Wednesday, December 26, 2012

LOVE YOU IN SILENCE 3, 4

LOVE YOU IN SILENCE 3




“Ya Allah.. siapalah ye punya kerja tu? Berani gila!” Rose membuat komen selari sewaktu mereka menikmati maggi yang direndam saja dengan air panas malam itu.

“Betullah! Siapalah yang buat macam tu... sampai Amirul sumpah kata orang yang buat tu nanti mandul!” Sampuk Nik Fauziah pula sambil menggeleng-geleng.

Nurul yang sedang mengunyah biskut kering tiba-tiba tersedak dan pantas mencapai milo panasnya.

“Huh, sumpah dia aje dia tahu... dia tak tahu orang lain pun sumpah dia jugak! Tu mujur aku gunting aje boxer dia... kalau aku bawak pergi asapkan dekat bomoh macam mana??”

Bumi terasa berhenti berputar. Nik Fauziah terasa terhenti bernafas. Rose sudah terbuntang biji mata.

“Weiii....Aku salah dengar ke apa ni???”
“Hei... kauuuu!!!”

“Nurul... kau biar betul???”

Dua sahabat sudah terkejut badak. Nurul tetap dengan muka selamba sambil tersenyum. Keningnya terus terangkat tinggi.
“Nasiblah!!” Ayat sepatah itu penuh bongkak.

“Hei, aku tanya ni... itu kerja kau ya?? Macam mana kau masuk ke sana?” Soal Rose tidak puas hati. Nurul terus tersengih.

“Apa susah ... masa dia orang tu pergi solat Isyak, aku lompat pagarlah! Alah, mana ada guard jaga tempat ampaian baju! Dia tu siapa... apa kes kalau guard nak jaga ampaian boxer dia! Aku bukan masuk bilik depa... tak dosa kannn....”

Nurul masih tidak berasa bersalah. Malah jauh di sudut hati memang dia puas dan bangga.

Nik Fauziah dan Rose memang terkelip-kelip memandang wajah manis itu. Huhuuu.. memang hilang akal kawan yang seorang ini. Dasar novelis... imaginasinya memang luar biasa!

“Tapi.... errkkk mana kau tahu yang itu semua boxer si Amirul? Dahsyat beb kau punya imaginasi wild wild west .. tepat pulak tu!” Soal Rose sambil menggaru jerawat dengan muka yang agak blur.

“Aha... mana kau tahu tu seluar dalam Amirul.. Wei you don’t kiss and tell ok... eh.. silap...kau jangan kata kau intai tutttt ok??” Nik Fauziah yang ala ala alim sudah mahu terjerit. Dua sahabatnya itu sudah turut terpekik.

“Wei... aku waraslah.. tak hingin aku sekodeng.. siapa suruh si mamat tu pakai seluar asyik terlondeh.. kan aku ni cekap! Aku ni kan pantas... memang aku cam warna dengan cap boxer dia tu... alah, takat boxer cap ayam dengan cap ikan sardin pun nak kecoh bila boxer koyak!!” Nurul membebel dengan bibir terjuih tetapi rasa bangga memang menongkat langit.

“Ya Allah kaulah punya kerja... Memang bertanduklah kau ni...” Sampuk Nik Fauziah lagi.

“Hei.. kau mesti sokong aku kan.. kau tak ingat ke apa dia buat kat kita?” Nurul mengungkit cerita minggu orientasi. Dua sahabat itu kemudiannya sama-sama terkekeh gelak.

“Cayalah Nurul... aku belanja kau nasi ayam ye!”
“Bravoo Nurul.. Tak aku sangka cempedak jadi nangka, nangka jadi durian tembaga!” Nik Fauziah sebenarnya masih pening-pening lalat tetapi memang berasa kagum dengan segala yang didengarnya tadi. Pengakuan jujur Nurul itu memang sangat luar biasa. Mana ada orang berani mencari fasal dengan Amirul di kampus!

“Aku ringan aje mulut nak tanya mamat tu..” Nurul terdiam sambil meraba pipinya yang mula ditumbuhi jerawat halus.
“Kau nak tanya apa?” Soal Rose.

“Aku nak tanya lebih kurang macam ni: Abang Amirul... pergi kuliah pakai spender ke tidak... Boxer Cik Abang yang dah punah tu stok seminggu kan.....” Menghilai gelak tawa tiga serangkai itu apabila Nurul mengajuk suara gedik.

“Huhu.. kalau kau tanya macam tu aku rasa memang kau kena bom nanti!” Balas Nik Fauziah dengan mata berair menahan gelak.
“Hish.. betul. Baik janganlah.. kau bawak-bawaklah mengucap ye.. kita lama lagi kat kampus ni!” Ujar Rose pula.

“Betul... aku tak mahu kena bungkus kain baju sebab bergaduh dengan mamat ni!” Balas Nik Fauziah yang memang sesak nafas mengenangkan cerita Amirul.

“Kau berani tahap dewalah! Hari tu kau dajalkan dia sampai mamat tu selongkar tong sampah cari selipar...Alih-alih sudah jadi bentuk lain selipar dia!” Nik Fauziah betul-betul tidak sangka Nurul yang dilihatnya agak pendiam dan berat mulut berani menjatuhkan hukuman sendiri pada lelaki yang didendaminya itu.

“Hei.. aku tak buang dalam tong sampah selipar dia dah cukup bagus, hokay!” Nurul masih tidak mahu beralah.

“Kesian dia.. tak pasal-pasal dia kena jalan berkaki ayam masa kuliah Prof Husin masa tu..” ujar Rose lagi.

Nurul mencebik. Tidak ada sehalus hama dia berasa kesal. Puas hati dia dapat menggunting selipar jepun Amirul sehingga menjadi potongan segi tiga macam bentuk potongan kek. Dia langsung tidak peduli kalau ketika ada yang ternampak perbuatannya merampok selipar Jepun Amirul di tepi pintu surau lelaki.

“Biar dirasakan.. kau ingat tak masa minggu persembahan orientasi.. dia yang gatal mulut kata muka aku ni toya! Haha.. nasiblah kan.. memang aku buat muka toyalah kalau nampak dia!”

Ujar Nurul yang memang berasakan tiada ruang dia akan berbaik-baik dengan Amirul. Tidak mungkin dia lupa saat dirinya dibasuh oleh Amriul selepas majlis orientasi.

“Hei.. kau mahu pilih yang mana ya... toya atau lampi?? Kau tahu tak kau tu toya... muka toya.. dah tu, lampi pulak perangai!!”

Sewaktu itu dia cuma mampu terkelip-kelip. Lampi??Apa tu? Sumpah tak pernah dengar!

“Lampi.. lambat pickup!! Kau ni muka ok.. tapi toya.. dah toya..lambat pick up pulak tu.. LAMPI!!”

Bergegar jiwa, bergoncang sabar! Sejak hari itu Nurul tahu Amirul musuhnya yang nyata.

Di kampus itu hanya seorang sahaja lelaki yang sering membuat hatinya menjadi gemuruh. Siapa dia.. hemm, biarlah rahsia hati ini dia saja yang tahu!

Mukanya memang selamba, dia memang berani... hatinya kering. Namun kata bibirnya selalu tak sama dengan rahsia hatinya!
Ya, itu cerita dahulu. Ceritera yang sudah berlalu.... Dan sekarang dia hanya menyimpan segala yang dia tahu.. hatinya hanya dia yang tahu!







LOVE YOU IN SILENCE - 4


“Mek.. nak ke mana tu? Oh Mek... Hah... tak payah toleh kiri kanan…” Laungan suara itu terhenti di situ. 

“Mek… Mek bertigalah!” Lelaki itu terus menjerit. Tangannya menggamit. Wah, gayanya macam polis trafik pulak! Beberapa orang senior yang sedang duduk bersidai di koridor bangunan itu tersenyum-senyum sumbing.

“Masaklah bebudak tu kena goreng dengan Amirul!” Satu suara bertingkah. Mencecah juga ke pendengaran tiga gadis yang dipanggil Mek tadi.

Kelompok-kelompok pelajar baru yang lain tentunya sedang sibuk mengusung borang memohon tanda tangan, sudah saling berbisik-bisik. Sebenarnya semua tadi sedang sibuk mengejarkan senior dan exco pelajar. 

Suara penghulu exco pelajar tadi cukup kuat. Sangat kuat sebenarnya menyebabkan semua yang ada di situ terkejut. Sangka mereka ada pengumuman penting. Rupa-rupanya ada pelajar yang sudah buat hal! Semua mata tiba-tiba menoleh ke arah tiga gadis itu.

“Ooo la laaaa… beb…. kenapa semua orang pandang kita ni? Wei, depa ingat kita ni artis apa?” Nurul Masmin tergaru-garu kepala. Huh, tak pasal-pasal kepala terasa ada kutu, badan pula terasa ada hama! Eh, kauorang apahal pandang-pandang aku? Rungutnya di dalam hati.

“Ya.. kamu semualah! Nak ke mana tu? Oh, nak lari ye? Dah dapat tanda tangan semua eksco belum?” Jerit Amirul dari jauh. 

“Kurang asamlah mamat ni… Kenapa dia pakai mikrofon???” Kali ini Nurul Masmin semakin terpempan di situ. Nik Fauziah dan Rose turut sama tergamam.

Tersengih-sengih mereka menahan malu. 
“Kesian bebudak tu Amirul.. Malu diaorang kau jerit pakai mikrofon!” Rain Akba menegur dengan berbisik pada rakan sekuliahnya itu.

“Alah, mujur pakai mike.. kalau aku pukul gong, pukul gendang… lagi malu diaorang…” Jawab Amirul tanpa rasa simpati pada juniornya. Sesiapa yang degil dan ingkar memang mencari nahas dengannya

“Mana benda tu?” Tanya Amirul pada Rain Akba.
“Ada.. aku letak atas meja sana. Benda tu dalam kotak.” Beritahu Rain sambil menunjuk ke arah meja rehat di taman mini berdepan dengan bangunan Pusat Pengajian Media itu.

“Kau nak buat apa benda tu?”

“Adalah… sesiapa yang cari masalah.. macam mek-mek tu memang kenalah!” Nada Amirul memang sangat pendendam bunyinya. Tiga gadis yang masih tegak berdiri jauh darinya itu direnung dengan pandangan yang semakin mengecil. Geram sebenarnya! Berani budak-budak ni!

Biarpun yang sebenar seluruh muka terasa kebas menahan malu, Nurul Masmin tetap tidak berganjak. Dia yang memang agak degil berbanding dua sahabat barunya itu, turut memandang Amirul dengan hujung mata! Bencinya lelaki ni! Jaga kau… Macam hebat sangat dengan jawatan penghulu pelajar!

Penghulu Minggu Orientasi Pusat Pengajian Media itu sudah bercekak pinggang. Amirul di aras atas. Tiga mek yang direnung hanya dengan sebelah mata oleh Amirul berada di aras bawah. Kawasan Pusat Pengajian Media itu memang sedikit berbukit. 

Namun jeritan Amirul dengan mikrofon memboleh semua jagat raya di seputar kawasan itu mendengar suaranya. Merah padam muka Nurul Masmin, Nik Fauziah dan Rose. Masing-masing sudah tegak menjadi tugu negara.

“Alamak... matilah kita! Macam ni? Aku dah rasa keras! Macam jadi sang kelembai!” Rose menggeletar ketakutan. Nurul Masmin tetap dengan muka sombongnya.

“Alah, peduli apa! Dia nak dera kita? Silakan... esok aku report dalam Harian Metro!” Nurul Masmin yang memang berkepala batu langsung tidak mahu beralah. Biarpun sebenarnya usus perut sudah rasa terbelit.

Pelajar freshies lain sudah saling berbisik. Huh, siapalah tiga budak perempuan yang berani sangat tu... Mana boleh tinggalkan kawasan ni... memang nahas kalau senior tangkap!

“Hah! Eloklah tu! Berdiri tegak di situ!” Jerit suara itu. Beberapa pelajar lelaki lain sudah bersiul dan bersorak. Telinga Nurul Masmin, Rose dan Nik Fauziah terus terasa bagai terkena miang buluh!

“Alamak, lecehlah mamat sorang ni! Dia nak suruh kita buat apa ni? Aku dah lenguh ni!” Nurul Masmin mengomel sambil mencuit Rose. Kaki masing-masing macam kena gam gajah. Mereka sebenarnya baru saja menyimpan cita-cita mahu melarikan diri. 

Ruang lingkup Pusat Pengajian Media sepanjang minggu itu memang mengazabkan! Terasa macam ada perintah berkurung. Sana sini ada mata-mata gelap yang sibuk lagi kepoh mahu menyiasat adik-adik junior. 

Alkisah dari pengumuman yang diberi, setengah jam dari tempoh itu mereka dikehendaki berkumpul di dewan utama untuk mendengar ceramah aka bebelan bebelan senior. Huhuuu... bosannya!

“Beb macam mana ni? Nak cabut ke? Nak sengih tunjuk gigi aje ke.. nak lambai macam Miss Universe pada semua senior kat atas tu?” Rose sudah menggelabah. Tiga ke empat saat berdiri tegak seperti tiang bendera amat menyiksakan!

“Okay.. tarik nafas, buat muka tapir…Buat muka tak berdosa... buat muka perasan lawa!!” Nurul Masmin sudah tekad. 

Dia tidak peduli kalau didenda. Alah, bukan boleh dibuang universiti pun setakat langgar undang-undang gila masa minggu orientasi! Bukan ke kalau diperhalusi... Minggu Orientasi = Minggu Neraka! 
Sudahlah dia tidak cukup tidur kerana program Qiamullai, masa senggang diisinya dengan menaip dan menaip. Entah kenapa banyak sungguh cerita bersimpang-siur dalam fikirannya biarpun minda sangat letih. 

Akibatnya setiap kali menghadiri aktiviti sebelah siang untuk Minggu Orientasi, dia tidak mampu menahan rasa mengantuk yang bukan kepalang. 
“Mek kurus, mek rendang, mek tinggi... Naik balik.. cepat! Kalau degil...kena lompat katak sama-sama katak nanti!” Amirul seronok mengugut tiga orang adik juniornya itu.

Mahu tidak mahu Nurul Masmin, Nik Fauziah dan Rose berpatah balik. Langkah mereka sengaja lambat-lambat. Nurul Masmin menunjukkan muka malas lagi tak kuasa tatkala mahu menghadap sang penghulu pelajar.

“Wah, belum apa-apa kita dah popular kejap!” Bisik Nurul Masmin pada Rose. Sahabatnya itu berkerut kemudian mencebik.

“Banyak kau punya popular! Mati kita lepas ni! Memang senior kata kita degil!” Pangkah Rose geram. 

Sebenarnya itu semua ilham Nurul Masmin untuk melarikan diri daripada mendengar ceramah.

“Setakat mamat tu... silap-silap dia dulu mati dari kita! Huh, mamat gila kuasa!” Cemuh Nurul Masmin perlahan tanpa peduli semua yang memandang ke arah mereka bertiga.

“Habislah.. mati kita kena denda!” Nik Fauziahsudah semakin sesak nafas. Amirul dan kroni-kroninya sudah menunggu di hadapan sambil bercekak pinggang.

“Siapa nama mek ni semua? Mari beritahu kami... Nak jugak kenal... kenapa degil sangat ya?” Amirul dengan lagak raja di atas takhta, duduk tersandar di kerusi baldu merah di ruang pentas terbuka. Nurul Masmin menjeling dengan rasa meluat. 

Mengada-ngada! Beberapa pelajar senior yang lain sudah terkekeh gelak. 

“Nik Fauziah...” Jawab yang Nik Fauziah dengan pantas. Matanya sekejap-sekejap memandang ke pentas. Matilah aku kalau kena lompat katak atas pentas ni!! Sia-sia aje beri show percuma untuk satu fakulti ni!

“Mek rendang Nik Fauziah.. Mek bonsai siapa nama?”

“Rose Ismail.” Jawab Rose tanpa mengangkat muka. Kecutnya perut tidak terkata. Terasa bersimpul urat dengan tali perut! Kurang ajar! Aku yang langsing pinggang secekak ni dipanggil bonsai?? Buta agaknya mamat ni! Rose sudah berkepuk-kepuk menyumpah di dalam hati.

“Hah mek tinggi... mek muka sombong ni siapa nama?” Sakit benar hati Nurul Masmin bila dia dipanggil mek muka sombong. Ikutkan hati yang kering mahu saja dia tinggalkan kawasan kampus itu.

“Nurul Masmin.” Dia menjawab pendek. Mukanya semakin mencuka. Menyampah! Itu ekspresi yang diberi sambil matanya sendiri tepat memandang ke arah Amirul.

“Nurul Masmin aje? Nama bapak apa?”

Rose dan Nik Fauziah sudah semakin terketar. Wah, Nurul Masmin nak buat apa pulak ni? Jawab ajelah! Ni memang nak cari tali gantung lepas Minggu Orientasi ... Mereka saling menjeling apabila menyedari Nurul Masmin sudah menunjukkan kepala batunya.
“Nurul Masmin Razali. Kenapa? Nak berkenalan ke?” Selamba lagi laju saja kata-kata yang terkeluar dari mulut Nurul Masmin. Amirul memang agak terkejut. Tetapi dia kemudian terdiam dan berbisik sesama rakan yang lain.

“Nurul Masmin?” Amirul menyebut perlahan nama itu. Berulang kali.

Ah, sudah!!! Aku dah kata! Minah Nurul Masmin ni memang degil! Ni mesti nak kena denda kaw kaw punya! 

Cemas Rose apabila melihat Amirul dan beberapa pelajar lain saling bercakap sesuatu. Tetapi amat perlahan dan tidak dapat didengar. Nurul Masmin tetap dengan muka selamba tidak peduli langsung dengan apa yang berlaku.

“Awak Nurul Masmin Razali, yang menulis novel tu ye?” Seorang pengapit kanan Amirul bertanya. 

Soalannya itu sangat mengejutkan Nurul Masmin. Di kanannya Rose, di kirinya Nik Fauziah turut sama terlopong. Hah? Buat novel? Tulis novel? Biar betul? Rose terkejut tetapi sangat teruja.


Amirul sudah merenung tajam muka selamba Nurul Masmin. Perempuan ni memang nak kena ajar! Perempuan hati kering! Perasan divalah tu! 

4 comments:

zarra zuyyin said...

kak, lagi!!!!!

zarra zuyyin said...

Minggu orientasi, kenangan betui tu. sebab zarra yg mengorientasikan orang. ala-ala amirul versi gegurllah..ngee.

Lily Haslina Nasir said...

zarra... hahahha coming ya! akak berselang seli dengan love you in silence! tq so much dear!

Lily Haslina Nasir said...

eh maksud akak superlicious sofea berselang seli dengan judul yang ni.

ShareThis