MENULIS CINTA HILANG KATA, memberi
cabaran dan keseronokan yang luar biasa pada saya. Mungkin sebab terbit sendiri. Saya tulis ikut sesedap rasa saya aje. Dalam CINTA HILANG KATA, watak putih,
bukan seorang. Demikian dengan watak antagonisnya yang lagi mudah disebut watak
hitam, tidak hanya seorang dalam CINTA HILANG KATA. Watak Amirul dan Jah Gayah
antara watak antagonis yang selalu mencetuskan konflik dalam novel ini. Entah
mengapa, saya rasa seronok membakar jiwa pembaca perlakuan Jah Gayah dan
Amirul. Dalam hidup ini kekadang ramai aje antagonis yang berwajah suci. Ada
juga antagonis yang selalu play victim. Ada ketika dalam alam nyata, kita boleh
tengok antagonis yang kekal bertaring, berkuasa dan menguasai. Dalam novel,
watak antagonis yang berhati hitam begini, selalunya menjadi asbab kepada
takdir hidup watak protagonis. Rasanya macam mudah lagi tulis untuk antagonis
berbanding protagonis. Buat adik-adik yang baru belajar menulis, kalau mahu
menulis watak antagonis, jangan dicicirkan perkara seperti liuk lentuk tubuh,
gerak mata, jelingan, sinis bibir tersenyum, pemilihan dialog, intonasi suara;
semuanya boleh menambah perisa pada pembinaan watak antagonis.
#cintahilangkata
#loveyouinsilence
#lilyhaslinanasir
2
AMIRUL & JAH GAYAH
Meresah jiwa hilang kata,
Perasaan ini bukan biasa;
Kisah silam penuh ceritera,
Dendam lama menakung bisa.
NURUL MASIH KECIL KETIKA ITU. Namun kecilnya bukan bererti
segala-gala kenangan pahit itu mudah sirna dalam fikiran. Setiap jerkahan masih
memberi tanda di hati. Setiap kerlingan masih meninggalkan parut di jiwa. Dia
umpama kanak-kanak kecil yang lumpuh deria bahagia. Dia tidak tahu mahu mengadu
pada siapa. Dia lebih banyak berdiam, memerhati, menyimpan dan membuat
andai-andaian sendiri.
Tatkala itu dia sudah dapat membaca gerak
dan tingkah Jah Gayah. Wanita yang mengasuh dirinya itu memang penuh lakonan. Di rumah teres
sederhana besar itu dia mengenali wanita itu dan anaknya, Amirul.
Memesrai persekitaran rumah dan halamannya hanya mengajar Nurul mengenali
manusia-manusia lain. Memang ada insan yang jiwanya penuh lalang, semalu
berakar umbi menjalar ke segenap saraf nadi.
“Ya Allah! Apasal budak
ni? Melalak aje! Nanti aku lempang baru tahu! Hesy, diamlah! Memekak aje!”
“Mak, tangan Nurul terpegang cerek
panaslah mak!”
“Hah???”
“Ni... mak tengok, kulit dia melepuhlah
mak! Dia pegang cerek yang mak letak kat bawah tu.”
“Huh! Budak tak tau duduk diam ni! Nak aku
cili-cilikan aje punggung dengan kaki tu! Berjalan aje! Dah melantak nasi, dah
minum susu pun tak tau nak tidur.”
“Mak Jah, sakit... tangan sakit.” Anak
kecil itu berkerut-kerut dahi menahan sakit. Dia menghulurkan tangan kanannya
dengan harapan ibu pengasuh itu akan memberi kelegaan pada hujung jari-jarinya
yang sudah merah dan menggelembung kulitnya.
“Padan muka kau! Degil! Aku kata diam, tak
reti bahasa. Aku kata tidur, tak mau tidur.
Hah, rasakan!”
“Mirul... pergi ambik minyak
gamat!” Jah Gayah memberi arahan pada Amirul. Anak lelaki yang beza umur hanya tiga
tahun daripada Nurul Masmin itu pantas menghulurkan sebotol minyak
gamat.
“Mirul, tadi kenapa tak tolong tengokkan
Nurul? Mak tengah sidai baju. Kalau apa-apa jadikan, susah.” Jah Gayah
terus-terusan membebel.
“Mak Jah, Nurul nak susu....”
“Tadi dah minum sebotol, nak lagi?” jerkah
ibu tunggal itu. Memang kalau ikutkan panas hati, dia mahu lempang kiri kanan
mulut kecil yang kuat merengek itu. Apatah lagi apabila memandang wajah kecil
itu yang seiras emaknya, Azmeena. Mak Jah memang tidak berkenan langsung emak
Nurul Masmin. Dirinya bersetuju menjadi ibu pengasuh anak kecil itu tak lain
tak bukan, semata-mata kerana Tuan Razali. Entah mengapa hatinya selalu
berdebar-debar setiap kali berselisih dengan Tuan Razali sama ada di kedai
runcit atau di kawasan perumahan itu.
“Nurul nak susu, Mak Jah... nak susu....”
Botol susu yang sudah berkeladak dan bersisa susu basi, dihulurkan oleh anak
kecil itu di hadapan Mak Jah.
“Hesy, budak ni! Aku hempaskan baru tahu!
Tak reti bahasa agaknya. Bak sini!” Mak Jah menjerit menyebabkan Nurul
terkejut. Anak kecil yang rambutnya bertocang dua itu segera menghulurkan botol
susunya. Kemudian kaki kecil itu terkedek-kedek berlari menyorok di balik pintu
bilik.
“Hah, duduk balik pintu! Lepas ni kuku pulak tercabut
terkepit dek pintu! Nurul... sini!” Mak Jah bertempik garang. Susu dua sudu
besar dibancuh dengan air sejuk biasa. Tidak dicuci pun botol susu yang kotor
itu. Digoncang susu sehingga larut. Kemudian dia membuka kembali penutup botol
susu itu. Mak Jah mencapai sesuatu di dalam peti sejuknya. Ubat batuk. Dia
memang menyimpan sebotol kecil ubat batuk khas untuk Nurul jikalau anak kecil
itu degil tidak mahu tidur. Dituangkan satu sudu besar ubat batuk di dalam
botol itu. Ditutup botol itu dan digoncang kuat-kuat. Biar larut. Biar sebati
dengan susu.
“Nurul... pekak ya?”
Anak kecil itu mengintai di balik pintu.
“Cepat! Kata nak susu tadi. Ambik ni!
Cepat!” jerit Mak Jah tanpa mempedulikan anak kecil itu semakin mengerekot
badan ketakutan.
“Nah... minum sampai habis!”
Nurul mencapai botol susunya dan terus
berlari pantas ke bilik belakang rumah teres tiga bilik itu. Di bilik stor
itulah dia menyembunyikan diri daripada segala ketakutan. Biar dia kecil, dia
faham benar rutin Mak Jah.
Mak Jah akan siapkan dia kemas-kemas
sebelum emak tiba untuk mengambilnya. Rambut disisir rapi dan diikat kemas,
siap dilumur minyak zaitun. Pipinya dibedakkan. Mak Jah memang memastikan dia
cukup wangi untuk dicium emak setiap petang.
Namun Nurul sering tertanya-tanya mengapa
bila giliran papa menjemputnya apabila emak lewat pulang, Mak Jah berkelakuan
aneh? Mak Jah akan pakai lawa-lawa dan mekap lebih daripada biasa. Kalau papa
beritahu awal yang papa akan jemput, Mak Jah siap masak sedap-sedap. Mak Jah
siap bungkuskan gulai untuk papa. Bibir Mak Jah akan bergincu merah, matanya
berpantis dan bercelak hitam. Bukan lawa pun, tetapi menakutkan di mata Nurul.
Macam mata burung jampuk dia memandang Mak Jah. Pakaian Mak Jah mengalahkan
waktu Hari Raya!
“Kenapa bibir Mak Jah merah sangat! Macam
berdarah....”
“Kau diamlah! Pergi main kat sana!” Mak
Jah menghalau Nurul yang mengintainya di balik pintu bilik. Nurul memerhati dan
terus mengamati. Kenapa Mak Jah pakai baju kebaya ketat tu? Ketat sungguh.
Sampai rasa macam tak bernafas. Pelik sungguh!
Dan rasa aneh dan pelik itu benar-benar
menguji rasa bingung Nurul. Cuma dia tidak tahu bagaimana mahu meluahkan rasa
itu. Dia tidak tahu pada siapa dia harus bertanya.
Suatu petang dia terdengar suara Mak Jah
macam merengek. Kemudian terdengar suara papa. Suara Mak Jah kemudian
bertingkah dengan suara papa. Waktu itu Amirul sudah lesap ke padang untuk
bermain bola.
“Jah, saya suami orang. Saya ada isteri,
ada anak. Tak elok kalau Jah nak tersua-sua macam ni. Tak manis. Jah janda, tak
elok kalau buat bukan-bukan. Yang buruknya nanti nama Jah jugak. Saya
dengan Azmeena memang ikhlas nak Jah jaga Nurul Masmin. Anggaplah dia macam
anak sendiri. Kita boleh jadi bersaudara. Kalau takat Jah susah duit, bila-bila
saya boleh bagi Jah duit lebih. Tapi bukan macam ni, ya.... Tak manis. Betulkan
balik butang baju tu. Nampak dek orang lain, apa pulak nanti
kata orang. Timbul fitnah.”
Biar masih kecil, namun kata-kata papa
yang dicuri dengar di balik pintu bilik itu memang membuat Nurul berkerut dahi.
Betulkan butang baju? Mak Jah kenapa? Itulah... pakai baju ketat sangat sampai
butang pun boleh terbuka. Tadi Mak Jah kata pening kepala, tak sihat. Tu sebab
papa ambil beg baju dan beg susu Nurul di ruang tamu. Tiba-tiba Mak Jah keluar
pakai cantik-cantik. Mak Jah dah siap-siap suruh Nurul duduk dalam bilik.
Peliklah Mak Jah. Kata sakit, kata nak demam, tapi pakai baju lawa-lawa. Hah, padan
muka. Kan dah kena tegur dengan papa!
No comments:
Post a Comment