TERIMA KASIH BUAT SAHABAT KARIB SEKELILING SAYA YANG PAKSA SAYA SIAPKAN LOVE YOU IN SILENCE. Dah bertahun-tahun tak siap! Saya cuba untuk selang-selikan dengan SUPERLICIOUS SOFEA setiap hari. Hari tu pernah share di fb, lepas tu saya MALAS. Ni saya cuba buat hari-hari. Skill dah karat sungguh rasanya buat novel dewasa! Bila dah bertahun-tahun tak menulis novel dewasa, saya rasa memang sangat failed bila nak cuba balik. Cover sebenarnya dah ready untuk novel ni. Siap segala novel ni memang saya terbitkan. Okay salam Sabtu buat semua dari saya di satu tempat terpencil di muara sungai.
LOVE YOU IN SILENCE – KALA CINTA HILANG KATA
-- Prolog
Sytttt.... ini rahsia...
Jadi tutup bibirmu rapat-rapat kerana cerita yang pendek ini sebenarnya akan membuat engkau faham selepas ini. Kenapa aku begitu? Kenapa aku begini....
Aku akan berbicara jujur tentang semuanya.. tetapi tidak di sini.
Di sana sahaja.. dalam catatan aku.
Tiada siapa pun yang tahu itu catatan aku. Tapi janji dulu, jangan sesekali engkau cerita pada sesiapa!
Tak ada pengecualian. Jangan cerita pada teman-temanmu... ibumu.. apa lagi pada dia yang engkau kenali dan aku cintai.
Jauhkan tanganmu dari godaan menulis mesej tentang ini di wall akaun facebook mu.
Kau tahu, cara terbaik untuk jatuh cinta, kekal mencintai.. adalah mencintai dia seolah-olah kau belum pernah terluka sebelumnya. Kau cuba dahulu, kemudian kau akan faham apa maksud kata-kata aku ini.
Ayuh, rapat ke sini. Kita diam-diam saja. Kerana aku akan membisikkan rahsiaku. Rahsia tentang hatiku, tentang aku, tentang dia yang aku cintai di dalam diam selama ini, tentang dia yang seorang itu... yang menghancurluluhkan segala rencana remajaku dan tentang mereka juga.
Kadang-kadang, kita mencintai seseorang begitu rupa sehingga tidak menyisakan tempat bagi yang lain. Membuat kita lupa untuk sekadar bertanya inikah sebenarnya cinta?
Seperti itulah dia. Err aku sebenarnya! Diam-diam menyenangi dan mencintai lelaki itu dengan seluruh jiwa dan aku menyimpan sakit tak terperi saat harus mengharungi pernikahan dengan lelaki lain. Sedikit pun aku tidak berniat untuk menyimpan rasa kesal biar diri dikasari saat rahsia kerajaan hati aku diketahui suami.
Apa pun terjadi aku tidak berhenti mencintai lelaki yang sekian lama menghuni hati ini di dalam diam. Jangan bercakap perihal hukum pada aku! Ya, aku tahu bukan sedikit dosanya isteri mencintai lelaki lain. Apatah lagi untuk waktu selagi Allah meminjamkan nyawa kepadaku. Tetapi cubalah bertanya, apa rasa aku tatkala diri dalam lingkung bahagia gembira, aku dipaksa bernikah.
Kalian boleh saja berkata semahunya. Aku tidak jujur. Aku tidak berterus terang. Mahu diberitahu apa jikalau rencana pernikahan itu aku tahu sekadar kurang tujuh hari selepas aku pulang ke rumah. Aku diberitahu hari Isnin dan hari khamis malam aku dalam keadaan terpinga-pinga aku menerima salam seorang suami.
Gerak hati yang diberi Allah pada dia sangat luar biasa. Bayangkan pada beberapa minit sebelum ijabkabul itu berlangsung, dia menelefon. Arwah emak menjawab langsung memberitahu. Aku? Tuhan saja yang tahu... entah aku yang sudah tersurat takdir luluh jiwa atau entah dia sengsara.
Apa daya aku waktu itu, sebaik sahaja usai pernikahan, aku langsung ke rumah orang tua lelaki asing yang bergelar suami. Perasaan aku? Sangat aneh.
Bermulalah episod hidup bagai dalam pelarian sebaik sahaja sang suami yang sangat mendominasi mengetahui semuanya. Dari satu tempat ke satu tempat aku terpaksa berpindah. Dari Lembah Pantai ke Bandar Tun Razak, sebelum ke Cheras dan langsung ke Wangsa Maju. Lelaki yang bergelar suami tatkala itu bagai mahu menyembunyikan aku jauh-jauh terpencil di sudut dunia dari dia sebaik sahaja kisah persahabatan aku dengan dia diketahuinya.
Benar, mencintai saja tak pernah cukup. Harus ditelan segala racun. Harus ditahan segala pedih. Kau tahu... bukan sekadar pedih dan sengsara hati, tetapi fizikal juga menjadi korban lima jari kasarnya. Kau akan mengerti maksud sengsara cinta apabila meredhakan bulan-bulan awal pernikahan dengan air mata, dipukul semahunya kerana aku degil tidak mahu ada hati yang lebih terkorban. Nah, siapa kata cinta itu sekadar cinta.
Siapa bilang cinta itu sekadar mabuk asmara untuk si gadis yang usianya masih mentah? Apa perasaanmu seandainya beberapa hari selepas pernikahan, pulang ke Lembah Pantai, engkau tahu saban malam dia di muka pintu mengetuk memberi salam, mencari dan meminta penjelasan daripada aku?
Apa pula yang boleh lakukan waktu itu apabila aku terikat,lima jari hinggap di pipi dan aku cuma mampu membenam sedih pada hujung kamar. Tangisan dan esakan sahabat yang paling akrab.
Apakah kau tahu, bagaimana perih rasanya berbahagi cerita, berbahagi hati?
Tahukah engkau sengsara rasa saling mencintai, dibatasi jarak waktu, namun akhirnya bertahan untuk tidak saling memiliki? Dan aku tidak terdaya menceritakan satu demi satu pada dia dan langsung membiarkan dendam itu menjadi dendam paling kejam yang manis.
Bukankah berdiam diri itu penawar terbaik? Bukankah pura-pura senyum dan bergelak ketawa itu satu terapi biar ini sebenarnya membunuh hati!
Bukankah memang begitu seharusnya cinta? Memberikan senyuman, bercanda gelak tawa, mesra bagai bahagia, untuk mengaburi mata memandang.
Meski diam-diam hatinya basah dalam renyai hujan yang tiada penghujung. Aku yakin seperti itulah seharusnya cinta. Dalam desah angin, dalam lebat hujan dalam biru langit, aku sebetulnya sering bertanya... seperti inikah cinta?
Hidup bukan syurga tetapi bukan juga neraka. Hidup bukan ruang sidang pengadilan tetapi bukan juga jalan lapang dengan langit biru terbentang. Ya, aku tahu ... di luar sana ada lebih ramai mereka yang derita dan malang dari aku.
Ya, ada ketika aku malu kerana masih mahu teresak, masih tidak mampu menyimpan gelora jiwa hingga aku menangis tanpa henti lewat hujung sejadah di waktu dinihari. Cubitan Allah swt sekadar cubitan kasih namun aku nyata insan yang lemah masih mahu membiarkan hati ini terus renyai dengan air mata.
Terlalu banyak cerita kalau mahu dikata, terlalu banyak jua kerikil yang dilalui sebelum aku berada di sini. Entah kekadang terfikir, Allah menguji sebab aku mampu melaluinya. Dan, ya... akulah dahulu gadis angkuh yang selalu menyebut aku mampu hidup tanpa lelaki. Dan, aku juga dahulu perempuan si hati batu yang tidak mudah tunduk pada lelaki.
Cuma... ya... pada dia.. entah kenapa aku sangat menyenanginya. Ya, benar, teman aku sangat ramai. Surat-surat yang disimpan boleh dikumpul sehingga memenuhi lima kotak besar, hadiah dan pemberian mereka yang mahu membeli cinta, mengambil hati, juga ada ketika aku sedekahkan sahaja pada rakan serumah.
Tapi percayalah, itu semua belum tentu mampu mencairkan jiwa aku.
Dan, ya mengapa pilihan yang aku adalah menjadi Puan Nurul Masmin pada usia 21 tahun, tatkala masih berkuliah... akan aku beritahu kelak. Cuma sesekali aku terasa aku terpaksa menelan segala sumpahan karma ini kerana keangkuhan kata-kata aku satu ketika dahulu.
Hem, dia sendiri secara tidak sengaja menyebut dan berpesan... jangan cakap angkuh! Jangan takbur! Err, aku tidak pasti, apakah dia sememangnya mengikuti segala kisah nurulmasmin.blogspot.com atau semua nasihat itu secara kebetulan. Sebagaimana secara kebetulan aku membalas emelnya setelah berbulan-bulan aku terima. Nantilah.. aku ceritakan sedikit demi sedikit..
No comments:
Post a Comment