Thursday, February 7, 2013

Si Kecil Kencana Jiwa



Di bawah ini, yang berwarna merah adalah catatan Rosie di majalahnya. Rosie berkisah panjang tentang Rania, anakandanya, yang memanggil saya dengan panggilan MAK ULI. Rania buah hati Rosie, kemanjaan Rosie dan ada waktu mood swingnya tak menentu, membakar juga darah mamanya ke takat didih. 
Bersama saya Rosie selalu bersembang-sembang, berkisah tentang rencana dan rancangannya untuk Rania. Ya, saya rasa semua ibu begitu kan.... 
Dan, saya sangat memahami Rosie. Kerjaya yang selalu menggila deadline, ada waktu menghambat Rosie berkejar jadual pesawat, bergegas ke sesi temubual eksklusif atau paling tidak waktu huru-hara menapak memanjat tangga syarikat printer, tentu saja membuat Rosie berasa tidak adil pada Rania. 

Saya pernah merasai sebal sebak perasaan itu.
 Rasa lelah dengan kerja. Rasa berdosa pada anak. Pernah sewaktu Haiqal kecil, setiap kali pulang rumah lewat malam, Haiqal hanya mengintai saya dari celah pintu. Tatkala saya menggamit dan mengajak Haiqal ke riba saya, anak kecil saya itu berlari mendapatkan Mak Sunti, ibu pengasuhnya. 
Betapa kami dekat tapi jauh! Dia lebih berasa tenang dan aman dalam dakapan pembantu rumah.
Sejak itu saya selalu didera rasa. Mana yang harus saya pilih. Anak? Gaji? Kerjaya yang dianggap glam? Mungkin atas beberapa faktor, itu yang menyebabkan saya beralah. Buat Rosie... tidak mengapa! 
Rosie masih muda, masih punya energi. Rania tentu aje dilimpahi kasih sayang abah Lannya sama Rosie. Tak cukup dengan itu,  Tok Acil, Mak Uli, Busu Siti, Abang Apit, Kak Anis, Abang Adib, Haiqal, Acik Sapuan, Chik Lan dan Aqil best friendnya memang akan sentiasa anggap Rania itu Princess di hati kami. 
Dan, saya juga percaya Rosie mampu memberi keseimbangan segala-galanya buat Rania. Mudah-mudahan Yaya@ Rania fasih mengaji, tangkas matematik, penuh pesona di gelanggang gimrama, hebat melukis dan cekap di kolam renang. Dengan segala doa dan kasih sayang, semua ini tak mustahil untuk Rania.

SEMBILAN BULAN, SEMBILAN HARI



Di dalam dewan Bukit Jalil Golf & Country Resort, temasya graduasi anak-anak tadika sedang berlangsung. Sewaktu nama Rania diseru ke pentas, fikiran saya terbang mengkhayali yang lain – hari pernikahannya! Sebak, teruja, tidak percaya, bercampur-campur.



Ada bermacam rencana berlegar dalam fikiran saya. Rania harus belajar solat dan mengaji (ya, yang ini sedang berjalan). Rania harus tahu berenang (ya, dia sudah pun mengikuti kelas renang ketujuh).



Rania harus tangkas Matematik (ya, setiap minggu saya menemaninya ke kelas tambahan Mental Arithmetic, dia pun sudah fasih mengendali sempoa, saya sendiri belajar daripadanya). Rania harus membaja minatnya berdansa bergimnastik (ya, saya baru sahaja menghubungi satu akademi Gimnastik Berirama dan kuliah pertamanya bermula esok, yay!). Lalu, sebagai ibu, dapatkah kamu memberitahu saya, apakah lagi yang belum saya lakukan untuk zuriat yang amat saya kasihi?



“Duit boleh dicari, tetapi masa tak dapat kita beli,” tegas jiran sewaktu kami berbincang tentang program persekolahan dan urusan turun-naik van anak-anak pergi-kembali dari sekolah, menjelang tahun baru.


Saya terjeda. Alangkah benar. Namun, jika diberi pilihan; apakah sebenarnya yang kita mahu? Detik masa yang mengalir berlimpahan kerana kita tiada komitmen 9-5? Tetapi soalnya di sini, kebebasan tanpa komitmen 9-5 itu sebenarnya mungkin menjerumuskan kita ke dalam keterikatan hidup yang lain – tangan tergari daripada berbelanja, maka kerana itu juga tidak semua yang dicita kita (dan anak) mampu kita tunaikan.



Atau, apakah wang teras keutamaan kita? Dengannya, kita mampu membeli bulan dan bintang. Tetapi kerana masa terlalu deras berlari, wang beribu yang kita cari tidak dapat mengembalikan langkah anak yang pertama sewaktu dia belajar bertatih.



Wang beribu yang kita cari siang dan malam tidak dapat mengembalikan bau ubun-ubunnya yang lemak wangi, yang lebih bersebati dilekati bau badan pembantu rumah daripada bau kita yang menghamilinya sepenuh sayang, sembilan bulan, sembilan hari.



Lalu, jalur hidup manakah yang harus kita pilih?



Tekad sebagai ibu, mampukah kita bulatkan, walaupun pedih?



“Jue baru mengambil anak angkat,” saya diberitahu, mengenai Jue gadis cantik idaman ramai pemuda Malaya. Ramai sekali terluka dengannya kerana Jue pantas bertukar pacar, selekas halilintar. “Lengkaplah hidup Jue sekarang. Sudah ada pasangan. Beranak segera pula,” ujar teman saya lagi.



Namun yang sangat mengganggu saya adalah keberahian Jue bercinta-cintaan sesama teman sejenis. Berdamping serumah, bergaul sekatil sebantal. Dan bayi yang ‘diangkat’ itu dibela di dalam rumah Jue. Berayahkan teman pengkid separuh ‘kacak’ separuh menyerupai suak Mat Rempit.         



Soalnya di sini, selepas cinta sejenis dan mencabar halal haram; apakah lagi yang cuba Jue dan pasangannya buktikan? Apakah mesej yang ingin disampaikan kepada anak? Mengisyaratkan bahawa cinta sejenis itu murni? Pengamal cinta sejenis itu juga luhur? Kerana di dalam kalbunya dihujani rasa belas kasihan, maka mereka juga layak membesarkan anak kecil dengan air tangan mereka?



Persoalannya, apabila anak kecil nanti memanggil ibu dan bapanya menghadiri majlis graduasi sekolah, atau paling tidak untuk pertemuan mengambil buku laporan sekolah antara guru-penjaga; maka apakah panggilan lebih molek untuk si anak tujukan kepada ‘wanita’ yang datang berpakaian serba kelelakian, berjalan terhenjut-henjut terbongkok-bongkok kerana ‘si bapa’ mahu menyembunyikan gembur dadanya?



Lalu apakah ayat pengenalan si anak kepada guru kelasnya harus berbunyi begini, “Cikgu, inilah bapa saya?”   


Sewaktu masyarakat madani kita sedang sakit dengan kemunculan anak asmara dan kes buang-bunuh anak, saya fikir – anda semua – dan saya sendiri, sebagai ibu yang mengungguli sahsiah serta pemikiran anak-anak dari rumah – seharusnya mengambil langkah lebih proaktif. Anak harus dipantau secara mikro.


Jika harus menjadi sahabat FBnya – baiklah. Ayuh kita daftar (terpulang, pilih identiti jelas atau penyamaran) lalu segera klik Friend request. Jika harus menjadi pengikutnya di Webstagram – pun apalah salah. Kita ibunya boleh sahaja melancarkan akaun sendiri! Ya, jika itu yang diperlukan untuk ‘dekat’ dengannya, mengapa berkata tidak? Yang harus dipantau adalah jalur pemikirannya. 




Dan kepompong sahsiahnya. Kerana kita tidak mahu anak perawan kita bakal menambah populasi pengkid. Kita tidak mahu zuriat kita berhadapan kecelaruan gender. Kita juga tidak mahu zuriat kita menambah populasi anak asmara, dalam apa jua bentuk dan cara. Banyak atau sedikit zuriat kita, kaya atau miskin hidup kita; itu tidak mengurangkan walau sezarah pun berat dosa atau pahala kita sebagai ibunya.

Ibu jawatan tertinggi tidak tertanding dalam mana-mana organisasi di muka bumi. Dan untuk itu, saya tetap berbangga melepaskan apa sahaja yang ada pada saya pada hari ini, seandainya saya ditakdirkan harus berkhidmat buat Rania Adlina; tujuh hari seminggu, 365 hari setahun – untuk sepanjang hidup saya. Insya-Allah.


4 comments:

zarra zuyyin said...

rasa terjeda.. benar segalanya.

Lily Haslina Nasir said...

ZARRA ZUYYIN...
untuk anak anak semuanya sanggup kita taruhkan :))

Aziela said...

Saya setuju untuk semuanya.

Lily Haslina Nasir said...

Aziela...
Terima kasih kerana singgah sini dan meninggalkan catatan.

ShareThis