Wednesday, December 26, 2012

LOVE YOU IN SILENCE - 2, 3

LOVE YOU IN SILENCE - kala cinta hilang kata
Bab 2


Petang itu ketika dia, Rose dan Nik Fauziah menikmati minum petang di Perdana Siswa, Nurul Masmin melepaskan segala yang terbuku di dada.

“Arghhhh... kecohlah mamat-mamat senior department kita tu! Nantilah! Jaga dia orang....” Ujar Nurul Masmin geram. 

Fikirannya sudah bersimpang-siur. Sekejap laju berfikir, sekejap matanya berkelip.. petanda ada sesuatu yang mahu disempurnakan. Jagalah! Hatinya sudah mula menyimpan dendam. Pisang goreng di hadapannya dicucuk-cucuk dengan garfu! Hish, geram!!!

“Hei.. kau nak buat apa?” Tanya Nik Fauziah dan Rose serentak.
“Adalah...”

“Adalah tu apa?”
“Tengoklah nanti...” Nurul Masmin tidak peduli. Ada sesuatu yang sudah terkilas di kepalanya.
“Hei, kau jangan buat gila ya.. bukan nabi saja tak mahu mengaku umat, kami pun nanti tak mahu mengaku kawan!” Rose mengingatkan.

Nik Fauziah mengangguk bersungguh-sungguh. Gadis yang seorang itu sekadar angkat kening. Matanya melirik tajam, keningnya terangkat dan bagai ada tanduk kecil tumbuk di kepala!

Tanpa ribut, tanpa amaran, tanpa mereka duga, sesuatu itu akhirnya meletus juga di jabatan mereka. Namun Nurul Masmin tetap Nurul Masmin.. mukanya selamba tanpa sedikit pun rasa berdosa!

Sewaktu semua orang kecoh bercerita, Nurul Masmin yang turut pasang telinga Cuma tersenyum sinis. Hahah padan muka! Itu sahaja yang terbit di hatinya. Tiada siapa pun di kampus itu mampu membuat andaian.. gadis yang nampak lembut dan tenang seperti Nurul Masmin mampu berubah kejam.

“Wei.. aku tak sangka kau boleh ikut perangai tentera Nazi...” Tegur Nik Fauziah sambil menggeleng petang itu.

“Eh, tentera Nazi dah tak relevan... ini dah macam tentera Israel...Kejam giler...” Sampuk Rose pula.

Satu fakulti kecoh bila Amirul mengamuk semua boxer basahnya yang bersidai di ampaian asrama lelaki alih-alih tinggal cebisan kain. Siap katanya ada bekas minyak hitam...” Nik Fauziah memanjangkan gosip terhangat minggu itu. Memang ribut dibuatnya apabila Amirul mengamuk. Boxer basahnya hampir jadi perca kain kerana diracik-racik halus.

“Kurang ajar! Siapa yang berani gunting boxer aku ni... aku sumpah dia mati pucuk! Aku sumpah dia jadi mandul!”

Kalaulah asap boleh keluar dari kepala dan mulut, tentu itu akan terjadi pada Amirul. Lelaki itu betul-betul naik hantu. Dia tidak peduli. Habis segala perbendaharaan kata untuk maki hamun dan sumpah seranah dijeritkannya.

Cerita Amirul kerugian besar dik semua boxer stok seminggunya digunting orang memang menjadi bahan gosip tujuh hari tujuh malam di kampus. Tiada siapa yang berani mengganggu-gugat jiwa jejaka itu sepanjang tempoh mengaibkan itu. Siapa berani... Amirul! Dengar nama Amirul pun junior sudah gerun. Macam malaikat maut dia di fakulti itu. Tetapi Nurul Masmin tetap selamba.

"Beb... siapa pedajalkan mamat tu ye?"

"Apa aku peduli... itu mujur boxer kena kacip, kena gunting... kalau benda lain... hahahaha! Lalalalala...." Nurul Masmin tersengih mengangkat kening.

"Hish, tak tergamak aku nak bayangkan!"
"Lantak dialah... Ada mak kesah!!" Gelak bertanduk Nurul Masmin merisaukan teman yang lain.







LOVE YOU IN SILENCE - kala cinta hilang kata

BAB 3


“Ya Allah.. siapalah ye punya kerja tu? Berani gila!” Rose membuat komen selari sewaktu mereka menikmati maggi yang direndam saja dengan air panas malam itu.

“Betullah! Siapalah yang buat macam tu... sampai Amirul sumpah kata orang yang buat tu nanti mandul!” Sampuk Nik Fauziah pula sambil menggeleng-geleng.

Nurul yang sedang mengunyah biskut kering tiba-tiba tersedak dan pantas mencapai milo panasnya.

“Huh, sumpah dia aje dia tahu... dia tak tahu orang lain pun sumpah dia jugak! Tu mujur aku gunting aje boxer dia... kalau aku bawak pergi asapkan dekat bomoh macam mana??”

Bumi terasa berhenti berputar. Nik Fauziah terasa terhenti bernafas. Rose sudah terbuntang biji mata.

“Weiii....Aku salah dengar ke apa ni???”
“Hei... kauuuu!!!”

“Nurul... kau biar betul???”

Dua sahabat sudah terkejut badak. Nurul tetap dengan muka selamba sambil tersenyum. Keningnya terus terangkat tinggi.
“Nasiblah!!” Ayat sepatah itu penuh bongkak.

“Hei, aku tanya ni... itu kerja kau ya?? Macam mana kau masuk ke sana?” Soal Rose tidak puas hati. Nurul terus tersengih.

“Apa susah ... masa dia orang tu pergi solat Isyak, aku lompat pagarlah! Alah, mana ada guard jaga tempat ampaian baju! Dia tu siapa... apa kes kalau guard nak jaga ampaian boxer dia! Aku bukan masuk bilik depa... tak dosa kannn....”

Nurul masih tidak berasa bersalah. Malah jauh di sudut hati memang dia puas dan bangga.

Nik Fauziah dan Rose memang terkelip-kelip memandang wajah manis itu. Huhuuu.. memang hilang akal kawan yang seorang ini. Dasar novelis... imaginasinya memang luar biasa!

“Tapi.... errkkk mana kau tahu yang itu semua boxer si Amirul? Dahsyat beb kau punya imaginasi wild wild west .. tepat pulak tu!” Soal Rose sambil menggaru jerawat dengan muka yang agak blur.

“Aha... mana kau tahu tu seluar dalam Amirul.. Wei you don’t kiss and tell ok... eh.. silap...kau jangan kata kau intai tutttt ok??” Nik Fauziah yang ala ala alim sudah mahu terjerit. Dua sahabatnya itu sudah turut terpekik.

“Wei... aku waraslah.. tak hingin aku sekodeng.. siapa suruh si mamat tu pakai seluar asyik terlondeh.. kan aku ni cekap! Aku ni kan pantas... memang aku cam warna dengan cap boxer dia tu... alah, takat boxer cap ayam dengan cap ikan sardin pun nak kecoh bila boxer koyak!!” Nurul membebel dengan bibir terjuih tetapi rasa bangga memang menongkat langit.

“Ya Allah kaulah punya kerja... Memang bertanduklah kau ni...” Sampuk Nik Fauziah lagi.

“Hei.. kau mesti sokong aku kan.. kau tak ingat ke apa dia buat kat kita?” Nurul mengungkit cerita minggu orientasi. Dua sahabat itu kemudiannya sama-sama terkekeh gelak.

“Cayalah Nurul... aku belanja kau nasi ayam ye!”
“Bravoo Nurul.. Tak aku sangka cempedak jadi nangka, nangka jadi durian tembaga!”

Nik Fauziah sebenarnya masih pening-pening lalat tetapi memang berasa kagum dengan segala yang didengarnya tadi. Pengakuan jujur Nurul itu memang sangat luar biasa. Mana ada orang berani mencari fasal dengan Amirul di kampus!

“Aku ringan aje mulut nak tanya mamat tu..” Nurul terdiam sambil meraba pipinya yang mula ditumbuhi jerawat halus.
“Kau nak tanya apa?” Soal Rose.

“Aku nak tanya lebih kurang macam ni: Abang Amirul... pergi kuliah pakai spender ke tidak... Boxer Cik Abang yang dah punah tu stok seminggu kan.....” Menghilai gelak tawa tiga serangkai itu apabila Nurul mengajuk suara gedik.

“Huhu.. kalau kau tanya macam tu aku rasa memang kau kena bom nanti!” Balas Nik Fauziah dengan mata berair menahan gelak.
“Hish.. betul. Baik janganlah.. kau bawak-bawaklah mengucap ye.. kita lama lagi kat kampus ni!” Ujar Rose pula.

“Betul... aku tak mahu kena bungkus kain baju sebab bergaduh dengan mamat ni!” Balas Nik Fauziah yang memang sesak nafas mengenangkan cerita Amirul.

“Kau berani tahap dewalah! Hari tu kau dajalkan dia sampai mamat tu selongkar tong sampah cari selipar...Alih-alih sudah jadi bentuk lain selipar dia!” Nik Fauziah betul-betul tidak sangka Nurul yang dilihatnya agak pendiam dan berat mulut berani menjatuhkan hukuman sendiri pada lelaki yang didendaminya itu.

“Hei.. aku tak buang dalam tong sampah selipar dia dah cukup bagus, hokay!” Nurul masih tidak mahu beralah.

“Kesian dia.. tak pasal-pasal dia kena jalan berkaki ayam masa kuliah Prof Husin masa tu..” ujar Rose lagi.

Nurul mencebik. Tidak ada sehalus hama dia berasa kesal. Puas hati dia dapat menggunting selipar jepun Amirul sehingga menjadi potongan segi tiga macam bentuk potongan kek. Dia langsung tidak peduli kalau ketika ada yang ternampak perbuatannya merampok selipar Jepun Amirul di tepi pintu surau lelaki.

“Biar dirasakan.. kau ingat tak masa minggu persembahan orientasi.. dia yang gatal mulut kata muka aku ni toya! Haha.. nasiblah kan.. memang aku buat muka toyalah kalau nampak dia!”

Ujar Nurul yang memang berasakan tiada ruang dia akan berbaik-baik dengan Amirul. Tidak mungkin dia lupa saat dirinya dibasuh oleh Amriul selepas majlis orientasi.

“Hei.. kau mahu pilih yang mana ya... toya atau lampi?? Kau tahu tak kau tu toya... muka toya.. dah tu, lampi pulak perangai!!”

Sewaktu itu dia cuma mampu terkelip-kelip. Lampi??Apa tu? Sumpah tak pernah dengar!

“Lampi.. lambat pickup!! Kau ni muka ok.. tapi toya.. dah toya..lambat pick up pulak tu.. LAMPI!!”

Bergegar jiwa, bergoncang sabar! Sejak hari itu Nurul tahu Amirul musuhnya yang nyata.

Di kampus itu hanya seorang sahaja lelaki yang sering membuat hatinya menjadi gemuruh. Siapa dia.. hemm, biarlah rahsia hati ini dia saja yang tahu!

Mukanya memang selamba, dia memang berani... hatinya kering. Namun kata bibirnya selalu tak sama dengan rahsia hatinya!
Ya, itu cerita dahulu. Ceritera yang sudah berlalu.... Dan sekarang dia hanya menyimpan segala yang dia tahu.. hatinya hanya dia yang tahu!


3 comments:

Yin Areesa said...

Dasyatnya Nurul ni. Memang hati kering. Err..ker ni akak zaman belajar dulu2 tue? peace!

Lily Haslina Nasir said...

ZARRA ZUYYIN...
lallalalalaa hahahhahahaa ... akak gelak kuat-kuat ni! Haishhh kak lily baikkkkk sesangat time belajar!

Yin Areesa said...

hehe..zarra pun penah jadi student. tapi memang bestlah watak nurul masmin ni.kut iyer boleh jugak tertukar nama jadi Lily Haslina.ngee

ShareThis