Tuesday, February 5, 2013

SEPOTONG KISAH CATATAN JIWA PENGARANG INTREND



 Saya akui, saya membeli INTREND selalunya sebab mahu membaca dan menyimpan artikel cik puan editornya, ROSIE HASLINDA NASIR. Hahaha, ampun kalau ada yang loya sebab tu adik sendiri. Tapi, yang benar... kalau saya mati ilham, rasa keras kejung dah tulisan saya, selalunya saya akan selak tulisan Rosie. Biarpun sekadar Editor's Note, saya selalu membaca perlahan-lahan tulisan dia untuk menghadamkan semuanya. Saya sangat berbesar hati apabila Rosie mengizinkan saya meletakkan beberapa catatan pengarangnya di sini.
 

MERAIKAN CINTA, KETAWA DAN DUKA

Saya selalu diejek diperkecil suami kerana tidak punya banyak kawan. Komennya selalu, kalau berkawan, hanya yang itu-itu. Siapa orangnya, boleh dibilang 10 jari. Kalau pulang ke kampung halaman (Melaka), tidak terlihat saya bergemparan keluar mahu menghabiskan barang sejenak waktu berpeleseran bersama teman lama.

Barangkali kerana cara saya dibesarkan emak, maka ruang lingkup kawan bermain-bergaduh terhad pada lingkaran yang kecil. Usai sekolah, harus mengerjakan kerja rumah. Langsai kerja rumah, harus pula segera mengulang kaji. Dan sebelum bergulingnya senja, emak sudah merencana agenda akademik malam untuk anak-anak; mandi, solat, lalu mengaji untuk satu jam berikutnya sehingga punggung rasa kebas.

Selepas itu? Baca buku (lagi), menelaah (lagi), Matematik (lagi), dan terkemudiannya – barulah kami adik-beradik boleh menonton TV! “You ini pasti anak-cikgu budak-nerd ulat-buku di sekolah,” suami mengusik mentertawakan saya lagi.

Well, whatever... you can call me anything you want, tetapi kalau budak nerd ini yang lima tahun berturut-turut turun-naik pentas untuk keputusan peperiksaan terbaik di SKBB, maka saya harus berterima kasih kepada arwah emak. She must have done something right.

Bermaksud, jika rejim pendidikan kuku besi emak kepada saya dan adik-beradik membuahkan sesuatu, maka sudah tentu saya memanfaatkan format serupa kepada anak sendiri, namun ya, format itu wajar diubah suai mengikut peredaran zaman. 

Tahun 1984, emak tiba-tiba menarik saya keluar dari Methodist Girl’s School, mendaratkan saya di sekolah tempatnya mengajar. Keseronokan bergelinjang berseluar pendek sesama budak perempuan waktu Pendidikan Jasmani di Methodist ghaib sekelip mata. Saya terkejut berhadapan berbondongan budak lelaki di sekolah baru.

Sebahagiannya nakal, sebahagiannya lepas laku. Dan tentu, menjadi anak kepada cikgu yang mengajar di sekolah yang sama sangat menekan. Ekspektasi guru melangit. Anak cikgu tidak boleh menakal. Anak cikgu tidak boleh membuat silap. Satu berita kesalahan kecil menular mengalahkan peluru berpandu. Cepatnya berita itu sampai ke telinga Cikgu Jamilah, lebih pantas daripada langkah emak bertap-tap-tap ke kelas saya!

Akhirnya, tingkatan satu, saya terlepas daripada cengkaman kuku besi emak. Tetapi masuk pula ke mulut harimau! Kerana kakak di persekolahan sama, dan ehem, pelajar selebriti pula; maka sudah tentu dia menjaga nama baik.

Saya dipantau dari mata burung helang. Lalu kerana itu sudah tentu tiada perkara-perkara mengarut lagi bodoh berani saya lakukan, mana berani? Di situ saya mencipta ‘rangkaian’ kawanan sendiri.

Enam sahabat baik berlainan warna dan bangsa tiba-tiba menarik perhatian seorang bilik guru, ditegur kerana ‘membelakangkan’ sahabat-sahabat Melayu. Saya sedih, kerana disalah erti, namun itulah yang terjadi.

Tiga tahun kami membaja minat dan kesefahaman, saling menolong dalam pelajaran, sebelum akhirnya saya kembali ke tampuk lingkungan anak-anak Melayu di MRSM. Jalur hidup sebagai mahasiwa Seni Bina di UiTM Shah Alam pula lebih intrik dan dinamik. Saya bertemu sahabat sepengajian berbakat besar, berkebolehan luar biasa, berilham gila (dan gila-gila), kreatif, mereng, tidak gentar menyahut cabaran; dan banyak daripada mereka kini sudah pun berjaya dalam lapangan seni bina.

Selalu menumpang kereta buruk teman, kehabisan minyak di tengah jalan (dan oh, pedal brek tidak berfungsi sewaktu menuruni bukit fakulti, syukur kami masih hidup!), terpotong jari sendiri saat melangsaikan tugasan menukang model 3D bangunan, disampuk penunggu Kuala Woh selepas perkhemahan, berjumpa pacar lama era monyetan, jatuh cinta senior sejabatan, ahh. Benarlah, hidup ini pancawarna. Saya gembira dapat melalui setiap satu daripada itu.      

Ya, bagi sesetengah orang, hidup kita mungkin diukur daripada kecil atau besar kelompok sahabat-sahabat yang melingkari hidup kita. Tetapi saya percaya, banyak daripada kita lebih rela menjadi manusia pemilih dan berhati-hati. Kecerewetan tidak merugikan, asal kita tahu menyaring siapa kaca, siapa permata.

Namun, perkara terbaik dalam persahabatan adalah kesepakatan meraikan erti hidup. Merayakan cinta sesama sahabat. Mengisinya dengan gelak ketawa dan gurau senda. Menyejukkannya dengan air mata.

Memaknakan kejayaan dan kemenangan bersama. Mengangkatnya ke tahap berbeda, dengan pengorbanan tak terjangka. Kala susah kala senang. Kala tenang kala gelombang.

Saya menyayangi setiap sahabat saya. Dekat atau jauh, akrab atau renggang, ingat atau lupa, riuh atau sepi; setiap seorang daripada kamu telah membentuk siapa saya hari ini.

8 comments:

zarra zuyyin said...

Ayatnya... santai tapi memaknakan... sungguh.

NenetPenne (NP) said...

bahasa yang indah....

Lily Haslina Nasir said...

Zarra,
Sungguh! Lenggok tulisannya lembut, melankolik tapi tidaklah sampai menjemukan atau meletihkan mood membaca. Kak lily tak cukup mahir utk tulis lenggok rosie :))

Lily Haslina Nasir said...

NenetPenne,
Hahah sedang lobi rosie kembali menulis novel atau cerpen.

IdA *SetulusKASIHummi* said...

Mengasyikkan betul baca tulisan k.rosie nie...ayat2 yg dia susun tu tenang jer...mesti best kan kalo k.rosie tulis novel..lobi laa lagi k. lily...

comelzmashi said...

Lily Haslina Nasir dan Rosie Haslinda perghhhh ini lah dua insan yg mencenderungkan saya makin mencintai pembacaan dengan ayat2 tulisan mereka berdua yang sering saya pula mengucap2nya pada teman (bukan curi idea ye kak berdua...) tapi lebih kepada menajangkan ilmu melalui kata2 indah...ahaa...gitu...hingga kini...ayat2 kalian tetap menjadi tempat pertama di hati.

Lily Haslina Nasir said...

Ida... tq dear sebab singgah!
Hahahah kak lily harap rosie baca pesanan ida ni. Kak lily sendiri harapkan ada novel daripada dia. dah bertahun pujuk rosie!

Lily Haslina Nasir said...

Adik Comelzmashi...
Alahai... segan pulak akak bila baca ni! Tq darling. Tq so much dear! InsyaAllah kalau ada kemampuan kudrat, masa dan ilham yang Allah swt pinjamkan, kami cuba tulis ya!
Terima kasih sebab beri kata sokongan! Doa yang sama untuk comelzmashi!

ShareThis