Tuesday, March 6, 2018

MAHARANI - PART 6

MAHARANI - PART 6
Tak ikut turutan bab. Kita share sana sikit, sini sikit ya. Si Dida Sandra dah mula buat perangai. Hidup dia tak ada benda yang dia takut, tak ada benda yang boleh larang dia. Ikut suka hati dia aje nak buat apa, nak rembat apa, nak sauk apa....

******************
Dida Sandra
Aku terjaga pagi itu apabila telefon tidak berhenti-henti berdering. Aku tahu itu panggilan daripada Lisa berdasarkan ringtone yang aku setkan.

“Telefon you sayang.” Azry berbisik di telinga sambil tangannya semakin kemas melingkari pinggang aku. Dengan seribu rasa malas dan kepayahan aku membuka mata.
Oh, kami sama-sama terlena di sofa merah cili ini rupanya. Di penthouse Azry lebih tepat. Untuk minggu ini, tak tahu kenapa aku kalah dengan Azry. Tugas-tugas voice-over yang team aku lakukan di studio milik Azry, buat aku ekses mengenali dan merapati Azry. Semuanya terjadi begitu pantas. Kenal dalam tiga hari saja, Azry sudah merengek manja dalam pelukan aku.


“Sayang, telefon you tu… jawablah!”
Aku semakin membenamkan wajah di dada lelaki itu. “Mengantuklah.” Aku membalas perlahan.
Belum sempat aku melarang, Azry pantas menjawab telefon aku.
“Morning… Dida? Dia tidur lagi ni.”
“Ya… Azry sini. Di mana? At my place. Yes, she is here.”
Gosh!! Cepat dan pantas sangat mamat ni! Huh! Tak fasal-fasal nanti aku kena basuh dengan Lisa.
“Kenapa you jawab phone tu?” Aku bingkas bangun tapi belum sempat bangkit lelaki itu menarik aku ke sisinya.


Lelaki itu memandang aku tanpa ekspresi. Wajahnya mendekati aku. Sesungguhnya aku tak mampu menolak. Damn! He is a great kisser!
“Biarlah. Apa Lisa boleh buat? Dia bekerja dengan you.” Dan kemudian aku tak sempat berkata apa-apa lagi. Kami memulakan pagi itu dengan menikmati sesuatu yang hangat dan penuh berahi.
Pagi itu aku meninggalkan Azry dengan rasa badan yang sakit-sakit. Lelaki ini memang tangkas seperti serigala. Kami berjanji akan bertemu lagi. Tapi bagi aku cukuplah. Hampir seminggu bersama sudah cukup lama bagi aku.
Aku pulang ke rumah untuk bertukar baju sebelum ada temujanji tengah hari itu. Tak sangka Lisa dengan muka ketat sudah menunggu di ruang tamu. Aku cuba mengelak dengan terus masuk ke bilik tapi Lisa terus mengekori aku. Tiba-tiba terasa Lisa bukan semazhab dengan aku.


“Dida, you better tell me, ada benda kau sorokkan?” Aku yang sedang membelek whatsapp, disergah tiba-tiba.
“Apa maknanya tadi aku call, telefon kau mamat Azry tu jawab.”
“Aku tidurlah.”
“Tidur? Dekat rumah Azry?”
“Alah, penat. Tak sempat balik semalam.”
“Selalu sangat kau hilang. Nak cari bukan senang. Telefon tu ikut angin kau aje nak jawab ke tak!” Gadis itu mula membebel.
Lisa tiba-tiba menyedari perubahan aku. Mana taknya, asyik aku menyelinap aje dari jadual yang dia atur. Ada aje alasan aku. Haha, bab-bab mengular ni, aku memang pakar.
“You better stop it, Dida. Ni kalau kantoi, satu Malaysia heboh!”
Aku diam tidak berbunyi.
“Benda personal kau, aku tak mahu campur Dida. Tapi kau kena ingat. Dalam industri ni, kalau orang dah benci, sampai kisah mama dengan daddy kau nanti orang selongkar, orang singkap, orang londeh kan… kau nak ke? Kau nak ke orang kaitkan apa yang kau buat ni dengan sejarah silam mama kau?”


Tiba-tiba saja waktu itu aku terasa meremang bulu roma. Aku terasa seram sejuk. Ya, aku mengaku, aku kalah kalau benda begini dikaitkan dengan mama. Kalau orang yang kenal mama aku mesti tahu kisah kami sekeluarga.

Mama dicerai sebab selingkuh. Mama curang dengan perkahwinan pertama. Janda yang ada anak, mampu kuis isteri jutawan yang nama Hatta, yang kini Daddy aku.
Bukan aku tak tahu, kalau orang yang hidup sezaman dengan mama waktu muda, panggil mama home wrecker.

Wanita pemusnah rumah tangga orang. Penghancur perkahwinan orang. Aku tahu semua itu. Tapi nak buat macam mana. Itu sejarah mama. Aku masih tetap aku biarpun aku akui DNA mama memang mengalir ke segenap saraf nadi ini.

Ya, aku silap. Aku terlanjur. Aku dah terperangkap dalam banyak cinta yang kelam dan hanyir. Kalau suruh aku sebut nama kekasih-kekasih aku yang dulu pun, aku tak ingat. Tapi ini pilihan aku.
You’re such a whore! Bitch! Panggillah aku apapun! Gelarlah aku macam-macam nama. Aku peduli apa. Dah takdir aku jadi begini. Kalau aku menangis, aku meraung meratap sekalipun, bukan aku boleh jadi suci balik!
Ingat lagi Zam? Alah, lelaki yang kena jadi punca aku kena lempang dengan Prof Norden. Ya, lelaki yang pertama rangkul badan aku. Tarik rapat aku dalam dakapan dia masa Pertandingan Cover Girl tu. Sejak itu aku rasa ketagih mahu hangat dalam belaian lelaki.

Sejak nama aku jadi busuk malam tu, aku dah tekad. Alang-alang busuk, biar hanyir dan jijik terus. Kalau sekali orang dah kata kau menjalang, kau fikir, semudah rendam baju dalam klorox ke nak putihkan balik nama? Jangan mimpilah! Aku bersumpah. Aku akan kejar glamor! Aku nak jadi bintang. Aku nak jadi maharani. Biar semua lelaki merangkak sujud cium hujung kasut aku. Kalau boleh tapak kasut aku pun dia kemaruk nak kucup!


Sejak kejadian itu, memang aku perasan, semua perempuan takut nak berkawan dengan aku. Tapi macam aku cakap, ada aku kisah? Senarai one night stand aku, entah siapa-siapa, aku pun lupa rasanya. Casual sex bukan big deal untuk aku. 

Sifirnya mudah. Kalau si dia tu sesuatu, sama ada maskulin ke, handsome ke, tak berduit, aku anggap girls just wanna have fun. Tapi kalau muka macam mamat pecah rumah, kocek dia kencang, simpanan di bank pun padu, why not? Hidup ni memang untuk duit, bukan? Aku terbuka selera, dia suka, deal!

“Kau playgirl Dida! Tak takut ke? Payah nanti orang nak jatuh cinta dengan kau!”
“Playgirl tu apa? Main masak-masak? Main anak patung? Come on, hidup ni perlukan duit bukan.”
“Duit bukan boleh beli cinta.” Huh, aku meluat betul kalau Lisa dah mula nak jadi ustazah. Loya tekak.


“Hello, cinta tu apa? Bullshitlah! Ada ke dalam dunia sekarang ni cinta tulus ikhlas ala-ala suci sesuci embun pagi gitu?”
Aku tengok Lisa tergaru-garu kepala kalau aku bebel begitu.
“Sampai bila kau nak macam ni?”
“Sampai semua yang nak dalam hidup ni, aku dapat.”
“Kita tak dapat semua yang kita nak dalam hidup ni.”
“Itu kau. Bukan aku.”
“Bukan tak boleh. Tapi cara kau… sampai bila nak terus macam ni. Aku takut tengok cara kau.”
Sungguh! Aku terbeliak pandang Lisa semula. Tipu kalau kata aku tak sentap dengan kata-kata dia.
“We all eat lies when our hearts are hungry. Cinta-cinta ni tak bawa ke manalah! Kau ingat takat dapat ijazah, kerja, bercinta, kemudian kahwin, sempurna sangatlah hidup. Come onlah Lisa…. Be bold! Dare to be different. Janganlah too mainstream! Bosanlah.”
Aku tahu kalau diberi peluang mahu rasanya aku kena tazkirah dengan Lisa. Tapi dia sendiri tak larat mahu bertengkar dengan aku.
“Aku ada misi sekarang ni.”
“Misi apa?”
“Hidup kenalah ada target. Ada misi! Biar ada wawasan.”
Lisa menggeleng tak faham.
“Ni hah… kau tengok minah ni.”
Aku menunjukkan majalah yang gambar kulitnya si betina Cahya.
“Allah! Kau ni, takkan dendam lagi dengan Cahya? Dah rezeki dia nak menang malam tu.”
Berdesing telinga aku dengar ayat spontan Lisa. Berani dia cakap macam tu depan aku!
“Hei, seumur hidup dia ni kan rival aku okay! Musuh aku sampai mati!”


“Okay… okay…. Apa kena mengena target kau dengan si Cahya. Aku baca gosip, dia sekarang dah pakai Lamborghini. Gilalah! Umur baya kita dah mampu pakai kereta mewah.”
“Hah, tahu pun! Hei, kau ingat dia beli kereta tu dengan tears and sweat dia ke? Bullshitlah!”
Lisa terkebil-kebil pandang aku.
“Oh! Pleaselah Lisa…. Kau ni kenapa bendul sangat hah? Kalau tak sebab sugar daddy dia tanggung, kau ingat dia boleh mewah macam sekarang!”

“Hish kau ni… mamat yang date dengan dia tu kan memang long time boyfriend dia. Alriz tu. Pandai aje kau kata bapak gula dia. Handsome over dose mamat tu! Anak orang have have gitu.”
Kecil besar, kecil besar aku pandang muka Lisa. Dada aku memang berombak kencang.
“I don’t care kau nak kata mamat tu kekasih lama ke, kekasih baru dia ke… itu target aku. Aku nak try sampai dapat.”
“Kau ni suka kacau orang punya!”
“Excuse me! Apa kau cakap?”


“Taklah… sudah sudahlah tu perang dengan Cahya. Dia tak kacau hidup kau pun.”
“Aku tak peduli. Hidup kita ni kau macam survivor. Mana tahu, rezeki aku pulak nak rasa senang dengan duit Alriz. Diaorang bukan laki bini pun. Orang dah bernikah pun boleh bercerai.”


Aku tengok muka Lisa terkulat-kulat.
“Jangan nak buat muka acah-acah suci dekat sini. Meluat aku tengok.”
“Nak kaya banyak cara lainlah, Dida.” Lisa memang sangat tak setuju bab-bab ni dengan aku. Mujur saja bab mengatur jadual aku, gadis ini sangat cekap dan pantas. Kalau tidak memang payah kami mahu bergerak sebagai satu team.
“While some girls are searching for a rich husband, I’m focusing on being a rich wife. Mudah aje slogan aku. Don’t marry rich, be rich!”
Lisa terbeliak. Membuat muka lugu dan dungu.
“Kenapa?”
“Tak faham.” Polos sungguh kawan aku yang seorang ini.
“Kalau nak kaya, fokus jadi isteri yang kaya. Tapi jangan setakat kahwin dengan orang kaya, kau sendiri kena jadi kaya… macam mana nak jadi kaya, pastikan setiap sen duit dan harta laki tu hak kau, atas nama kau! Faham?”
Semakin bulat biji mata Lisa. Aku terkekeh-kekeh gelak.
“Baik kau study kau punya skriplah! Daripada layan kepala sampai tumbuh tanduk!”
“Alah tu nanti masa skrip reading boleh hafal semua.”
“Eh, just nak share… kau tahukan, Cahya dengan Edan sekarang pulun enam puluh episode. Diaorang kata sweet sawit cerita tu.”
“Siapa? Edan?”
“Yalah… Edan.”
“Pleaselah… takat budak separuh masak tu! Confirm ke lautlah cerita.”
“Hei, hello… karektor dia strong tau kali ni untuk cerita tu.”
“Beb, memanglah karektor strong, cerita bagus… tapi kalau hero takat budak Edan tu. Sebut dialog macam baca berita pukul lapan malam, tak ke mana perginya si Cahya tu.”


Hangat hati aku tak fasal-fasal.
“Edan tu siapa… muka pun macam muka tak siap. Apa cerita dia berlakon pun aku tak ingat.”
“Hish mulut kau… dia tu sekarang iklan dah mula carilah! Muka boleh jual tu!”
“Aku kenal dialah!”
“Hah?? Kau kenal dia? Hei, dia ex-boyfriend kau yang ke-44 ke?” Mengekek-ngekek Lisa tergelak.
“Bongoklah kau! Siapa pernah tinggal area rumah aku dulu memang kenallah mak dia.”
“Lorr… tadi kau kata kau kenal Edan. Ni kau kenal mak dia pulak. Kau bakal menantu tak jadi ke?”
“Helloooo… tak sesuai! Mak dia tu dulu memang jadi tukang cuci rumah. Pernah kerja jadi mak cik cleaner dekat 7-Elevan tempat kita orang. Memang kenallah sangat. Si Edan tu dulu selalu jemput ambik mak dia, naik kapchai buruk dia.”
“Wow! Impresif.. semua kau tahu!”
“Come onlah beb…sama macam aku kenal betina Cahya tu. Kita orang kenal sejak belajar kot. Mamat Edan ni pulak biasa berniaga. Kekadang gerai kuih, kekadang masa bazar Ramadan. Meniaga kuih.”
“Oh, really?”
“Kau ingat aku nak karang cerita?”
“Ke kau memang minat dia?”
“Dia tu siapa? Nak beli handbag aku pun belum tentu mampu.”
“Manalah tahu. Bukan kau suka rampas apa yang Cahya dapat ke?”
“Kalau job Cahya, yes… aku guling-guling nak. Kalau takat mamat Edan tu, sebelah mata aku tak pandang.”
Tambah menghilai Lisa mendengar bebelan aku.
“Whatever!”


Lisa kemudian tersengih-sengih sendiri. Dia seperti bersiap-siap.
“Beb, aku keluar makan dulu dengan Faiz. Kejap aje. Nanti kau siap, kita pergi sama ke Bangsar.” Aku mencebik mendengar nama Faiz.
“Tak boring ke hidup kau, pandang muka jantan tu aku siang malam, pagi petang. Get a life lah Lisa!”
Lisa mengenyit mata sambil terus meninggalkan aku yang sudah menghilai gelak.
“Kau pesan pada Faiz, tukar fesyen rambut tu. Aku tengok muka dia macam berpetak sangat! Hodoh!”
Aku sengaja melaung kuat. Memang niat mahu membakar hati Lisa. Huh, perempuan lurus bendul. Taat sangat dengan satu jantan.
“Kau kejamlah!” Lisa menyahut di balik pintu.


Dan aku terus tenggelam dalam gelak yang tak berkesudahan. Aku tak tahu kenapa. Aku anggap Lisa buang masa. Penat dah aku berleter pada Lisa. Kalau cari lelaki biar berjenis sikit! Beri cinta pada lelaki setakat kasta si Faiz. Lelaki macam tu kalau kahwin esok lusa, setakat gaji entah dua tiga ribu aje. Mahu beli kereta nasional pun agaknya azab catu duit belanja. Selebihnya apa… mampu derma benih ajelah!

No comments:

ShareThis