Monday, January 7, 2013

LOVE YOU IN SILENCE – BAB 7


Gigih mokcik gigih! Gigih taip banyak-banyak!

Hahahah dah lama tak buat novel dewasa, macam siput saya menaip. Dan terasa stressnya buat novel dewasa ni. Hahaha padan muka mokcik! Taip sekali dua novel lepas tu over taip sampai dua tiga bab sehari. Jemput baca ya... kalau ada tak kena mohon ampun, saya mokcik yang dah senja, dah gigil jari bila menaip! Presenting LOVE YOU IN SILENCE -kala cinta hilang kata... cehhh tajuk nak orang putih! Bak kata adinda saya, gaya aje urban, tapi jiwa kedesaan! Saya akan kekal cara saya, penggunaan bahasa indah dan kemas, mengikut keselesaan saya.
LOVE YOU IN SILENCE – BAB 7


Amirul 
– Bagai kerja menolak ombak,
Semakin ditolak, semakin datang



Selagi bernyawa, kita akan hidup bersama cinta. Kita bernafas dalam hela dan sela cinta. Seandainya cinta itu boleh dihitung, pada angka berapakah cinta itu seharusnya? Kalau cinta itu wang, berapakah sebenarnya mahar yang harus kubayar untuk membeli cinta?

Angin malam yang bertiup lembut malam itu sedikitpun tidak dapat menenangkan hati Amirul yang sedang gusar. Fikirannya berserabut. Jiwanya kacau! Amirul 
melepaskan keluhan berat.

“Ni apa hal balik sorang diri ni? Nurul mana?” Che Gayah yang baru hendak masuk tidur terkejut dengan bunyi pintu rumah dibuka. Amirul pulang membuka pintu sendiri dengan kunci penduanya.

“Nurul kat rumah!”

“Hah! Bergaduhlah tu!” Pantas Che Gayah membuat andaianya.

“Mana ada mak.... Mak ni main cakap aje!” Amirul sebenarnya keletihan. Dia cuba memujuk hati untuk tidak menjawab dengan sindiran ibunya.

“Yelah... kalau tak gaduh, apa hal balik malam-malam ni? Sampai dapur rumah ni kau selongkar! Bini tak masaklah tu.... Kata ada kafe bagai! Eh, laki sendiri nak makan pun sampai tak disimpankan sepinggan nasi ke?” 

Che Gayah mengekori anaknya ke dapur. Terbakar hatinya bila melihat Amirul menyenduk nasi sejuk. Dibukanya saji. Baki gulai kari kambing diambil semangkuk.

“Dia tak sempat... Mirul pun balik lambat tadi. Ada meeting... Kafe pun dah tutup.” 

Amirul semakin tidak terjawab sebenarnya.

“Dua puluh empat jam menghadap komputer! Sampai laki pun tak dimasaknya nasi. Bukan beranak kecik pun! Dasar betina pemalas! Duduk ajelah mengangkang, besarkan badan depan komputer tu....”

“Dia buat kerja dialah mak! Macam mak tak biasa dengan menantu mak tu!” Amirul terasa tercekik hendak menyuap nasi. Dikunyahnya nasi sejuk perlahan-lahan.

“Alah, orang lain pun ada menantu jugak! Lagi hebat dari si Nurul tu.... tak ada pun macam dia tu! Ni entah ya entah tidak dia menaip! Entah-entah melayan mana-mana lelaki lain! Kau tak pernah sergah ke dia sesekali, Mirul?” 

Che Gayah tidak tahu mengapa. Sejak kebelakangan ini hatinya semakin berasa selumbar dengar menantu yang seorang itu.

“Apalah mak ni... Bukan ke bila dia dapat royalti, dia dapat apa apa duit, dia memang tak pernah lupa hulur kat mak...” Amirul mengingatkan. Biarpun dia tahu itu akan membuat ibunya semakin mendidih hati.

“Alah, entah ikhlas entah tidak!”

“Tak kiralah tu, tapi merasalah jugak mak kan.... Kuih raya berbalang-balang, baju raya, semua bukan Nurul yang bagi selama ni....” 

Dalam diam, di belakang Nurul Masmin, Amirul mengakui kebaikan isterinya itu. Oh, apa benar kami masih dalam ikatan suami isteri? Ya, Allah... aku keliru dengan keputusanku!

“Dah namanya menantu! Apa guna menantu kalau tak boleh menghulur pada mak mentua? Dah kau laki dia, apa dia ingat kau lahir-lahir aje terus masuk U, terus jadi pegawai... kalau tak aku dengan abah kau sekolah besarkan kau dulu!” 

Che Gayah terus melahar melepaskan geram. Kalau ikutkan hatinya mahu saja dia menelefon dan dicarutkan menantunya yang seorang itu. Betina malas! Lakinya kebulur sampai cari nasi ke rumah aku!

“Alah, menantu mak yang lain mana ada nak menghulur macam si Nurul tu.... Mak ni nak marah-marah malam-malam ni kenapa?” Kepala Amirul semakin berdenyut-denyut. Seribu masalah berselirat di jiwa. 

“Mana aku tak marah.... Kau malam-malam selongkar periuk aku, cari nasi aku! Gaya macam orang tak berbini! Nak kata duda, ada bini... Nak kata ada bini, selalu kau menyinggah ke sini....” 

Amirul diam. Perut lapar terasa sebu dan masuk angin mendengar kata-kata ibunya. Hendak dibangkang, Amirul faham benar. Ibunya itu panas baran. Dia tidak mahu keadaan menjadi lebih buruk.

“Iyalah! Iyalah... lain kali malam-malam kalau Mirul lapar, Mirul cari kedai mamak! Mirul tak singgah sini.” Amirul cuba berlawak. Ibunya menjuih tunjuk muka berjuta kali meluat.

“Huh, bagi muka pada si Nurul tu! Orang lain kerja pejabat, anak berderet pun boleh bagi makan suami! Boleh jaga tempat tidur suami! Yang dia ni aku tengok bukan main lagi ya... lepas tangan! Duduk le 24 jam menghadap komputer tu! Agaknya duduk berangan depan komputer sampai tak ada masa nak fikir beranak!”

Amirul tergamam. Ya, Allah... apa yang patut aku lakukan? Di kiri emak, di kanan Nurul! Aduhai.... Emak, ibu aku dunia akhirat. Nurul... Ya, wanita itu terlalu banyak beralah dan berkorban sebenarnya!

“Mak ni ke situ pulak!”

“Amirul, mak cakap dengan kau ni, kau dengar tak?” tanya ibunya.

“Dengar.” jawab Amirul sepatah. 

“Habis, yang kau diam macam tugu negara ni kenapa? Mak tanya kau, kau ni dah fikir masak-masak ke dengan keputusan kau tu?” Ibunya memang tidak akan berhenti selagi tidak dapat jawapan yang pasti dari Amirul. 

Amirul mencapai cawan teh yang berada di hadapanya dan menghirup perlahan-lahan. Kelat-kelat muka Che Gayah, dia gagahkan juga lewat malam itu membancuh teh nipis untuk Amirul.

“Kau kenal-kenallah dulu.... Budak Zianah tu pun cikgu orangnya! Dah tentu ada gaji tetap tiap-tiap bulan! Bukan macam bini kau penulis tu! Dia ingat dia penulis dia hebat sangat..... Nak pinjam duit anak beranak, tak bagi! Dengan mak mentua dengan laki pun berkira! Nanti aku ajarkan dia!” 

Che Gayah memang tidak mampu menyorokkan rasa seronok kalau membayangkan detik yang satu itu. Bilalah agaknya? Ah, Nurul tu biarlah hanyut dengan dunia angan-angan penulisnya! Aku emak dunia akhirat si Amirul! Doa aku makbul untuk Amirul.... Kau tunggulah masanya Mirul! Masa tu kau takkan menyesal!

“Apa mak ni?”

“Aku cakap yang betul! Kalau dah bini pemalas, kau nak simpan buat apa? Sampai bila kau nak hidup macam ni?”

“Habis tu saya nak buat apa dengan si Nurul??”

“Dia tu kau simpan ajelah! Simpan aje dalam almari. Sesekali nak pakai baru kau keluarkan!”

“Madukan Nurul?”

“Jantan apa kau ni Mirul? Disuakan perempuan untuk bernikah lagi, kau tak mahu? Kau tunggu bila nak cari bini yang boleh beranak? Nak tunggu benih kau kecut? Nak tunggu kau dah ganyut , dah kepam baru nak cari bini?? Hei, kalau jantan lain dah lama melompat suruh siapkan esok sebelum subuh tahu!” 

Pedas berbisa Che Gayah menyindir Amirul. Terangkat keningnya menjeling anak yang patuh itu. Sengaja dia membasuh Amirul tanpa henti. Biar segala yang dibebelkannya itu terlekat di hati Amirul!

“Nurul Masmin mak nak letak mana?” Amirul benar-benar bingung. Ya Allah, kalaulah dia diberi sedikit peluang, mahu dia huraikan masalah dia satu persatu pada ibunya itu. Tuhan, kenapalah emak tak pernah mahu menjadi ibu yang memahami masalah anak? Keluh Amirul di dalam hati.

“Dia tu banyak duit, apa yang masalah sangat? Soal serasi atau tidak dengan madu, soal dia nak terima atau tak, itu tak penting! Alah, bapak dia jauh, mak si Nurul tu pun dah meninggal! Dia ada siapa pun!” 

Hati Che Gayah menggelegak macam masak air panas atas pendiang. Ikutkan hati, mahu saja dipulas telinga anaknya itu, biar dia tahu sikit yang Nurul itu penting. Bukan sebab sayang, tapi sebab duit!

“Mak... kalau dulu, memanglah boleh. Tetapi sekarang...”

“Sekarang apa?” Jerkah Che Gayah.

“Sekarang ni, dia tu asyik bising-bising. Semua duit yang saya guna, asyik suruh saya gantikan balik. Semua kerja rumah sekarang pun dia buat tak buat. Habis, saya dalam rumah tu apa, tunggul?” Amirul melepaskan rasa geramnya.

“Oii... kau tu suami dia. Kau pujuklah dia sikit, kalau setakat hutang dua tiga ribu itukan, dia boleh settle sendiri. Mesti dia lembut hati nanti.” Che Gayah masih tidak berhenti mahu memujuk anaknya.

“Mak, mak tak faham. Nurul tu bukan calang-calang orang. Hati dia keras mengalahkan batu kolam mak tu! Bukannya saya tak pernah pujuk pun!” Amirul mempertahankan dirinya.

“Ish kau ni! Kau tu lelaki, kuasa talak ada kat tangan kau! Kalau kau takut sangat dengan bini kau tu, kau ugutlah dia. Kau cakap dengan dia, kalau dia tak mahu ikut cakap kau, kau buat dia kena gantung tak bertali. Biar sampai dia tua kerepot besok, baru kau ceraikan dia! Hah, barulah dia takut sikit dengan kau!” Laju sahaja Che Gayah meracunkan fikiran anak.

Amirul menggeleng kecil. “Mak, menantu mak yang tu penulis, semua orang kenal dia. Kalau saya buat macam tu, dengan saya sekali bermasalah jugak! Baik saya ceraikan dia terus, lagi senang!” selamba sahaja dia berkata. 

“Amirul, kau jangan degil! Lagipun, cuba kau fikir balik, hutang rumah dan kereta kau itu, dia yang tolong bayarkan. Kau punya kad kredit pun dia payungkan. Kalau kau masih nak ceraikan dia, siapa yang hendak bayar semua tu untuk kau? Cubalah kau guna sikit otak kau!” Kali ini Che Gayah benar-benar marah.

Sekali lagi Amirul melepaskan keluhan yang berat. “Tengoklah macam mana nanti. Saya malas hendak fikir sekarang. Saya masuk dahululah mak, mengantuk.” Kata Amirul sambil bangun meninggalkan ruang tamu. Pinggan nasi dihantar ke dapur. Che Gayah memandang penuh geram.

“Oii,kau hendak pergi mana pulak tu? Aku belum habis cakap lagi ni!” marah Che Gayah.

“Mak, Amirul dah mengantuk. Lagipun, esok kena kerja. Kita cakap esoklah ya.” ujar Amirul sebelum berlalu masuk ke dalam biliknya. 

Che Gayah terkebil-kebil melihat anaknya itu. Pening dia dengan keputusan Amirul. Namun, satu benda yang pasti, Amirul dan Nurul Masmin tak boleh bercerai! Sampai kiamat tak boleh! Nurul kalau mahu minta dilepaskan, langkah mayat aku dulu! Itu ikrar Che Gayah!

Tapi hatinya meronta mahu melihat Amirul bersanding dengan Zianah! Hajat emak! Tak mungkin Amirul mahu hampakan! Bukankah dari dulu Amirul memang anak emak! Apa saja kehendaknya Amirul akan ikutkan!

Amirul cuba melelapkan mata. Kenangan silam datang menghambat jiwa. Ya, Allah! Inikah namanya perancangan yang akhirnya memakan diri? Ranah mimpinya malam itu menggelepar! Nurul Masmin berada di mana-mana. Langit bagai ladang hitam menghempap jiwa. Amirul terus nanar dalam mimpi yang tidak pernah indah sejak akhir-akhir ini.

2 comments:

Yin Areesa said...

Kak!
Sangat geram dengan Che Gayah!
sangat geramkan Mirul!

Kenapa buat Nurul macam tu?

Lily Haslina Nasir said...

Zarra Zuyyin...
Cool dear!
Hahahah geram ya? Banyakkan kes kes masalah rumahtangga macam ni. Kak lily dah banyak sangat tulis cerita remaja, jadi ni nak cuba tulis something yang berat sikit macam novel akak yang awal dulu, AKU ADA KAMU, MOGA KAU MENGERTI, EPILOG CINTA, etc... tq dear sebab baca dan beri komen. Kak lily tunggu komen zarra untuk yang lain ya!

ShareThis