Thursday, April 12, 2018

REVIEW 1 - NOVEL - NEREDESIN? DI MANA AWAK?

NOVEL - NEREDESIN? DI MANA AWAK?
PENULIS - Puteri Nor
Penerbit - Penerbitan Karyaseni
cc: Makcik Karyaseni

Dah berbelas tahun rasanya saya tak mengupas novel. Zaman di kampus dulu memang berulang-alik ke DBP, jumpa arwah Pak Ajikik yang bagi peluang pada saya buat resensi novel untuk majalah DBP. Rasanya zaman tu tiga tahun juga saya buat resensi novel. Lepas ke dunia kerja, hobi tu saya tinggalkan. Mudah-mudahan dengan NEREDESIN? DI MANA AWAK? saya diberi Allah swt kelapangan masa utk terus buat review karya-karya sahabat yang saya kenali.

REVIEW 1
Untuk seseorang yang dewasa dalam disiplin ilmu kejuruteraan dan beraliran sains tulen sepanjang pengajiannya, saya memberi tabik hormat buat Puteri Nor. Dua cabang berbeza, namun Puteri Nor berjaya membuktikan, apabila minat dan kecintaan bersatu, tiada yang mustahil. Apatah lagi Puteri Nor sebelum ini juga pernah membuktikan kemampuan diri, apabila menulis untuk genre remaja sebelum beralih kepada karya seperti yang ditangani sekarang.

Neredesin? Awak Di Mana? Bagi saya sebuah karya yang padat, dan dijalin dengan penuh sabar oleh Puteri Nor. Latar waktu dan latar tempat yang dipersembahankan oleh Puteri Nor amat kemas. Menunjukkan penulis tahu apa yang ditulis, rinci dengan setiap tempat yang dinyatakan. Membawa pembaca mengembara dan mengenali ruang daerah yang dilewati watak-wataknya.

Awal pembacaan, kita dapat rasakan Turki amat akrab dengan penulis. Beberapa Bahasa Turki disertakan pada dialog. Tidak mencacatkan kerana turut disertakan sekali makna dalam Bahasa Melayu.
Watak Ruby Haya seorang arkitek bertemu dengan Mejar Syed Hilal Aslan, juruterbang pesawat tempur. Cinta datang tanpa diduga, seharusnya berakhir dengan indah, tetapi rintangan yang terbentang membuat semuanya jadi serba galau dan kacau-bilau. Bermula detik ini pembaca akan merasai turun naik emosi pasangan berkasih ini. Gadis ini punya kisah hidup yang perit dan panjang. Namun penulis menampakkan ketabahan Ruby melalui tindakan dan tutur katanya yang matang.

Hilal dibayangkan penulis sebagai jet fighter bermata hazel dan ada sisi jiwa lembutnya. Jejaka tampan yang memiliki sepasang golden eyes ini amat menyayangi kucing. Namun sentiasa siap siaga dan berawas apabila menjaga Ruby gadis yang sejak awal mencuri hatinya sejak dia ternampak di Kem KD Sri Medini. Elemen military sememangnya DNA bagi karya Puteri Nor ini. Bukan sekadar rona hijau tentera pada kulit buku, isinya juga menjelaskan pengetahuan Puteri Nor tentang dunia ketenteraan amat luar biasa. Terasa macam melawat kem tentera apabila membaca kisah ini. Oppss… saya lupa! Puteri Nor sendiri hebat menembak bukan?

Puteri Nor melukis watak hitam pada karya ini sehitam-hitamnya. Hitam yang sempurna bagi saya. Mungkin ada yang menganggap keterlaluan. Mungkin ada pembaca yang tak boleh terima. Tapi percayalah, di luar sana, ada saja manusia-manusia ini. Dalam dunia realiti, ramai saja yang ada penyakit seperti watak Saadiah, Sara dan Mak Mah. Dan Puteri Nor menjadikan Neredesin ini umpama kanvas yang tiada sempadan warna untuk penulis mencipta wataknya. Dua dekad Ruby tertekan dituduh anak pungut oleh Mak Mah, bukan sesuatu yang mudah untuk dihadapi.

Saadiah, Sara dan Mak Mah sederetan watak hitam ciptaan Puteri Nor yang bagi saya memberi keseimbangan cerita selepas kita menghadam putih dan polosnya watak Ruby. Kemudian muncul Shah dan Ayhan yang menambah lagi jalinan plot Neredesin. Pada beberapa bab, terasa seperti menyaksikan pertarungan tangkas sewaktu jejaka-jejaka dalam novel ini mahu menyelamatkan Ruby.

Neredesin? Awak Di Mana? Boleh saja dianggap gandingan dan gabungan kisah cinta, budaya juga aksi. Biar platformnya adalah pertembungan dua hati yang berbeza darah, berlainan bangsa dan kasta, ada drama air mata, namun Puteri Nor berjaya mengadunkan novelnya ini lari dari kebiasaan. Eleman aksi dan saspen serta ilmu bantu yang dimiliki Puteri Nor sendiri dalam dunia ketenteraan, menyempurnakan lagi naskhah ini.

Sempurna air tangan insan, takkan sama sempurna Yang Maha Mencipta. Itu pasti. Selera manusia pun berbeza, beza. Sedap jiwa saya menghadam karya ini, mungkin tak sama dengan pembaca lain. Yang pasti, karya ini berbaloi dimiliki.

Kudos untuk Puteri Nor.
Satu perkara yang saya terbayang…. Pastinya Puteri Nor menaip kisah ini dengan sebeban rujukan. Homework yang dibuat tentunya bukan sedikit. Tahniah Puteri Nor. Semoga dalam kisah cinta masih ada ilmu dan manfaat yang boleh kita kongsikan.

No comments:

ShareThis