LOVE YOU IN SILENCE - 4
“Mek.. nak ke mana tu? Oh Mek... Hah... tak payah toleh kiri kanan…” Laungan suara itu terhenti di situ.
“Mek…
Mek bertigalah!” Lelaki itu terus menjerit. Tangannya menggamit. Wah,
gayanya macam polis trafik pulak! Beberapa orang senior yang sedang
duduk bersidai di koridor bangunan itu tersenyum-senyum sumbing.
“Masaklah
bebudak tu kena goreng dengan Amirul!” Satu suara bertingkah. Mencecah
juga ke pendengaran tiga gadis yang dipanggil Mek tadi.
Kelompok-kelompok
pelajar baru yang lain tentunya sedang sibuk mengusung borang memohon
tanda tangan, sudah saling berbisik-bisik. Sebenarnya semua tadi sedang
sibuk mengejarkan senior dan exco pelajar.
Suara
penghulu exco pelajar tadi cukup kuat. Sangat kuat sebenarnya
menyebabkan semua yang ada di situ terkejut. Sangka mereka ada
pengumuman penting. Rupa-rupanya ada pelajar yang sudah buat hal! Semua
mata tiba-tiba menoleh ke arah tiga gadis itu.
“Ooo
la laaaa… beb…. kenapa semua orang pandang kita ni? Wei, depa ingat
kita ni artis apa?” Nurul Masmin tergaru-garu kepala. Huh, tak
pasal-pasal kepala terasa ada kutu, badan pula terasa ada hama! Eh,
kauorang apahal pandang-pandang aku? Rungutnya di dalam hati.
“Ya.. kamu semualah! Nak ke mana tu? Oh, nak lari ye? Dah dapat tanda tangan semua eksco belum?” Jerit Amirul dari jauh.
“Kurang
asamlah mamat ni… Kenapa dia pakai mikrofon???” Kali ini Nurul Masmin
semakin terpempan di situ. Nik Fauziah dan Rose turut sama tergamam.
Tersengih-sengih mereka menahan malu.
“Kesian
bebudak tu Amirul.. Malu diaorang kau jerit pakai mikrofon!” Rain Akba
menegur dengan berbisik pada rakan sekuliahnya itu.
“Alah,
mujur pakai mike.. kalau aku pukul gong, pukul gendang… lagi malu
diaorang…” Jawab Amirul tanpa rasa simpati pada juniornya. Sesiapa yang
degil dan ingkar memang mencari nahas dengannya
“Mana benda tu?” Tanya Amirul pada Rain Akba.
“Ada..
aku letak atas meja sana. Benda tu dalam kotak.” Beritahu Rain sambil
menunjuk ke arah meja rehat di taman mini berdepan dengan bangunan Pusat
Pengajian Media itu.
“Kau nak buat apa benda tu?”
“Adalah…
sesiapa yang cari masalah.. macam mek-mek tu memang kenalah!” Nada
Amirul memang sangat pendendam bunyinya. Tiga gadis yang masih tegak
berdiri jauh darinya itu direnung dengan pandangan yang semakin
mengecil. Geram sebenarnya! Berani budak-budak ni!
Biarpun
yang sebenar seluruh muka terasa kebas menahan malu, Nurul Masmin tetap
tidak berganjak. Dia yang memang agak degil berbanding dua sahabat
barunya itu, turut memandang Amirul dengan hujung mata! Bencinya lelaki
ni! Jaga kau… Macam hebat sangat dengan jawatan penghulu pelajar!
Penghulu
Minggu Orientasi Pusat Pengajian Media itu sudah bercekak pinggang.
Amirul di aras atas. Tiga mek yang direnung hanya dengan sebelah mata
oleh Amirul berada di aras bawah. Kawasan Pusat Pengajian Media itu
memang sedikit berbukit.
Namun
jeritan Amirul dengan mikrofon memboleh semua jagat raya di seputar
kawasan itu mendengar suaranya. Merah padam muka Nurul Masmin, Nik
Fauziah dan Rose. Masing-masing sudah tegak menjadi tugu negara.
“Alamak...
matilah kita! Macam ni? Aku dah rasa keras! Macam jadi sang kelembai!”
Rose menggeletar ketakutan. Nurul Masmin tetap dengan muka sombongnya.
“Alah,
peduli apa! Dia nak dera kita? Silakan... esok aku report dalam Harian
Metro!” Nurul Masmin yang memang berkepala batu langsung tidak mahu
beralah. Biarpun sebenarnya usus perut sudah rasa terbelit.
Pelajar
freshies lain sudah saling berbisik. Huh, siapalah tiga budak perempuan
yang berani sangat tu... Mana boleh tinggalkan kawasan ni... memang
nahas kalau senior tangkap!
“Hah!
Eloklah tu! Berdiri tegak di situ!” Jerit suara itu. Beberapa pelajar
lelaki lain sudah bersiul dan bersorak. Telinga Nurul Masmin, Rose dan
Nik Fauziah terus terasa bagai terkena miang buluh!
“Alamak,
lecehlah mamat sorang ni! Dia nak suruh kita buat apa ni? Aku dah
lenguh ni!” Nurul Masmin mengomel sambil mencuit Rose. Kaki
masing-masing macam kena gam gajah. Mereka sebenarnya baru saja
menyimpan cita-cita mahu melarikan diri.
Ruang
lingkup Pusat Pengajian Media sepanjang minggu itu memang mengazabkan!
Terasa macam ada perintah berkurung. Sana sini ada mata-mata gelap yang
sibuk lagi kepoh mahu menyiasat adik-adik junior.
Alkisah
dari pengumuman yang diberi, setengah jam dari tempoh itu mereka
dikehendaki berkumpul di dewan utama untuk mendengar ceramah aka bebelan
bebelan senior. Huhuuu... bosannya!
“Beb
macam mana ni? Nak cabut ke? Nak sengih tunjuk gigi aje ke.. nak lambai
macam Miss Universe pada semua senior kat atas tu?” Rose sudah
menggelabah. Tiga ke empat saat berdiri tegak seperti tiang bendera amat
menyiksakan!
“Okay.. tarik nafas, buat muka tapir…Buat muka tak berdosa... buat muka perasan lawa!!” Nurul Masmin sudah tekad.
Dia
tidak peduli kalau didenda. Alah, bukan boleh dibuang universiti pun
setakat langgar undang-undang gila masa minggu orientasi! Bukan ke kalau
diperhalusi... Minggu Orientasi = Minggu Neraka!
Sudahlah
dia tidak cukup tidur kerana program Qiamullai, masa senggang diisinya
dengan menaip dan menaip. Entah kenapa banyak sungguh cerita
bersimpang-siur dalam fikirannya biarpun minda sangat letih.
Akibatnya
setiap kali menghadiri aktiviti sebelah siang untuk Minggu Orientasi,
dia tidak mampu menahan rasa mengantuk yang bukan kepalang.
“Mek
kurus, mek rendang, mek tinggi... Naik balik.. cepat! Kalau
degil...kena lompat katak sama-sama katak nanti!” Amirul seronok
mengugut tiga orang adik juniornya itu.
Mahu
tidak mahu Nurul Masmin, Nik Fauziah dan Rose berpatah balik. Langkah
mereka sengaja lambat-lambat. Nurul Masmin menunjukkan muka malas lagi
tak kuasa tatkala mahu menghadap sang penghulu pelajar.
“Wah, belum apa-apa kita dah popular kejap!” Bisik Nurul Masmin pada Rose. Sahabatnya itu berkerut kemudian mencebik.
“Banyak kau punya popular! Mati kita lepas ni! Memang senior kata kita degil!” Pangkah Rose geram.
Sebenarnya itu semua ilham Nurul Masmin untuk melarikan diri daripada mendengar ceramah.
“Setakat
mamat tu... silap-silap dia dulu mati dari kita! Huh, mamat gila
kuasa!” Cemuh Nurul Masmin perlahan tanpa peduli semua yang memandang ke
arah mereka bertiga.
“Habislah..
mati kita kena denda!” Nik Fauziahsudah semakin sesak nafas. Amirul dan
kroni-kroninya sudah menunggu di hadapan sambil bercekak pinggang.
“Siapa
nama mek ni semua? Mari beritahu kami... Nak jugak kenal... kenapa
degil sangat ya?” Amirul dengan lagak raja di atas takhta, duduk
tersandar di kerusi baldu merah di ruang pentas terbuka. Nurul Masmin
menjeling dengan rasa meluat.
Mengada-ngada! Beberapa pelajar senior yang lain sudah terkekeh gelak.
“Nik
Fauziah...” Jawab yang Nik Fauziah dengan pantas. Matanya
sekejap-sekejap memandang ke pentas. Matilah aku kalau kena lompat katak
atas pentas ni!! Sia-sia aje beri show percuma untuk satu fakulti ni!
“Mek rendang Nik Fauziah.. Mek bonsai siapa nama?”
“Rose
Ismail.” Jawab Rose tanpa mengangkat muka. Kecutnya perut tidak
terkata. Terasa bersimpul urat dengan tali perut! Kurang ajar! Aku yang
langsing pinggang secekak ni dipanggil bonsai?? Buta agaknya mamat ni!
Rose sudah berkepuk-kepuk menyumpah di dalam hati.
“Hah
mek tinggi... mek muka sombong ni siapa nama?” Sakit benar hati Nurul
Masmin bila dia dipanggil mek muka sombong. Ikutkan hati yang kering
mahu saja dia tinggalkan kawasan kampus itu.
“Nurul
Masmin.” Dia menjawab pendek. Mukanya semakin mencuka. Menyampah! Itu
ekspresi yang diberi sambil matanya sendiri tepat memandang ke arah
Amirul.
“Nurul Masmin aje? Nama bapak apa?”
Rose
dan Nik Fauziah sudah semakin terketar. Wah, Nurul Masmin nak buat apa
pulak ni? Jawab ajelah! Ni memang nak cari tali gantung lepas Minggu
Orientasi ... Mereka saling menjeling apabila menyedari Nurul Masmin
sudah menunjukkan kepala batunya.
“Nurul
Masmin Razali. Kenapa? Nak berkenalan ke?” Selamba lagi laju saja
kata-kata yang terkeluar dari mulut Nurul Masmin. Amirul memang agak
terkejut. Tetapi dia kemudian terdiam dan berbisik sesama rakan yang
lain.
“Nurul Masmin?” Amirul menyebut perlahan nama itu. Berulang kali.
Ah, sudah!!! Aku dah kata! Minah Nurul Masmin ni memang degil! Ni mesti nak kena denda kaw kaw punya!
Cemas
Rose apabila melihat Amirul dan beberapa pelajar lain saling bercakap
sesuatu. Tetapi amat perlahan dan tidak dapat didengar. Nurul Masmin
tetap dengan muka selamba tidak peduli langsung dengan apa yang berlaku.
“Awak Nurul Masmin Razali, yang menulis novel tu ye?” Seorang pengapit kanan Amirul bertanya.
Soalannya
itu sangat mengejutkan Nurul Masmin. Di kanannya Rose, di kirinya Nik
Fauziah turut sama terlopong. Hah? Buat novel? Tulis novel? Biar betul?
Rose terkejut tetapi sangat teruja.
Amirul
sudah merenung tajam muka selamba Nurul Masmin. Perempuan ni memang nak
kena ajar! Perempuan hati kering! Perasan divalah tu!
LOVE YOU IN SILENCE - 5
Nurul masih terpaku. Tergamam sebenarnya apabila latar dirinya dikenali orang.
“Betulkan?” Soal Amirul lagi. Kali ini suara lelaki itu sedikit kendur.
“Err.. betul.”
“Oh, patutlah!!”
“Patutlah apa?” Soal Nurul tidak faham.
“Patutlah awak lain daripada yang lain! Lain daripada freshie lain.”
“Apa yang lain?” Nurul beranikan diri menyoal penghulu Minggu Orientasi itu.
“Awak degil daripada yang lain!” Terburai gelak pelajar lain. Nurul merah muka menahan malu.
“Berapa banyak novel awak dah tulis?” Amirul seronok mengambil peluang itu mendera.
“Tak banyak...”
“Tak banyak tu berapa? Tak tahu kira ke? Entah-entah gagal
matematik!” Sindir Amirul. Semakin membara dendam Nurul pada Amirul.
Lelaki ini memang mulut macam murailah!
“Tiga buah aje.”
Amirul mengangguk namun di mata Nurul lelaki itu tidak lebih
daripada mahu menyusahkan hidupnya. Jaga engkau! Kalau aku buat novel
baru.. confirmed nama engkau jadi watak jahat!
“Mek bertiga ni dah dapat tanda tangan semua exco ke?” Soal Amirul lagi.
“Err.. tak semua! Baru sikit-sikit..” Jawab Nik Fauziah dengan nada yang terketar-ketar.
“Baru sikit-sikit? Hah, kalau kena denda banyak-banyak, jangan
marah kami...” Sampuk Ijey yang sentiasa menjadi pengiring dan pembantu
Amirul. Nurul memandang dengan penuh benci. Hem, baru jadi Penghulu
Pelajar, sudah ada tukang juak!
“Cepat.. saya beri
mek-mek semua ni masa dua jam aje untuk dapatkan semua tanda tangan
eksco. Kalau lambat, pagi esok, sebelum subuh kamu kena denda di Dewan
Tunku Canselor!”
Terkulat-kulat Nik Fauziah dan Rose
dibuatnya. Mulut mereka terkumat-kamit. Hajat mahu minta tangguh
sehingga esok. Atau paling tidak pun lewat malam ini!
“Ini apa hal tersengih-sengih?? Berdiri pun macam kangkung!! Tak boleh tegak!!” Jerkah Amirul lagi.
“Err Abang Amirul...” Ada sesuatu yang Nik Fauziah mahu bertanya.
Belum sempat bertanya, Amirul dan rakan-rakannya meninggalkan tiga
gadis itu tercegat di situ. Nurul terasa kepalanya sudah berkepul-kepul
berasap. Ya Allah, bencinya! Huh, dialah lelaki yang paling aku benci
setakat ni!
“Eee bencilah.. diaorang ni saja nak
buli kita! Beri tempoh suruh cari tanda tangan senior ... baru aku nak
bukak mulut minta signature semua dah blah...” Putih mata Nik Fauziah
memandang kelibat senior-senior yang menghilangkan diri ke dalam bilik
seminar Pusat Pengajian Media.
“Huh, semua tu perasan!
Macamlah hebat sangat signature diaorang tu... Nasiblah kalau tak dapat
semua orang punya tanda tangan... siapa suruh jadi halimunan. Ingat
diaorang tu artis apa aku nak terkejar-kejar! Kirim salam semua tu!”
Bebel Nurul yang memang menyimpan rasa marah pada Amirul. Terasa sungguh
dirinya diserang secara peribadi oleh penghulu pelajar itu.
“Habis macam mana ni? Hish aku takutlah...” Rose berbisik
sambil merenung helaian nama-nama pelajar senior yang masih belum ada
tanda tangan di hujungnya. Ada sepuluh petak yang masih kosong.
“Hah... yang dekat bawah pangkin tu bukan exco pelajar ke?
Bukan ke mamat tu tadi sama-sama dengan si monster pelajar kita?” Cuit
Nurul sambil mengelarkan Amirul sebagai monster pelajar.
“Jom.. kita mintak tanda tangan dia.. Tadi budak lain pun aku tengok
mintak pada dia... senang aje dapat. Tak banyak songel sangat...” Nik
Fauziah setuju dan mereka bersama-sama menuju ke arah seorang pelajar
lelaki yang sedang duduk menghadap komputer riba.
“Errr... abang.. nak mintak tanda tangan boleh?” Nurul memberanikan diri
menegur lelaki yang sedang tekun menatap skrip komputer ribanya itu. Di
sebelah kanan meja kecil itu kelihatan ada beberapa fail dan dua kotak
kecil yang bertutup.
“Boleh... tapi adik teka sendiri mana
satu nama abang..” Lelaki yang berkulit cerah itu meminta Nurul, Nik
Fauziah dan Rose menunjuk sendiri yang mana satu di antara deretan nama
itu namanya. Nurul berkerut. Hish, lecehlah pulak!
“Kenapa? Abang suruh teka aje...bukan denda pun!” Lelaki yang sedang
duduk itu kemudian berpaling dan memandang tepat ke arah Nurul. Gulp!!
Oh gosh... he looks so damn hot! Handsomenya! Bisik Nurul nakal di dalam
hati.
Raut wajah lelaki itu mengingatkan Nurul kepada Josh Hartnett. Matanya kecil tetapi renungannya dalam dan tajam.
“Cepatlah.. mana satu nama abang?”
Nurul masih tergamam. Gadis yang tinggi lampai itu memandang
ke arah temannya di sebelah. Berkerut dahinya. Muka yang sudah melekit
lagi berminyak itu cuba memohon simpati. Nik Fauzia hmemandang Rain
Akba. Nik Fauziah dan Rose sudah berbisik-bisik sesama sendiri. Apa hal
kawan sorang ni jadi patung cendana?
“Errr... nak
kena main teka teki pulak ke?” Nurul pantas membalas apabila menyedari
dirinya direnung kerana terkaku di situ.
Yang mana satu
ye? Nurul menggaru kepala. Tapi mamat ni bersopan santunlah pulak! Siap
bahasakan diri abang.. eceh ceh ceh.. Bilalah pulak aku jadi adik dia??
Nurul mengomel di dalam hati.
“Alah... jangan beri muka pada
budak-budak freshie ni. Bila lagi nak buli,” Ijay senior yang sama
jabatan sengaja menjadi batu api. Terkulat-kulat Nurul Masmin dibuatnya.
“Hah, cepat mana satu nama abang?”
“Hah?!”
Nurul Masmin tergamam. Nama abang? Eh, sejak bila mamat ni jadi abang aku? Amboi.... bukan main lagi kalau mahu mengayat.
“Nama abang yang ini kot....” Nurul menunjukkan pada nama yang tercatat sebagai Jonathan Tan.
“Mana?”
“Ini... Jonathan Tan...” Ujar Nurul penuh yakin. Nurul
berdiri di sisi lelaki yang sedang duduk itu. Dia menunjukkan pada
lelaki itu sekilas nama yang diteka. Nurul yang tinggi lampai
menundukkan diri sedikit.
Tanpa diduga pecah gelak
lelaki itu. Nurul jadi terpinga-pinga. Rose dan Nik Fauziah saling
bertukar pandang. Eh, kenapa ni?
“Hei... abang Melayulah!
Ingat abang Cina ke? Nak tengok Mykad abang.. Hah nak tengok kad
matriks pun boleh...” Tangan lelaki itu sudah menyeluk poket seluarnya.
Mengeluarkan dompet.
Nurul sudah cemas. Eh, apa pulak ni?
Mata Nurul memerhati saja perlakuan lelaki itu. Oh, dia memang charming!
Tapi ni apa kes pulak?? Mati aku cari pasal dengan senior!
Bersungguh-sungguh lelaki itu mengeluarkan Mykad dan kad matriks.
Wajah lelaki itu selamba dan tenang. Mahu membuktikan sesuatu pada
Nurul.
“Hah?? Rain .... Rain?? Hujan??” Nurul
terjerit kecil. Sangat tidak percaya. Tangannya pantas mencapai kertas
yang ada senarai nama senior dan eksco pelajar.
“Hujan.. Kenapa nama Rain? Eee, macam nama Rain Bi.. muka tak sama
pun... Ye ke ni??” Nik Fauziah sendiri terkejut. Terkeip-kelip matanya
memandang Rain @ Abang Hujan. Huh nama tak koman... nama hero korea!
“Eh, ye ke ni? Macam tak percayalah...” Rose menggaru kepala yang tidak gatal.
“Hah.. cepat.. cepat mana nama abang dalam list tu? Cepat..
abang kira satu... dua... dua suku...” Rain sengaja menyakat. Dia tidak
berniat mendera tetapi seronok pula melihat wajah adik-adik junior itu
mula kelam-kabut.
“Eh, mana kertas tadi.. Mana pergi..
tadi letak sini!” Nurul sudah kalut. Memang tadi sewaktu membelek kad
matrik Rain dengan penuh takjub dia letakkan kertas list namanya di atas
meja itu. Eh, mana pulak pergi.
“Cepat.. dua tiga suku.. tiga... Abang Rain kira sampai lima...”
“Errr.. mana pergi ni.. “ Nurul jadi cemas. Rose dan Nik
Fauziah sudah menghulurkan kertas mereka untuk ditandatangan.
“Takkan angin tiup pulak...Abang sorokkan ke?” Dalam keadaan
ribut mencari kertas di atas meja itu, Nurul tertolak dua kotak kecil di
atas meja itu. Bukan setakat terbuka penutupnya, isi kotak itu tanpa
diduga membuat jeritan Nurul bergaung di Pusat Pengajian Media.
“Makkkkk katak...... Katakkkk......”
“Hah???!!! Katak?? Mana??”
Nik Fauziah dan Rose sama terlompat. Bukan lompat
teng-teng tapi sudah mencapai tahap lompat kijang! Nik Fauziah dan Rose
yang berbaju kurung terus menarik kain sehingga betis dan memanjat
bangku yang ada. Dua ekor katak hijau yang menggerutu, gemuk dan kembung
melompat-lompat seperti mabuk dibebaskan.
“Abang
Hujan... tolong... katak kat kaki saya!!!” Nurul meraung sehingga merah
padam muka. Kakinya geli-geleman terasa katak itu bergesel dengan
kulitnya. Air mata sudah mahu menitik-nitik.
“Ong.. gedek..gedek.. ong gedek gedek.. ong gedek.. gedek...”
“Ya ALLAH.. ini pun takut ke?” Katak itu dialihkan dan
disimpan semula di dalam kotak. Nurul menggeletar geli. Matanya dipejam
rapat-rapat. Tekak terasa loya. Seantero Pusat Pengajian Media sudah
berkerumun melihat drama sebabak itu.
“Hah...
Degil lagi dengan senior! Kan dah kena daulat senior!” Sindir Amirul
sambil ketawa terbahak-bahak. Puas hatinya kerana tak perlu merancang
plot menggunakan katak sebagai props untuk Minggu Orientasi itu. Tanpa
diduga katak-katak itu sudah memberi khidmat bakti percuma! Rain cuma
menggeleng dan tersenyum tenang. Simpati sungguh dia melihat wajah Nurul
yang pucat dan merah menahan air mata.
“Nak,
ambil tisu ni...pergi cuci kaki. Takut beracun katak ni. Tak pasal-pasal
kaki putih tu berkudis nanti...” Rain menghulurkan tisu pada adik
junior yang baru dikenalinya itu. Nurul malu-malu menyambut tisu itu. Di
tandas dia bukan setakat mencuci kaki, mukanya juga dibasuh.
“Kau nangis ke?” Tanya Nik Fauziah dan Rose serentak.
“Kalau soket mata aku ni tinggal tengkorak bolehlah aku
tak nangis! Melampaulah! Bayangkan katak tu melompat atas badan aku tadi
macam mana??” Jerkah Nurul dengan muka yang merah padam.
Sejak saat itu, sejak detik itu, memang lelaki yang bernama
Amirul cukup dibencinya. Tetapi siapalah dia mahu melawan takdir. Tiada
siapa menduga, ceritera hidupnya menjadi berbeza selepas itu. Kekadang
diam dia mencari tenang. Pedih luka mendera jiwa. Dan, dia tahu... luka
menumbuhkan seribu ceritera.
Orang kata pertemuan pertama
selalunya kebetulan. Tapi bagaimana cara dia menjelaskan
pertemuan-pertemuan mereka selanjutnya? Apa memang sudah tercatat di
langit ketujuh?
Dalam diam sejak setahun ikatan itu, Nurul Masmin selalu menjerit di batin hati.
“Kau harus pergi. Tapi suaraku terlalu gementar dan terlalu takut
untuk kedengaran tegas di hadapanmu! Ya Allah, mengapa kami harus
terperangkap dalam kehidupan yang pengap ini. Ya, Tuhan.... Mencintaimu
bukanlah sesuatu yang kuharapkan terjadi! Tuhan, ampunkan aku, bukan
kemahuanku.... Aku sudah tidak setia!”
No comments:
Post a Comment