Monday, December 30, 2013

Yaya Si Kecil Tujuh Tahun dengan Lukisan:))

SEPANJANG menguruskan Adib, Rosie Haslinda Nasir sering menemankan saya. Ada Rosie, tentu ada Rania, anak saudara saya yang baru berusia tujuh tahun. Saya memang leka tengok Rania membunuh waktu di hospital atau di rumah dengan melukis. Beg peralatan melukis sentiasa dibawa ke mana dia pergi.

Errr, kalaulah saya ada bakat macam Yaya, Allah... sukanya saya!!! Boleh karang cerita, boleh melukis sendiri. Yaya cepat-cepat besar ya! Asah skil melukis tapi belajar mengaji dan matematik pandai-pandai tau! Nanti boleh tolong mak uli lukis buku mak uli! Yaya melukis dan mewarna, hahaaa kemudian tu siap ada tanda tangan cinonet pada tepi lukisannya tu! Saya terbayang.. kalaulah arwah mak ada... tentu nenek Yaya akan jahitkan gaun kembang ropol-ropol lagi bertingkat-tingkat untuk Yaya, macam gaun yang Yaya selalu lukis.







TERIMA KASIH SEMUA:))

Terima kasih bagi pihak Anis buat mereka yang bertungkus-lumus menyiapkan Kumpulan Cerpen dan Puisi - ANUGERAH TERINDAH -DBP - MINGGU PENULIS REMAJA. Berkerut-kerut saya baca nama-nama watak dalam cerpen Anis ni. Alah, kita tulis nak cepat mak. Tak sempat fikir! Itu jawapan Anis sewaktu saya tanya perihal cerpen yang ditulis. Dua kali berkerut, apabila ada aje perlakuan angsa-angsa dalam cerpen Anis. Ini entah kali kedua atau ketiga.







TERIMA KASIH JUGA dari dasar hati saya buat semua saudara, sahabat, jiran dekat dan jauh yang datang ziarah atau sms atau mesej sewaktu Adib sakit. Alhamdulillah, dia dah mula lasak macam biasa, dah sengih sengih tengok doraemon, digimon etc. Saya banyak terima tetamu sama ada di rumah atau di hospital. Panggilan telefon dari bapa saudara di Oslo, Norway juga mengejutkan saya. Terima kasih semua. InsyaAllah saya kongsikan gambar tetamu. Itu gambar terbaru Adib, kuasa Allah, dari terlantar tanpa mampu angkat badan, dia dah kembali sihat. Alhamdulillah. Dan saya, haha sudah hilang bengkak dan sembab muka dek berjaga malam.


Saturday, December 28, 2013

Terima Kasih Anak-Anak Alkitab :))

SEKOLAH TAHFIZ ANAK YATIM ALKITAB ini dibangunkan dengan kasih sayang. Tidak komersil, tidak popular dan dibina di atas rumah / tanah pusaka keluarga Kak Yati. Lokasinya di Beranang. Dari dahulu, dah bertahun juga, saya selesa ke sini, berkongsi rezeki saya yang tak seberapa. Selain di Masjid Kampung Hulu Melaka, Rumah Alkitab ni memang kesukaan saya untuk menzahirkan rasa syukur dalam setiap projek/rezeki yang saya terima. Berkongsi rezeki yang tak seberapa dengan anak anak ini beri saya pengalaman manis. Terima kasih untuk anak-anak yang pemalu di sini bersama warden mereka, pengajar mereka, yang semalam membuat bacaan doa selamat/kesyukuran dan Yaasin untuk saya, big bos saya, syafiq, anis, adib, haiqal dan airis cempaka. Keluarga kami di kampung atau di mana berada. Juga untuk senarai arwah-arwah yang dah pergi dan juga untuk semua rakan/sahabat fb saya.



rumah yang dahulu kecil sudah dibesarkan, alhamdulillah, rezeki anak anak di situ.

di belakang rumah alkitab ada kolam ikan kecil tak salah saya, ada nurseri, ada kebun sayur, yang diusahakan anak anak ini pada waktu petang sebagai kegiatan senggang.

ALHAMDULILLAH, petang semalam (Jumaat) saya diberi kelapangan melunaskan janji saya ke Rumah AlKitab. Terima kasih pada Kak Yati penjaga dan pengelola Alkitab yang menyambut beberapa pemberian kecil saya.

Saya malu-malu sewaktu Kak Yati minta izin buka sampul yang tertulis nama dan senarai untuk doa dan bacaan Yaasin. Senarai saya panjang. Saya terangkan pada Kak Yati, saya dah berniat, semua rakan fb, sama ada saudara, kenalan, pernah jumpa atau tidak yang sama-sama berkongsi kisah Adib dengan saya, akan termasuk dalam list doa nanti bersama anak-anak tahfiz ini. Kak Yati segera jawab, "Tak apa... lily dah janji. Tak kisah doa tu panjang macam mana, sama-sama kita bermohon semoga semuanya dimakbulkan."


Di sini rumah warden

Thursday, December 26, 2013

CATATAN HUJUNG TAHUN - Selesai cuti-cuti Pantai Hospital:))

Adib! Kau makan apa? Kau curi makan ya! Itu ayat mesra Dr Zain sewaktu jengah Adib. Sengih-sengih dia tunjukkan gigi siong. Kau makan tak jaga Adib, perut kau tersumbat, jahitan kau merekah dalam tu!

Kita makan aiskrim aje.
Aiskrim apa? Berapa banyak kau makan?
Hihi tiga mangkuk sehari. Baskin Robin aje yang ada kat bawah tu.

Tiba tiba Dr Zain perangkap dia. Kau makan piza kan malam-malam?? Kotak piza dengan bekas coklat tu siapa punya? Siapa buang? Nurse nampak!
Allah!! Mahu kata apa saya. Dia mengaku, jadi tikus tengah malam waktu saya terlena, selongkar almari kecil dan peti sejuk kecil yang penuh dengan makanan pemberian orang yang ziarah.

Habis, kita boleh makan apa?
Kan aku dah kata benda lembut!
Nasi?
Lambat lagi.
Tak boleh ke?

Wah, saya memang malu. Macam pak saudara dia aje dia buatnya Dr Zain, tanya itu ini.
"Kalau kita makan jugak?" Oh, soalan ni memang buat saya jeling tajam dia.
"Kau makanlah! Kau sakit, aku bedah lagi kau. Aku masukkan tiub kat hidung kau, aku buat lubang kat perut kau. Tak ada masalah. Aku ok aje..."
Baru mamat kurus ni nak terkelip-kelip. Nak hadam kata-kata Dr Zain. Saya dah berkira-kira. Lepas ni, penat dah nak berlembut. Memang kena tengking dan jerkah aje kalau dia degil






 Mak, yang ni sedap! Yang tu ok.. yang ni manis! Tak padan sakit, dah tergigil gigil pun gigih cari aiskrim, turun dari tingkat lima ke lobi. Habis semua kaler aiskrim BR dicubanya. Bila saya bising, dia jawab, "Dr Zain kata aiskrim boleh..."


Catatan Hujung Tahun - Dia Yang Pejal

Kalau Haiqal, saya jegilkan mata dah takut, kalau Syafiq, saya sergah, ikut kata. Yang rambut cacak seorang ni, banyak buat saya urut dada. Oh, saya tak tahu rupa-rupanya, hari pertama selepas semua tiub dicabutkan, dia lolos ke Mc Donald Jalan Telawi Bangsar. Kemudian selinap masuk bilik semula bersama abahnya. Payah anak bapak ni. Allah!!! Saya bising, perut terburai baru tahu! Dia sengih.. Adib dah jalan-jalan di bawah lobi hospital. Pulang aje rumah sudah mahu sarung seluar ke padang. Sia-sia kena tengking dengan saya. Oh, saya kena jadi garang macam zaman dia sekolah rendah. Anak yang ini memang pejal dari tiga yang lain.

CATATAN HUJUNG TAHUN - SYUKUR selesai semua:)

Lima belas hari bil RM41 ribu. Sebelum ni RM11 ribu lebih. Cuti-cuti Pantai Hospital yang lebih RM50 ribu untuk penutup 2013. Allah.. syukur. Yang kami bayar 90 hinggit aje. Terima kasih Dr zain dan geng adik manis nurse yang jaga adib di d507.  Tak mengapa, Allah beri macam-macam sepanjang 2013, termasuk yang bakal kami sambut 2014 (novel baru dengan satu perkara lagi yang sangat di luar jangkaan kami), jadi ujian kecil ini, ditambah dengan Allah permudahkan segalanya, kami reda :)) Alhamdulillah syukur.

Catatan Hujung Tahun - Tiub Terakhir

Ok... sikit aje. Tiub yang terakhir berpisah dari tangan. Saya ingatkan paras siku. Rupa rupanya dari tangan sampai ke dada tiub ni menjalar. Laluan susu.

Panjang, halus dan ada jarum. Patutlah masa dimasukkan Adib ke bilik bedah.


Monday, December 23, 2013

CATATAN HUJUNG TAHUN - Alhamdulillah:))

Alhamdulillah, alhamdulillah... saya dah dapat tengok sengih dan gigi taringnya yang berlapis itu. Waktu memandang ini, saya mahu segera buat sujud syukur. InsyaALLAH, saya sudah berniat, dia sihat, saya mahu ke rumah anak yatim tahfiz AlKittab. Dalam senarai doa dan lafaz syukur itu bersama anak anak tahfiz itu kelak, insyaAllah saya akan pohon juga kesejahteraan semua sahabat fb saya, sama ada yang saya kenal atau tidak, yang pernah jumpa ataupun tidak. Terima kasih semua:))










Terima kasih ya Cikgu Mustamir Omar dari Kak Lily dan keluarga. Tak terkata saya apabila guru kelas Adib ini sanggup turun dari Bagan Datoh Perak, ziarah buat kali kedua ke hospital semata-mata untuk serahkan slip keputusan PMR Adib. Semoga cikgu terus cemerlang dalam kerjaya perguruan.







SAYA sangat terhutang budi pada semua sahabat fb. Ada yang kenal nama aje, ada yang mungkin dah bertahun tak jumpa, rakan kerja lama, guru sekolah, pensyarah saya dulu, rakan penulis, kenalan fb, sahabat pembaca, jiran, saudara-mara. Semua sekali... tak mampu saya nak sebut satu demi satu. Terima kasih semua! Membaca catatan, pesanan, doa, dan kata semangat sahabat semua memang menenangkan sedikit saya. Terima kasih sebanyak bintang di langit untuk semua. Semoga perkongsian tak seberapa saya perihal Adib ini, bermanfaat buat semua. Kekadang perkara terjadi tanpa diduga. Kekadang perkara kecil jadi besar, yang tak seberapa jadi serius. Doa saya, 2014, kita semua dilimpahi kasih sayang dan perlindungan Allah swt.


CATATAN HUJUNG TAHUN - Terima Kasih DR ZAIN:))

NGERI. Melihat gambar usus Adib yang dibuang hampir sekaki panjang dan membaca reportnya, sungguh saya mual. Usus membusuk akibat nanah yang tidak habis dibuang pada pembedahan pertama, yang dilakukan oleh doktor pertama sebelum Dr Zain mengambil alih kes Adib. Dua kali pembedahan, ditambah sekali lagi pembedahan kecil untuk tebuk di leher untuk laluan tiub susu dan kemudiannya tak jadi, doktor buat line tiub dari pangkal tangan ke atas siku, saya jadi kagum dengan Adib. Sangat cool. Syukur, dia kuat dan saya diberi kesihatan yang baik jaga dia. Terima kasih tidak terhingga Dr Zain Al-Rasyid, yang sentiasa sabar dengan Adib:))





Hampir sebulan tak makan, bergantung pada susu, beberapa hari dengan morfin, sebaik saja sedikit sedar, dikhabarkan dapat 8A, dan jururawat mengusik-usik, "Mahu hadiah apa?"

Dengan suara tak kuasa dia jawab, "NAK MAKAN!!"

Sebanyak enam wayer dah dicabut, tinggal satu aje lagi di tangan. Orang sakit kena soft diet. "Mak, Dr Zain kata aiskrim boleh."
Dan sejak semalam dua cawan aiskrim untuk dia setiap hari. Saya harap dia sihat dan gemuk sikit lepas ni.




Thursday, December 19, 2013

CATATAN HUJUNG TAHUN - PMR & Sekolah Di Hospital:))

ALLAH!! Ujian diberi dahulu sebelum diberi khabar gembira. Terima kasih Cikgu Mustamir Omar yang sentiasa update Kak Lily. Cikgu yang sangat disayangi seluruh pelajar 3 Ibnu Batuttah. Tahniah untuk semua pelajar kelas Cikgu Mustamir, semua pelajar Batuttah dapat 8A! Tahniah untuk Sabda yang khabarnya 79 orang dapat 8A. Allah... saya sesak dada kejap:)) Salam dan doa saya dari Hospital Pantai KL untuk semua!



Ada hikmahnya dia dapat keputusan PMR dalam keadaan terlantar. Saya sebut pada Adib waktu dia sedar tadi. Dia menangis sikit. Saya kata, Allah nak ingatkan Adib. Kalau Adib sihat, dapat 8A, nanti nakal Adib tak berkurang. PMR tak penting mana pun. Yang penting SPM. Di hospital Adib belajar sabar, belajar reda, belajar kurangkan rengus, belajar bekerjasama dengan jururawat. Belajar untuk faham, hidup ni kuasa Allah lagi besar. Biar masuk ke hospital mahal, tapi kalau Allah nak uji pembedahan pertama gagal, kita tak mampu buat apa.

Alhamdulillah dia angguk. Sepanjang di Hospital Pantai ni saya anggap Adib 'disekolahkan'. Jangan buas, jangan ingkar, belajar insaf diri, faham makna kasih keluarga. Ini lebih besar makna dari 8A PMR.





Terima kasih ya Kak Rashidah IbrahimLili Norlaili dan Onlia Md Dom dari Berita Publishing yang singgah tadi. Siap bawa gift comel dan kad. Senyum senyum Adib dengar nasihat auntie Onlia:)) Terima kasih juga rakan-rakan abah Adib yang datang dari TM, terima kasih untuk buah-buah dan nasi bungkus buat tukang jaga orang sakit:))


Wednesday, December 18, 2013

CATATAN HUJUNG TAHUN - Terima kasih Kak Wansab:))

TERIMA KASIH ya Kak Wan Sabariah Shikh Ali:)) Tak sangka bos lama saya yang sekarang ni orang penting program Nasi Lemak Kopi O, singgah ke Hospital Pantai. Adib dalam suara serak sebab bertiub sempat tanya,"Bos mak tu sekarang kat mana?" Saya kata sekarang Auntie Wansab big bos Nasi Lemak Kopi O, TV9. Allah... tetiba nampak Adib macam teguk liur. Nasi lemak kot buat dia kecur. Okay.. nanti sihat kita makan nasi lemak sesama ya Adib:)) Tq ya Kak Wan, biar masa singkat seronok sembang tadi:))

CATATAN HUJUNG TAHUN - Terima kasih semua:))

TERIMA kasih! Salam subuh:)) Saya terkejut membaca catatan/pm yang ditinggalkan di fb. Sangat banyak. Terima kasih, maaf dan jangan kecil hati kalau saya tak sempat balas. Saya berkongsi kisah sekadar niat, untuk saling meminjam pengalaman. Macam saya, tiada pengalaman menjaga orang dibedah. Dalam keluarga saya sepanjang hayat kami tidak pernah berdepan dengan pembedahan. Allah beri saya anak yang dua kali dibedah serentak dalam tempoh dua minggu. Tak ada pengalaman perihal appendiks, sejak jam dua pagi Adib di bilik kecemasan pada 29 Disember, saya google segala perihal appendiks. Dan Allah beri anak saya sakit appendiks yang kronik. Saya anggap ini pengalaman. Ya, macam kanda Amaruszati Noor Rahim kata, insyaAllah ini memberi ilham berkarya akan datang.

Saya mencatat setiap rasa dan pengamatan saya di blog dan fb, sekadar untuk berkongsi kisah pada siapa yang sudi baca, untuk rekod peribadi saya dan tentunya untuk Adib baca sewaktu dia sihat kelak. Saya berterima kasih sesangat pada yang memberi bahu dan semangat melalui catatan untuk saya di sini. Juga pada yang klik like. Maaf juta juta kali kalau saya tak sempat balas satu demi satu. Setiap pagi saya akan bangun jam 4 pagi atau kekadang jam tiga, untuk bersiap ke Hospital Pantai. Ada waktu saya tak balik rumah langsung atau saya balik lewat malam. Ulang alik rumah saya ke hospital sekitar 100 km saya anggar. Alhamdulilah, saya masih tak demam, sakit atau mahu rebah. Saya harus bersyukur untuk itu.


Appendiks yang kronik, yang berkumpul air hijaunya di perut tanpa disalurkan tiub untuk dikeluarkan, tanpa diberi antibiotik semaksimum yang mungkin melalui drip, tanpa pemeriksaan darah di makmal untuk lihat kadar kuman yang ada (bacaan kuman tinggi dan dibenarkan keluar wad), biar telah dibedah memang boleh bawa maut. Semua perkataan TANPA itu berlaku pada Adib selepas pembedahan pertamanya. Tak apa, saya reda.



Di tangan doktor kedua Adib, Dr Zain, saya sangat bersyukur. Sepanjang memandu selalu saya fikir macam-macam. Ya, saya hampir hilang Adib. Senang kata, siapa tengok dia selepas pembedahan pertama, selepas hanya dibekalkan panadol aje, akan terdetik, anak saya macam tak lama. Apatah lagi waktu itu sudah muntah sehari hampir 15 kali dan semua airnya hijau dari hempedu. Kalau minum secawan, muntahnya mungkin satu beg plastik kecil. Perutnya bengkak dan dia tidak makan minum berhari-hari.



Alhamdulillah, saya diberi kekuatan menjaga dia. Saya anggap setiap kejadian ini, peluang untuk saya tunjuk pada Adib, secara sentuhan, jagaan, apa saja, yang dia tetap 'anak kecil' saya. Umpama qada' segala jagaan, perhatian atau curahan kasih yang dia hilang dan tak dapat dari saya. sepanjang waktu dia di SABDA. Alhamdulillah... syukur saya, biar harus berkejar ke sana ke mari, urusan Anis, Haiqal, rumah, menjaga si kecil Airis Cempaka, saya masih diberi kesihatan yang baik. Terima kasih semua atas doa dan ingatan:)) Semoga kita semua dilimpahi kebaikan dan perkara yang lebih indah menjelang 2014. Salam subuh semua!


Tuesday, December 17, 2013

CATATAN HUJUNG TAHUN - Pembedahan Kedua

Terima kasih ya Umie Mohd dan Poklie Rm atas kunjungan yang mengejutkan:)) Dah bertahun tak jumpa jurufoto favourite saya masa kerja. Berkali-kali juga rancang nak ajak makan-makan di rumah tapi masa tak mengizinkan. Tak sangka jumpa akhirnya di Hospital Pantai. Buat Fiza (Umie Mohd), poklie dan anak-anak, nanti kak lily buat makan-makan ya selepas Adib sihat.

SAYA cuba sedaya-upaya untuk cuci dan buang sisa nanah yang masih melekat pada usus. Tapi tak boleh. Saya terpaksa keluarkan semua usus tu, cuci, buang nanah, kerat dalam sejengkal dan jahit semula. Usus dia dah melekat-lekat. Macam kek! Saya kena lerai dan pisahkan satu satu.

Itu jawapan Dr Zain bila saya tanya mengapa pembedahan yang dijangka sejam menjadi dua jam lebih. Alhamdulillah. Tak apalah, pembedahan dengan Dr Zain insyaAllah ok dengan izin Allah swt. Saya akan lupakan cerita pembedahan pertama di tangan doktor lain yang banyak buat saya menggeleng. Haaaa... panadol terutamanya!

Terima kasih buat Rosie Haslinda Nasir yang menunggu Adib sepanjang dibedah sewaktu saya tak larat semalam. Cuma sedikit ngeri tengok gambar jam satu pagi semalam. Ada enam tiub berselirat keliling Adib. Satu untuk urine, glukose, antibiotik, susu, untuk sisa air cucian usus dan sisa darah serta satu tiub dari hidung terus ke perut untuk keluarkan air hijau dari perut.






Monday, December 16, 2013

CATATAN HUJUNG TAHUN - Adib & Appendiks

SEKADAR BERKONGSI: Budak-budak asrama selalu keliru antara gastrik dengan appendiks. Dah namanya bebudak, kekadang payah anak-anak ni nak terangkan sakitnya atau keadaanya pada doktor. Adib dah menghidap sakitnya rasa saya lebih setahun. Mahu ke doktor pun dia payah. Kalau jumpa pun berat mulut. Lebih rela tunjuk macho dan minta suntikan tahan sakit saja. Banyak simptom appendiks. Muntah, angin, senak etc. Selain sakit belah kanan perut, appendiks yang kronik ni boleh membuatkan si pesakit kalau tidur tak mampu luruskan kaki. Mesti tarik kaki dan lutut rapat ke dada. Kalau lurus, dia sakit.


Saya perasan ni dah lama pada Adib... tidur mesti melengkung macam udang dan tak suka luruskan kaki tapi emmm... anak macho ni payah sikit nak kata. Dah pecah appendiks pun, dia tahan lagi. Cuma mengadu, jam 4 pagi menggeletar dan berpeluh sejuk satu badan. Kalau tak dijerkah sehari selepas kejadian, dia masih degiil mahu berkelubung dalam selimut aje. Selepas ni untuk Anis dan Syafiq yang selalu berkeluh 'gastrik' kalau kena lagi, saya akan paksa buat ujian darah aje.

CATATAN HUJUNG TAHUN - Adib & Appendiks Yang Pecah:((

Bilik tidur untuk lima hari seribu lebih. Sejam lebih ziarah dewan bedah sembilan ratus lebih. Bayaran pakar lima ribu lebih. Jumlah besar cuti cuti di Pantai Hospital sebelas ribu lebih. Tak apalah... yg bayar panel. Tapi ohhh... selepas lima hari dibedah, keluar hospital, pulang ke rumah, Adib rupanya makin kritikal. Dan ada waktu dia agak merepek bila bercakap. 
Cikgu Mustamir yang sangat dedikasi pada anak murid dan kerjaya:)) tq cikgu, datang dari jauh...


Terima kasih buat anak-anak yatim tahfiz AL-KITTAB yang membuat bacaan doa dan yaasin untuk Adib. Untuk Ustaz Mustafa dari Seremban, terima kasih sebab bantu Adib yang dah hilang semangat. Sehari muntah hijau lumut sampai lebih 15 kali. Perut bengkak sampai berurat-urat. Terima kasih buat makcik Manisah, pakcik Jasmin, kanda Zaiton Abu Samah (DBP) dan suami, terima kasih buat Rosie yang selalu menyinggah. Dan paling saya terkejut Cikgu Mustamir, guru kelas Adib, jauh-jauh dari Bagan Datoh, Perak, singgah dan ziarah anak muridnya. Saya sangat terharu dan tergamam.

Buat jiran saya, Umi, yang bantu masak di rumah, buat Amy yang datang kemaskan rumah... oh, terima kasih kerana mengurangkan lelah saya. Untuk En Zali, pun terima kasih sebab beri ayam angsa ikan dan kura-kura saya makan:)) sepanjang saya sibuk di hospital. Rasa seribu rahmat, orang yang bukan saudara sedarah sedaging pun ramai menjaga kebajikan saya:))


Kak Ton, orang kuat DBP, yang ziarah tanpa saya duga:))
Kejutan paling besar tentunya ziarah dari abah saya, Atuk Nasir si Adib sama makcik Hawabi, busu siti, achik Safuan dan Aqil. Abah saya bukan senang dipujuk untuk datang rumah anak. Raya pun belum tentu mau ke KL. Tapi bila tahu cucu dibedah, terus melompat masuk kereta, kerah Safuan ke rumah saya. Marah jugak abah pada saya sebab tak beritahu dia. Abah saya dulu kerja di hospital. Jadi serius atau tak masalah Adib, dia boleh agak.  Atuk Nasir naik KL pun tanpa beritahu saya. Mujur sempat dihidangkan nasi untuk makan malam.






Terima kasih semua! Doa saya untuk semua, selamat berhujung tahun 2013. Saya tak daya nak balas satu demi satu mesej atau komen di fb. Buat semua saudara mara saya, Busu saya dari Johor, Dr Jabar Ishak, kenalan, Cikgu Rosinah, Ez Husna dari Labuan, Latisyaz Abdul Latif, Suriyanti Suhaimi dari Brunei, Kak Nik, Suzzanasuzaili (oh ramai kalau saya nak sebut satu demi satu!) Terima kasih atas doa dan ingatan:))



Kami kembali ke Hospital Pantai selepas nampak Adib makin lemah, kami bertukar doktor atas cadangan orang di Pantai sendiri. Dr Zain doktor kedua yang handle kes Adib. Alhamdulillah Dr Zain terangkan A-Z. Masuk drip, antibiotik, masuk tiub dari hidung terus ke perut dan usaha beri tenaga, dimasukkan susu 1.5 liter dalam tempoh 16 jam sehari. Memang azab saya tengok.


Susu satu beg besar, diberi dalam tempoh 16 jam.

Dan, selepas lebih dua minggu, Dr Zain cadangkan pembedahan kedua. Tak mengapalah. Saya kata dengan Adib, itu lebih baik daripada terus berselirat dengan tiub dan wayer.

Tak apalah Allah dah tentukan dia sakit panjang waktu cuti. Kalau dulu, saya sentuh dia, harus dia lompat kijang. Gelilah mak! Kalau saya cium dahi dia kala pulang asrama, dia akan kesat. Malu! Sekarang kalau boleh siang malam dia mahu saya urutkan lenguh-lenguh badan dia. Kalau dulu, dia asyik jeling aje adiknya. Alhamdulillah, sekarang kalau Haiqal tolong angkat beg muntahnya, dia spontan kata, "Terima kasih Haiqal." 

Kalau dulu, dia tak kisah pun saya mahu ke mana. Sekarang 15 minit hilang, dia telefon, mak mana... lambat lagi ke? Paling saya terkesan bila saya syampukan rambut dia untuk mandikan dia. Saya terkenangkan arwah mak. Waktu saya selalu masuk wad zaman sekolah dulu, emak sabar layan saya. Dan ini berulang pada Adib. Tak apa, saya tahu, kalau saya dah tak ada nanti, itulah kenangan paling manis untuk Adib! Macam mana saya selalu kenang emak:(( Saya doakan Adib lebih mengunyah makna kasih keluarga selepas ini:))


Tq tq tq Rania yang selalu temankan abang Adib. Tq pada Rosie yang sanggup berpenat habiskan masa teman Adib di hospital. Tq jugak untuk Azlan, abah Rania yang selalu telefon tanya khabar anak buah:))

Masa saya mandikan dia, dia nangis. Tanya kenapa dia selalu sakit. Ya, dalam adik beradik, bak kata Syafiq, "Badan aje ketak, banyak penyakit! Sakit kulitlah, sakit itulah inilah... lutut berjahitlah, gusi berjahitlah, mata minor operationlah sebab main sembur-sembur pasir atas muka, tulang lengan terkeluarlah sebab jatuh basikal:(("

Saya spontan jawab, "Sejak Adib dalam perut, Adib survivor.Masa Adib umur 4- 5 minggu, mak bleeding sebab pergi Tioman, kapal terbang kena angin kencang. Pertengahan mengandung Adib, mak kena denggi. Masa Adib dalam perut, uri dekat leher, tapi Adib tetap survive dalam perut mak. Masa Adib kecil selalu ada kahak dalam dada. Tak apa, Tuhan dah pilih antara Syafiq, Anis dgn Haiqal, Adib lebih lasak."

Dia terus diam dan macam fikir sesuatu.


Dan, saya, tak kisahlah... mungkin bil menjangkau dua puluh ribu lebih kot... asal dia sihat, saya lega. Dalam kalut selalu tidur sejam dua waktu dinihari ke subuh sebab layankan dia ke tandas, tetiba saya dapat mesej dari rakan sekerja. Senyum, alhamdulillah... rasa macam tak percaya. Khabar ni saya terima subuh tadi.

Oh, memang Allah menguji saya sebelum 2014. Sesuatu yang indah, yang saya nantikan sekian lama, insyaAllah muncul 2014. Bukan satu, tapi dua...:)) Saya reda semua ini:))



ShareThis