Wednesday, February 28, 2018

MAHARANI - PART 2

Mintak ampun banyak-banyak ya kalau Maharani ni ada yang mual baca. Tapi itulah... perangai manusia ni aneh-aneh bukan? Ada yang dah cukup segala-gala tapi tak pernah puas. Kadang-kadang ada yang diberi rezeki melimpah-limpah, pun asyik rasa tak puas. Ni masih kisah ibu Dida, Nuren. Fokus cerita sebetulnya Dida, Cahya dan Edan.
********************

MAHARANI
PART 2

Aku baru saja keluar kereta. Tiba-tiba telefon berbunyi. Terpapar Hatta Sayang di skrin.
“Hai abang.”
“Nuren dekat mana tu?”
“Emm, ni nak beli barang sikit.”
“Dida okay?”
“Okay aje.”
“Sayang abang ni okay tak?”
“Okay… jangan risau.”
“Suara lain aje tu.”
“Rindu dekat abang. Cepatlah balik. Nuren bosan dengan anak-anak aje.”
“Jangan risau. Malam nanti abang buat video call.”
“Nuren tunggu abang ya!”
“Love you sayang. Miss you!”
“Love you more!”

Aku dan Hatta berhenti berbual setakat itu.
Berderau darah aku bila disebutnya video call. Mujur waktu itu Hatta tak tergerak nak buat video whatsapp. Kalau tak memang kantoi aku dekat hospital. Sejak bernikah dengan Hatta, aku sesungguhnya menikmati syurga dunia. Peduli apa aku kalau ada yang tuduh aku perampas. Hidup ini bukan ke satu kitaran, satu persaingan.

“Dida mahu nyusu.” Suara Bibik Sunti mengejutkan aku.
Aku menoleh. Ya, Dida sudah mula merengek. Aku tengok jam di tangan.
“Alah, kejap lagilah. Saya nak cepat.”
Langkah aku kembali pantas. Berkeletak-keletuk dengan high cut ankle boot. Sesekali aku menoleh ke belakang. Bimbang Bibik Sunti yang menolak stroller jauh tercicir.
Aku menggumam. Kalau lambat, payah dah nak jumpa doktor seorang ni!
Si kecil di dalam strollernya sudah terketik-ketik. Mula merengek perlahan
“Bagi puting dululah.”

Dalam masa yang sama terasa dadanya membengkak. Ada rasa sengal-sengal. Susu badan bila-bila masa saja boleh mencurah. Mujur aku pakai padding dan korset. Aku menoleh lagi pada si kecil. Betullah tu nak susu! Mulut kecil tu mencari-cari sesuatu. Macam mulut anak burung minta disuap ibu. Aku serba-salah. Tapi aku harus bergegas.
“Tunggu saya daftar dulu, nanti kamu bagi susu botol.”
Bibik Sunti yang setia, mengangguk.

Damn!
Di ruang lobi, tanpa diduga ada pula yang kenal! Benci betul waktu begini ada yang melambai.
“Hei, Nuren! Hot mama pun ada sini!” Ema rakan yang satu sekolah dulu menegur.
“Ya Allah, lamanya tak jumpa Ema!” Aku benar-benar kaget.
“Mana menghilang? Dengar kau dah lama bernikah dengan Hatta ya?”
Terasa ada sesuatu yang menyekat aku daripada berkata-kata.
“Lama jugak.”
“Habis tu? Wanzir?”
“Jodoh kami tak lama. Dah takdir.” Tak tahu sebenarnya apa jawapan terbaik.
“Tapi kira okaylah! Rezeki tu dapat Hatta. Eh, bini dia macam mana?”

Mujur saja Dida merengek. Aku pantas mengambil Dida. Cara paling sopan untuk aku tidak menjawab soalan Ema. Biasalah. Kalau cerita macam ni, semua suka dengar. Semua suka mengorek. Lepas tu cerita sejengkal boleh jadi sedepa. Lagipun aku sudah lama talkinkan nama Wanzir dalam hidup aku.
“Comelnya!” Ema mencuit pipi Dida. Aku lega. Dida mematikan cerita aku fasal Hatta.
“Nak bawak baby Dida cucuk tiga bulan.”
“Alahai… budak comel Dida nak kena cucuk ya! Strong girl jangan demam.”

Anak Ema belum habis pantang kan? Demam ke?”
“Baru umur dua minggu. Tak demam.”
“Ada temu janji post natal ke?”
“Tak! Ema bawa Cahya sunat. Ingatkan nak sunat masa umur seminggu. Tapi Dr Zain pulak sibuk.”
“Ohh….”
“Dida dah sunat kan?”
“Sunat? Err... belum.” Aku sedikit tergamam. Eh, sunat? Tak pernah terfikir pulak!
“Sempat lagi tu.”
“Eh, anak perempuan pun kena sunat ke?” Polos aku bertanya.

Ema tergelak melihat reaksi aku. Tiba-tiba terasa aku macam ibu yang dungu pula.
“Anak-anak perempuan Nuren yang lain dulu tu tak sunat ke?”

Tergamam dengan soalan itu, aku memulangkan pertanyaan Ema dengan soalan acah-acah naif, “Umur berapa paling sesuai disunatkan? Kalau tak sunat ada effect apa-apa ke nanti?” Aku spontan bertanya tapi matanya sekejap-sekejap memandang ke arah kaunter. Bimbang terlepas dengar kalau nama aku dipanggil.
“Better waktu baru lahir.”
“Alamak, terlupa lah haritu nak sunat masa lepas bersalin. Aiseh... gegurl aku dah besar. Boleh lagi ke nak sunat?” Sengaja berlucu menghilangkan debar dada.
“Bolehlah!”
“Penting ke?”
“Of course! Kalau ada adik-adik gegurl Cahya nanti pun insya-Allah semua bakal “disunatkan”. Biar ada sifat malu, sopan santun, tak tergedik-gedik lebih sangat. Sikit sikit tak apa! Tak mahu nanti menggarik sangat!”

“Ya ke?” Mata aku rasanya semakin membulat. Aku mengerling ke arah Dida yang sedang tenang menyusu botol. Gosh! Si kecik ni bila menyusu, dada aku yang sakit berdenyut! Huh, susu melimpah-ruah! 

“Perempuan kalau tak sunat, tu yang jadi menggelenyor aje! Tak betul-betul jaga jadi buas!”

Telinga aku terasa panas dan sedikit berdesing. Perempuan depan aku ni mahu menyindir aku ke?
“Hish taklah!” Pantas aku memangkah.
“Memanglah kita mintak yang baik-baik. Tapi yalah, kalau boleh kawal, lagi baik kita kawal.”
Gulp! Tiba-tiba terasa kerongkong kering. Aku sudah kelat-kelat senyum. Pahit!
“Alah, kalau Nuren nak buat sempat lagi. Sekelip mata aje proses tu. Tak sempat baby nak menjerit.”
“Ya ke? Budak tak demam? Tak meragam?”
“Doktor cuma letakkan cotton ball yang dah dititiskan antiseptik dekat kawasan yang dipotong tu... Taklah sampai bleeding ke apa pun. Darahnya cuma setitik je kot. Baby okay aje lepas tu.”
“Oh!!”
“Puan Nuren Arshad. Bilik Konsultasi 2 ya”
Aku pantas menyambut surat dari kaunter dan Ema memandang dengan sedikit kerut.
“Bilik Dr Quah. Bukan jumpa Dr Zain?”
“Aha, Dr Quah. Bukan Dr Zain.”
“Oh…” Mulut Ema sedikit terlopong. Aku tahu dia mahu bertanya lagi tapi aku lebih pantas mengelak.
“Kita jumpa next time ya!” Nanti kita sembang-sembang lagi! Banyak gosip!” Aku mengenyit mata sambil memberi isyarat Bibik Sunti menolak stroller rona merah cili baby Dida Sandra
“Insya-Allah! Ada masa kita jumpa. Mana tahu, anak kita nanti jadi kawan baik pulak.” Aku tersenyum manis, berbasa-basi mencium anaknya Cahya.

“Mesti jumpa! Tak sangka rezeki Nuren macam ni sekarang. Happynya tengok!”

“Dalam hidup ni kita kena firm dengan apa yang kita nak. Kekadang rasa macam payahkan. Hidup menjeruk rasa. Kalau nak hidup senang, nak kaya, kekayaanlah yang kita cari. Ada masa keadaan paksa kita tekad dengan keputusan.”

Tipu kalau aku kata tak rasa sebak masa aku cakap begitu. Aku benci kalau terasa sedih mengenang laluan hidup aku. Tak perlu nak syahdu sangat aku rasa. Sebab ini yang aku pilih.
Ema mengangguk dan kami saling berdakap dan bertukar ciuman di pipi.

“Jangan lupa tau! Nanti kita jumpa ngopi-ngopi.” Tampak Ema begitu mengharap. Maklum kami memang sudah lama tak jumpa. Agaknya dia sangat terkejut dengan perubahan aku.
Ema mengendong kemas Cahya Kartika di lengan. Namun aku dapat rasakan fikirannya masih sedikit celaru. Aku beritahu dia mahu pergi cucuk anak. Tapi what the hell dia nampak aku jumpa Dr Quah? Aku yakin pertanyaan itu sedang berlegar di fikirannya.

Err... dah tentu semua orang tahu Datuk Dr Quah tu pakar bedah plastik. Tergedang dan terpampang senarai nama pakar konsultasi Pusat Perubatan Mawar ni di ruang lobi ni!
Tiba-tiba aje banyak benda berlegar dalam kepala aku. Terbayang apa yang Ema fikir fasal aku. What on earth is she doing? Confirm Ema mula spekulasi. Ah, peduli apa aku! None of your bloody business, Ema!

Di dalam bilik konsultasi Datuk Dr Quah, Aku berkali-kali menarik nafas. Cuba meredakan perasaan sendiri. Bibik Sunti aku biar menunggu bersama Dida di luar.
Di bilik Dr Quah, aku disambut ramah oleh doktor pakar itu.

“Hello! How are you my dear? Something missing in your smile!”
Doktor tua ini memang manis bergula. Sebab itu aku tak segan-segan dapatkan rawatan dengan dia. Aku terus ambil kesempatan untuk mengadu apa yang patut.
“Okay I tengok you dulu. Ada rasa sakit di mana-mana? Ada rasa tak selesa?”

Aku rancak bercerita sambil Dr Quah memeriksa hidungnya. Pada hematnya aku benar-benar sudah pulih. Pembedahan rhinoplasty yang dibuat tiada sebarang komplikasi.
“Congratulation! Your surgery went well and you’re recovering beautifully. Take it easy, get plenty of rest and let me know if there is anything I can do to help. I am happy with the outcome.”

Aku menarik nafas lega. Terasa merona merah di pipi mendengar pujian Dr Quah. Aku kemudian pantas membuka mulut, menyampaikan hasrat sebenar.

Sebenarnya follow up check up, yang ini bukanlah penting sangat buat aku. Memang aku tahu hidung baru aku ni dah pulih.
Bekas luka pembedahan pun sudah lama kering. Ada hajat lain yang lebih besar. Dan dengan penuh rasa teruja aku luahkan pada Dr Quah.
Doktor yang separuh usia itu mendengar sambil mengangguk-angguk. Satu demi satu dihadamnya sambil membuat sedikit catatan. Aku tahu dia sebenarnya terkejut tapi pura-pura terus mendengar. Dia membiarkan aku selesai menyuarakan hasrat hati. Kemudian perlahan-lahan dia menjelaskan, “ The Bottom Line. Wait at least six months before having plastic surgery.”

Aku pula yang terkejut selepas itu. Terasa segala harapan punah sekelip mata. Tapi ah… ni badan aku, suka hati akulah kan! Duit laki aku yang akan bayar segala bil. Bukan duit orang lain. Sakit atau tak, badan aku yang menanggung!

Aku tegak tidak berkelip mendengar penjelasan Dr Quah panjang lebar. Lelaki tua itu mencapai sebuah buku berkulit tebal. Dia menyelak pada halaman yang berkaitan dan menerangkan kepada Nuren. Segala prosedur pembedahan sedut lemak, tummy tuck dan vaginoplasty yang aku angan dijelaskan oleh Dr Quah.

“Banyak risikonya. You baru bersalin. Pulihkan betul-betul badan tu. Ini pun you dah buat cantikkan hidung. Sebelum hamil you dah buat cantikkan kelopak mata. Tak perlu terburu-buru.”
Lembut Dr Quah cuba memujuk aku. Tidak semena-mena aku terasa segala yang Dr Quah ucapkan itu seperti dihembus meresap ke dalam telinga, kemudian lenyap di usus aku! Tak pedulilah kalau dia nak kata aku obsess. Entah, aku rasa  pembedahan ni buat aku ketagih dengan bedah plastik macam ketagih mahu ke SPA.
Aku dengan Dr Quah saling bertukar pendapat. Bertegang urat sebetulnya. Fikir Dr Quah, dia mampu menjinakkan aku. Dia tak tahu, dia silap.

“Cinta dan kasih sayang memang banyak cara boleh kita perolehi. I tak nafikan. Lelaki memang lebih tertarik pada perempuan yang cantik. Tapi you ni ambil risiko. Ini bukan macam facial yang you selalu buat. Bukan macam you pergi buat rambut di salon. Ini pembedahan. Ada risiko Ada komplikasi. Ini bersangkut-paut nyawa!”

“ Untuk cantik kena ada risiko kan? I nak masuk dalam golongan cantik. Sebab tu I nak buat semua ni. I would do anything… err sexually for love. Yes, my new husband is my everything. I got 10 things I’ll do differently in my second marriage.” Ungkapan itu mengalir tanpa ragu-ragu. Lancar saja luahan aku itu. Tentu aje aku tahu apa yang aku inginkan.

Dr Quah tersandar. Kening terangkat seketika dan kemudian mengangguk-angguk. Bagai ada sesuatu yang bermain di fikirannya.

“Girl, you are beautiful! Body you cantik! Tak perlu itu semua!”
“Hah! Come on doc! Perempuan yang dah beranak empat mana ada yang cantik badan? Rasanya sekarang ni I ada sagging butt. Itu tak sebut lagi fasal fat, flabby belly! I want perfect body.” Tergelak kecil Dr Quah mendengar kata-kata aku. Peduli apa kalau Dr Quah mahu gelak mengejek. Aku cakap benda yang betul.

“Itu makna you tak ada keyakinan diri. You have undergo a few plastic surgeries already. And now you have a happy marriage life. Betulkan?”
“Sekarang. Baru sekarang. For your information… my previous marriage was a failure.” Pantas aku memintas.

Dr Quah senyum dan mengiyakan, “Yes, I understand… What I’m trying to say is...” Dr Quah menarik nafas. Aku dapat membaca riak wajahnya. Fikirannya pantas memikirkan hujah terbaik. Dia tak tahu, aku perempuan beranak empat di hadapannya ini umpama serigala lapar yang mahu menerkam apa saja di depannya. Dr Quah senyum sumbing sendiri. Aku tahu dia sangat tak bersetuju dengan permintaan aku.
“Beauty is pain. There will be no problem if your body can take it. But… berbaloikah? I mean, is this the only way you can make your husband happy? By doing plastic surgeries? Ini jaminan bahagia?”
Aku terjeda. Seluruh dunia terasa mengejek. Nak bagi ceramah pulak Dr Quah ni… Kau just buat job kau properly dah lah!
“I don’t care Dr Quah. Saya dah putuskan. Ini hadiah untuk ulang tahun perkahwinan kami yang pertama.”
“Hadiah ulang tahun perkahwinan?” Dr Quah untuk kali kedua sedikit tersentak. Wajahnya terkesima. So what? Perempuan yang bernama Nuren ni memang luar biasa. Keinginan, cita-cita dan nafsunya!
“Yes, my virginity.”
Mata Dr Quah semakin terbeliak. Kaca mata yang melorot di pangkal hidung ditolak sedikit ke atas.
“Suami saya outstation. Dia balik betul-betul pada tarikh ulang tahun kami.”
“Berapa lama lagi?” Dr Quah menyampuk.
“Lebih kurang sebulan lebih lagi.”

Dr Quah terus melihat kalender kecil di hadapannya. Dan membuat kiraan.
“Sempat bukan?” Aku bertanya.

“Stubborn lady! Baru give birth dah nak jugak buat pembedahan.” Dr Quah merungut sendirian. Penat rasanya memberi penerangan pada perempuan degil macam aku ini agaknya. Aku mengangkat kening memandangnya.

“Macam mana Doc?”
Dr Quah mengangguk biarpun aku masih tidak mampu menyakinkan dirinya atas alasan apa pembedahan itu harus dibuat, “But why? You've got everything now.”
Pantas aku berhujah, “Hadiah. Surprise. Kejutan untuk suami saya. Tanda cinta. Suami saya berhak untuk ini.”
Nada aku yakin itu segera dicaras dengan lembut oleh Dr Quah, “I know you are my precious client. But before I proceed, I think it is best for me to consult my client first. This surgery you want to do is vaginoplasty. You know, kebahagiaan rumahtangga bukan terletak pada lapisan tipis selaput dara. Hymen itu cuma satu lapisan tipis pada faraj wanita. Ya, dengan vaginoplasty, you boleh perbaiki selaput dara itu. Tapi, you harus faham ya.
Kesetiaan dan keikhlasan itu lebih penting dalam perkahwinan.”
Dr Quah tiada pilihan. Aku peduli apa kalau dia kata, aku sudah terlalu kerap menagih pembedahan yang aneh-aneh. Obesesi dan nafsu aku untuk cantik, tampak bergetah, baginya luar biasa sungguh. Berulang kali dia menegaskan pada aku, “Nuren, you kena pergi kaunseling.”
“Like I said before, I don’t care. My husband deserves a brand new me!”
Sudahnya Dr Quah bagai beralah.

“Poor lady! So self-centered! Pity you, Nuren. It's up to you. Your life, your decision.”
Aku terbeliak mata memandang Dr Quah.
“Jangan tersinggung. Kita terbuka bukan, ini pandangan peribadi saya sebagai pakar perubatan.”
Aku angkat bahu.

Dr Quah terus mencatat sesuatu pada rekod perubatan aku. Akhirnya aku menang. Aku tersenyum puas. Tiada siapa mampu menghalang keinginan aku. Belum sudah Dr Quah
memberi kata putus untuk tarikh pembedahan vaginoplasty itu, tiba-tiba ada sesuatu yang sangat mengganggu. Aku jadi resah.
Kantung susu membengkak. Padding yang dibubuh lencun. Banjir susu.

Gosh! Engorged!
Dan di luar bilik Dr Quah, Dida menangis bagai dicubit-cubit sambil bibir comelnya termuncung-muncung mencari susu.
*******
Selesai urusan dengan Dr Quah, aku meluru keluar. Di kamar khas untuk tukar lampin bayi yang bersebelahan tandas utama aras lobi itu, aku mengeluarkan breastfeeding shawl. Pantas aku mengeluarkan pam susu badan. Tidak sampai beberapa minit, penuh satu botol kecil itu. Huh lega!

Hilang bengkak susu pada dada.
“Hish, bilalah nak kering susu badan ni! Lecehlah!”
“Rejeki Dida, Puan.” Sahut Bibik Sunti sambil menepuk-nepuk lembut Dida yang sedang terjerit dan teresak.

“Susu tepung ada! Ni bila susu badan melimpah aje, dia pun sama kuat melalak! Susah bila bawak berjalan.” Bebel aku sambil membawa botol yang berisi 90 ml susunya ke arah sinki.
Sebaik saja susu itu dicurahkan ke sinki, kedengaran suara lembut seseorang dari arah belakang menyapanya.

“Buang susu ke?”
Kepala paip baru hendak dipulas. Terkaku aku sewaktu mencuci botol kecil itu.
“Sayangnya! Susu badan tu kenapa dibuang dalam sinki.”
Aku tergamam dan menoleh. Wanita yang sedang memegang mop itu tersenyum ke arahnya. Aku mengamati dengan renungan tajam. Eh, muka dia ni memang aku kenal! Perempuan yang selalu kerja cuci tandas awam di hentian bas kalau tak silap. Masa aku masih belum bercerai dengan Wanzir, kalau tunggu bas, memang selalu aku nampak dia ni.

“Bertuah puan, susu badan banyak. Tapi tak elok buang macam tu.” Pencuci tandas yang ada bersulam nama Hasnahh pada bajunya menegur lagi. Berdesing telinga.

Aku ketap bibir rapat-rapat. Sakit hati tiba-tiba ada yang ramah sangat menegur. Busy body!
“Anak lelaki saya baya anak puan rasanya. Edan anak saya tu kalau menyusu sampai kempis dada saya. Itu pun merengek macam tak kenyang.”

Aku menoleh ke arah Hasnahh. Aku rasa dia tak cam aku. Wajah lembut itu aku tatap dengan mata mencerlang. Banyaklah cerita kau ya! Siap nak beritahu nama anak. Peduli apa aku dengan cerita anak kau! Tak sedar diri. Kau tu kasta apa! 

Hangat hati aku menahan mulut. Tapi aku tak mampu mengawal diri.
“Itu tanda, susu badan tu kurang khasiat! Sebab tu anak tak kenyang. Kalau makan pun tak cukup, macam mana nak kongsi dengan anak! Lebih baik bagi susu tin!” Spontan mulut aku mencemuh sebelum dia aku tinggalkan.

Berkeletak-keletuk tumit kasut aku berbunyi sewaktu aku melangkah keluar kamar kecil itu. Aku sempat memandang Hasnah. Perempuan itu tetap berwajah manis sambil tersipu malu. Bibik Sunti kelam-kabut mengekori dari belakang sambil menolak stroller Dida.

“Dasar tak sedar diri! Takat jadi cleaner ada hati nak sekolahkan aku!”

Kasut tumit aku terus berkeletak-keletuk. Langkah aku pantas tanpa menoleh ke belakang. Aku tahu dari bayang-bayang di belakang, matanya masih mengekori langkah aku. Macam kau bagus! Tak sedar diri!

Tuesday, February 27, 2018

MAHARANI - PROLOG

Tak tahu nak kata, cerita MAHARANI ni macam mana. Nak kata, cinta tak ada cinta, nak kata sweet, macam payah jer nak cari sesudu gula pasir tu. Rasa gula Melaka aje kot. Dan, ya cerita ni bak kata Rose Harissa, banyak debu-debu dosa cerita kau ni kak lily. Kalau kurang sana sini, mintak ampun siap-siap ya. Dah lama tak menaip maraton macam ni. Mula 2 Januari selesai 22 Februari... itulah, bila orang tua menaip, kot ada tak kena, tak sedap mana-mana, mintak maaf ya.
******************
MAHARANI 

Prolog
Nuren


Aku tahu perkara ini akan terjadi. Aku sedar satu hari, rahsia sulit aku akan terpecah. Benda busuk bukan… tentu aje susah aku nak simpan. Tapi aku tak menyangka aku gementar juga berhadapan saat perpisahan itu. Seluruh alam terasa mengejek aku. Langit gelap seakan mahu menelan diri ini.


“Keluar kau! Pergi jahanam kau!” Suara dia memetir. Amarahnya seperti mencakar-cakar jiwa aku.
"Abang!” Aku cuba berpaut pada kakinya.
“Dasar perempuan jalang! Kau berambus dari sini!”


“Abangggg….” Aku cuba merayu sehingga serak-serak suara.
“Aku kata pergi, pergi…. Jangan jejak sini lagi!” Jerkah Wanzir.
Ada dua beg plastik sampah yang berikat di tepi jenang pintu. Dengan tenaga jantannya, sekali humban saja dua beg itu sampai ke tanah.


Mujur aku sempat mengelak. Bunyi tangis anak-anak menambah bingit suasana. Jiran di seberang jalan sudah mengintai-intai di balik langsir. Orang yang sedang lalu-lalang di jalan hadapan rumah turut sama tertoleh-toleh. Tapi tiada siapa berani campur. Tak ada siapa berani berhenti bertanya.

“Betul ke semua ni anak-anak aku? Ke kau pun tak ingat ni siapa bapak budak-budak ni!”
Aku tergamam. Terasa langit runtuh di kepala. Menggeletar seluruh tubuh.
“Orang kata aku ni kaki judi, malas! Tapi orang tak tahu aku setengah mati cari duit, kau ingat aku duduk berkubang berlumur dengan minyak dekat bengkel kereta tu saja suka-suka! Kau dekat rumah tahu nak melawa, nak cantik, nak pasang badan aje. Aku balik aje kau menyalak mintak duit. Kau keluar sekarang! Aku tak mahu simpan perempuan jalang yang kebulur laki orang!”
“Sampai hati abang! Fitnah Nuren!”
“Fitnah kau kata?”
“Abang kalau Nuren salah, Nuren mintak ampun dunia akhirat dengan abang.” Aku rasa suara aku sudah cukup serak menahan tangis.


“Sia-sia kau ni muka cantik, badan lawa. Perangai menjalang. Konon berhabuk cakap orang putih. Tapi kau guna buat pikat jantan kaya. Kau ingat aku tak tahu, dulu kau ni melayan tauke kedai dobi. Lepas tu kau layan Hatta. Tapi tak ke mana. Tak ada lelaki masa tu nak ambik kau buat bini. Memang perangai tak semenggah! Selama ni orang cakap fasal kau, aku tak percaya!”


Memetir suara Wanzir. Pasu bunga di tepinya, dilemparkan ke dinding. Berdentum membuat aku dan anak-anak terkejut.
Aku cuba berpaut pada kakinya. Tapi Wanzir lebih pantas merentap tangan aku. Sekali lagi badan aku tersungkur.
“Fitnah apa? Aku perhati kau dah lama! Aku tengok dengan mata kepala sendiri. Kau kata kau kerja dekat rumah jutawan tu! Kerja gosok baju, kerja gosok cermin rumah, tapi dengan dia sekali kau gosok! Betina apa kau ni? Dasar bangsat!”
“Abang, ampunkan Nuren!”


“Kau ingat aku bodoh! Kau dah biasa kena bela dengan jantan tu bukan? Kau gilakan duit dia bukan? Kau memang siang malam agaknya berdoa, biar dia bercerai laki bini!”
“Abang, saya janji tak buat lagi!” Aku merayu bersungguh-sungguh.
“Aku tak percaya lagi dah cakap kau! Kau mengaku aje dengan aku, sejak belum bernikah, kau memang dah biasa jadi perempuan simpanan jantan tu bukan? Aku aje lelaki bodoh yang kutip kau. Diam aje biarpun malam pertama, dara kau tu dah longgar! Jantan tu nak duit, mintak pada bini dia yang tua tu. Nak rasa kenyang dekat tempat tidur, dia cari kau. Jangan buat muka terperanjat. Kau ingat aku tak tahu!”


Mahu meraung aku mendengar Wanzir melahar aku waktu itu. Longlai segala sendi. Aku menangis semahunya. Aku cuba merangkak dan mencium kaki Wanzir.
“Kau pergi berambus! Aku ni agaknya dah berapa banyak kau bagi makan nasi kangkang?”

Selapis langit terasa menghempap kepala. Aku berpinar-pinar. Air mata deras. Kata-kata Wanzir itu menikam jantung. Aku tak sangka selama ini Wanzir sudah lama perhatikan aku.


“Kau keluar dari rumah ni! Jijik aku dengan betina macam kau!” Lelaki itu menujal kepala aku lagi. Tersembam aku dibuatnya.
Aku cuba bangkit perlahan-lahan dari tepi tangga tempat aku terjelepuk. Sakit seluruh badannya ditujah Wanzir. Namun lebih sakit seluruh jiwa. Dendam tiba-tiba menggelegak di jiwa.
Tangan aku meraba dan mencapai dua beg plastik sampah itu.
Tekak aku tiba-tiba mual. Cepat-cepat aku menekup mulut.
“Anak dalam perut tu! Jangan mimpi aku nak ngaku aku ni bapak dia!”
Wanzir bertempik dengan penuh angkuh. Aku mengetap bibir ketat-ketat. Menelan segala amarah dan dendam.

Hati aku menjerit. Alang-alang aku sudah berselingkuh, ayuh… biar sampai aku jadi puan besar di rumah agam Hatta! Alang-alang dihencap sebagai sundal, biar aku jadi perempuan pisau cukur. Aku merenung Wanzir dalam pandangan yang kelam. Air mata masih berjuraian. Aku kesat dengan hujung baju. Nafas bergetar, dada bergelombang.
“Baik! Kalau kau jijik pandang aku! Aku bersumpah, kemudian hari, kau menyesal tak sudah bila kau tengok aku! Kau tunggu Wanzir!”

Aku menjerit di dalam hati. Batin aku membakar segunung dendam. Anak-anak yang menikus di belakang pintu, aku heret tanpa pedulikan Wanzir. Aku pimpin Riza. Dia pula pegang tangan Fiza. Si kecil Fiza genggam tangan Zura. Berdedai aku dan anak-anak keluar rumah sambil sebelah tangan memegang bungkusan baju yang dihumban dalam beg plastik sampah. Aku melangkah keluar dengan tekad dan azam.

Kau cabar aku Wanzir. Aku akan buktikan, perempuan yang kau ludah ni, mampu jadi maharani. Kau tunggulah!

Hatta, kau nantikan aku ya! Kalau benar kasihkan aku, ini waktunya kau buktikan. Perut aku sebu sebetulnya waktu itu. Fikiran aku semak. Macam mana kalau Hatta tolak aku? Macam mana kalau kekasih gelap aku tu tak mahu buang isterinya?

Kaki aku melangkah malam itu ke rumah Mak Tok. Tak jauh mana pun. Tapi perjalanan malam itu terasa sangat jauh. Air mata terus berjuraian. Dendam terus bersimpul mati.

Ari-ari terasa ngilu. Senak sesekali apabila aku cuba melangkah pantas. Aku menggosok perut dan mengambil nafas. Baru terasa bisa badan diterajang tadi. Anak dalam perut ni macam mana?
Hatta bukan ke tak ada anak. Bini dia tu kering kontang.


Gersang. Pujuk Hatta… lahir budak ni, bin atau bintikan dia! Macam ada suara berbisik di telinga, mengajar aku.
Mahu ke dia? Boleh ke jadi macam aku rancang semua ni? Satu demi satu persoalan bergendang dalam kepala aku.

Terbayangkan muka bengis Wanzir, semakin menderu dendam di dada aku.


Huh, minyak cenuaikan ada! Jangan diberi muka pada Hatta! Layan dia sampai lemas, jangan kasi lepas. Kemudian pujuk perlahan-lahan. Biar dia singkirkan bini tua dia tu! Bini dia tu pun kakak angkat dia! Tua kertu!


Kau boleh Nuren! Kau lawa. Kau cantik bergetah. Kau kena yakin aje.
Jampi sikit, hembus sikit, perasap sikit kemudian belai-belai sikit…. Semua dalam genggamanlah!
Hati aku yang tadi berbolak-balik jadi yakin. Yakin seyakin-yakinnya!

Wednesday, January 17, 2018

Karyaseni dan Penulisan2u Di Sibu

Untuk sahabat pembaca di Sibu, insya-Allah, kita jumpa Sabtu ni ya, jam 1-3 petang... boleh borong semua novel Karyaseni dan Penulisan2u yang selalu Makcik Karyaseni promosikan tu.... Kita jumpa nanti, insya-Allah. Err terima kasih buat Rose Harissa yang buatkan poster ni... hahaha macam ada nur melimpah ke muka bila tengok gambar poster tu:))

Sunday, December 3, 2017

REVIEW OGY YUSOF - LELAKI LINGKUNGAN CINTA

TERIMA KASIH OGY YUSOF ADMIN GROUP BUKU TIGA LIMA UNTUK REVIEW NI:))



DECEMBER ROLLS UP -2-
02/12/2017
LELAKI LINGKUNGAN CINTA
LILY HASLINA NASIR
PENULISAN2U / 636 ms
orang tua-tua dulu selalu pesan, jangan suka sangat nanti datang duka. jaga lidah, jaga pertuturan jangan menabur fitnah. dalam agama ada menyatakan tengok agama dan keturunan dalam memilih jodoh. tapi bukan hak kita manusia menghina keturunan insan lain. dan bukan hak kita manusia untuk menghina seseorang yang bukan anak sah taraf. bukan salah dia. akan jadi kesalahan terbesar dia bila dia sendiri sanggup menggadaikan agama..
novel karya puan penulis cantik Lily Haslina Nasir ini bermula dengan sangat cantik. ya, kisah remaja di zaman persekolahan.. aduhai.. watak si adib sangat hidup sehingga akak sendiri tanpa dapat menahan rasa bertanya terus pada puan penulis. dan hasilnya, haa... kalau korang friend dengan puan penulis, mesti perasan siapa ADIB ni. tersengih, tersenyum bahkan tergelak sorang-sorang akak dibuatnya sepanjang pembacaan. dengan nakalnya, dengan selamba badaknya, dengan perangai gila-gilanya. mangsa utama selalunya yang dipanggil 'jodohnya' iaitu esya. ada saja yang kena, bahkan terkena secara tak sengaja pun ada. bayangkan esya sedang elok angkat jemuran kering tiba-tiba kuyup bila air kolam tangki yang dijadikan tempat berkubang adib dan sahabatnya dijirus ke bawah. belum masuk kisah 'haiwan peliharaan buat jodoh'. tapi dalam sengal, dalam nakal dirotan pun tak lut ada baiknya adib and the geng ni. sanggup langgar peraturan sekolah demi mahu membantu sahabat yang susah. tapi tu lah, hati dengki manusia sentiasa ada, kan?
kisah sekolah yang sangat menghiburkan tidak habis setakat itu. mereka bertemu kembali sewaktu melanjutkan pelajaran. bila tak dapat duduk hostel dan kena duduk rumah sewa, 'jodoh' adib rupanya rumah berhadapan saja.. ehh.. kalau akak nak cerita keseronokan memang banyak. belum masuk kisah kepala enam juta, belum kisah esya berlumba lari dengan pak guard. sangat hidup penceritaan puan penulis buat pembaca sama masuk dalam kisah memerhati gelagat mereka...
ok. happy jer kan? masuk bab serius. mereka bernikah. adib, buat keputusan setelah mendengar sendiri dari esya tentang latar belakang sejarah kehidupannya. ya, masih muda dan masih belajar tapi atas rasa tanggungjawab dan kasih yang tak pernah kurang pada eaya buat adib buat keputusan begitu. zamri, watak yang punya hati yang sangat buruk ni adalah sepupu pada esya. suka main psikologi. mulut pun dah sama tahap dengan longkang yang sangat busuk! serius tau, kalau dia ni jatuh dalam loji kumbahan indah water tu pun memang patut biarkan saja.. sesabar mana adib akan longgar juga pertahanan diri malah bila esya sendiri yang suka sorok-sorok darinya... maka... peperangan demi peperangan meletus. mampukah esya bertahan bila keturunan dan dirinya dihina oleh suami sendiri...
olahan dan perkembangan kisah yang sememangnya mantap. puan penulis ada bagitau akak kelemahan yang ada dalam novel ni tapi bila akak teliti langsung tak mencacatkan pemahaman pembaca dari segi struktur ayat yang memang elok dijalin indah. seperti biasa memang tak boleh dinafikan kekuatan puan penulis dalam menyampaikan cerita termasuklah menggodak emosi pembaca... dalam rumahtangga harus ada keyakinan dan keyakinan itu terbina atas kejujuran dan keikhlasan. sesekali badai menghempas, di situlah dapat dilihat pengemudian sama ada baik atau tidak....
👍
bintang? 🌟🌟🌟🌟
#225/2017
#terimakasihpuanpenulis
Penulisan2u

Thursday, November 16, 2017

Nanti Kita Sambung

Alright.... kita berhenti sampai part 7 dulu ya. Part 1 -3 tu acah-acah prolog. Kisah mak-mak budak Dida dengan Cahya waktu kecik. Lepas tu cerita akan bergerak guna POV 1. Kot kalau ada respon, ada yang sudi komen, ada yang sudi baca... nanti kita sambung share ya. Ni takat nak kenal kenal aje... ada watak Nureen, ada anak dia si Dida Sandra. Ada watak Cahya Kartika (macam nak simpan nama ni utk cucu perempuan nantilah), ada watak Edan Israq.... ok, kita nak jenjalan dengan che bunga kejap. Sorry ya yang part 7 tu panjang gila... malas nak pecah pecah kan... nanti banyak sangat pulak posting kita hari ni..... daaaaaaa.....

NOVEL BARU - PART 7 - SHARE SIKIT


Dida Sandra



“This is who I am, Nobody said you had to like it!” Peduli apa aku kalau mamat ni nak kecik hati! Setakat dia ni, sekali aku petik, beribu bersusun tunggu giliran untuk aku approve
Aku suakan skrin telefon yang terpampang akaun Instagram aku.
Che Man memandang aku terkelip-kelip, “Kau nak masuk tu bila-bila bolehkan? Jangan risaulah Dida. Kau masuk tahun depan pun, kau confirm menang!”
“Suka hati akulah nak masuk bila. Ni golden dreams aku. Yang penting aku nak caras budak Cahya tu!”
“Kau ni…. Cubalah niat tu betul sikit!”
“Hei, kau ingat aku ni nak masuk musabaqah al-Quran ke? Kau ni bengap apa? Aku ni nak masuk Cover Girl Contest. Nak kena pakai niat jugak ke?”
Entah mengapa bila memandang Che Man yang tersengih-sengih, tambah berapi hati aku. Sumpah aku rasa kembang panas kepala ni. Dia ingat aku main-main agaknya.
“Kau nak keluar macam mana?”
“Macam aku rancang tulah!”
“Kau jangan gila Dida! Kalau kantoi, mati kau!” Beriya-ya dia memujuk aku. Tapi macam aku kata tadi, “I don’t give a damn.”
“Tak adanya aku mati! Habis kuat pun buang kolej. Peduli apa aku? Berani diaorang nak buang aku!”
“Hish kau ni…. Hidup kau ni tak tenteram kalau tak ada buat kes ya?” Che Man menggaru kepala. Seperti semakin tercabar aku rasakan.
“Alah, kes celah kuku aje! Belum lagi aku nak buat skandal!”
Terbeliak mata Che Man memandang aku.
“So what?” Aku menyergah mamat yang acah-acah nak jadi Juara Pencetus Ummah depan aku.
“Aku ingatkan aje. Kau kan kawan aku!”
“Che Man, It’s okay if you don’t like me. Not everyone has a good taste. You don’t have to like me, I’m not a facebook status!” Aku mengenyit mata sambil memuncungkan bibir menatap mata Che Man dalam-dalam. Mamat ini kulihat turun naik halkumnya. Huh, dasar jantan! Acah-acah warak! Bajet suci depan orang lain, belakang merenyam jugak! Baru aku kenyit mata dah turun naik dada tu tahan nafas! Fuck offlah!
“Suka hati kaulah, Dida. Tapi baik-baik ya! Aku mintak maaf tak boleh join kau.”
“Tak kecik hati! Ramai lelaki lain boleh temankan aku kalau aku mintak tolong.” Aku memgerling Che Man dengan perasaan terbuku. Kau ingat aku tak boleh lepas! Kau tunggulah nanti!
Siang itu memang aku tak sabar nak tunggu matahari bergantikan bulan di langit. Semua benda dah siap sedia dalam beg galas aku. Menjelang maghrib, bacaan Yaasin dan makan-makan di surau sempena Maulidur Rasul diadakan.
Pengumuman dibuat di seluruh kolej aku. Pelajar lelaki berbaju Melayu dan bersongkok dan pelajar perempuan sudah siap bertelekung dari dorm menuju surau. Aku? Hah, kalau ada pertandingan telekung paling glamor, rasanya aku menang kot! Telekung paling mewah bersulam tebuk dan paling halus kainnya, yang mama beli masa ke Bandung, aku sarung maghrib itu.
Aku memandang Lisa yang awal-awal aku sudah rasuahkan top up telefon RM100.
Minah seorang ni nampak sedikit panik. Aku tetap cool, tersengih-sengih memberi semangat.
Aku dan Lisa berjalan di belakang mengikut deretan pelajar-pelajar perempuan yang berduyun-duyun ke surau.
“Beb, boleh ke kita ni?”
“Kau takut ke?” Aku berbisik pada Lisa.
“Aku takut kalau kita kantoi!”
“Kita ni bukan nak pergi seludup dadah kat sempadan pun. Kau nak takut apa?”
Biar hanya dengan serakan cahaya bulan, aku dapat lihat muka Lisa pucat. Mengada-ngada minah ni kalau dia nak backed off, memang aku sumpah dia jadi mangkuk tandas dekat kolej ni.
“Ha’ah. Kau tak payah nak risau sangat okay. Kau temankan aku aje pun. Tolong pegang beg baju aku tu. Bukan kau buat apa-apapun!”
Lisa hanya diam sambil mengangguk. Namun matanya liar memerhati takut-takut kalau ada
yang mengintai kami dari jauh.
“Kau rasa line clear ke?”
“Kenapa?”
“Manalah tahu… kot kot pak cik tukang kebun kerja overtime ke?”
“Banyak kau punya overtime! Malam-malam buta ni takkan nak mesin rumput kot!” Angin aku dibuatnya bila Lisa banyak bunyi.
Dalam gelap malam, kami panjat pagar ke luar kawasan kolej. Bunyi lolongan anjing yang menakutkan bergema dan bergaung menambah debar dada sebenarnya. Aku dan Lisa dengan telekung, berkasut sneakers, beg sling berlari-lari anak, menyusup dalam semak. Orang suruh ke surau, kami melencong ke pagar kolej.
Terlompat-lompat kami menahan uber yang tampak teragak-agak mencari kami. Keadaan agak kelam-kabut dan huru-hara apabila pak cik uber itu buat break kecemasan. Pak cik pemandu itu betul-betul terkejut sebab nampak kami bertelekung putih menahan keretanya. Tampak dadanya sedikit bergelombang.
“Sorry pak cik! Gelap tadi. Mujur ada cahaya lampu jalan.” Lisa yang lebih sopan berbanding aku, pantas minta maaf.
“Jangan sebut perkataan cahaya boleh tak? Rasa macam badan kena kurap!” Aku memberi amaran pada Lisa sambil berbisik.
“Ingatkan hantu tadi. fuhhh! Apa fasal bertelekung ni!” Pak cik driver menggeleng beberapa kali.
“Kami ada kelas tajwid! Ni lepas solat dari surau. Tak sempat nak tukar baju.” Pantas bergeliga otak aku menjawab. Tak peduli mamat tua yang sedang memegang stereng, aku dan Lisa perlahan-lahan menanggalkan telekung kami. Kemudian kami gulung dan sumbatkan dalam beg yang dibawa. Memang tak dapat elak, pak cik uber berkerut-kerut memandang kami dari rear view mirror kereta. Terasa sekejap-sekejap dia menjeling ke arah kami.
Aku mengerling ke arah Lisa. Kawan yang seorang ini sudah keras kaku kejung di sebelah aku. Perjalanan hampir 40 minit terasa sangat lama. Sebenarnya aku sendiri berdebar-debar.
“Coollah beb!” Aku mencubit nakal lengan Lisa.
Sepanjang perjalanan itu aku cuba menenangkan diri sendiri. Senyap tak berbunyi aku dan Lisa. Aku tak peduli apa yang Lisa fikirkan.
Yang penting malam ini malam finale untuk aku caras nama si Cahya. Siapa sangka aku berjaya juga ke peringkat final! Selepas berhempas-pulas dengan ujian IQ, ujian EQ, penilaian catwalk dan entah apa-apa lagi, aku berjaya juga bersaing dengan Cahya. Peserta lain aku tak peduli.
Entah kenapa dengan minah seorang ini, memang aku benci! Sejak dulu aku benci! Kalau terdengar kawan-kawan sekolej menyebut nama dia pun cukup untuk buat aku terasa mahu muntah tujuh baldi!
Minah perasan lawa, perasan cantik, perasan cool dengan nama rare dia tu, tunggu masa aje nak bertemu ruas dengan aku. Memang dia tak ada dosa dengan aku. Kolej pun tak sama. Tapi aku memang rimas kalau setiap kali ada dinner ke, ada carnival sukan ke, atau ada majlis akademik ke, nama dia aje yang orang sebut. Cahya sana, Cahya sini! Meluatlah! Macam bagus sangat! Just wait and see! I've always been a fighter. If you tell me I can't, I'll die trying to prove you wrong.
“Kat sini ke? Majestic Hotel?” Pak cik Uber tiba-tiba bertanya. Nada dia yang penuh curiga itu membunuh angan-angan liar aku. Waktu itu aku tak terfikir lain. Yang penting aku menang malam ini.
Tergagap-gagap jugak aku dibuatnya, tapi pantas aku menjawab, “Ya!”
“Ada kelas tajwid ke dekat sini?” Eh, apa kes pak cik ni macam nak menyiasat pulak! Kepalanya sama sibuk terjengah-jengah ke luar.
Banyak soallah pulak pak cik uber ni! Hei, hello orang tua, kalau kau kenal siapa aku, besok pagi cuba kau baca surat khabar. Tak pun kalau anak kau ada instagram, cuba tengok-tengok. Mesti ada hashtag #Didaratucovergirlcontest. Kau mesti bangga kot! Aku queen untuk Cover Girl Contest naik uber kau!
“Betul ke kauorang ni ada kelas mengaji?”
Eh, berbunyi lagi orang tua ni! Jenuh aku mengetap bibir. Menahan mulut daripada mencarut.
Aku mengerling sebelah. Lisa sudah terperenyuk mukanya. Tak habis-habis penakut kawan yang seorang ni.
“Kami nak jumpa kawan kejap dekat sini. Lepas tu baru ke Masjid Negara.” Tangkas otak aku berfikir. Mulut laju beri alasan.
“Ohhhh….” Panjang dia punya ‘o’. Peduli apa aku kalau kau tak percaya!
Tak padan tua, sama sibuk jaga tepi kain orang! Aku dan Lisa cepat-cepat melompat keluar dari kenderaan itu selepas membayar tambang.
Selesai satu misi, selamat satu bala!
Penuh semangat aku meredah malam-malam buta, panjat tembok kolej, menyelinap keluar pakai telekung, dengan hati berkobar-kobar. Semangat membara, azam menggelegak keyakinan tahap mendidih. Sepupu-sepupu aku semua sudah menunggu di lobi Majestic Hotel. Taty tukang bawa kasut Christian Louboutin. Erin tukang bawa baju. Entah berapa penyangkut baju Chanel. Terbeliak aku bila nampak ada baju latest collection musim bunga cap pak cik tua berambut putih muka kekwat yang suka pakai spek hitam tu… Alah, pak cik designer Karl Lagerfeld. Gila aku tak terkinja-kinja suka! Latest collection tu.
“Aku dah kata, kau confirm menang! Baju kau pakai pun belum masuk butik di Malaysia tau! Ni aku pinjam dari Mak Usu. Baju ni sama dengan Fazura pakai untuk cover majalah Glam.” Erin mengusik aku.
Terbeliak mata aku mendengarnya.
“Hah, kalau menang, duit bagi dengan Mak Usu! Penat tau mak usu angkut baju ni dari Paris.” Mak Usu pulak menyakat. Aku tersengih tak tahu nak kata apa. Sungguh! Memang aku yakin, aku dapat markah lebih dengan juri. Takat si Cahya tu, bila-bila aku boleh belasah. Baju dia pun mesti tahap butik dekat Jinjang aje!
Set mekap yang dibawa oleh Alley punyalah banyak! Tak muat dressing table kalau nak susun semua tu! Sebut ajelah… nak cap apa. Ada Chanel, ada Dior, ada Naked, ada Mac, Nars.. dah macam kaunter alat solek dekat Pavillion meja mekap aku. Senang cakap, kroni aku memang angkut satu batalion kaum-kerabat untuk support aku. Gilakan kalau aku sendiri tak yakin aku boleh menang.
Lepas segala usaha, segala tungkus-lumus tu…. guess what?
Kemuncak malam itu, aku terpaku dan terkaku. Meremang bulu roma aku. Tak percaya dengan apa yang aku dengar. Gosh!! Biar betul! Aku menggeletar tak terkata. Seluruh badan terasa seram sejuk. Kalau tak kuat memang aku dah rebah, jatuh terjelepuk.
Kurang ajar! Bodoh! Gila! Bangang!
Nama si betina Cahya tu jugak yang dijulang jadi juara!
Silau mata dengan cahaya flash kamera. Sakit hati, terbakar dada apabila semua kamera berklik-klik menghala ke arah Cahya yang sudah dimahkotakan sebagai juara. Mahu saja aku rentap kepala dia kemudian hempaskan tiara itu. Dari atas pentas aku menoleh ke arah kiri pentas. Entourage aku semua tampak terpinga-pinga. Kecewa! Muka Lisa, Taty, Erin dengan Mak Usu sangat hampa. Kalau diaorang yang sekadar tukang make-overkan aku, tukang tepuk, tukang sorak, tukang viralkan gambar aku dekat media sosial; dah rasa mahu terduduk…. Aku sendiri tak usah cakaplah! Lembik lutut!
Kecil besar, kecil besar mata aku memandang susuk di depan aku. Siapa lagi kalau bukan betina Cahya tu!
Damn stupid. Bloody idiot! Bastard!
Ikutkan aku yang terasa keluar api dari muka ni, mahu saja aku rampas mikrofon hos si Zul Ariffin tu. Nak aje aku bertempik, carutkan nama si Cahya.
Balik-balik dia! Asyik dia aje! Asal dia masuk apa-apa pertandingan mesti dia menang. Kalau dia ada, macam ada badi sial, aku yang kalah! Eh, betina tu bukannya lawa sangat pun! Alah, kalau cakap fasal IQ, aku rasa dia jawab tadi lebih kurang aku aje rasanya! Tak ada pun aku impressed sangat!
Aku rasa juri semua buta agaknya!
Malam semakin tua, post party semakin hangat. Aku tahu Lisa sudah gelisah.
“Jomlah balik!” Wajah Lisa merengsa.
“Kejaplah.”
Aku masih mahu berlegar-legar dan berkenalan dengan tetamu yang ada. Seronok makan-makan, minum-minum sambil hulur salam perkenalan. Selagi tidak bertentang mata dengan si betina Cahya itu, aku masih boleh menahan rasa. Sewaktu diminta bergambar beramai-ramai pun, aku mengelak untuk berdiri bergesel bahu dengannya
.
Kaum kerabat aku semuanya sudah pulang.
Semua menawar untuk hantar aku pulang.
“Jomlah, balik!” Taty mengajak aku.
“Nantilah dulu.”
“Tunggu apa lagi?”
“Alah, kejaplah.”
“Kami nak balik dah ni.”
“Tak apa, Lisa ada…”
“Balik cepat! Nanti jadi kes pulak kalau kantoi!” Taty betul-betul risau.
Aku sengih dan angguk menahan hati sebal. Mahu tak kecewa. Angan-angan kalau menang, kira gempaklah kan! Kalau kantoi pun, mesti havoc! Dalam beg aku ada mahkota yang aku menang! Confirm aku letak tinggi-tinggi atas locker dorm! Jadi barang display. Paling seronok bila menang, muka jadi gadis penghias kulit majalah dengan tetamu jemputan program Nona. Gila tak best! Tapi itulah… Berapi sungguh hati ni bila ternampak kelibat Cahya yang tak selesai-selesai lagi bergambar di pentas.
“Hello girl!”
Aku menoleh ke belakang, “Sorry, were you talking to me?”
Lelaki itu nakal mengenyit mata. Senyuman dia! Gosh! Tipu kalau aku kata tak berderau darah.
“Do you have a map? Because I’m getting lost in your eyes.”
Aku tak mampu menahan gelak. Dan ya, muka aku merah rasanya masa tu.
“Hai Dida… Panggil I Zam.”
“Hai!” Tangan aku dijabat erat. Hangat dia menggenggam. Terasa dia tak mahu melepaskan tangan aku.
“Congrats dear! You bagus sangat tadi. Kita orang yang tengok, semua kata you yang patut menang.”
“Ohh…. Haha, terima kasih.”
“Eh, you ni student lagi kan. Sama macam Cahya?”
Oh! Please! Rasa nak terbelahak tekak bila nama betina tu yang disebut. Aku cuma angkat kening.
“Biasalah… mesti that girl pandai melobi kot. Tu yang dia menang. Tapi percayalah… sepatutnya you yang menang.”
Tak kiralah si Zam ni kelentong ke, jual air liur ke, tapi sumpah mamat ni bila bercakap memang cairlah jiwa! Mata dia tu memandang aku terasa menusuk ke jantung. Tak boleh nak elak dari kena renung dengan dia ni! Dan kemudian kami terus bersembang dan bersembang macam tak ingat dunia.
“Beb, aku balik dululah! Dah pukul satu pagi ni!” Lisa berbisik pada aku. Pantas aje aku mengangguk. Tak sempat nak bertanya pun dia balik nanti macam mana.
“Jangan risau. You balik nanti I hantarkan ya!” Zam mula melingkarkan tangannya ke pinggang aku.
Aku terasa Zam mengelus-elus rambutku. Kami berdansa malam itu.

Rasa terubat hati biarpun kalah pada Cahya, aku masih tidak kurang peminat lelaki yang kacak. Bau cologne segar membakar berahi.
“You studi lagi kan?” Zam berbisik di telinga aku. Tangannya merangkul jauh ke bawah pinggang. Aku sedikit berdebar tapi Zam bijak memujuk, “Jangan nervous. Malam ni you yang punya!”
Mata tajamnya nakal mengerling ke daerah kutang baju aku yang jarang.
Lirik matanya memang mengirim berahi pada sesiapa yang memandang.
Ya, aku lupa diri malam itu. Entah pukul enam pagi baru aku dihantarnya pulang.
“Nak panjat tembok? Are you nuts?”
“Mana boleh lalu depan gate besar.”
“Come. Follow me. I temankan you.”
Aku serba salah.
Zam kemudian merapatkan bibirnya, “Jangan takut. I ada.”
Aku sesak nafas. Aku jadi tidak selesa apabila di dalam kereta dia menghampiri wajah aku. Dalam gelap, kami saling berpandangan dan merenung ke dalam pada anak mata masing-masing. Dua bibir hampir saja berlaga.
“Berhenti kereta di depan gate sudah.”
“I hantar you.” Dia bertegas. Aku serba salah. Seluruh dorm sudah cerah. Riuh kedengaran masing-masing masih bersiap untuk subuh.
“Diaorang tak perasan kalau kita masuk.”
“Guard ada.”
“Kita tunggu waktu guard pergi surau.”
Aku beralah dan mengangguk. Sebenarnya aku sendiri rasa bahagia bila dia mahu temankan aku. Entah, biar baru sekejap kenal, aku terasa khayal dengan Zam. Wajah lelaki ini memang cukup menggoda. Bila dia mendekat terasa aku mahu membenamkan wajah pada pelukan lelaki itu.
Betul macam Zam kata. Aku dan dia lolos ikut pagar besar sewaktu semua sedang solat berjemaah.
“Kiss me goodbye, dear!”
Lelaki itu meneguk liur, menahan nafas yang berombak. Biarpun sekitar kami kelam dan cahaya lampu hanya remang-remang kilatannya, aku dapat melihat dan merasa desah nafasnya.
Kegelapan tidak sedikit pun menjadi penghalang untuk kami saling berkongsi hangat.
“You got five seconds” Aku cuba menolak Zam.
‘What? It’s not enough to even touch you properly” Dia kemudian berbisik, “I will kiss you on your lips. And it happened!” Dan kami sama-sama tenggelam selepas itu sebelum tiba-tiba, ada suara petir mengguruh di telinga, “Kurang ajar!”
Pang! Di kiri. Pang! Di kanan! Kemudian kiri lagi. Panas pijar pedih pipi aku! Berdengung telinga. Berpinar mata.
Kelibat Prof Norden yang berbaju Melayu, berkopiah dan kain pelekat, laju menghayun tangan kanannya.
“Biadap! Buat maksiat dalam kolej. Usung jantan waktu subuh. Kau pergi mana? Baru first year dah buat perangai. Bitch!”
Aku terpinga-pinga. Menggosok pipi. Sakit sangat! Zam entah mana kelibatnya. Aku rasa sudah cabut dan bunyi kereta tadi, rasanya kereta dia yang memecut. Subuh itu terasa sangat berkabut. Mata aku sudah berbalam-balam. Hanya lampu suluh yang menyimbah muka aku dalam gelap itu. Aku dah terasa mahu pitam. Memang ada geng Badan Amar Makruf Nahi Mungkar di kiri kanan Prof Norden. Pipi aku sudah terasa kebas. Muka aku terasa berdenyut-denyut. Lantaklah kalau satu jemaah surau sekalipun Prof Norden nak heret untuk jadi saksi aku.
“Birah sangat perangai kamu, Dida! Ada aje perangai buruk kamu ni. Tak tenteram hidup ya kalau tak buat kes dekat kolej ni. Rasa bangga ya buat benda terkutuk ni. Merenyam sangat! Ijazah tak dapat lagi dah pandai menjalang! Kecik-kecik dulu mak bapak tak sunatkan agaknya!”
.Membutang mata aku! Aku jadi dendam. Dendam sedendamnya. Kau tunggu Prof Norden. Kau bangga nanti esok lusa sebab kau pernah lempang aku! Aku janji! Aku buktikan pada kau, aku jadi orang yang paling kau ingat nanti!
Kau tunggulah! Di bintang ke tujuh, di langit tujuh lapis itu, situlah tempat aku yang kau kata jalang ni nanti!

ShareThis