Wednesday, December 26, 2012

SUPERLICIOUS SOFEA 1, 2

SUPERLICIOUS SOFEA - 1

Nama dia Sofeatulaisyah.
Nama bukan main lagi. Macam ada darah-darah arab. Boleh tersasul mahu menyebutnya. Tak kena gaya, kalau mahu isi borang OMR pun boleh tersalah eja.
Kalau tengokkan pada nama, orang mesti ingat dia ini ala-ala Ustazah Pilihan yang lemah-lembut lagi skema berhemah. Hemm, siapa kenal, baru tahu dia siapa... Boleh tahan kasarnya!

"Nama ada bau-bau arab? Ada darah arab ke?" Kekadang ada yang bertanya.
“Tak ada makna darah Arab! Ini cucu-cicit bugis ok!” Itu selalu jawabnya kalau ada orang mengusik. Maklum tergeliat lidah mahu menyebut nama dia.

Ada yang panggil dia Shah. Dia ok lagi. Ada juga yang tak tahu, guna nama Aisyah aje. Bolehlah. Nama isteri Rasulullah saw kan! Tapi jangan cuba-cuba panggil dia Atul. Mahu kena tukul kepala orang yang menyebut itu.

“Panggil Sofea aje. Dah Sofea tu ala-ala paling depan.” Demikian jawab dia kalau orang tanya mahu panggil apa. Alah, yang selalu buat-buat blur bertanya tentunya mamat-mamat yang mahu jual ayat. 

“Sofea Lorren?”
“Hello... Excuse me! Beg your pardon? Tak mainlah Sofea Lorren. Dah tua pun... kalau Marilyn Monroe okay ye... memang kita minat.”

Hahaha itu satu hal, entah apa, entah kenapa, dia cukup gilakan Marilyn Monroe. Habis semua wall paper di komputer ribanya penuh dengan gambar seksi Marilyn Monroe.

Daftar masuk Kolej Hulu Park Highland ini pun sebenarnya dia terpaksa. Kolej di mana? Tak pernah dengar? Hem, dia tak kecil hati pun. Dah nama pun Hulu jadi memang tak hairan kalau ada yang tak tahu di mana.

Sampai ada kawan-kawan di kolej lama bertanya... Kolej Hulu Park Highland? Kat mana tu? Pengkalan Hulu di mana ya? Di kaki Gunung Jerai ke? Atau di sempadan Takbai yang menghala ke Siam tu? Eh dalam Malaysia ke tempat ni? Amboi, melampau benarlah ya sampai tanya dalam Malaysia ke tidak.

Gadis kepala batu macam Sofea mana pernah pedulikan orang. Tapi kalau dia baik dan sukakan orang, lebih dari bidadari sorga pun dia boleh layan orang. Cuma, jangan sesekali cari fasal dengan dia. Memang dia dendam sampai ke liang lahad. Sudah namanya cicit Bugis yang dulunya ada Daeng pada pangkal nama. Jadi tidak hairan kalau dia memang pendendam.

Apa dia suka? Baik cerita apa dia benci dulu...


SUPERLICIOUS SOFEA

BAB 2


Mazda CX9 merah cili hampir saja terbabas. Abahnya seperti mengelak sesuatu sampai terpaksa menekan brek secara mendadak.

“Apa tu???” Suara Sofea sama meninggi dengan suara ibunya.

Sofea yang hampir terlelap terkejut memandang di tengah jalan. Ibunya, Puan Asmah sama memanjangkan leher. Encik Imran sendiri berkali-kali beristigfar. Mujur tiada perkara buruk berlaku.

“Abah, apa tadi tu...” Sofea masih lagi menoleh ke belakang. Melihat benda yang tergedang merah dan tinggal kepala saja di tengah jalan. Perut dan kaki semua entah sudah bersepah di kawasan sekitarnya
.
“Itu kerbau pendeklah kak! Yang jenis liar tu!” Sampuk Sufian gelak-gelak.

“Phewwww... yuck!!! Itupun ada ke kat kawasan ni?” Sofea terasa tekaknya tetiba kembang.

“Dah namanya hutan sekeliling. Memanglah babi hutan bersepah!” Encik Imran kembali tenang memandu.

“Eeeeee.... apa ni mak!!! Sudahlah tadi nampak gajah atas trak, ni nampak kepala khinzir pulak! Kolej apa mak hantar Piah belajar ni?”

“Kolej yang kelilingnya ada haiwan liar, kolej yang malam-malamnya nanti Kak Piah boleh nampak kain putih terbang-terbang.... Kepala juntai-juntai, tali perut, bersimpul-simpul!”
“Sengallah Pian ni! Mulut tu jaga ya!” Pantas Sofea membalingkan bantal kecil ke muka adiknya.

“Pian, apa cakap macam tu! Lalu tempat macam ni, jangan lepas sangat mulut!” Puan Asmah turut sama menegur. Sufian terkekeh-kekeh ketawa melihat muka kakaknya sudah mencuka.

“Habislah Kak Piah!! Itulah asyik nak tengok si Tyra Banks aje kat tv.... Feeling-feeling next top model! Patut kalau tahu nak tercampak kat tempat jin bergangnam ni, akak kena banyak tengok cerita macam mana nak survive dalam hutan.... Hahah kan dah payah!” Sufian masih lagi mahu menyakat kakaknya.

“Hei, kau diam sekejap boleh tak! Siapa yang tercampak..... Hei, ni mak dengan abah punya pilihan ye!” Suara itu sedikit mendengus. Geram dan sebal.

“Sudahlah tu.... Pian jangan nak sakitkan hati Kak Piah!”
Encik Imran menegur. Dia sendiri rasa bingit telinga bila dua beradik ini asyik bercekau.

“Alah, nanti lama-lama okaylah tu.... Mana-mana tempat pun sama. Bila baru tu semua serba tak kena.....” Puan Asmah memujuk lembut.

“Huh!! Tak ada maknanya! Tempat ni....”
“Hahhaaaa... tu dia..... Dah sampai! Eh, atas puncak bukitlah kolej ni!”
Belum sempat Sofea menyudahkan keluhannya, suara Sufian mengejutkannya.

Bulat matanya memandang bangunan yang tersergam di puncak bukit yang menghijau itu.

SELAMAT DATANG KEPADA SEMUA HULUrians Ke DUNIA HIGHLANDERS. Kolej Hulu Park Highland mengalu-alu kedatangan anda!

“Hahahahaaa.... aduiiii!!! Hulu? Hulurians??” Pecah gelak Sufian. Sofea sudah mengetap bibir. Dia sendiri mengulang sebut. Macam tidak percaya. Hulu? Hulurians? Errr, aku jadi orang hulu ke?

Ya Allah, tempat ni ... tempat ni memang DISASTERS


4 comments:

Yin Areesa said...

Tunggu punya tunggu keluar jugak yer cerita cik Piah nih.

Lily Haslina Nasir said...

NI dedikasi buat anak anak akak yang banyak auta dan nakal lagi suka panjat pagar sekolah terutama syafiq dr zaman sekolah kat pengkalan hulu sampailah dah masuk uia... tetap nakal tak habis! tq ya zarra!

Nur Madihah said...

Kak Lily ke yang buat novel ini? Dah keluar ke? Nak beli ^_^

Lily Haslina Nasir said...

nur madihah,
akak bubuh di fb, fanpage LHN dan di blog dulu ya... hampir siap nanti baru akak beritahu ya.

ShareThis