Thursday, April 6, 2017

LELAKI LINGKUNGAN CINTA - SINOPSIS

Nama dia Adib. Dipanggil teman sebagai Apek @ Ah Cai. Nak buat macam mana. Dah matanya sepet kuyu dan suaknya memang serupa apek jual buah. Budak kurus, gonjeng, suka sengih dan berlesung pipit ini memang selalu bikin ribut di kolej. Ada-ada saja akalnya bercambah menumbuhkan tanduk di kepala bersama teman-teman di kamar AL007.


Dalam kenyit nakal matanya, entah mengapa seluruh tubuh terasa dibius kalau berdepan dengan Esya. Gadis manis, rakan sekelas yang pernah kuyup dan tersedak terminum air mandian Adib ini, entah sudah berguni-guni menyumpah-seranah lelaki ini,.



Bertentang mata dengan Esya boleh membuatkan Adib terasa dunia ini kedap udara. Sukarnya untuk bernafas. Dan dia berasakan Esya itu jodohnya. Cinta memang tak boleh dibawa berunding. Cinta memang payah mahu diajar! Hati tidak boleh diasuh! Kalau kasihnya sudah termaktub untuk Esya, semakin gadis itu menolak, semakin bergelora Adib mahu menaklukinya.


Kata Esya, “Saya tak sukalah berdating-dating dengan lelaki sekampus! Masya-Allah, brother, apa hal nak berdating aje ni. Kalau berani masuk meminang, nikah teruslah.” Sengaja Esya membasuh!


“Jumpa jodoh kat mana? Dekat vinding machine ke? Degree pun tak selesai lagi dah sibuk nak kahwin? Dengan Esya? Eh, bukan budak itu selalu kau dajalkan dulu? Nak bagi anak dara orang makan apa kalau masih student dah nak bernikah. Dah kena sawan tarik ke, Adib? Gatalnya adik kakak ni!” Itu bebel Kak Dayana.


Mujur abang ipar yang budiman, Abang Azmie sentiasa husnuzon.


“If nikah and walimah cost RM10,000, and zina cost a cinema ticket and popcorn… what have we done to the deen of Allah? Bernikah muda tu lebih baik daripada ke hulu ke hilir tapi tak halal! Tak ada salahnya bernikah muda.”


Penyudah cinta hampir tampak sempurna. Indah penuh pelangi jiwa, kalbu berdegup bahagia, tatkala cinta pandang pertama, cinta sewaktu belum selesai SPM, akhirnya dipateri dengan ijab kabul. Tolak tepilah kalau orang mengumpat keji. Student bernikah dengan student, tentu aje semuanya bajet rendah!


Tapi rupa-rupanya, fitnah, cemburu, hasad dengki dan jiwa nan baran menjadi ujian buat pasangan muda ini. Hanya rayuan doa demi doa ke langit ke tujuh mampu menyatukan mereka kembali.

No comments:

ShareThis