Thursday, November 7, 2013

Jemput Baca :)) Cinta Hilang Kata -Love You In Silence 1

HAMPIR DUA tahun jugak saya nak siapkan ni. Tertangguh dek macam-macam kerja yang melintang. Tengah buat ni tetiba kena pulun skrip 13 episod. Dah siap skrip, tetiba sibuk dengan skrip dokumentarilah pulak. Siap skrip saya terjebak ikut shooting:))  Kemudian bila teks ni dah siap, hasil komen kawan rapat, saya rombak semula. Ya, skil saya tulis novel dewasa dah ke laut:(( Alhamdulillah, siap jugak. Dan seluruh teks ni sedang diedit. Ni saya kongsi sekadar sedutannya saja. Ampun kalau ada yang tak kena, saya memang rasa macam dah tak reti tulis novel dewasa:)) InsyaAllah saya akan share di sini secara konsisten tapi bukan teks yang penuh ya sehinggalah terbit dalam bentuk buku:))


Cinta Hilang Kata 1
(Love You In Silence)


Benar, mencintai saja tak pernah cukup. Harus ditelan segala racun. Harus ditahan segala pedih. Kau tahu... bukan sekadar pedih dan sengsara hati, tetapi fizikal juga menjadi korban lima jari kasarnya. Kau akan mengerti maksud sengsara cinta apabila meredhakan bulan-bulan awal pernikahan dengan air mata, dipukul semahunya kerana aku degil tidak mahu ada hati yang lebih terkorban. Nah, siapa kata cinta itu sekadar cinta.

Siapa bilang cinta itu sekadar mabuk asmara untuk si gadis yang usianya masih mentah? Apa perasaanmu seandainya beberapa hari selepas pernikahan, pulang ke Lembah Pantai, engkau tahu saban malam dia di muka pintu mengetuk memberi salam, mencari dan meminta penjelasan daripada aku?

Apa pula yang boleh aku lakukan waktu itu apabila aku terikat, lima jari hinggap di pipi dan aku cuma mampu membenam sedih pada hujung kamar. Tangisan dan esakan adalah sahabat aku yang paling akrab.

Apakah kau tahu, bagaimana perih rasanya berbahagi cerita, berbahagi hati?

Tahukah engkau sengsara rasa saling mencintai, dibatasi jarak waktu, namun akhirnya bertahan untuk tidak saling memiliki? Dan aku tidak terdaya menceritakan satu demi satu pada dia dan langsung membiarkan dendam itu menjadi dendam paling kejam yang manis.

Bukankah berdiam diri itu penawar terbaik? Bukankah pura-pura senyum dan bergelak ketawa itu satu terapi biar ini sebenarnya membunuh hati!

Bukankah memang begitu seharusnya cinta? Memberikan senyuman, bercanda gelak tawa, mesra bagai bahagia, untuk mengaburi mata memandang.

Meski diam-diam hatinya basah dalam renyai hujan yang tiada penghujung. Aku yakin seperti itulah seharusnya cinta. Dalam desah angin, dalam lebat hujan, dalam biru langit, aku sebetulnya sering bertanya... seperti inikah cinta?

Hidup bukan syurga tetapi bukan juga neraka. Hidup bukan ruang sidang pengadilan tetapi bukan juga jalan lapang dengan langit biru terbentang. Ya, aku tahu ... di luar sana ada lebih ramai mereka yang derita dan malang dari aku.

Ya, ada ketika aku malu kerana masih mahu teresak, masih tidak mampu menyimpan gelora jiwa hingga aku menangis tanpa henti lewat hujung sejadah di waktu dinihari. Cubitan Allah swt sekadar cubitan kasih namun aku nyata insan yang lemah masih mahu membiarkan hati ini terus renyai dengan air mata.

Terlalu banyak cerita kalau mahu dikata, terlalu banyak jua kerikil yang dilalui sebelum aku berada di sini. Entah kekadang terfikir, Allah menguji sebab aku mampu melaluinya. Dan, ya... akulah dahulu gadis angkuh yang selalu menyebut aku mampu hidup tanpa lelaki. Dan, aku juga dahulu perempuan si hati batu yang tidak mudah tunduk pada lelaki.

Cuma... ya... pada dia.. entah kenapa aku sangat menyenanginya. Ya, benar, teman aku sangat ramai. Surat-surat yang disimpan boleh dikumpul sehingga memenuhi lima kotak besar, hadiah dan pemberian mereka yang mahu membeli cinta, mengambil hati, juga ada ketika aku sedekahkan sahaja pada rakan serumah.

Tapi percayalah, itu semua belum tentu mampu mencairkan jiwa aku.

Dan, ya mengapa aku menjadi Puan Nurul Masmin pada usia 21 tahun, tatkala masih berkuliah... akan aku beritahu kelak. Cuma sesekali aku berasa terpaksa menelan segala sumpahan karma ini kerana keangkuhan kata-kata aku satu ketika dahulu.

Hem, dia sendiri secara tidak sengaja menyebut dan berpesan... jangan cakap angkuh! Jangan takbur! Err... aku tidak pasti, apakah dia sememangnya mengikuti segala kisah nurulmasmin.blogspot.com atau semua nasihat itu secara kebetulan. Sebagaimana secara kebetulan aku membalas emelnya yang kadangkala bertalu-talu hadir aku . Nantilah... akan aku ceritakan sedikit demi sedikit.

No comments:

ShareThis