LOVE YOU IN SILENCE - 5
Nurul masih terpaku. Tergamam sebenarnya apabila latar dirinya dikenali orang.
“Betulkan?” Soal Amirul lagi. Kali ini suara lelaki itu sedikit kendur.
“Err.. betul.”
“Oh, patutlah!!”
“Patutlah apa?” Soal Nurul tidak faham.
“Patutlah awak lain daripada yang lain! Lain daripada freshie lain.”
“Apa yang lain?” Nurul beranikan diri menyoal penghulu Minggu Orientasi itu.
“Awak degil daripada yang lain!” Terburai gelak pelajar lain. Nurul merah muka menahan malu.
“Berapa banyak novel awak dah tulis?” Amirul seronok mengambil peluang itu mendera.
“Tak banyak...”
“Tak banyak tu berapa? Tak tahu kira ke? Entah-entah gagal matematik!” Sindir Amirul. Semakin membara dendam Nurul pada Amirul. Lelaki ini memang mulut macam murailah!
“Tiga buah aje.”
Amirul mengangguk namun di mata Nurul lelaki itu tidak lebih daripada mahu menyusahkan hidupnya. Jaga engkau! Kalau aku buat novel baru.. confirmed nama engkau jadi watak jahat!
“Mek bertiga ni dah dapat tanda tangan semua exco ke?” Soal Amirul lagi.
“Err.. tak semua! Baru sikit-sikit..” Jawab Nik Fauziah dengan nada yang terketar-ketar.
“Baru sikit-sikit? Hah, kalau kena denda banyak-banyak, jangan marah kami...” Sampuk Ijey yang sentiasa menjadi pengiring dan pembantu Amirul. Nurul memandang dengan penuh benci. Hem, baru jadi Penghulu Pelajar, sudah ada tukang juak!
“Cepat.. saya beri mek-mek semua ni masa dua jam aje untuk dapatkan semua tanda tangan eksco. Kalau lambat, pagi esok, sebelum subuh kamu kena denda di Dewan Tunku Canselor!”
Terkulat-kulat Nik Fauziah dan Rose dibuatnya. Mulut mereka terkumat-kamit. Hajat mahu minta tangguh sehingga esok. Atau paling tidak pun lewat malam ini!
“Ini apa hal tersengih-sengih?? Berdiri pun macam kangkung!! Tak boleh tegak!!” Jerkah Amirul lagi.
“Err Abang Amirul...” Ada sesuatu yang Nik Fauziah mahu bertanya.
Belum sempat bertanya, Amirul dan rakan-rakannya meninggalkan tiga gadis itu tercegat di situ. Nurul terasa kepalanya sudah berkepul-kepul berasap. Ya Allah, bencinya! Huh, dialah lelaki yang paling aku benci setakat ni!
“Eee bencilah.. diaorang ni saja nak buli kita! Beri tempoh suruh cari tanda tangan senior ... baru aku nak bukak mulut minta signature semua dah blah...” Putih mata Nik Fauziah memandang kelibat senior-senior yang menghilangkan diri ke dalam bilik seminar Pusat Pengajian Media.
“Huh, semua tu perasan! Macamlah hebat sangat signature diaorang tu... Nasiblah kalau tak dapat semua orang punya tanda tangan... siapa suruh jadi halimunan. Ingat diaorang tu artis apa aku nak terkejar-kejar! Kirim salam semua tu!” Bebel Nurul yang memang menyimpan rasa marah pada Amirul. Terasa sungguh dirinya diserang secara peribadi oleh penghulu pelajar itu.
“Habis macam mana ni? Hish aku takutlah...” Rose berbisik sambil merenung helaian nama-nama pelajar senior yang masih belum ada tanda tangan di hujungnya. Ada sepuluh petak yang masih kosong.
“Hah... yang dekat bawah pangkin tu bukan exco pelajar ke? Bukan ke mamat tu tadi sama-sama dengan si monster pelajar kita?” Cuit Nurul sambil mengelarkan Amirul sebagai monster pelajar.
“Jom.. kita mintak tanda tangan dia.. Tadi budak lain pun aku tengok mintak pada dia... senang aje dapat. Tak banyak songel sangat...” Nik Fauziah setuju dan mereka bersama-sama menuju ke arah seorang pelajar lelaki yang sedang duduk menghadap komputer riba.
“Errr... abang.. nak mintak tanda tangan boleh?” Nurul memberanikan diri menegur lelaki yang sedang tekun menatap skrip komputer ribanya itu. Di sebelah kanan meja kecil itu kelihatan ada beberapa fail dan dua kotak kecil yang bertutup.
“Boleh... tapi adik teka sendiri mana satu nama abang..” Lelaki yang berkulit cerah itu meminta Nurul, Nik Fauziah dan Rose menunjuk sendiri yang mana satu di antara deretan nama itu namanya. Nurul berkerut. Hish, lecehlah pulak!
“Kenapa? Abang suruh teka aje...bukan denda pun!” Lelaki yang sedang duduk itu kemudian berpaling dan memandang tepat ke arah Nurul. Gulp!! Oh gosh... he looks so damn hot! Handsomenya! Bisik Nurul nakal di dalam hati.
Raut wajah lelaki itu mengingatkan Nurul kepada Josh Hartnett. Matanya kecil tetapi renungannya dalam dan tajam.
“Cepatlah.. mana satu nama abang?”
Nurul masih tergamam. Gadis yang tinggi lampai itu memandang ke arah temannya di sebelah. Berkerut dahinya. Muka yang sudah melekit lagi berminyak itu cuba memohon simpati. Nik Fauzia hmemandang Rain Akba. Nik Fauziah dan Rose sudah berbisik-bisik sesama sendiri. Apa hal kawan sorang ni jadi patung cendana?
“Errr... nak kena main teka teki pulak ke?” Nurul pantas membalas apabila menyedari dirinya direnung kerana terkaku di situ.
Yang mana satu ye? Nurul menggaru kepala. Tapi mamat ni bersopan santunlah pulak! Siap bahasakan diri abang.. eceh ceh ceh.. Bilalah pulak aku jadi adik dia?? Nurul mengomel di dalam hati.
“Alah... jangan beri muka pada budak-budak freshie ni. Bila lagi nak buli,” Ijay senior yang sama jabatan sengaja menjadi batu api. Terkulat-kulat Nurul Masmin dibuatnya.
“Hah, cepat mana satu nama abang?”
“Hah?!”
Nurul Masmin tergamam. Nama abang? Eh, sejak bila mamat ni jadi abang aku? Amboi.... bukan main lagi kalau mahu mengayat.
“Nama abang yang ini kot....” Nurul menunjukkan pada nama yang tercatat sebagai Jonathan Tan.
“Mana?”
“Ini... Jonathan Tan...” Ujar Nurul penuh yakin. Nurul berdiri di sisi lelaki yang sedang duduk itu. Dia menunjukkan pada lelaki itu sekilas nama yang diteka. Nurul yang tinggi lampai menundukkan diri sedikit.
Tanpa diduga pecah gelak lelaki itu. Nurul jadi terpinga-pinga. Rose dan Nik Fauziah saling bertukar pandang. Eh, kenapa ni?
“Hei... abang Melayulah! Ingat abang Cina ke? Nak tengok Mykad abang.. Hah nak tengok kad matriks pun boleh...” Tangan lelaki itu sudah menyeluk poket seluarnya. Mengeluarkan dompet.
Nurul sudah cemas. Eh, apa pulak ni? Mata Nurul memerhati saja perlakuan lelaki itu. Oh, dia memang charming! Tapi ni apa kes pulak?? Mati aku cari pasal dengan senior!
Bersungguh-sungguh lelaki itu mengeluarkan Mykad dan kad matriks. Wajah lelaki itu selamba dan tenang. Mahu membuktikan sesuatu pada Nurul.
“Hah?? Rain .... Rain?? Hujan??” Nurul terjerit kecil. Sangat tidak percaya. Tangannya pantas mencapai kertas yang ada senarai nama senior dan eksco pelajar.
“Hujan.. Kenapa nama Rain? Eee, macam nama Rain Bi.. muka tak sama pun... Ye ke ni??” Nik Fauziah sendiri terkejut. Terkeip-kelip matanya memandang Rain @ Abang Hujan. Huh nama tak koman... nama hero korea!
“Eh, ye ke ni? Macam tak percayalah...” Rose menggaru kepala yang tidak gatal.
“Hah.. cepat.. cepat mana nama abang dalam list tu? Cepat.. abang kira satu... dua... dua suku...” Rain sengaja menyakat. Dia tidak berniat mendera tetapi seronok pula melihat wajah adik-adik junior itu mula kelam-kabut.
“Eh, mana kertas tadi.. Mana pergi.. tadi letak sini!” Nurul sudah kalut. Memang tadi sewaktu membelek kad matrik Rain dengan penuh takjub dia letakkan kertas list namanya di atas meja itu. Eh, mana pulak pergi.
“Cepat.. dua tiga suku.. tiga... Abang Rain kira sampai lima...”
“Errr.. mana pergi ni.. “ Nurul jadi cemas. Rose dan Nik Fauziah sudah menghulurkan kertas mereka untuk ditandatangan.
“Takkan angin tiup pulak...Abang sorokkan ke?” Dalam keadaan ribut mencari kertas di atas meja itu, Nurul tertolak dua kotak kecil di atas meja itu. Bukan setakat terbuka penutupnya, isi kotak itu tanpa diduga membuat jeritan Nurul bergaung di Pusat Pengajian Media.
“Makkkkk katak...... Katakkkk......”
“Hah???!!! Katak?? Mana??”
Nik Fauziah dan Rose sama terlompat. Bukan lompat teng-teng tapi sudah mencapai tahap lompat kijang! Nik Fauziah dan Rose yang berbaju kurung terus menarik kain sehingga betis dan memanjat bangku yang ada. Dua ekor katak hijau yang menggerutu, gemuk dan kembung melompat-lompat seperti mabuk dibebaskan.
“Abang Hujan... tolong... katak kat kaki saya!!!” Nurul meraung sehingga merah padam muka. Kakinya geli-geleman terasa katak itu bergesel dengan kulitnya. Air mata sudah mahu menitik-nitik.
“Ong.. gedek..gedek.. ong gedek gedek.. ong gedek.. gedek...”
“Ya ALLAH.. ini pun takut ke?” Katak itu dialihkan dan disimpan semula di dalam kotak. Nurul menggeletar geli. Matanya dipejam rapat-rapat. Tekak terasa loya. Seantero Pusat Pengajian Media sudah berkerumun melihat drama sebabak itu.
“Hah... Degil lagi dengan senior! Kan dah kena daulat senior!” Sindir Amirul sambil ketawa terbahak-bahak. Puas hatinya kerana tak perlu merancang plot menggunakan katak sebagai props untuk Minggu Orientasi itu. Tanpa diduga katak-katak itu sudah memberi khidmat bakti percuma! Rain cuma menggeleng dan tersenyum tenang. Simpati sungguh dia melihat wajah Nurul yang pucat dan merah menahan air mata.
“Nak, ambil tisu ni...pergi cuci kaki. Takut beracun katak ni. Tak pasal-pasal kaki putih tu berkudis nanti...” Rain menghulurkan tisu pada adik junior yang baru dikenalinya itu. Nurul malu-malu menyambut tisu itu. Di tandas dia bukan setakat mencuci kaki, mukanya juga dibasuh.
“Kau nangis ke?” Tanya Nik Fauziah dan Rose serentak.
“Kalau soket mata aku ni tinggal tengkorak bolehlah aku tak nangis! Melampaulah! Bayangkan katak tu melompat atas badan aku tadi macam mana??” Jerkah Nurul dengan muka yang merah padam.
Sejak saat itu, sejak detik itu, memang lelaki yang bernama Amirul cukup dibencinya. Tetapi siapalah dia mahu melawan takdir. Tiada siapa menduga, ceritera hidupnya menjadi berbeza selepas itu. Kekadang diam dia mencari tenang. Pedih luka mendera jiwa. Dan, dia tahu... luka menumbuhkan seribu ceritera.
Orang kata pertemuan pertama selalunya kebetulan. Tapi bagaimana cara dia menjelaskan pertemuan-pertemuan mereka selanjutnya? Apa memang sudah tercatat di langit ketujuh?
Dalam diam sejak setahun ikatan itu, Nurul Masmin selalu menjerit di batin hati.
“Kau harus pergi. Tapi suaraku terlalu gementar dan terlalu takut untuk kedengaran tegas di hadapanmu! Ya Allah, mengapa kami harus terperangkap dalam kehidupan yang pengap ini. Ya, Tuhan.... Mencintaimu bukanlah sesuatu yang kuharapkan terjadi! Tuhan, ampunkan aku, bukan kemahuanku.... Aku sudah tidak setia!”
LOVE YOU IN SILENCE – 6
Kau dan aku sebenarnya seperti hujan yang turun dengan lebat dan teduh nan tenang. Pernah kau terfikir kisah itu? Hujan dan teduh saling bertemu dalam takdir namun langkah tidak pernah seiring. Seperti itulah kita! Ya, selepas bertahun-tahun. Selepas meninggalkan dunia kampus. Kita tetap begitu.
“Beb.. kau dah siap ke belum?” Suara Nurul sebenarnya penuh nada stress.
“Kau jangan tanya aku...” Rose tanpa diduga memberi jawapan begitu. Lorr... ingatkan kawan yang seorang ini laju siapkan kerja.
“Kenapa? Eh kau pun tak siap ke? Alamak, memang kita kena siaplah lepas ni!”
“Nak buat macam mana.. bukan aku tak mahu buat.. tapi memang tak boleh! Aku daripada pagi sampai ke petang .. kemudian sambung ke malam, duduk menganga depan pc.. Hampas... Adalah dua tiga baris ayat aku taip. Tapi bila baca balik aku rasa tak sedap, aku delete terus. Itulah kerja aku... sampai sudah memang terlajak-lajaklah deadline aku! Kau pun sama ke?”
Nurul mengeluh. Memang tatkala itu serba serbi rasa tidak kena. Kepala terasa sangat sendat.
“Entahlah.. macam tak kuasa aje. Asal aku buka pc, tangan aku merewang menghadap bloglah, fblah.. tapi tak ada maknanya jugak! Bukan aku update blog pun, jawab status sendiri kat fb pun macam malas...” Macam biasa sesi menelefon begitu memberi ruang buat Nurul berkongsi rasa sebu di perut bersama Rose.
Lega sedikit hatinya apabila mendengar temannya itu juga senasib dengannya.
“Ya Allah.. aku ingat aku seorang aje yang jadi ular sawa... melingkar aje atas kerusi, tergolek atas katil... Mata berat, kepala rasa nak pecah... Nak kata ternak badan, tak juga. Tak lalu aku nak makan sekarang ni.”
“Alah, biasalah... kita kan kembar sepusat sepusing, emak tak sama, bapak lain-lain. Kau sakit, aku tergolek! Bercinta betul nak menaip. Duduk menghadap pc tapi kerja tak selesai. Bila aku mula nak menaip, mulalah mengantuk. Otak macam blur.. Entahlah! Payah nak cakap.. Memang tak ada moodlah!”
Rose yang mudah diserang migrain itu tidak terkecuali rupanya dilanda sindrom malas yang bukan kepalang.
Aduhai.... apalah yang mahu dijawab kalau editor bertanya! Nurul berpeluh sejuk tidak semena-mena. Berjanji dengan editor memang mudah. Waktu berjanji segala plot cerita macam air hujan turun di musim tengkujuh. Akan tetapi bila menghadap komputer semuanya berubah menjadi tersangkut-sangkut. Macam enjin kereta tua yang perlu dilupuskan sahaja.
“Dulu tak teruk macam ni... Sekarang aku rasa macam nak berkelubung aje atas katil. Kepala berdenyut-denyut. Badan semuanya bisa... malam terkebil-kebil tak boleh tidur. Kekadang bila nak mandi aku perasan ada tompok-tompok lebam banyak kat paha dengan betis aku. Bila pulaklah drakula hisap darah aku.” Nurul spontan mengadu. Entah kenapa dia ringan saja bercerita. Walhal perkara itu sudah sebulan dua berlaku Cuma kebelakangan ini semakin menjadi-jadi.
“Kau biar betul?? Hish.. tu bukan drakula lah... kalau orang tua-tua kata itu pelesit!” Suara Rose yang tinggi pitching membuatkan Nurul menjauhkan gagang telefon.
“Wei, mulut tak ada insuranslah engkau! Mana datang pelesit.. mengarut jer!!” Tingkah Nurul geram. Huhu, kawan yang seorang ini kalau bercakap pasal misteri nusantara memang tinggi imaginasinya!
“Betul.. kau tak percaya, kau tanya orang tua! Itulah.. aku sendiri letih kalau macam ni selalu... tapi nak buat macam mana. Memang tak kiralah lepas ni kalau Needa nak marah, aku telan ajelah! Nak buat macam mana... aku rasa badan aku ni sakit-sakit tahan rasa bisa. Ni.. kat bahu ni pun macam berat aje. Semalam sampai ke malam aku minta tolong Razis tarik rambut aku lepas dia curah minyak panas. Migrain aku melarat sampai ke malam. Rasa macam nak hantuk aje kepala ni ke dinding. Razis siap dah salai daging suruh aku masak lemak cili padi pun aku tak larat...” Giliran Rose pula mengadu.
“Habis kita punya date dengan Needa macam mana? Jadi tak?”
“Setakat ni aku okaylah.. tapi tak tahulah kalau petang esok memang aku tergolek tak boleh bangun. Apa-apa nanti aku call kau belah pagi.” Rose macam biasa tidak berani berjanji apabila badannya semakin mereput dirasakan.
“Wokey.. nanti kau call aku. Subuh ke.. pagi ke.. malam ke.. aku ada depan telefon ni..”
“Hish, kot ye pun biarlah aku selesai subuh dulu.. tak bising ke nanti si Amirul kalau aku jadi wake-up call kau?” Rose lurus bertanya. Memang mereka biasa berjaga malam menjadi burung jampuk. Cuma bimbang panggilan telefon tanpa menghirau jarum jam menyebabkan rasa kurang senang ‘housemate’ Nurul.
“Amirul?? Err... nantilah. Aku cerita pada kau kemudian.”
Talian diputuskan. Nurul menarik nafas panjang. Lelah! Penat! Letih! Err jangan tanya apa yang menyebabkan dia penat. Dia sendiri tiada jawapannya. Tapi yang pasti dalam keadaan begitu, semuanya terasa begitu menyesakkan jiwa.
Deadline.. tarikh mati.. manuskrip.. kafe.. masalah dan masalah.. semuanya membuat dia terasa tersimpul urat nadi. Semuanya sangat mencengkam.
Komputer masih lagi di hadapannya. Mata Nurul memandang tanpa berkelip entri blog rakan penulis yang jauh di Baharin. Sebenarnya sejak tadi badannya saja tegak di komputer akan tetapi fikirannya entah ke mana. Dia melompat dari blog ke blog.
Membaca sana, membaca sini dengan niat mahu memujuk jiwa.
Hatinya tiba-tiba tersentuh. Jiwanya entah mengapa bagai disapa. Ya Allah, mengapa hidup ini tidak seindah jalan cerita! Mengapa tidak semua akan bernokhtah dengan penyudah yang baik-baik saja. Dia membaca blog entri JATUH CINTA BERKALI-KALI dengan dada sebak.
******************
JATUH CINTA BERKALI-KALI
Saya angkat telefon, "Hello, Abang. Buat apa?"
"Sedang review drawing semalam. Nanti ada discussion dengan engineer."
"Ohh... " Saya mengangguk. Mesti sedang makan kek coklat bekal sarapan tadi sebab kedengaran mulutnya mengunyah.
"Kenapa?"soalnya.
"Rindu!"
Entah apa-apa saya ini, setiap hari selepas bersalaman dan cakap, 'ampunkan dosa-dosa saya' dan suami kucup dahi saya, saya menekan pedal minyak kereta. Semerta hati saya terus digamit rindu. Benar agaknya jauh menjadikan kita rindu. Padahal karang bertemu lagi.
Rasanya setiap hari, saya jatuh cinta berkali-kali pada suami saya. Menatap wajahnya yang bersih dan tenang membuatkan sayang saya bercambah...
Merenung wajahnya dengan peluh merenik apabila dia mengangkat tong air besar yang berat atau menukar tayar pancit, cinta saya kian merendang...
Apabila saya bangun tidur, dia sudah bersiap-siap menggsosok bajunya dan bertanya, "Sayang hendak pakai baju mana?" Haha... Terus jatuh cinta lagi, tidak sempat baca doa bangun tidur. Perasaan cinta dahulu berputik.
Apabila saya sedang memasak, dia sibuk mesin baju dalam mesin basuh semi-auto, saya spontan termenung di tepi sink, Cinta datang lagi!
Subhanallah!
Ish! Tak sesuai hendak berjiwang di pejabat dan menitik air mata syahdu masa begini. Terima kasih Allah kerana melimpahkan rahmat dan kasih sayangMu ke dalam rumahtangga kami. Ya Allah, panjangkanlah jodoh kami hingga ke Syurga Firdaus-Mu Ya Allah.
Posted by Umi Azrini @ Umi Kauthar Abdul Razak at 10:45 PM 2 comments
Labels: kehidupan, kembara di bumi bahrain
p/s: Terima undangan berbuka puasa untuk kesemua perunding projek team-infra. Aduh! Selalu dalam undangan, tidak boleh bawak partner... Inilah yang merencatkan rasa hendak pergi... Gulf Hotel pulak itu...
Tahun lepas sudah tidak pergi di atas sebab yang sama... Tetapi tadi, Alhamdulillah, Suami cakap, pergilah sebab bila lagi hendak merasa berbuka di hotel. Dan dia dengan sikap yang selalu baik-sangat-memahami-jiwaku-ini, mengizinkan sesungguhnya... (abang, nanti ada can, saya tapau ya, Hehe...)
Then, tell me, how i can stop loving him for being soooo the-very-kind-and-generous to me? Like, Oh.. seriously, this man... i want to meet him again in Jannatul-Firdaus and eat together with Rasulullah S.A.W... Ameen...
.noktah.
Posted by Umi Azrini @ Umi Kauthar Abdul Razak at 11:27 PM 1 comments
Labels: kehidupan, kembara di bumi bahrain
*****************
Bertuah kamu wahai Umi! Alangkah beruntungnya dirimu wahai sahabat! Mudah-mudahan bahagia itu kekal milikmu sehingga ke jannatulfirdausi. Berkasih sayang bersama insan yang dicintai dan sentiasa diikat dengan hubungan yang diredai Allah swt bukankah satu nikmat yang tidak boleh diungkap dengan sebarang kata-kata!
Terbayang-bayang Nurul akan wajah sahabatnya itu yang satu ketika dahulu agak akrab dengannya. Manis, putih jernih dan bermata bulat. Kini sahabat yang juga sama-sama berkongsi minat menulis itu sedang membina kehidupan yang serba indah bersama lelaki yang bergelar suami di bumi Baharin.
Ada air mata jernih tiba-tiba tidak dapat ditahan. Diri terasa merangkak dalam sepi yang tiada bertepi. Hati tersiksa dalam sunyi yang panjang. Ya Allah, inikah namanya dugaan? Ini agaknya bahagian untuk aku!
Kalau begini catatan kitab hidup aku, demi mendapat keredaanMu, aku akan hadapi semuanya dengan senyum. Ya, dalam hidup ini kita tidak mungkin dapat semua yang kita idamkan. Tiada yang sempurna. Yang sempurna itu hanya milik Yang Satu! Ya, aku reda Ya Allah.
No comments:
Post a Comment