Sunday, November 10, 2013


Cinta Hilang Kata 11

Love You In Silence





NURUL MASMIN

Ezra menyinggah bertemu Nurul selepas selesai servis laptopnya. Dia memang sudah lebih sebulan menanggung bisa-bisa badan. Setiap kali lewat malam, badannya menggelupur kepanasan. Anehnya apabila berjumpa doktor, semuanya baik-baik belaka.

Ujian darah pun telah dibuat, keputusannya tiada masalah sakit fizikal. Namun melihat wajah Nurul yang sedikit pucat, Ezra sendiri terkejut.

“Aku tak tahulah orang lain. Tapi memang kekadang aku tak larat sangat. Badan rasa kena tikam-tikam. Bisa menjalar segenap sendi. Panadol, ubat tahan sakit semuanya aku telan. Kau kenapa? Kau nampak pucat, sakit ke?” Soal Ezra tidak percaya.

Nurul Masmin mengangguk. “Ha’ah. Macam semalam, aku baru saja nak bukak laptop aku, then, tak pasal-pasal aku rasa kebas satu badan. Jantung aku ni pulak, berdebar-debar je. Nak kata aku sakit, aku rasa sihat. Tapi nak kata sihat betul. Tuhan aje yang tahu. Rasa sesak nafas. Rasa perut keras macam membusung. Azabnya, Tuhan aje yang tau!” Cerita Nurul lagi.

“Aku memang dah berpuluh kali ke doktor. Setakat ni semua okay. Tapi sakit tetap macam tu. Doktor cuba agak aku stress melampau.” Ujar Ezra.
“Entahlah. Susah nak kata. Mungkin aku stress pasal Amirul. Mungkin jugak pasal kerja. Banyak sangat benda yang jadi dalam hidup aku ni...” Lirih Nurul sambil memandang ke luar.

"Beb, Amirul dengan kau kenapa? Tak selesai lagi?”

“To make it short, kami sebenarnya memang dalam proses bercerai. Entahlah...” Kering sahaja muka Nurul Masmin apabila berkata. Sungguh tiada sebarang perasaan yang ditunjukkan.

Ezra kali ini benar-benar terpempan. “Ish, kau ni cakap betul-betullah! Benda ni bukan main-main. Bergegar tiang Arasy bila sebut nak bercerai ni!” Ujar Ezra lagi.

“Habis, kau nak aku cakap apa? Yang kami ni tersangat bahagia, yang boleh hidup sama-sama sampai tua? Kalau nak masuk rumah orang tua-tua pun, boleh isi borang sekali? Nak buat apa, tak kuasa aku nak menipu!” Jawab Nurul Masmin.

Ezra terdiam. Dia benar-benar terkejut dengan kata-kata Nurul Masmin. Sebab memang mereka nampak macam bahagia. Hingga kadang-kadang dia pun cemburu dengan Nurul Masmin!

“Aku tau kau mungkin susah faham .Terima sajalah.”

Mendatar sahaja suara Nurul Masmin. Dia terjeda di situ. Seboleh mungkin tidak mahu menyebutnya dengan sesiapa, tapi hati terlalu pedih untuk menyimpan sendirian.

“Doa mintak Allah lorongkan yang terbaik Nurul.” Ujar Ezra sambil hatinya sendiri berpusar-pusar.

Nurul berasakan bagai tercampak dalam rimba yang kelam. Hati ingin berkata sesuatu namun tidak terucap. Ya, Tuhan memang Maha Agung dan Adil, setiap kejadian penuh tamsil dan tafsiran. Tuhan, aku sujud pada ketentuan-Mu. Ya ALLAH. Langit saujana terhampar biru, mengirim isyarat penuh rahsia. Kenangan silam yang sewangi kesturi melambai-lambai. Dada Nurul Masmin semakin bergelombang. Angin bagai berhenti menderu. Air mata mengalir tanpa henti. Pandangan berkabus, hatinya luluh. Tuhan Maha Agung KetetapanMu.

No comments:

ShareThis