Wednesday, February 6, 2013

ADIWIRA KESUMAKU - ROSIE HASLINDA - INTREND 2011

ANTARA tulisan Rosie yang saya senangi. Kisah CINTA ADIWIRA.
 Kisahnya biasa-biasa, namun dalam biasa-biasa itu, 
tergarap indah bahasa, tergaris warna-warna kisah.
 Hohoho... kalaulah saya boleh menulis sebaik dan secantik tulisan Rosie :)) 
Jangan loya ya! 
             Sejak sekolah saya cuba sebenarnya buat stroke atau lenggok Rosie menulis. 
                                                             Haram tak menjadi!:((


ADIWIRA KESUMAKU

Seperti baru semalam saya melihat fotonya; berpakaian seragam celoreng-celoreng, sungguh hitam dan sungguh kurus melengkung orangnya, tersenyum separuh macho, bercekak pinggang di bawah rumpunan pokok jambu.

“Oh, daripada banyak-banyak boyfriend you…” kata saya jujur, “Inilah yang paling tak handsome…”

Kami ketawa berdekah-dekah sehingga mengalir air mata dan bahu bergoyang terhincut-hincut. Sudah 15 tahun berlalu semenjak kami berdebat tentang lelaki berbaju celoreng di bawah pokok jambu.

Kawan baik saya primadona cantik, punya teman lelaki keliling pinggang semasa zaman perawannya.

Dan pada zaman gemilang itu, kalau tiba-tiba dia putus cinta (dia yang suka bikin taufan memutuskan cinta), pasti lelaki lain berdesup datang menawar nyawa mengubat rawannya.



Dan berbalik kepada si kurus berbaju celoreng-celoreng tadi, hati si gadis akhirnya tawar dan perasaannya beku dijarak waktu kerana 15 tahun lamanya kawan baik saya dan si lelaki berbaju celoreng tidak lagi bertemu; dan kawan baik saya ini sudah pun berbahagia menikahi lelaki lain yang amat mencintainya.

Namun saya tidak menyangka sama sekali bahawa perasaan cinta itu akan menjadi lebih dasar dan sungguh dalam berbalam-balam, apabila mereka semakin berusia.

“Kami kembali berkawan,” cerita kawan baik saya dengan wajah girang, dan wajah si kurus berbaju celoreng segera menerpa mata saya.

Saya terkejut bukan kepalang apabila melihat foto terbaru si dia mengerdip di skrin telefon bimbit kawan baik saya. Dia masih hitam manis sebelum dulu.

Namun perawakannya jauh berubah. Wajahnya terlihat aman sekali, tegap, kacak, berkarisma, jauh lebih bijaksana, dan kematangan terpancar menyeluruhi fizikalnya. Untuk seorang lelaki yang sudah berusia lebih 40 tahun, saya fikir dia telah melalui kehidupannya dengan baik.

Kawan baik saya kini bersahabat baik dengan kekasih lamanya, yang dulunya bukan siapa-siapa, tetapi kini rupa-rupanya sudah menjadi orang besar sebaris orang kenamaan di pantai timur sana.

Lima belas tahun rupanya si lelaki berbaju celoreng mendidik dirinya untuk bersabar dan tidak lebur walaupun dikecewakan cinta.

Kerana 15 tahun yang lalu, mungkin yang terbening di fikiran si lelaki hanyalah cinta – yang paling spontan. Namun apabila dia menyedari bahawa cinta itu lebih besar dan lebih bermakna daripada itu; maka dia memperbaiki dan mempersiapkan dirinya, meski dia tahu dia terlambat dan mawar sudah pun disunting orang lain.



Saya terpanggil menulis kisah lelaki berbaju celoreng ini kerana saya percaya; ada banyak pengajaran tersirat yang dapat kita tafsir dan petik daripada peristiwa cinta ini.

Pertama, dalam hidup seorang wanita, dia hanya memerlukan seorang lelaki untuk memimpin kehidupannya. Namun apabila lelaki yang memimpin tidak melaksanakan tugas sebagaimana yang diharap, maka jangan salahkan wanita jika dia berpaling melihat lelaki adiwira lain.

Kedua, cinta menjadi lebih matang dan berbara jika diterajui lelaki yang lebih banyak pengalaman – lelaki matang yang mempamer kewarasan dan kedewasaan, dan yang teratas, lelaki yang tahu menghargai wanita pada tingkat yang wajar. Dan ketiganya, dunia ini tidak selalu kencana untuk kita.

Kerana ya, apabila kita mendapat sesuatu perkara yang amat kita hajati separuh mati, maka bersedialah – kita mungkin akan kehilangan satu perkara yang lain pula. Tuhan itu adil dan Dia jua yang menyusun rencana hidup kita.


Seperti kawan baik saya tadi, dia harus memilih untuk terus bersahabat secara rahsia dengan si lelaki berbaju celoreng itu dan berpura seperti tiada apa yang berlaku, atau; melukakan orang lain (hanya jika pasangannya tahu).

Waktu itu fantasi cinta pasti bertukar menjadi wajah rumahtangga yang paling hodoh. Semoga Tuhan menjauhkannya.

Saya percaya, kita punya banyak fantasi lelaki adiwira dalam kesuma wanita kita.

Namun kita harus memilih hanya satu, sebelum mata kita kabur dan kita bertambah keliru.

4 comments:

NenetPenne (NP) said...

ayat...tak mampu saya menulis sebegitu cantik..

zarra zuyyin said...

Cantiknya lenggok bahasa kak rosie ni Kak Lily. baca rasa tenang aje biar isunya agak berat. beliau telah memudahcara pembaca utk menghayati dengan bahasa yang santai.

Lily Haslina Nasir said...

NenetPenne....
Tq so much dear sebab bubuh link di blog nenetpenne ya!
Oh, pasal tulisan rosie ni... ya... saya pun tak mampu tulis gitu :))
Tq nenetpenne sebab selalu singgah sini.

Lily Haslina Nasir said...

Zarra Zuyyin..
Betul tu... sangat mengalir aje tulisannya. Kak lily baca terasa macam nak baca berulang kali biarpun agak melankolik. Bahasanya berbunga tapi tidak meletihkan bila baca. Terasa tenang bila baca.

ShareThis