nurul. Gadis itu seperti biasa, banyak berahsia. Tetapi daripada gerak laku, dia dapat menjangkakan Nurul juga selesa bersamanya.
Pertemuan kedua juga tidak dirancang. Biar bukan waktu hujan namun cuacanya tetap dingin dan nyaman. Segalanya bagai merestui.
“Abang Rain!” Suara itu bernada girang waktu menegurnya. Mereka bertembung di tepi tasik.
“Eh, Nurul....”
“Rajinnya joging, Abang Rain!” tegur Ezra dan Che Wanie yang ada bersama Nurul.
“Sesekali aje abang rajin....”
“Selalu joging pepagi tak pernah terserempak pun dengan abang?” Spontan Nurul bertanya.
“Abang sesekali je rajin. Selalunya malas.” Rain menjawab jujur namun hatinya gembira. Oh, dia tahu mana mahu mencari Nurul pada waktu pagi selepas ini!
“Nak ke mana pagi-pagi ni?” tanya Rain lagi.
“Kami nak ke Menara Annexe, Telekom. Ada janji kawan kat sana untuk projek Doktor Abu,” ramah Wanie memberitahu.
“Ni buku abang. Petang semalam nak bagi abang, gam dia belum kering betul.” Nurul mengeluarkan dua buah buku yang sudah kemas digam dan disalotep pada bahagian kulit yang terkoyak.
“Ya Allah, buat susah-susah ajelah!”
“Tak ada apa. Senang aje. Nurul tampalkan dan gamkan mana yang koyak sikit. Lepas tu, tunggu kering.
“Kau orang nak cepat ya? Kalau tak, boleh abang belanja sarapan.”
“Lain kalilah, Abang Rain. Simpan duit tu untuk kami, ya!” Ezra mengusik.
“Tak apa... lain kali Nurul dengan kita orang datang cari abang. Tuntut belanja sarapan ya!” Wanie menyakat.
Nurul pula yang terangkat kening. ‘Mahu makan belanja orang, nama aku pulak yang dijual, ya?’
“Okey... lain kali ya! Janji tau!”
Pulang ke kolej, Rain terkejut tatkala membelek buku yang dikembalikan Nurul Masmin. Ada getar di dada ketika membaca catatan tangan Nurul di situ.
Setangkai bunga mawar kering dilekatkan pada halaman terakhir buku itu.
Bunga akan layu, warna akan pudar, haruman akan hilang. Kenangan tidak. Terima kasih Abang Hujan untuk bersusah payah di hari hujan yang lalu....
-NURUL MASMIN

Ps: Yang akan sentiasa ingat abang setiap kali hujan turun!

Selepas pertemuan kedua di tasik, Rain semakin tidak mampu mengira entah berapa kali dia sering bersama Nurul. Sama ada secara kebetulan atau memang berjanji.
Perbualan mereka seputar isu kuliah, kisah kampus, semuanya iseng-isengan. Atau paling-paling dia bertanya khabar manuskrip novel terbaharu daripada Nurul Masmin. Dan setiap hari selepas jam 6:40 pagi, Rain semakin rajin menyarung pakaian sukannya.
Biar dia dihambat tugasan dan kerja-kerja penyelidikan pada tahun akhir, dia akan cuba meluangkan masa. Dia tahu waktu pagi begitu sebelum kuliah bermula, Nurul rajin berjoging keliling tasik kampus. Dan pada detik itu sahaja Rain selesa untuk mendekati Nurul. Kalau langit sudah cerah, pada waktu lain, pasti akan ada kelibat Ezra dan Che Wanie mendampingi gadis yang disenanginya itu.
Pagi itu tatkala langit penghujung April mengirimkan angin dingin tika mereka mengelilingi tasik, Nurul bertanya. Langkah yang awalnya deras menjadi perlahan tiba-tiba. Rain menoleh ke arah gadis di sisinya. Pertanyaan yang menjurus masa hadapan sebelum ini tidak pernah mereka kongsikan. Nurul sibuk dengan kuliah. Berkejaran waktu pula dengan manuskrip dan masih di tahun satu. Rain tidak mahu persahabatan itu mengganggu rutin gadis itu. Untuk itu dia sangat berhati-hati menjaga batas persahabatan.

“Nanti lepas habis studi ni apa plan abang?”
“Plan?”
“Aah... lepas habis studi ni abang nak buat apa?”
Tiba-tiba dia jadi termangu-mangu dan tergagap untuk soalan itu. Secara jujurnya dia tidak pernah terfikir kehidupannya selepas bergelar mahasiswa.
“Selesaikan tesis, sudahkan final exam. Cari kerja, kemudian kahwin dengan Nurul. Bolehkan?” Jawapan itu sangat polos dan spontan sebenarnya.
“Abang ni mengada-ngadalah! Kita tanya yang betul ni!” Suara Nurul sedikit nyaring. Pipinya yang merah jambu kerana menahan lelah selepas penat membuat dua pusingan tasik, bertambah merah menahan malu dengan jawapan Rain.
“Betullahkan, abang jawab tu? Habis exam, cari kerja, lepas kerja, kita kahwin.... Oh, lupa abang kena kumpul duit dulu.”
“Hesy... kita tanya sungguh-sungguh ni. Abang nak further studi ke? Buat master ke?”
“Abang jawab sungguh-sungguhlah tu.”
“Tak sukalah!” Nurul mendengus kecil sambil menghela nafas. Dia seperti memikirkan sesuatu.

“Nurul nak abang sambung belajar ke?”
Gadis itu diam tidak menjawab. Matanya memandang kosong ke arah tasik.
“Nurul tanya aje. Abang nak sambung belajar atau tak, itu ikut abanglah. Kalau abang plan lepas belajar, kerja, kemudian kahwin, itu suka hati abang. Tak ada kena-mengena dengan Nurul, okey.” Suara itu tegas selepas dia mengumpul kekuatan dan membuang rasa segan.
“Okey, kalau tak mau kahwin sekarang, kita ikat lepas abang habis ya?”
“Siapa nak kahwin dengan dia ni...?” Nurul dengan wajah selamba memangkah.
“Habis kita nak macam ni sampai bila?”
“Sampai bila-bilalah! Kita kawan, kan?” Lenggok lembut manja suara itu menyejukkan hati Rain.
“Abang selalu berdoa. Nurul tahu apa doa abang?”
“Orang kata kalau kita berdoa, itu antara kita dengan Allah. Lagi elok kalau tak ceritakan pada orang lain.”
“Tapi ni doa tentang orang yang abang sayang.”
“Doa? Untuk siapa?” Nurul dapat meneka apa ayat seterusnya daripada Rain. Tetapi dia pura-pura tidak faham.

“Tuhan mengabulkan doa hamba-Nya yang tak jemu meminta. Ada doa-doa yang pasti terkabul, doa para mujahid atau doa orang yang teraniaya. Empat puluh memang angka yang istimewa. Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul pada usia empat puluh, Allah menyempurnakan Taurat kepada Musa dalam empat puluh malam. Dan abang akan sentiasa pastikan setiap hari abang berdoa sebanyak empat puluh kali. Meminta tanpa jemu. Yang pasti dah tercapai pun doa abang empat puluh kali selama empat puluh hari. Kalau terpaksa menanti lagi empat puluh bulan, empat puluh tahun pun abang tak kesah.... Abang akan mintak dari Allah untuk sesuatu yang abang sayang.”
Nurul terkaku seketika. Dia meneguk liur yang terasa kering. Mukanya terasa berbahang tidak semena-mena.
“Abang cakap apa ni?”

“Abang berdoa tanpa jemu untuk kita selalu bersama.” 

Rain memandang tepat ke arah Nurul. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang disembunyikan oleh gadis itu. Dia tidak dapat meneka. Dia tidak mampu mengagak. Kalau hati gadis itu bukan untuknya, mustahil dia dapat merasakan kehangatannya. Seandainya Nurul tidak menyayanginya, mustahil ada catatan indah tertinggal untuknya bersama bunga mawar kering waktu kali pertama mereka menjalin rasa hati. Bukankah perempuan berkata dan meluahkan sesuatu dengan jiwa. Kalau bibirnya malu menuturkan, baris ayat yang dicatat itu tentu sahaja segala rasa hatinya. Lelaki? Berusaha seadanya!
Fikir Rain, dia ingin membuat kejutan. Rancangannya mahu memberikan sesuatu yang manis.
“Cantiknya cincin. Cincin baru ke?”
“Taklah... emak punya. Papa bagi emak masa emak umur tujuh belas tahun. Lepas emak cemerlang SPM,” cerita Nurul sambil membelek cincin emas berbentuk hati di jari manisnya.
“Hebatnya!”
“Dia orang kenal sejak sekolah.”
“Boleh abang tengok?”
Nurul menanggalkan cincinnya. Rain menyambut cincin yang agak halus itu lalu menyarung ke jari manisnya. Nurul memandang dengan wajah yang berkerut.
“Hei, lelaki mana boleh pakai emas!”
“Abang ambik berkat ajelah!”
Nurul mencebik dan cincin itu kembali ke jari manisnya.
Dengan ukuran cincin untuk Nurul yang sudah dia tahu, Rain sudah berkira-kira. Satu kejutan akan dibuat. Dia akan meminta izin dan mohon restu daripada orang tua Nurul sebagai lelaki budiman. Dia sudah merancang untuk bertemu keluarga Nurul. Dalam diam sebenarnya dia merahsiakan daripada ramai teman yang mereka saling menyayangi. Kerana sayang dan cinta juga dia berusaha mendapatkan peluang kerja secepat mungkin. Perancangannya bagai direstui. Semuanya dipermudahkan.

Alhamdulillah! Berjuta kali dia melafazkan syukur apabila Vad.Com memanggilnya untuk melaporkan diri. Wajah Nurul Masmin terbayang kala itu. Hari pertama bergelar kakitangan Vads di Taman Tun Dr. Ismail, dia tetap merahsiakan daripada rakan mahupun Nurul Masmin.

Terkadang cinta dan kehilangan berjalan beriringan.
Kadang-kadang rahsia yang indah itu sebenarnya memakan diri!
Dia rasakan semuanya sudah sempurna. Semuanya menanti saat diucapkan. Tetapi rencana Allah SWT lebih agung. Saat dia mendengar berita itu, dia tidak tahu apa yang harus diucapkan. Haiqal rakan sekolej menghubunginya.
“Rain, kau tak dapat jemputan ke?”
“Jemputan apa?”
“Nurul nikah.”
“Hah? Nurul? Nurul mana?”
“Nurul Masminlah! Nurul mana lagi.”
Saat itu langit terasa terhempap di bahu. Dia menjerit dalam hati mengharapkan khabar itu sekadar cerita di angin lalu. Mudah-mudahan Haiqal tersalah orang, tersilap nama!
“Mana kau tahu?”
“Geng-geng lain fowardkan jemputan Amirul.”
“Amirul? Kenapa Amirul...?”
“Nurul nikah dengan Amirul....”
“Hah? Nurul nikah dengan Mirul?”
“Itulah! Aku pun blur jugak ni. Macam tak percaya je. Bukan Mirul anti ke budak Nurul tu. Eh, Nurul ni bukan ke awek yang selalu dengan kau masa joging?”
Rain sudah cukup terkelu untuk menerang perkara lalu. Dia berulang tanya demi mendapatkan kepastian.
“Betullah bro! Kalau tak caya, kau contact geng kita yang lain. Batch kita mana ada Amirul yang lain. Mirul kitalah tu.... Dia sekarang dengan advertising company, kan?”
“Hmmm....”
“Okey bro... cau dulu!”
Dunia terasa gempita. Awan ternampak-nampak bagai gugur berlapis-lapis dan kemudian berkecai di angin lalu. Rain terkaku dan terkedu.
Nurul Masmin – Amirul – Nurul Masmin – Amirul – Nurul Masmin – Amirul!
Berulang kali dia beristighfar. Dia benar-benar keliru. Permainan apakah ini? Penjelasan yang bagaimana pula bakal diberi Nurul kalau dia bertanya?
Dalam dada yang sebak, jiwa yang merusuh, dia mencari Che Wanie. Dia menghubungi Ezra. Rain tidak pasti apakah rakan-rakan Nurul berdalih atau memang mereka jujur tidak tahu apa-apa.
“Sungguh, bang! Kami pun tak tahu apa-apa. Tak pernah Nurul cakap apa-apa pasal Amirul.” Ezra memberitahu.

“Kalau ada pun, dia pernah bagi tau, rumah dia rupanya dekat dengan rumah Amirul. Tak pernah pulak dia cakap dia berkawan dengan Mirul sebelum ni...” sampuk Wanie.
“Entahlah... kami pun Nurul tak jemput. Yang dapat jemputan ni semuanya batch abang. Jemputan pun daripada pihak Amirul, bukan Nurul. Kami cuba call dia, tak berjawab pun.”
Memandang wajah Ezra, Rain tahu gadis itu tidak memberi alasan. Dari raut wajah Ezra dan Che Wanie, Rain menjangkakan dua sahabat karib Nurul turut kecewa. Tetapi apalah sangat rasa kecewa dan tersinggung mereka dibandingkan dengan hatinya yang tiba-tiba sahaja dicencang lumat!

Luka yang pedih tidak menghalang dia berusaha. Dia tidak berniat menyinggung hati sesiapa. Jauh sekali Amirul yang pernah menjadi rakan sekampus. Tetapi dia mendambakan penjelasan Nurul. Dia mahu mendengar sendiri dari mulut Nurul, mengapa takdir yang amat melukakan ini terjadi. Telefon tidak dijawab, mesej tidak berbalas, e-mel jauh sekali. Nurul Masmin benar-benar memencilkan diri. Dia berusaha berkirim pesan pada Ezra dan Che Wanie. Jawapan yang diterima sangat menghampakan.
“Kami tak tau mana Nurul sekarang. Lepas dia nikah, kami dengar dia terus pindah. Tak duduk kolej. Mula-mula dengar sekitar Pantai Dalam, lepas tu tak tahulah dia pindah mana. Kami telefon, tapi nombor dia macam dah tak ada dalam perkhidmatan.”

“Kenapa dia buat abang macam ni? Kenapa dia tak terus terang?”
Ezra dan Che Wanie tidak mampu menjawab bagi pihak Nurul. Hanya selautan rasa simpati sahaja yang berkocak di hati. Namun dua sahabat itu yakin, pasti ada sesuatu yang menyebabkan keadaan ini menjebak takdir Nurul dan Rain.
“Ezra atau Wanie ada gambar nikah Nurul? Kalau ada, boleh bagi abang?” Suara itu lirih, penuh luka.
“Tak ada, bang. Kami pun tak dijemput ke majlis dia.”
“Kalau jumpa dia, mintak sangat Ezra dengan Wanie sampaikan salam abang ya! Katakan abang ucapkan ‘Selamat Menempuh Hidup Baru’.”
“Insya-Allah, bang.... Mungkin lepas naik semester nanti baru kami dapat jumpa dia dekat kampus kut. Sekarang ni macam terputus terus dengan dia. Tak tau macam mana nak contact dia.” Ezra turut berkeluh. Dia sendiri jadi sangat simpati pada Rain.
“Tak apalah, bang. Nurul mesti ada sebab sendiri kenapa dia ambil keputusan macam ni. Abang maafkan dia, ya.... Doakan dia yang baik-baik aje.” Wanie cuba menenangkan keadaan. Dia dapat melihat ada air jernih yang bergenang di kelopak mata Ezra. Dan dia dapat merasai keperitan perasaan pada wajah kusut Rain.

“Abang memang takkan berhenti berdoa yang baik-baik untuk Nurul. Sampai bila-bila.” Suara itu mendatar menahan sebak. Sepanjang hayatnya bergelar lelaki, saat itu sangat melukakan. Egonya menggelongsor ke telapak kaki sewaktu dia harus mengesat air mata yang jatuh tanpa dapat dicegah.
‘Selamat Menempuh Hidup Baharu, Nurul Masmin!’ ucap dan doanya tanpa henti dalam hati. Baru kini dia faham dan mengerti kenapa orang yang baru bernikah selalu mendapat ucapan itu. Ya, kerana mungkin ada di antara mereka harus meninggal dan melupakan insan-insan yang pernah mereka cintai pada masa lalu.
Malam itu dia tidak mampu memejamkan mata. Segala kenangan lalu berulang mengejar mimpinya. Dia tidak mampu mentafsirkan silang cerita di antara Nurul dan Amirul. Hatinya merintih mencari jawapan sendiri.
Nurul Masmin, engkau adalah sepotong hujung pelangi,
Yang sentiasa menemani aku,
Saat kita sama-sama mengelilingi tasik itu,
Kemudian engkau masuk ke dalam hati aku,
Diam di situ tanpa aku mampu mencegah,
Dan kau selalu ada,
Dalam nafas, dalam sedar dan dalam pejam aku!
Dalam ribut hati yang berpusar, langit malam memuntahkan hujan. Dingin yang mencengkam seperti mengucapkan belasungkawa pada sebuah hubungan berkasih sayang. Rain masih tidak lena. Wajah dan suara Nurul Masmin tidak mampu larut dalam hujan yang turun. Biar hujan sudah tersisa rintik-rintik, namun awan-awan hitam itu belum sepenuhnya terusir pergi. Rain tahu tidak semudah itu juga dia mengusir nama Nurul Masmin dari hatinya.

Saturday, May 16, 2020

CINTA HILANG KATA - PROLOG - THROWBACK

ANTARA manuskrip yang saya rasa jerih nak tulis. Ambil masa untuk siapkan. Terima kasih Nida sahabat dan juga editor yang mengemaskan CINTA HILANG KATA. Nida kenalan sejak zaman saya students, boleh saya katakan antara editor terbaik sepanjang zaman pernah saya jumpa. Banyak saya belajar dari ketelitian Nida. Sambil-sambil saya siapkan kerja lain, saya kongsi semula sebahagian bab bab CINTA HILANG KATA ni di sini ya. Enam bulan saya rehat menulis, err semalam meeting online dengan bos baru. Macam Tony Fernandes pulak rupa bos dalam skrin tu. Selasa ada meeting dan kerja di Mindef. Ada interview dengan sorang Tun Malaysia... err macam malas aje sejak berbulan tak drive pergi kerja... err kalau akak tumpang ZD boleh ke Salleh?


Prolog
NURUL MASMIN & RAIN AKHTAR

Padi huma mari ditampi,
Usah ditampi di senja sepi;
Sudah kumakan sirih jampi,
Mengapa menangis dalam mimpi?

SYYY.... Ini rahsia!
Jadi tutup bibirmu rapat-rapat kerana cerita yang pendek ini sebenarnya akan membuat engkau faham selepas ini kenapa aku begitu... kenapa aku begini....
Aku akan berbicara jujur tentang semuanya.... Tetapi bukan di sini.
Di sana sahaja.... Dalam catatan aku. Kadang-kadang memang aku akui. Sebagai penulis, aku banyak berlapik kata di blog aku. Cerita yang diluahkan sejujurnya cerita luka aku. Ya, kadang-kadang aku bersembunyi di sebalik nama. Aku katakan itu cerita orang, namun sebenarnya itu kisah sengsara diri sendiri.

Tiada siapa pun yang tahu itu catatan jiwa aku. Hah! Nama pun penulis. Bijak dan tangkas bermain kata, berselindung bicara. Tapi janji dulu, jangan sesekali engkau cerita pada sesiapa!
Tidak ada pengecualian. Jangan cerita pada teman-temanmu, ibumu, apalagi pada dia yang engkau kenali dan aku cintai. Rain Akhtar.

Jauhkan tanganmu daripada godaan menulis mesej tentang ini di wall akaun Facebookmu.
Kau tahu, cara terbaik untuk jatuh cinta, kekal mencintai... adalah mencintai dia seolah-olah kau belum pernah terluka sebelumnya. Kau cuba dahulu, kemudian kau akan faham apa maksud kata-kataku ini.
Ayuh, rapat ke sini. Kita diam-diam saja. Kerana aku akan membisikkan rahsiaku. Rahsia tentang hatiku, tentang aku, tentang dia yang aku cintai di dalam diam selama ini, tentang dia yang seorang itu... yang menghancurluluhkan segala rencana remajaku dan tentang mereka juga.

Kadang-kadang, kita mencintai seseorang begitu rupa sehingga tidak menyisakan tempat bagi yang lain. Membuat kita lupa untuk sekadar bertanya inikah sebenarnya cinta?

Seperti itulah dia. Errr... aku sebenarnya! Diam-diam menyenangi dan mencintai lelaki itu dengan seluruh jiwa dan aku menyimpan sakit tidak terperi saat harus mengharungi pernikahan dengan lelaki lain. Sedikit pun aku tidak berniat untuk menyimpan rasa kesal biar diri dikasari saat rahsia kerajaan hati aku diketahui suami.

Apa pun yang terjadi, aku tidak akan berhenti mencintai lelaki yang sekian lama menghuni hati ini dalam diam. Jangan bercakap perihal hukum pada aku! Ya, aku tahu bukan sedikit dosanya seorang isteri mencintai lelaki lain. Apatah lagi untuk waktu selagi Allah meminjamkan nyawa kepadaku. Tetapi cubalah bertanya, apa yang aku rasa tatkala diri dalam lingkung bahagia gembira, aku dipaksa bernikah.
Kalian boleh saja berkata semahunya. Aku tidak jujur. Aku tidak berterus terang. Mahu diberitahu apa jikalau rencana pernikahan itu aku tahu sekadar kurang tujuh hari selepas aku pulang ke rumah. Aku diberitahu hari Isnin dan hari Khamis malam aku dalam keadaan terpinga-pinga menerima salam seorang suami.

Gerak hati yang diberi Allah pada dia sangat luar biasa. Bayangkan pada beberapa minit sebelum ijab kabul itu berlangsung, dia menelefon. Arwah emak menjawab langsung memberitahu. Aku? Tuhan sahaja yang tahu.... Entah aku yang sudah tersurat takdir berasa luluh jiwa, atau entah dia yang sengsara.

Apa daya aku waktu itu.... Usai pernikahan, aku langsung ke rumah orang tua lelaki asing yang bergelar suami. Perasaan aku? Sangat aneh.

Bermulalah episod hidup bagai dalam pelarian sebaik sahaja sang suami yang sangat mendominasi mengetahui semuanya. Dari satu tempat ke satu tempat aku terpaksa berpindah. Dari Lembah Pantai ke Bandar Tun Razak, sebelum ke Cheras dan langsung ke Wangsa Maju. Lelaki yang bergelar suami tatkala itu bagai mahu menyembunyikan aku jauh-jauh terpencil di sudut dunia daripada dia sebaik sahaja kisah persahabatan aku dengan dia diketahuinya.

Benar, mencintai sahaja tidak pernah cukup. Harus ditelan segala racun. Harus ditahan segala pedih. Kau tahu... bukan sekadar pedih dan sengsara hati, tetapi fizikal juga menjadi korban lima jari kasarnya. Kau akan mengerti maksud sengsara cinta apabila meredakan bulan-bulan awal pernikahan dengan air mata, dipukul semahunya kerana aku degil tidak mahu ada hati yang lebih terkorban.

Nah, siapa kata cinta itu sekadar cinta? Siapa bilang cinta itu sekadar mabuk asmara untuk si gadis yang usianya masih mentah? Apa perasaanmu seandainya beberapa hari selepas pernikahan, pulang ke Lembah Pantai, engkau tahu saban malam dia di muka pintu mengetuk memberi salam, mencari dan meminta penjelasan daripada aku?

Apa pula yang boleh aku lakukan waktu itu apabila aku terikat, lima jari hinggap di pipi dan aku cuma mampu membenam sedih pada hujung kamar. Tangisan dan esakan adalah sahabat aku yang paling akrab.

Apakah kau tahu, bagaimana perih rasanya berbahagi cerita, berbahagi hati?
Tahukah engkau sengsara rasa saling mencintai, dibatasi jarak waktu, namun akhirnya bertahan untuk tidak saling memiliki? Dan aku tidak terdaya menceritakan satu demi satu pada dia dan langsung membiarkan dendam itu menjadi dendam paling kejam yang manis.
Bukankah berdiam diri itu penawar terbaik? Bukankah pura-pura senyum dan bergelak ketawa itu satu terapi biar ini sebenarnya membunuh hati!

Bukankah memang begitu seharusnya cinta? Memberikan senyuman, bercanda gelak tawa, mesra bagai bahagia untuk mengaburi mata yang memandang.
Meski diam-diam hatinya basah dalam renyai hujan yang tiada penghujung. Aku yakin seperti itulah seharusnya cinta. Dalam desah angin, dalam lebat hujan, dalam biru langit, aku sebetulnya sering bertanya... seperti inikah cinta?

Hidup bukan syurga tetapi bukan juga neraka. Hidup bukan ruang sidang pengadilan tetapi bukan juga jalan lapang dengan langit biru terbentang. Ya, aku tahu... di luar sana ada lebih ramai mereka yang derita dan malang daripada aku.

Ya, ada ketika aku malu kerana masih mahu teresak, masih tidak mampu menyimpan gelora jiwa hingga aku menangis tanpa henti lewat hujung sejadah pada waktu dinihari. Cubitan Allah SWT sekadar cubitan kasih namun aku nyata insan yang lemah masih mahu membiarkan hati ini terus renyai dengan air mata.
Terlalu banyak cerita kalau mahu dikata, terlalu banyak jua kerikil yang dilalui sebelum aku berada di sini. Entah... kadang-kadang terfikir, Allah menguji sebab aku mampu melaluinya. Dan, ya... akulah dahulu gadis angkuh yang selalu menyebut aku mampu hidup tanpa lelaki. Dan, aku juga dahulu perempuan si hati batu yang tidak mudah tunduk pada lelaki.

Cuma... ya... pada dia... entah kenapa aku sangat menyenanginya. Ya, benar, teman aku sangat ramai. Surat-surat yang disimpan boleh dikumpul sehingga memenuhi lima kotak besar, hadiah dan pemberian mereka yang mahu membeli cinta, mengambil hati, juga ada ketika aku sedekahkan sahaja pada rakan serumah.

Tapi percayalah, itu semua belum tentu mampu mencairkan jiwa aku.

Dan, ya... mengapa aku menjadi Puan Nurul Masmin pada usia 21 tahun, tatkala masih berkuliah... akan aku beritahu kelak. Cuma sesekali aku berasa terpaksa menelan segala sumpahan karma ini kerana keangkuhan kata-kata aku suatu ketika dahulu.

Hmmm, dia sendiri secara tidak sengaja menyebut dan berpesan... jangan cakap angkuh! Jangan takbur!
Errr... aku tidak pasti, apakah dia sememangnya mengikuti segala kisah nurullllmasmin.blogspot.com atau semua nasihat itu secara kebetulan. Sebagaimana secara kebetulan aku membalas e-melnya yang kadangkala bertalu-talu hadir. Nantilah... akan aku ceritakan sedikit demi sedikit.

Wednesday, May 6, 2020

MENGUTIP ILHAM YANG ADA DI SEKELILING - IZINKAN AKU JADI SAYAPMU






DIAM tak diam, dah hampir lima tahun dah ya IZINKAN AKU JADI SAYAPMU.
Semuanya bermula di HARIAN METRO pada tahun 2015. Masa diminta untuk tulis novel bersiri setiap Khamis di Harian Metro, sebetulnya saya tak ada idea pun.

Selepas sekian lama menulis kisah remaja dan chiclit di PTS (diam tak diam dalam masa singkat rasanya ada 17 judul juga saya dengan PTS), jadi nak dapat rentak menulis novel dewasa tu rasa macam payah sikit.

Tak ingat macam mana, tapi sudahnya saya setuju menulis untuk Harian Metro. Terkial-kial. Nak pulak deadlinenya secara mingguan. Kalau tak silaplah, setiap Selasa sebelum subuh saya akan emelkan bab bab baru Izinkan Aku Jadi Sayapmu.

Nak tulis cerita apa, memang clueless masa tu. Fikir punya fikir, saya tekad. Saya taip segala yang terlintas di kepala tanpa ada kerangka. Makna taip ikut suka, ikut gerak hati aje. Watak-watak saya bina berdasarkan apa yang ada depan mata. Watak Chairil Razlan (CR) saya ambil karektor anak. Memang sejak di MRSM Pengkalan Hulu, cikgu-cikgu dan kawan-kawan panggil si bujang saya tu CR.

Bunyi macam syok sendiri bila tulis nama anak.... err bukan! Bukan macam tu. Sebabnya lagi mudah. Senang saya nak bina watak. Sebab tu watak CR dalam Izinkan Aku Jadi Sayapmu tu gila memancing, pandai siang ikan sendiri... haha sebab CR dalam dunia realiti memang gitu. Ingat lagi ada babak, CR mengamuk sebab perut ayam yang dia peram sama santan kalau tak silap, dibuang dari peti sejuk. Ya. Itu pun kejadian sebenar.

Beberapa adegan di Pengkalan Hulu, sengaja ditulis. Sebab ni nak mudahkan saya membayangkannya. Maklum CR saya memang belajar di MRSM Pengkalan Hulu. Jadi, senangkan untuk saya nak menulisnya.

Watak heroin, nama Sofeatulaishah tu sebenarnya nama geng anak saya Anis di TKC. Pinjam nama tu sebab saya memang selalu failed nak cari nama heroin. Mana datang Pia Pemuk. Hahaha... ni sebab CR saya memang panggil girlfriend dia (sekarang menantu saya) Pemuk. Iaitu ringkasan Pendek Gemuk.... hahahah kejam dan laserkan mulut CR saya.

Kisah CR yang sakit tiba-tiba, yang tiba-tiba tak boleh berjalan sekelip mata; ya itu pun kisah benar yang terjadi pada saudara rapat saya. Detik-detik ketabahan Pia Pemuk jaga CR  masa lumpuh itu semua momen yang berlaku depan mata saya. Saudara saya masih lagi diuji Allah swt. Jauh di sudut hati, malah detik saya di dataran masjidilharam September 2019, ini antara doa saya. Saya merayu semoga Allah beri kesembuhan pada saudara saya itu dan pada belahan jiwa yang menjaganya, semoga terus diberi kekuatan.

Semua kejadian, pengalaman, karektor dan momen-momen peribadi yang berlaku di sekeliling saya, saya jalinkan dalam Izinkan Aku Jadi Sayapmu.

Ada ketika saya rasa, menulis ini umpama menenun songket, menyulam, menggubah atau mungkin memasak. Kita buat, kita olah, kita jalin, kita jahit perca-perca kenangan dan pengalaman menjadi sebuah karya.

Tamat di Harian Metro 2015, saya terdetik mahu jadikan Izinkan Aku Jadi Sayapmu novel fizikal. Alhamdulillah, saat menghubungi bos Karyaseni, semuanya menjadi kenyataan.

Terima kasih buat pembaca yang mungkin pernah followed cerita ni di Harian Metro.
Terima kasih juga buat pembaca yang sudi beli dalam bentuk novel fizikal terbitan Karyaseni.
Sesungguhnya ilham itu ada ketika datang begitu sahaja.

Dan pengalaman menulis secara bersiri selama setahun di Harian Metro sesungguhnya satu pengalaman yang amat mahal buat saya. Apatah lagi saya memang tidak pernah menulis bab demi babnya untuk buat stok. Setiap minggu tulis satu bab, kemudian baru diemel.
Sekali lagi terima kasih buat yang sudah membaca Izinkan Aku Jadi Sayapmu.






Thursday, April 30, 2020

Selamat Menyambut Hari Keputeraan Sebenar

DIRGAHAYU TUANKU.
Selamat Menyambut Hari Keputeraan Sebenar
Kebawah DYMM Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah,
Sultan Negeri Kedah Darul Aman
DARI TEAM - TENTERA KE TAKHTA-

ShareThis