Tuesday, January 8, 2013

LOVE YOU IN SILENCE - 8

LOVE YOU IN SILENCE – 8

Nurul Masmin:

Antara hati dengan jantung,
Di situ kutanam cerita luka.


Rintik angin menguak sedikit langsir kamar kerja Nurul. Sepasang matanya yang beralis lentik terus terpaku memandang skrin komputer ribanya. Fikiran melayang cuba mengingat sesuatu. 


Payahnya! Dia sudah melupakan! Setiap juzuk kenangan itu sudah lama terhapus sebenarnya. Di luar, angin dan hujan menjadi terlalu asing! Sebagaimana Nurul di dalam senyap yang panjang itu.


Dia masih ingat subuh yang satu itu. Seperti biasa, dia yang jarang tidur kerana menyudahkan kerja, meneliti peti masuk emelnya. Hatinya memang teruja memandang subjek yang tertulis Mencari Cinta. Emm, ada lagi orang mencari novel lama ni? Tangannya pantas mengklik pada emel itu. 


“Rain Akba? Abang Hujan???” Nyaris saja dia terjerit sendiri di hadapan komputernya. Mata yang asalnya sudah letih menaip secara marathon lebih empat jam terus bulat memandang skrin komputer itu. Dingin pagi memang menggigit rasa tetapi bagi Nurul entah kenapa mukanya terasa panas!


2012/2/13
- Show quoted text -

Assalamualaikum....

Dear Cik Nurul...

Ada dua benda nak tanya. Nurul ada tak contact no Zain TV3? Rasanya Zain satu batch dengan Nurul kan.... mesti Nurul ada nombor dia. Abang Rain ada hal penting nak cari dia. Perkara kedua...
Nak tanya novel zaman uni ade lagi tak ? Tajuknya "Mengusir Rindu" kalau ade camne nak dapatkan novel tu? Novel baru Nurul bila publish ?

Tk.

Rain Akba @ Abang Hujan
Ex- Pusat Pengajian Media
**********


Nurul terus membaca baris demi baris emel itu. Diulang baca berkali-kali. Mamat ni kenapa? Mimpi apa? Dah bertahun-tahun tetiba teringat balik buku tu? Nurul mula berfikir itu dan ini.

Nak nombor telefon Zain TV3? Nurul memang tahu siapa Zain yang dimaksudkan. Zain yang kini menjadi penerbit TV3 satu ketika dahulu memang satu jabatan dengannya di Pusat Pengajian Media. Huh, kalau mahu nombor Zain, telefon ajelah TV3! Apa susah sangat! Satu Malaya kenal Zain yang kadang-kala jadi pengacara untuk program kebajikan!

Hish, nampak sangat alasan nak nombor Zain tu rekaan semata-mata! Hati Nurul mula berhujah sendiri!

Err balas tidak? Balas tidak? Emm, apa salah kalau balas? Alah, kawan lama, senior masa belajar... tak salah! Nurul berkira-kira sendiri. Eh, apa hal kau nak balas! Tentu dia laki orang! Cepat akalnya mengingatkan. Terbayangkan wajah Amirul menambahkan resah hati Nurul.

Nurul membaca semula emel itu.
Alah.. Betul kot dia nak tanya pasal novel... Balas ajelah. Anggap kawan lama. Habis cerita! Alah, selama ini pun beratus-ratus emel yang diterima dan dibalas dari pembaca dan pengikut novelnya. Emm, tak ada satu pun yang memudaratkan kesihatan! Nurul menarik external keyboardnya.

Dia mula menaip sesuatu. Tapi semuanya jadi tak kena. Taip sebaris dia tekan delete. Taip dua ayat, semua tak menjadi. Hem, nak panggil apa? Nak sebut apa? Takkan nak bahasakan diri Nurul? Huhhh.. poyo aje!

Tak kuasalah nak panggil dia Abang Rain! Apa kes aku nak panggil orang lain Abang! Loyalah! Alah, taip aje biasa-biasa. Tulis cara formal. Tak payah nak bahasakan diri apa-apa... Kau tu penulis... Takkan tak reti nak korner ayat jangan sampai kena sebut nama dia!

---------- Forwarded message ----------
From: Nurul Masmin
Date: 2012/2/13
Subject: Re: Mengusir Rindu
To: rainakba@streamyx.com

Salam,
Nombor telefon Zain personal tak berani nak berilah tanpa izin dia. Cuba contact sendiri TV3. Novel tu dah tak ada... Nak ke? Kalau nak nanti boleh diberi yang cetak rompak. Emelkan alamat nanti bila kelapangan boleh poskan. Novel baru Mencari Cinta baru terbit dua bulan lepas.

Regards
Nurul Masmin Razali

---------- Forwarded message ----------
Send!!!

Nurul menarik nafas lega seakan-akan lepas satu beban apabila emel itu sudah dibalas. Dia kemudian terus bersolat subuh. Skrin komputer dibiarkan begitu saja. Memang dia 24 jam online. Maklum rumah kembar dua itulah menjadi pejabatnya sejak berhenti kerja makan gaji di akhbar Newsdotcom.

Tiba-tiba bunyi pintu rumah dibuka.
“Tak tidur sejak pukul berapa ni?” Amirul menegur di hujung ruang. Nurul tidak sedikit pun menunjukkan wajah terkejut.

“Sejak pukul satu pagi.” Jawab Nurul yang sedang mengacau susu tanpa gula kegemarannya untuk sarapan.

“Tak mengantuk ke?” Tanya Amirul yang sebenarnya sangat faham sikap obsesnya tatkala menghadap komputer.

Terasa sangat janggal bila Amirul bertanya begitu. Bukankah dia lelaki angkuh? Bukankah aku ini isteri yang dah tak punya siapa-siapa? Bukankah dia hidup hanya untuk emaknya Makcik Gayah? Buat apa perlu bermanis kata ambil tahu hal aku? Nurul seperti membentak di dalam hati.

“Siapkan kerja...” Nurul malas memanjangkan perbualan. Dia langsung duduk di hadapan komputernya dengan segelas susu panas. Fasha kucing putih yang sentiasa menemankan Nurul pantas melompat di sebelah komputernya.

Nurul sudah berkira-kira masa sambil melihat jam. Pukul sembilan dia akan singgah sekejap ke Cafe Taman Rahsia. Di situ dia boleh menyambung menaip sambil memerhatikan pekerjanya.
“Nanti hujung minggu abang kemas barang.”

“Lepas tu ke mana?” Suara Nurul lirih.
“Tak pasti lagi...”
“Rumah mak?”
“Tengoklah nanti....”
“Emm... terpulang....”

Nurul menjawab acuh tidak acuh. Entah kenapa sejak dua tiga bulan kebelakangan ini banyak sungguh perkara yang menyebabkan hatinya sebal tatkala berdepan dengan Amirul. Segala-galanya sudah menjadi sangat dingin lagi beku!

“Atau, kita masih boleh berbincang lagi? Ada masa lagi kan?”

Nurul angkat bahu. Payah! Sulit dia mahu memberi kata
putus. Mahu bincang apa lagi? Pergilah kalau itu mahumu! Aku hanya isteri yang tercatat di sekeping kertas. Aku hanya isteri yang kau hulurkan belanja hanya waktu kau wajib membayar mahar ijab kabul. Selebihnya, hidup dan mati engkau, wang engkau, kerja engkau, hutang engkau hanya untuk ibumu! Siapalah aku Amirul!

Amirul, mungkin kerana inilah Tuhan menciptakan langit dan laut. Kau langit, tinggi tiada batas mata memandang. Aku laut, luas terhampar dihempas angin dan badai. Kita ditemukan dalam garis yang berbeza!

Nurul memandang kelibat Amirul pergi dengan rasa sebak, marah, kecewa yang saling bergelora.

Dia cuba menahan sebak. Ya, dia harus kuat! Emak dah tak ada. Abah jauh! Apapun terjadi, hidup harus diteruskan! Amirul, mungkin ditakdirkan jalan kita terpisah di simpang!

Nurul terus menghadap komputer. Dipaksanya diri menyiapkan kerja biar jiwa sangat walang, fikiran amat tidak tenteram.

Dalam rasa yang sebal dan gelisah, dia dikejutkan dengan mesej yang berdenting di inboxnya.

“Mak oiii.. cepatnya balas!!!” Nurul terbeliak memandang komputer. Susu yang diteguk nyaris membuat dia tersedak. Tetapi cepat-cepat menekup mulutnya.

Ya Allah, mujur Amirul telah pergi! Mujur Amirul tidak berdiri di sebelah. Kalau tidak memang pecah sepuluh komputer riba Lifebook Fujitsunya itu.

********
From: Rain Akba Date: 2012/2/14
Subject: Re: Mengusir Rindu
To: Nurul Masmin

Dear Nurul,

Thank you for your reply. Abang Rain punya copy tak tahu siapa pinjam. Abang Rain nak baca balik lah…
Mencari Cinta novel baru Nurul ya? Ape yang menarik eeeeh?. Nanti poskan sekali novel baru tu. Alamat seperti dibawah :
No 121, Jalan Epomia, Nusa Putra, 46000 Puchong, Selangor.
03-88826745/03-888191171/019-3191171

TQ

Abang Rain
Notes : Kos nya nanti beritahu


**********

Berlapis-lapis garisan di dahi Nurul. Rasa kagum dan terkejut berbaur! Cepat lagi tangkas dia balas! Mamat ni pun sempat menghadap komputer ke pagi-pagi macam ni? Tak pergi kerja ke? Amboi... bukan main lagi! Bahasakan diri Abang Rain!
Emm, isu nak nombor telefon Zain pun terus gugur kes! Nampak sangat emel pertama tadi tu drama semata-mata!

Errr... apa-apalah! Aku balas sekadar balas! Tak lebih dari itu! Nurul menarik nafas panjang. Letih! Dalam keadaan dirinya dan Amirul yang sangat bercelaru dia tidak mahu menambah sebarang masalah buat masa ini.

Biarlah! Biarlah! Orang lain tak perlu tahu. Selagi dia tahu diri, selagi dia tahu siapa dirinya, itu sudah cukup. Nurul memujuk hati sendiri. Biarpun dia masih lagi tertanya-tanya.. apa hal mamat ni bagi semua nombor telefon??

Kenapa beri alamat rumah yang lengkap! Mengigau ke? Huh, ingat aku nak kirim kad hari raya ke? Ingat aku nak beri dia birthday kad ke? Huhh, tak kuasa! Nurul menggeleng memandang emel balasan dari Rain Akba itu.

Ah, dasar lelaki semua sama!
Dia kemudian tersenyum sendiri. Senyum mengejek! Dingin pagi semakin cair dengan cahaya matahari yang mula berserakan ke segenap rongga bumi.

Nurul terus tekun di hadapan komputernya. Dia berusaha sebenarnya untuk tekun. Walhal angin dari segenap penjuru alam terasa bertiup deras membawa kisah lama. Pusaran cerita dahulu dan perca-perca ingatan bagai bercantum di bawah sedar.

6 comments:

Yin Areesa said...

Okey muncul rain akba...
Who he is?ngee.amatlah sarkastik daku bertanya.mirul dan nurul ruang masih ada cuma kuncinya terlalu byk utk menerobos lubang mangga kebahagiaan.haha.daku kena badi ayat bunga kak lily.ngee

Unknown said...

Salam kak lily,
Bila nurul kawen dgn amirul? entri no brape? mcm xjumpa je...titiba dh nurul dgn amirul...ke mmg gitu? heheheh...mcm best je nk follow...

Laila said...

kak lily.. bila nak publish dlm bentuk novel?? saya tertunggu2 novel terbaru akak... baca kat sini kurang kepuasan sket

Lily Haslina Nasir said...

Laila... InsyaAllah, sebulan dua lagi kot. Kak lily terkial kial nak taip cerita dewasa bila lama sangat tak buat cerita gini. Tq ya dik sebab bertanya! Nanti kak lily bagitau di sini bila ada.

Lily Haslina Nasir said...

Taman Raudhah,
Terima kasih dinda sebab sudi tinggal jejak. Akak paste bab ni sebenarnya tak ikut sequel. Ambil sana sini sikit. Nanti bila akak dah siap dalam bentuk buku, akak uar-uarkan di sini ya! Take care dear!

Lily Haslina Nasir said...

Zarra Zuyyin..
Hahahaha panjang panjang panjang panjang lagi cerita ni. Nanti bila dah siap akak beritahu ya. Cover dia dah lama siap.. tapi cerita dia.. hemmm... akak menaip slowww semenjak dah hilang skill novel dewasa ni.
Zarra kalau ada bakat bermain bahasa makna boleh menulis tu!:))

ShareThis