Friday, November 8, 2013

CINTA HILANG KATA 5


CINTA HILANG KATA 5

LOVE YOU IN SILENCE


Zaili The Big Belly &Sabirah The Dolly

Gugur kelopak kenangan melati,

Semerbak taman wangi berbaki;
Bukanlah syak dalam hati,
Wahai teman mengapa berdengki.


Tidak tahu di mana silapnya, apa celanya dan di mana canggungnya, semua serba tidak kena! Setiap kali berdepan dengan dua beradik kembar itu, Nurul Masmin pasti akan berlapis kerut di dahi. Biar bertentang mata, berbasa-basi sepatah dua saja, tapi serba serbi terasa tidak molek. Cuba dipujuk hati untuk berbual tetapi terasa janggal. Puas diyakinkan diri, tetap jiwa bagai berselumbar.

“Hei, aku memang tak boleh masuklah dengan dua beradik kembar tu! Hish rimas aku tengokkan. Tahulah dia ada abang, ada bonzer, tak payahlah nak over sangat. Menggedik depan senior! Aku rasa kembang tekak bila dia bercakap. Tergedik-gedik!” Nurul Masmin sudah tidak mampu menyorokkan rasa hati. Macam bertih goreng mulutnya membebel perihal rakan sekuliah yang bersaudara itu.

“Kau mengata siapa ni?” Ezra kehairanan.
“Siapa lagi kalau bukan budak kembar tu?”
“Yang sama kuliah dengan kita masa paper Dr Amida ya?” Che Wanie yang sedang menjahit cangkuk kain baju kurungnya menyampuk.

“Hah! Pandai pun! Aku loya betullah!” Nurul Masmin yang awalnya tadi bersemangat mahu menaip tugasan tutorial sudahnya menjadikan sesi petang itu sebagai sesi curahan hati.

“Oh.... kalau budak berdua tu, memang peliklah! Aku pun kembang tekak dengar suara adik perempuan dia tu.... alah siapa nama minah tu?” Che Wanie ingat-ingat lupa akan nama gadis yang suka bercakap sambil terjuih-juih bibir kala kuliah Dr Amida.

“Alah, Sabirah... Aku nak panggil Budak Birah aje! Gedik tahap gaban!” Terherot muka Nurul kala menyebut nama gadis itu.
“Hahah! Betul.... betul!! Sabirah. Asal bercakap aje, mulut jadi mulut Donald Duck. Nak aje aku lempang sekali. Biar betulkan sikit urat kat bibir tu. Menggedik tak tentu hala kalau bercakap depan senior. Terlentok ke kanan, terlentok ke kiri, kepala macam dah patah tulang tengkuk!” Pantas Ezra menambah api pada kemarahan Nurul Masmin.

“Wei... apa hal dia dengan kau? Ni mesti ada benda jadi yang kau tetiba nak meletup tak tentu pasal.” Che Wanie cuba mengorek sesuatu.
“Mana aku tak rasa nak hempuk dia. Ada ke patut dalam kuliah Dr Amida, masa bergabung dengan pelajar senior, dia tetiba buat pengakuan. Saya sebenarnya menulis novel juga. Tapi saya tulis novel yang ada mesej....” Nurul melaharkan rasa marah yang tidak terucap. Turun naik dadanya menahan sabar.

“Paling aku tak lalu... Boleh dengan muka tapir dia sebut.... Saya hanya tulis sesuatu yang boleh buat orang berfikir. Saya tak tulis novel cinta. Novel cinta bagi saya macam jajan murah. Mungkin sebab saya cuba sesuatu yang out of the box maka saya dan abang saya masih belum diterima pembaca dan penerbit. Kami tak tulis karya macam Nurul Masmin tulis.... Kurang ajar punya budak! Aku rasa nak lempang masa tu jugak! Mujur Dr Amida ada... Dahlah abang dia tu terkepit-kepit macam jantan patah! Badan macam badak sumbu! Meluatlah!”

Lega rasa jiwa apabila segala yang terbuku diluahkan. Dia sudah cuba bawa bersabar tapi entah mengapa bergulung rasa sebal di jiwa mengenangkan dua beradik kembar, Zaili dan Sabirah. Nurul benar-benar tidak tahu apa puncanya. Yang nyata dua beradik yang berwajah tembun itu bagai mengisytiharkan kempen dan perang dingin terhadapnya.

Tugasan yang hendak ditaip sebenarnya belum pun dapat satu perenggan. Namun hati Nurul Masmin betul-betul panas mengenangkan insiden pagi tadi sewaktu kuliah Dr Amida. Kalau ikutkan hati barannya, mahu saja ditenyeh-tenyehkan Sabirah dan Zaili. Yang adik menggedik, cakap terkeleweh, bibir macam itik mahu sudu ikan! Yang abangnya pun bermasalah! Jalan terkepit-kepit, duduk pun tak pandai mahu bersilang kaki macam lelaki macho.

“Dua beradik kembar ni aku rasa adalah masalah kejiwaanlah! Sejak awal orientasi lagi memang dah nampak semacam. Kalau pandang arah kita tu, macam berdengki aje mata tu!” Ezra mengiyakan.

“Kalau ya pun dia rasa dia boleh tulis hebat daripada aku, ada aku kisah?? Peduli apa aku! Kau nak tulis satu kitab ke, kau nak tulis seribu buku pun, aku tak ambil tahulah! Memang jantan garik, betina gedik betul! Nampak sangat pendengki! Asal dalam kuliah aje, mesti mata tu liar menjeling ke arah kita. Tak pandai dengan abang dia.... Macam budak jantan tak cukup masak aku rasa! Perangai macam betina!”

Nurul Masmin memang terasa terbakar tatkala mengenangkan tingkah Sabirah. Dalam kuliah retorik, terserlah gadis itu suka memintas ideanya. Semuanya yang dihujahkan serba tidak kena pada pandangan Sabirah.

“Tengoklah cara dia bermekap. Pergi kuliah macam ada show paper doll! Bertepek bedak, bertompok blusher! Itu belum lagi senior lalu depan dia, menggedik semacam. Mulut terherot-herot kalau panggil abang-abang senior!”

Che Wanie memang menyedari keadaan itu. Dia sendiri tidak mampu menyembunyikan kerut di dahi apabila terpandangkan Sabirah pernah terkedek-kedek berlari mengejar abang senior jabatan mereka, semata-mata mahu bertanya dia mana bilik tutorial Perlembagaan.

“Kau tak ingat apa yang Sabirah terangkan pasal diri dia masa hari pertama minggu orientasi?”

“Entahlah Ezra... kalau ingatkan budak mulut itik tu, harus aku koma sebulan kot kat hospital tanpa sebab! Alergik aku nak ingat benda-benda pasal minah dengan jantan tu!”

Selamba saja Nurul Masmin menuturkannya. Biarpun baru hidup sekampus dalam tempoh sebulan, namun Nurul dapat rasakan setiap urusannya dengan Zaili dan Sabirah adalah jalan yang penuh berliku.

“Kan dia ada sebut masa minggu perkenalkan diri. Konon dia ni die hard fan segala tok nenek barbie doll. Tu kot yang dia tempek gincu merah menyala, pakai bedak putih berkrim! Aku tengok dah macam sapu susu lemak berkrim cap junjung kat muka tu! Aku pulak yang rasa melekit-lekit.” Ujar Ezra yang memang tumpang rasa sakit mata setiap kali terpandangkan wajah rakan sekuliah itu.

“Nak makeup pun berpada-padalah. Aku pun pakai bedak. Pakai gincu, pakai blusher. Tapi biarlah nampak ada stail! Ni lagi bersolek lagi nampak macam dinding sekolah dibuat lukisan mural! Dia beli makeup ala-ala borong kat pasar yang cap ayam apa? Pakai bedak nampak tak lekat kat muka! Haishhh... tak pasal-pasal dapat dosa keringlah mengumpat dia. Tapi serius aku tak tau kenapa.... Gerak hati aku rasa dia memang benci aku. Entahlah....” 


Nurul Masmin mengeluh berat. Tiada sekuman niatnya untuk bersaing dengan sesiapa di kampus itu. Jauh sekali mahu tunjuk hebat. Tapi entah mengapa dua saudara kembar itu bagai menyimpan dendam kesumat yang terbenam di dasar hati. Semua itu terserlah dari pancaran mata yang penuh rasa hasad. Nurul Masmin dapat merasainya.

“Asal nampak senior aje macam kucing nak mengawan! Lemaslah!” Ezra menjuih bibir.

“Betul tu! Adatlah budak freshie kan... Semua senior nak dibuat baik! Semua abang nak dipikul jadi abang angkat. Aku rasa nak lain kali kalau dalam tutorial dia banyak mulut lagi dua beradik ni, aku nak panggil depa dengan nama Zaili The Big Belly sama Sabirah Budak Birah The Dolly! Meluat sesangat!”

Terkekeh-kekeh dua sahabat yang mendengar omelan Ezra. Memang sesuai sangat nama tu! Balas Nurul Masmin dalam gelak yang masih bersisa.

“Hahahaha! Nasib baik bukan The Big Belly Button!” Sampuk Che Wanie.
“Tu aku tak sanggup nak bayangkan! Gemuks! Harus berdaki! Loyalah weiii....” Nurul Masmin menambah dengan bibir yang terjuih.

Namun dalam tatkala suasana hening seketika Nurul Masmin kembali memikirkan sesuatu.

No comments:

ShareThis