Wednesday, December 26, 2012

I LOVE YOU IN SILENCE - PROLOG & 1

LOVE YOU IN SILENCE – KALA CINTA HILANG KATA
-- Prolog

Sytttt.... ini rahsia...

Jadi tutup bibirmu rapat-rapat kerana cerita yang pendek ini sebenarnya akan membuat engkau faham selepas ini. Kenapa aku begitu? Kenapa aku begini....
Aku akan berbicara jujur tentang semuanya.. tetapi tidak di sini.

Di sana sahaja.. dalam catatan aku.
Tiada siapa pun yang tahu itu catatan aku. Tapi janji dulu, jangan sesekali engkau cerita pada sesiapa!

Tak ada pengecualian. Jangan cerita pada teman-temanmu... ibumu.. apa lagi pada dia yang engkau kenali dan aku cintai.
Jauhkan tanganmu dari godaan menulis mesej tentang ini di wall akaun facebook mu.

Kau tahu, cara terbaik untuk jatuh cinta, kekal mencintai.. adalah mencintai dia seolah-olah kau belum pernah terluka sebelumnya. Kau cuba dahulu, kemudian kau akan faham apa maksud kata-kata aku ini.

Ayuh, rapat ke sini. Kita diam-diam saja. Kerana aku akan membisikkan rahsiaku. Rahsia tentang hatiku, tentang aku, tentang dia yang aku cintai di dalam diam selama ini, tentang dia yang seorang itu... yang menghancurluluhkan segala rencana remajaku dan tentang mereka juga.

Kadang-kadang, kita mencintai seseorang begitu rupa sehingga tidak menyisakan tempat bagi yang lain. Membuat kita lupa untuk sekadar bertanya inikah sebenarnya cinta?

Seperti itulah dia. Err aku sebenarnya! Diam-diam menyenangi dan mencintai lelaki itu dengan seluruh jiwa dan aku menyimpan sakit tak terperi saat harus mengharungi pernikahan dengan lelaki lain. Sedikit pun aku tidak berniat untuk menyimpan rasa kesal biar diri dikasari saat rahsia kerajaan hati aku diketahui suami.

Apa pun terjadi aku tidak berhenti mencintai lelaki yang sekian lama menghuni hati ini di dalam diam. Jangan bercakap perihal hukum pada aku! Ya, aku tahu bukan sedikit dosanya isteri mencintai lelaki lain. Apatah lagi untuk waktu selagi Allah meminjamkan nyawa kepadaku. Tetapi cubalah bertanya, apa rasa aku tatkala diri dalam lingkung bahagia gembira, aku dipaksa bernikah.

Kalian boleh saja berkata semahunya. Aku tidak jujur. Aku tidak berterus terang. Mahu diberitahu apa jikalau rencana pernikahan itu aku tahu sekadar kurang tujuh hari selepas aku pulang ke rumah. Aku diberitahu hari Isnin dan hari khamis malam aku dalam keadaan terpinga-pinga aku menerima salam seorang suami.

Gerak hati yang diberi Allah pada dia sangat luar biasa. Bayangkan pada beberapa minit sebelum ijabkabul itu berlangsung, dia menelefon. Arwah emak menjawab langsung memberitahu. Aku? Tuhan saja yang tahu... entah aku yang sudah tersurat takdir luluh jiwa atau entah dia sengsara.

Apa daya aku waktu itu, sebaik sahaja usai pernikahan, aku langsung ke rumah orang tua lelaki asing yang bergelar suami. Perasaan aku? Sangat aneh.

Bermulalah episod hidup bagai dalam pelarian sebaik sahaja sang suami yang sangat mendominasi mengetahui semuanya. Dari satu tempat ke satu tempat aku terpaksa berpindah. Dari Lembah Pantai ke Bandar Tun Razak, sebelum ke Cheras dan langsung ke Wangsa Maju. Lelaki yang bergelar suami tatkala itu bagai mahu menyembunyikan aku jauh-jauh terpencil di sudut dunia dari dia sebaik sahaja kisah persahabatan aku dengan dia diketahuinya.

Benar, mencintai saja tak pernah cukup. Harus ditelan segala racun. Harus ditahan segala pedih. Kau tahu... bukan sekadar pedih dan sengsara hati, tetapi fizikal juga menjadi korban lima jari kasarnya. Kau akan mengerti maksud sengsara cinta apabila meredhakan bulan-bulan awal pernikahan dengan air mata, dipukul semahunya kerana aku degil tidak mahu ada hati yang lebih terkorban. Nah, siapa kata cinta itu sekadar cinta.

Siapa bilang cinta itu sekadar mabuk asmara untuk si gadis yang usianya masih mentah? Apa perasaanmu seandainya beberapa hari selepas pernikahan, pulang ke Lembah Pantai, engkau tahu saban malam dia di muka pintu mengetuk memberi salam, mencari dan meminta penjelasan daripada aku?

Apa pula yang boleh lakukan waktu itu apabila aku terikat,lima jari hinggap di pipi dan aku cuma mampu membenam sedih pada hujung kamar. Tangisan dan esakan sahabat yang paling akrab.

Apakah kau tahu, bagaimana perih rasanya berbahagi cerita, berbahagi hati?
Tahukah engkau sengsara rasa saling mencintai, dibatasi jarak waktu, namun akhirnya bertahan untuk tidak saling memiliki? Dan aku tidak terdaya menceritakan satu demi satu pada dia dan langsung membiarkan dendam itu menjadi dendam paling kejam yang manis.

Bukankah berdiam diri itu penawar terbaik? Bukankah pura-pura senyum dan bergelak ketawa itu satu terapi biar ini sebenarnya membunuh hati!
Bukankah memang begitu seharusnya cinta? Memberikan senyuman, bercanda gelak tawa, mesra bagai bahagia, untuk mengaburi mata memandang.

Meski diam-diam hatinya basah dalam renyai hujan yang tiada penghujung. Aku yakin seperti itulah seharusnya cinta. Dalam desah angin, dalam lebat hujan dalam biru langit, aku sebetulnya sering bertanya... seperti inikah cinta?

Hidup bukan syurga tetapi bukan juga neraka. Hidup bukan ruang sidang pengadilan tetapi bukan juga jalan lapang dengan langit biru terbentang. Ya, aku tahu ... di luar sana ada lebih ramai mereka yang derita dan malang dari aku.

Ya, ada ketika aku malu kerana masih mahu teresak, masih tidak mampu menyimpan gelora jiwa hingga aku menangis tanpa henti lewat hujung sejadah di waktu dinihari. Cubitan Allah swt sekadar cubitan kasih namun aku nyata insan yang lemah masih mahu membiarkan hati ini terus renyai dengan air mata.

Terlalu banyak cerita kalau mahu dikata, terlalu banyak jua kerikil yang dilalui sebelum aku berada di sini. Entah kekadang terfikir, Allah menguji sebab aku mampu melaluinya. Dan, ya... akulah dahulu gadis angkuh yang selalu menyebut aku mampu hidup tanpa lelaki. Dan, aku juga dahulu perempuan si hati batu yang tidak mudah tunduk pada lelaki.

Cuma... ya... pada dia.. entah kenapa aku sangat menyenanginya. Ya, benar, teman aku sangat ramai. Surat-surat yang disimpan boleh dikumpul sehingga memenuhi lima kotak besar, hadiah dan pemberian mereka yang mahu membeli cinta, mengambil hati, juga ada ketika aku sedekahkan sahaja pada rakan serumah.

Tapi percayalah, itu semua belum tentu mampu mencairkan jiwa aku.
Dan, ya mengapa pilihan yang aku adalah menjadi Puan Nurul Masmin pada usia 21 tahun, tatkala masih berkuliah... akan aku beritahu kelak. Cuma sesekali aku terasa aku terpaksa menelan segala sumpahan karma ini kerana keangkuhan kata-kata aku satu ketika dahulu.

Hem, dia sendiri secara tidak sengaja menyebut dan berpesan... jangan cakap angkuh! Jangan takbur! Err, aku tidak pasti, apakah dia sememangnya mengikuti segala kisah nurulmasmin.blogspot.com atau semua nasihat itu secara kebetulan. Sebagaimana secara kebetulan aku membalas emelnya setelah berbulan-bulan aku terima. Nantilah.. aku ceritakan sedikit demi sedikit..







BAB 1

Satu ketika itu.. Ya, satu ketika yang tidak pernah padam dalam ingatan. Satu ketika yang mecatat segala rahsia. Di situ bermula cerita, di situ tersimpul kisah.

Rambut dia pendek. Short and sassy. Kata kawan-kawan wajahnya mirip penyanyi Shakira . Hem, dia memang gorgeous dan eksotik. Hihi... ni orang yang kata, dia tak kata pun!! Kalau dia marah, garangnya boleh menjadi lebih daripada harimau! Dan satu perkara yang tidak ramai tahu... dia sebenarnya perempuan yang berhati kering!

“Banyaklah depa punya eksotik.. macamlah aku ni harimau siberia...” Itu yang selalu dia bebelkan bila Rose menegur hobinya memakai bedak debu rona gangsa berserakan mutiara.

“Eh, bukan kau dengan harimau siberia tu kongsi DNA yang sama ke?” Terkekeh-kekeh Nik Fauziah tergelak. Memang setiap kali kalau Nurul Masmin naik angin, dia akan awal-awal beri amaran kepada Rose: Rimau siberia dah mengaum!

“Hei.. apa kena mengena bedak debu aku dengan harimau hah? Kau orang ingat bedak aku ini ada guna abu makhluk yang dah nak pupus tu ke?”

“Kau pakai bedak warna tu memanglah efek kulit nampak beza. Macam warna kulit Jlo..ala-ala Lady Gaga...silky bronze, berkilat-kilat... Jenny from the block! Kalau tak mau nampak seksi eksotik.. haha pakai aje bedak cuticura tu.. Tak adalah mana-mana mamat pandang kau kemudian scan kulit kau dengan rasa terliur...Bedak mahal kau tu sedekah pada aku! ”

Balas Nik Fauziah selamba sambil mengunyah kuaci pada satu petang tatkala gadis yang berbibir comel itu merengus-rengus.

Mana tidaknya dia menjadi angin satu badan. Sudahlah dia terlewat lima minit masuk dewan kuliah tadi. Baru hendak menghendap masuk ikut pintu belakang, namanya sudah bergema satu dewan. Sumpah! Nurul Masmin memang tidak sangka Prof Hamid yang pakai kaca mata fesyen old school itu boleh menangkap kelibatnya.

“Lambat Cik Nurul Masmin ? Kenapa lewat? Sibuk sign autograf novel untuk peminat ke?”

Berdesing telinga dibuatnya. Tidak terangkat mukanya memandang wajah Prof Hamid yang tidak berapa handsome itu.

Cisss... bertenang Nurul Masmin! Relaks Nurul Masmin! Take a deep breath! Tak apa... tak apa... ini promosi percuma dari Prof! Nurul Masmin memujuk hati sendiri. Biarpun tatkala itu dia terasa mahu menyorok bawah meja kuliah.

Udara dingin dewan kuliah membuat dia beku dan terkeras tiba-tiba. Dia tahu ramai sudah menoleh ke arahnya. Bencinya!!

“Atau sibuk di salun rambut? Boleh bawa sembahyang ke kaler rambut yang awak pakai tu?” Sindiran itu sama-sama menerjah ke tulang hitamnya. Dewan kuiah tiba-tiba terasa macam peti beku untuk daging korban! Nurul Masmin benar-benar terkeras di situ. Hish, bencinya!

Tarik nafas... pandang depan.. cari tempat duduk! Nurul Masmin cuba buat selamba.

Dia baru tertinjit-tinjit mahu duduk sambil kepala tertunduk malu... tiba-tiba Prof Hamid menegur lagi.

“Tidak elok pakai kaler rambut ... pakai inai sudahlah. Bedak kamu itu pun cap apa ye? Sampai saya di depan ni nampak pigmens warna tembaga... Bahaya tu untuk kulit! Allah dah elok-elok beri warna kulit putih  cantik, mahu dibubuh kaler tembaga... Barang tembaga setahu saya dah jadi barang antik, buat tadah habuk dalam almari rumah orang kampung...”

Serentak itu juga pecah gelak ketawa pelajar-pelajar dalam dewan kuliah itu. Nurul Masmin dapat mendengar gemannya itu. Oh, kalau ikutkan hati.. dia sudah muntah hijau!

“Saya tegur sebab sayangkan kamu... kamu student saya.. tak mahulah kamu masuk neraka!”
Sekelompok pelajar senior lelaki menyambut kata-kata itu dengan gelak ketawa yang berpanjangan.

“Hak! Hak! Hak!” Gelak mengejek Amirul selaku ketua bagi kumpulan itu begitu jelas di pendengaran Nurul Masmin.

Telinganya terasa berasap!
Nurul Masmin mengetap bibir kuat-kuat. Hati tiba-tiba menggelegak geram.

Cool, babe! Breathe in, breathe out!
 
Tidak pasal-pasal kuliah yang turut dihadiri senior tahun tiga itu menjadi sedikit terganggu dik dirinya. Meluat sungguh dia memandang wajah senior yang seorang itu.

Nama Amirul memang sejak dari awal sentiasa mendera emosinya.
Benci! Meluat! Tak suka... Aku benci Amirul... Kalaulah ikutkan kepalanya yang sedang berasap, mahu saja dia meletakkan nombor telefon Amirul, nombor matriks dan gambar sebesar A3 di setiap hentian bas atau di stesen LRT!
Lelaki Gersang Mahu Mencari Teman!

“Sudahlah... berangan-angan mahu jadi Shakiralah Beyoncelah.... Warna kulit bronze, mata hazel.. aku rasa orang pandang bukannya jadi Beyonce tapi takut jadi buasir... Sebab terkejut sangat!”

Terbeliak mata Nurul Masmin! Kurang ajar! Dia merenung lelaki itu dengan bibir yang terketap rapat. Memang biadap mamat ini! Mulut celupar Amirul memang sudah mencabar kesabaran. Nurul Masmin ketika itu hanya mampu menarik nafas kerana darahnya menggelegak pada tahap didih.

"Kau jaga Amirul! Tahulah aku nak ajar kau!" Dendam membara, hati meluap-luap dengan lahar api.

"Sabar!" Pesan Nik Fauziah.
"Tak ada maknanya nak sabar dengan mamat beruk tu!"
"Marah itu kawan syaitan..." Nik Fauziah yang sentiasa cool peringatkan lagi.

"Peduli apa aku! Nantilah... segala jeneral panglima Devil dan Evil nanti aku seru ajar mamat ni..." Nurul Masmin terasa darah sudah menggelegak naik ke kepala.

Di sana sini, di sekelilingnya hanya wajah Amirul yang dia ternampak. Mahu dibunuhnya lelaki itu kalau boleh. Jantan mulut puaka! Benci!!!


No comments:

ShareThis