Thursday, July 13, 2017

TEASER NOVEL LELAKI LINGKUNGAN CINTA

Penerbit Karyaseni with Lily Haslina Nasir.
2 hrs
JOM BACA TEASER NOVEL LELAKI LINGKUNGAN CINTA DARI NOVELIS LILY HASLINA NASIR TERBITAN PENULISAN2U
BAB 18
Kalbu kanda terasa derita,
Mencari dinda tidak berjumpa.




Sewaktu jalan bersaing dengan Arep dan Adon, Adib sebenarnya mahu terus pulang. Tapi sebaik sahaja ternampak kelibat Esya menghala ke perpustakaan, pantas dia mengekori kelibat gadis itu.
“Hoi, ke mana pula ni? Apa pasal tiba-tiba rajin nak ke library?” tanya Arep kehairanan.
“Diamlah! Jodoh lalu!”
Menggeleng dua sahabat di kiri kanan apabila mereka juga ternampak Esya di hadapan. Adib sudah melajukan langkah.
“Kau tengok tu. Nampak Esya, terus ditinggalkan kita!”
“Hai awak! Saya rindulah kat awak!”
“Hah?”
“Awak rindu kat saya tak?”
“Lama tak nampak. Adib hilang ke mana?”
“Saya sesatlah, Esya. Itu sebab lama awak tak nampak saya.”
“Awak sesat ke mana? Balik kampung? Takkan pergi daki gunung pula sampai sesat. Kaki awak masa tu kan sakit.” Polos sungguh jawapan dan andaian Esya.
“Saya nak pergi ke hati awak, sesat tak jumpa jalan.”
“Awak ni sengal la, Adib!”
“Alah, yang betul awak pun rindu kat saya, kan?”
“Mana ada? Pandai-pandai aje!”
“Kalau tak rindu, kenapa bila saya cakap pipi awak merah padam!”
Esya terdiam tanpa sebarang kata.
“Ni untuk awak.”
Lukisan kanvas diserahkan kepada Esya. Terpegun gadis itu tatkala membuka lukisan yang bergulung itu.
“Saya minta maaflah, ya? Saya rasa awak lagi comel sebenarnya berbanding lukisan ni.”
Adib sempat bertemu dengan Esya sewaktu mereka kebetulan terserempak untuk sama-sama menuju ke perpustakaan. Memang sejak pulang dari Bali, ke hulu ke hilir dia membawa gulungan lukisan kanvas itu. Jenuh kawan-kawan merengek dan memujuk. Tak seinci pun lukisan itu ditunjukkan.
Baik Adon atau Arep yang memujuk pun tak sedikit pun dilayannya. Adalah! Rahsia! Itu jawabnya sambil bergetar pipi tersenyum menunjukkan lesung pipit.
“Apa yang rahsia sangat?”
“Haha soal lohmahfuz! Rahsia Allah! Rahsia aku!”
“Cettt! Pirah Apek!” radang Adon apabila dia sendiri tidak diberi peluang untuk tumpang sekaki.
“Awak pergi Bali, ya?”
“Hihihi!”
“Awak ponteng kuliahlah maknanya!”
“Hesy, tak baik menuduh tau! Saya pergi Bali tu bukannya apa. Sebab nak cari ubat dengan tukang urut kaki sayalah!” Cepat sungguh akalnya berputar mencari alasan. Terbeliak Esya memandang Adib.
“Cari tukang urut sampai ke Bali? Jauh gila tu!”
“Nak buat macam mana. Doktor kat sini pun tak boleh rawat. Awak tahu, doktor kata tulang jari kaki saya tu nyaris tinggal serpih aje! Retak halus. Bukan calang-calang tukang urut boleh urut dan buatkan penawar.” Penuh perasaan Adib bercerita tanpa menyedari Adon dan Arep sama pasang telinga di belakang mereka.
Esya memang sudah rasa terbenam ke tujuh kerak bumi mendengar cerita Adib. Allah! Semuanya sebab aku! Sampai remuk jari kaki Adib!
“Habis tu, sekarang?”
“Alhamdulillah! Dah okey. Tapi Pak Nyoman yang urut saya tu pesan. Saya ni tak boleh stres. Dah tak kuat terima tekanan.”
Haha! Gasak kau! Tak pasal-pasal aku jual nama Pak Nyoman! Adib puas menahan gelak apabila melihat wajah Esya bersungguh-sungguh mendengar ceritanya. Selagi sayap kanan dan kiri Esya, Si Ayu dengan Si Rinn tu tak ada, kira sap sap soi la! Rentung hangit aku menggoreng cerita. Kalau ada dua sahabat serumah Esya tu, memang jangan mimpi dapat masuk jarum!
“Saya tak faham. Apa kena-mengena kaki yang bermasalah dengan diri tak boleh terima tekanan.”
“Kata Pak Nyoman tu...” Minta ampun dunia akhiratlah ya, Pak Nyoman! Nanti kalau hari raya, aku hantar WhatsApp minta maaf zahir batin sempena idul fitri!
Adib mahu menahan gelak sebenarnya tapi akal warasnya mengawal wajah seriusnya.
“Pak Nyoman tu kata, saya ni terlekat pada graviti. Tu sebab bila kaki bermasalah, badan hilang keseimbangan. Pusat kawalan tubuh dah huru-hara. Jadi kalau tekanan ke, masalah ke, rasa marah, rasa sedih, rasa kecewa, kononnya dah payah nak urus. Entah katanya ada kaitan metafizik!”
Cewah! Terasa bijak apabila menyebut perkataan metafizik. Adib jenuh memaksa urat wajahnya tegang dan bersungguh!
Berkerut-kerut Esya mendengar cerita Adib. Comellah kau, Esya! Terasa diri begitu bijak dan hebat berhujah bila bab kelentong Esya itu. Arep dan Adon sudah saling mengangkat kening. Mahu saja disepaknya Adib dari arah belakang.
“Awak, temankan saya makan dekat Stabak boleh?”
Hesy, pandai mamat ni memancing! Serba salah Esya mahu menolaknya. Rasa macam tak seronok pula. Bukan ke baru tadi dia sebut dia tak boleh kena tekanan? Nanti macam tak memahami pula! Dah kakinya hampir remuk tulang tu pun sebab aku!
Ligat Esya memikir. Adib seperti dapat membaca apa dalam fikiran Esya, pantas dia memujuk.
“Alah! Bukan kita pergi berdua. Ni Adon dengan Arep ikut sekali.”
“Wah, Apek! Belanja kita orang ya?” Tegak leher Arep bertanya.
“Kau orang bayar sendiri!”
“Cesss!”
Serba tidak kena Esya rasakan apabila dia terpaksa berjalan sebelah Adib dan di belakangnya ada Adon dan Arep. Bukannya tak biasa. Mereka pernah belajar bersama-sama tapi perasaan janggal itu tetap ada. Apatah lagi dulu masing-masing saling bercakaran.
“Alah, cerita pasal kaki, pasal Pak Nyoman ni tak menarik sangat. Saya nak bagi awak teka-tekilah.” Adib seronok memancing perbualan Esya.
“Apa dia?”
“Awak pandai tak? Banyak-banyak kepala awak tahu tak kepala apa yang paling mahal dekat dunia?”
“Soalan apa ni?”
“Haha tak tahu, kan? Nak dengar tak cerita saya?” Mamat Apek ni dah mula jual koyok! Arep memberi isyarat mata pada Adon. Dua rakan karib itu tersengih-sengih menahan gelak.
“Awak mesti tak percaya, masa saya dekat Bali hari tu, kepala saya kena jahit.”
“Hah? Ya ke?”
“Sungguh! Nasib baik tak masuk hospital.” Terangguk-angguk Adib bercerita. Esya yang dibelanja Adib sepiring kecil nuget bersama air coklat tidak tertelan segala hidangan itu.
“Sebab apa?”
“Saya buat gaya ala-ala perenang Olimpik masa dekat kolam renang tu. Hah, alih-alih, dush! Kepala saya terhantuk dekat tebing kolam masa saya buat terjunan tiruk tu.”
Bulat mata kecil Esya memandang Adib.
“Auch!” Bibir comelnya spontan mengaduh sakit.
“Lepas tu?”
“Keluar aje kolam, saya jadi blur. Alih-alih rasa kepala panas, darah penuh dekat bahu!”
“Hesy! Awak ni, janganlah tipu!” Adon dan Arep sama tekun mendengar. Memang dia tahu kepala Adib berjahit sebaik pulang dari Bali tapi mereka tidaklah pula bertanya atau Adib sendiri tidak juga bercerita.
“Buat apa tipu? Orang kat sana kata kepala saya dah robek.” Sendiri bercerita, sendiri berdekah-dekah gelak Adib. Mujur Arep dan Adon tumpang gelak sekali memeriahkan ceritanya.
“Robek?” Esya terlopong bertanya.
“Robek? Tak tahu robek? Bahasa Malaysia awak hesy, berapa masa SPM ni? Alah, macam lagu dangdut tu, kau robek hati ku!” Berderai lagi gelak Adib.
“Awak ni sengal lah Saya tanya betul-betul!”
“Saya jawab betul-betullah ni!”
“Haha siap dia orang ambil gambar kepala saya masa dekat klinik. Hah, nampak isi putih! Macam daging ayam tu!”
“Adib! Awak nak saya muntah dekat sini ke?” jerkah Eysa dengan wajah serius tapi tidak sedikitpun Adib peduli. Makin seronok dia menyakat gadis itu.
“Eh, janganlah muntah. Nanti orang kata saya ada skandal dengan awak!” Kali ini memang berdengung gelak Arep dan Adon. Esya yang merah bersaga pipinya terus mahu angkat punggung.
“Awak janganlah marah. Saya belum habis cerita ni. Okey, serius ni. Lepas ke klinik dekat Kuta tu, awak tahu berapa saya kena bayar harga jahitan dekat kepala ni?”
Esya menggeleng.
“Enam juta, Esya! Hahaha jangan main-main, mahal tu! Juta-juta gitu! Sekarang ni kalau orang tanya, kepala siapa paling mahal dekat Malaysia ni, saya confident la! Memang kepala saya harga paling mahal! Kepala enam juta ni!”
“Hei! Saya ni bersungguhlah dengar cerita awak, sesedap rasa aje awak kelentong saya, ya!” Esya mengomel sambil memandang jam di telefon bimbitnya.
“Jangan layan Si Apek ni Esya. Kita orang pun rasa, dia makin sengal, makin bongok. Gegaran otak dia masa terhantuk ni dah tahap skala sembilan skala Richter kot! Tu yang kena jahit enam juta rupiah!” sampuk Arep disambut bibir yang sentiasa berbunga dengan senyuman Adib.
Pada wajah terkilas rasa geram, bibir comel itu terketap rapat menahan gelak. Namun Esya tidak dapat menolak rasa. Ada keasyikan berbual dan bercanda bersama Adib. Jejaka kurus ini memang penuh cerita yang bersulam ketawa.
Sejak hari itu perlahan-lahan Esya tidak menolak kalau dipelawa oleh Adib untuk singgah makan di Stabak selepas kuliah. Kalau tidak makan-makan pun, cukup sekadar minum. Atau ada waktu Adib memang kering koceknya atau Esya sendiri menolak untuk makan kerana tidak mahu terlebih kalori dalam sehari, mereka akan duduk bersembang saja di situ.
“Awak, jomlah! Awak nak cepat ke?”
“Nak balik cepat. Nak pergi dobi baju lepas ni.”
“Eh, kita pergi sama jom!”
“Awak pun nak dobi baju ke?”
Cepat saja Adib mengangguk. Ikutkan dia baju pakai dua kali seminggu pun tak ada hal! Selagi tidak tergaru-garu. Lepas pakai baju, campak saja dalam bakul. Esok lusa ulang pakai. Kalau Kak Dayana nampak memang kena jerit. Pengotor kata Kak Dayana. Alah, minyak wangi kan ada! Apa susah? Sembur ajelah! Terus wangi. Hilang bau hamis peluh.
Pulang ke rumah, pantas Adib menyelongkar bakul di balik pintunya. Adalah setakat dua helai boxer. Huh! Apa kejadah dua helai seluar adik-adik ni nak dibawa dobi?
“Adon, Arep, ada baju kotor tak?”
“Kau nak buat apa, Apek?” tanya Adon kehairanan.
“Jangan banyak tanyalah. Takkan nak buat car boot sale! Aku nak bawa ke dobi ni.”
“Eh, sejak bila dapat hidayah ni? Rajin kau nak ke dobi. Bukan kau kata kita orang bujang kena jimat duit sabun, duit pencuci basuh baju ke?” Memang ternganga Arep memandang Adib. Mimpi apa mamat ni?
“Cepatlah! Mana baju kotor kau orang?” Beg besar sudah digalas. Baju-baju kotor Arep dan Adon habis semua dikutip dan disumbat ke dalam beg itu.
“Pergh! Sejak kepala dia berjahit ni, aku rasa ada sel-sel otak dia yang dah berhubung baliklah!” Berdekah-dekah Arep dan Adon tergelak melihat Adib.
Tapi gelak itu terus padam apabila dari jauh, dari celah pintu mereka ternampak Adib berjalan beriringan bersama Esya yang sedang membawa beg IKEA berisi baju kotor.
“Ceh, mamat Apek ni! Penuh strategi rupa-rupanya. Memang strategi laut biru sungguhlah!” Terjuih muncung Adon melihat Adib melambai sambil kenyit mata ke arah mereka.

No comments:

ShareThis